Ahad, 1 September 2013

Puisi: Penjajah Virus



Ketika aku bangun dari kamar mimpi, aku keliru
Mana mungkin aku hidup kembali setelah tidur selama 56 tahun?
Siapa yang mengejutkan aku?
Apa yang dia mahu?
Atau apa yang ingin lakukan terhadapku?
Tiada sesiapa yang tahu.

Lalu aku menjengah ke jendela masa yang merangkak perlahan
Mengintai peristiwa yang berlaku ketika aku tidur selama 56 tahun
Hatiku ditusuk sembilu bila melihat virus-virus asing menjajah ketika aku tidur
Menjajah jiwa dan raga bangsaku yang bersengketa sesama sendiri tanpa disedari dianjingkan oleh pihak asing yang dikenali mereka

Mungkin Tuhan mahu aku menghapus penjajah virus yang berlaku ketika aku tidur selama 56 tahun itu?
Atau, mahu aku membersihkan kesemuanya dan kembalikan kenangan silam sebelum aku tidur selama 56 tahun?
Hanya Tuhan sahaja yang tahu.




                                                                       1 September 2013
                                                                       Awal pagi, Tanjung Sepat. 


Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Jumaat, 30 Ogos 2013

Puisi: Berapa Harga?


Berapa hargakah maruahmu?
Agar mudah aku membayar demi kepuasan nafsuku.

Berapa hargakah nyawamu?
Ingin kutamatkan keperwiraanmu yang menjadi batu penghalang niatku

Berapa hargakah kedaulatan tanahairmu?
Cukup mudah untuk dijarah demi kuasa dan wang.

Berapa hargakah nilai bangsamu?
Teringin juga aku warnakan pelbagai bangsa yang asing dalam dirimu.

Berapa hargakah jati dirimu yang semakin goyah?
Juallah dengan harga yang murah.

Berapa hargakah keamananmu yang tidak menentu?
Ibaratkan harga bursa saham yang adakala naik dan adakala turun.

Berapa hargakah kuasa pemimpinmu yang semakin lemah?
Tiada nilai bagiku melainkan diberi percuma.

Berapa hargakah agamamu yang sering dihina dan dipermainkan?
Kamu tidak mampu berbuat apa-apa melainkan berpiket dan berdemo sahaja.

Berapa hargakah bahasa kebangsaan yang kamu pertuturkan?
Berilah potongan harga terendah kerana ia sudah menjadi rojak.



                                                            23 Syawal 1434, 1323 tengahari
                                                            Kampung Batu Laut


Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.