Selasa, 26 November 2013

Cerpen: Gelombang Kedua


Seorang pemuda berdiri di balkoni rumah yang mengadap ke arah matahari terbenam. Pemandangan yang indah dan persekitaran yang damai menyebabkan dia memilih untuk menetap di situ. Dia menghayati deruan ombak yang menghempas pantai. Ia adalah muzik latar yang menjadi alat terapi psikologi untuk menenangkan dirinya jika mengalami kesulitan. Pemuda itu mengenakan sepasang seragam tentera biru gelap dan berkasut but. Sebilah parang disisip kemas pada pinggang kirinya. Tajam dan berkilat. Parang itu adalah senjata tradisional kebanggaan bangsanya yang terkenal akan kekentalan menentang penjajah Sepanyol, Amerika Syarikat, Filipina dan yang terbaru, negara penjajah yang berjiran dengan selatan Filipina iaitu Malaysia.

Moyangnya, Sultan Jamalul Kiram 3
Kemudian, dia masuk ke dalam rumah untuk melihat kembali perancangan yang dirangka sejak 15 tahun yang lalu. Di ruang pejabat, terdapat empat buah peta besar yang digantung pada dinding rumahnya. Peta yang paling menonjol adalah peta negeri Sabah. Diikuti peta daerah Lahad Datu, daerah Kunak, daerah Semporna dan daerah Tawau. Empat daerah berkenaan amat penting dan menjadi sasaran utamanya berbanding daerah-daerah lain di negeri Sabah. Dia tersenyum. Entahlah sudah berapa kali dia berbuat demikian bila melihat sendiri perancangan rapi yang bakal merubah geografi politik Asia Tenggara.

“Usah khuatir. Aku bersumpah akan merampas kembali hak bangsa Sulu dari penjajah.” Dia melafaskan janji didalam hatinya di hadapan sebuah potret. Potret yang memaparkan seorang tokoh Sulu yang berjaya menggugat kedaulatan negara jirannya suatu ketika dahulu iaitu Sultan Jamalul Kiram 3.

Dia mengenangkan kembali kisah impian moyangnya untuk mendapatkan semula negeri Sabah dari penjajahan Malaysia. Malangnya, impian itu tidak kesampaian kerana kesilapan percaturan strategi, tanpa persediaan mencukupi, perancangan yang lemah serta terburu-buru. Diburukkan lagi keadaan bila mereka termakan janji-janji palsu dari pihak tertentu dari semenanjung Malaysia kononnya yang mereka akan dilindungi dari sebarang tentangan dari pihak tentera. Seramai 250 anggota pengawal elit Sulu yang diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Jamalul Kiram 3 mendarat di Kampung Tanduo dan mengukuhkan barisan pertahanan.

Selepas banyak rundingan serta tawaran menyerah diri ditolak, mereka diserang dari semua arah sehinggakan Raja Muda Azzimudie Kiram dilaporkan terbunuh. Ada khabar angin menyatakan yang dia dibunuh oleh pengikutnya sendiri kerana hilang kepercayaan. Tetapi ada pula berkata dia berjaya melepaskan diri dari kepungan dan kembali ke selatan Filipina sebelum menghilangkan diri. Ketika itu dia berusia 10 tahun dan terlalu muda untuk memahaminya sehinggalah dia ditabalkan menjadi raja muda ketika berusia 16 tahun.

“Aku tidak mahu perkara ini berulang kembali. Aku pastikan misi ini berjaya menghampiri 90 peratus. Jika gagal menewaskan tentera penjajah sepenuhnya, setidak-tidaknya mereka terpaksa mengadakan genjatan senjata dan ingin mengadakan rundingan damai. Sudah tentu pihak penjajah tunduk dibawah tekanan antarabangsa.” Bisik hatinya sekali lagi.


Raja Muda Jeffry Kiram

Raja Muda Jeffry Kiram mula mempelajari kesilapan lampau dan memperbaiki pengurusan ketenteraan bangsa Sulu. Dalam beberapa tahun, dia berulang-alik dari Tausug City ke Manila sebanyak tiga kali semata-mata mahu ke perpustakaan serta arkib negara untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan mendalami ilmu yang berkaitan ketenteraan. Beberapa buah buku rujukan disalin dan banyak nota telah ditulis. Kemudian, dia membukukan kesemua maklumat penting sebelum membuat cetakan bagi mengedarkan kepada semua ketua hulu-balang Sulu.

“Tuanku bersungguh-sungguhkah?” Tanya salah seorang ketua hulu-balang Sulu kepada Raja Muda Jeffry yang ketika itu usianya baru mencecah 21 tahun.

“Saya tidak bergurau dalam hal ini. Kesilapan dan kegagalan adalah guru terbaik untuk kita. Saya sudah pun merangka strategi bagaimana untuk mendapatkan kembali hak kita keatas Sabah.”

“Tetapi, ramai pengikut kita berpendapat bahawa misi untuk mengambil kembali negeri Sabah adalah perkara yang mustahil. Itu adalah misi membunuh diri. Sejarah telah membuktikan sebelum ini.”

“Sekarang ini tiada yang mustahil. Kamu lihatlah sendiri keadaan sekarang pentadbiran politik negara yang menjajah negeri Sabah. Diselubungi pelbagai masalah dalaman terutamanya masalah ekonomi, rasuah dan krisis politik. Keadaan seperti inilah kita perlu mengambil peluang.” Raja Muda Jeffry Kiram memandang ke arah barisan ketua hulu-balang Sulu yang memerhatikannya. Air muka mereka seperti tidak percaya dengan apa yang dirancang.

“Saudara-saudara sekalian. Saya faham apa yang kalian fikirkan sekarang ini. Usah khuatir. Di dalam buku yang saya agihkan kepada kalian adalah panduan bagi membina semula kekuatan kita sebagai Tentera Diraja Sulu. Selain itu, ia turut disertakan modul latihan untuk anggota tentera kita bagi mempertingkatkan kemahiran peperangan. Jika ada kesulitan untuk memahami isi kandungan buku ini, janganlah teragak-agak untuk bertemu dengan saya. Jadi, persiapkan diri mulai saat ini jika mahu bangsa Sulu tercatat dalam lipatan sejarah Asia Tenggara dan pentas antarabangsa!” Titah ucapan dari Raja Muda Jeffry disambut dengan laungan takbir sebanyak tiga kali.
 

Sejak itu, selama 15 tahun mereka bekerja keras bagi memperkuatkan angkatan perangnya untuk melanggar negara jiran. Pelbagai ilmu telah dipelajari seperti latihan menembak, berkawad, peperangan gerila, serangan hendap, membuat bom buatan sendiri, risikan dan sebagainya. Apabila bersedia, mereka menyusup masuk ke negeri Sabah dalam kumpulan kecil dengan bantuan bangsa Sulu yang lahir di sana agar tidak disedari oleh pihak berkuasa Malaysa dan Filipina.

Bagi memudahkan pergerakan para pengintip di Sabah, Tentera Diraja Sulu telah mengeluarkan Mykad palsu dan kualitinya hampir menyamai Mykad asli. Beberapa peralatan asas untuk menghasilkan Mykad telah dibeli melalui orang dalam di Jabatan Pendaftaran Negeri Sabah. Dengan hanya rasuah sahaja segalanya berjalan dengan lancar. Untuk menyeludup masuk bekalan persenjataan, mereka menggunakan kapal selam. Kapal selam yang mereka gunakan  tidaklah secanggih seperti kapal selam negara-negara maju. Model kapal selam berkenaan sering digunakan oleh kartel-kartel dadah untuk menyeludup masuk dadah yang sudah diproses dari Colombia ke Amerika Syarikat. Jadi, Raja Muda Jeffry Kiram meminta bantuan kepakaran mereka untuk melatih para belia Sulu bagi membina dan mengeporasikan kapal selam sepenuhnya.

 
Untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai misi penaklukan dan memperkuatkan angkatan perang Sulu, mereka menjalankan pelbagai jenis perniagaan tidak kira sama ada salah disisi undang-undang atau sebaliknya. Bangsa Sulu terkenal akan kemahiran membuat senjata api buatan sendiri sehinggakan terdapat bengkel pembuatannya disetiap rumah. Senjata api jenis M-16 dan AK-47 paling banyak dihasilkan berbanding jenis-jenis senjata api yang lain. Negara-negara Afrika yang mengalami konflik dalaman menjadi pelanggan utamanya. Tidak kira sama ada pelanggan berkenaan dari pihak pemberontak atau kerajaan, perniagaan tetap perniagaan. Yang penting, harga senjata berkenaan berpatutan. Mereka membayar harganya secara tunai dalam matawang dolar atau dalam bentuk barangan berharga seperti berlian atau emas. Selain itu, kegiatan jenayah seperti rompakan bersenjata dan penyeludupan dadah turut memberi sumbangan dengan mendapatkan bantuan dari kumpulan-kumpulan kongsi gelap di semenanjung Malaysia dengan bayaran sebanyak 40 peratus dari hasil keuntungan beserta bekalan pelbagai jenis senjata api terpakai.

Dengan bantuan para pengintip di negeri Sabah, dia juga telah menerima banyak maklumat risikan berharga. Raja Muda Jeffry Kiram serta para ketua hulu-balang Sulu turut mengkaji kedudukan penting pasukan keselamatan penjajah di sekitar negeri Sabah khususnya empat daerah berkenaan. Dia perlu tahu berapa banyak balai polis? Di laluan manakah terdapatnya pos pemeriksaan? Berapa buah kapal peronda polis marin dan tentera laut yang berlabuh di markas laut? Berapakah kekuatan tentera darat di sana dan sebagainya. Itu semua perlu diambil kira. Bangsa Sulu yang bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja estet telah membina ratusan kubu pertahanan, terowong sulit, setor bagi menyimpan bekalan senjata, makanan dan ubat-ubatan di sekitar ladang kelapa sawit yang beribu hektar serta kawasan hutan berhampiran. Kerja-kerja pembinaan dilakukan dengan penuh berwaspada agar tidak diketahui oleh musuh dalam selimut.

 
“Tuanku, kami telah bersedia. Kita boleh berangkat sekarang.” Kata salah seorang anggota pengawal elit Sulu. Orangnya berjambang dan berambut panjang. Dia juga mengenakan pakaian seragam tentera.

Raja Muda Jeffry Kiram mengangguk sebelum bergerak keluar menuju ke sebuah jeti konkrit. Dari situ, mereka akan bergerak ke tengah Laut Sulu dengan menggunakan bot laju di mana terdapat tiga buah kapal selam sedang menanti. Raja Muda Jeffry akan mengetuai 30 pengawal elit Sulu untuk menyusup masuk ke negeri Sabah.

“Bagaimana dengan tentera kita di Sabah?” Tanya Raja Muda Jeffry kepada orang kanannya, Pak Amier.

“Seramai 2 ribu tentera Sulu sudah berada di kedudukan yang telah ditetapkan. Hanya menantikan arahan selanjutnya dari tuanku.” Jawab Pak Amier.

“Bagus.” Jawab Raja Muda Jeffry sebelum mengambil sebuah telefon satelit dari beg galasnya. Kemudian, dia mendail nombor tertentu untuk membuat panggilan terus ke semenanjung Malaysia.

“Komeng. Jalankan tugas kamu.” Diam seketika sebelum kembali berbicara.

“Tak perlu risau. Kamu semua akan dapat separuh lagi habuannya bila kerja saya selesai.” Jawab dengan tegas sebelum memutuskan talian.

Dia baru sahaja mengeluarkan arahan kepada wakil 11 kumpulan utama kongsi gelap yang bergiat aktif di sekitar Kuala Lumpur, Klang, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka dan Johor Bahru. Tugas mereka adalah melancarkan serangan terhadap anggota polis di kawasan masing-masing bagi mengalih perhatian pihak berkuasa dari menumpukan kawalan keselamatan ke atas empat daerah negeri Sabah.

“Maafkan saya. Saya ingin bertanya, apakah nama operasi kita? Mana-mana negara lain sudah pasti ada nama operasi tersendiri.” Tanya Pak Amier.

“Saya namakan Operasi Gelombang Kedua.”

“Bagus juga bunyinya.” Bunyi pujian dari Pak Amier seperti mengampu dan membodek ketuanya.

“Jangan buang masa. Kita perlu bergerak sekarang sebelum hujan ribut melanda. Setibanya kita di negeri Sabah, pastikan kalian memberikan ‘hadiah’ yang paling istimewa kepada Malaysia!”

“Allahu Akhbar....! Allahu Akhbar....! Allahu Akhbar....!”

Laungan takbir itu sebagai tanda bermulanya penaklukan ke atas Sabah dari cengkaman Malaysia. Dalam minda Raja Muda Jeffry Kiram, dia teringin duduk di singgahsana milik Yang Dipertua Negeri Sabah yang bakal dikosongkan oleh pemilik asalnya. Jika semua perancangannya berjalan lancar, dia akan memperkuatkan lagi angkatan perang Sulu bagi misi seterusnya iaitu melanggar Labuan serta Sarawak sebelum menakluk negara Brunei Darul Salam.
 

 Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Ahad, 20 Oktober 2013

Cerpen: Harapan Manusia



Kereta peninjau yang dinaiki Kapten Roslan

Hampir dua minggu mereka berada di kawasan tundra dan dalam masa itu jugalah mereka gagal mengesan sebarang kehidupan manusia di situ. Mereka berkhemah berhampiran dengan sebatang anak sungai yang mengalir lesu dari arah utara. Suasana sejuk masih terasa sedangkan matahari mula memancar sinar di dada langit. Beberapa anggota peninjau sibuk mengemaskan khemah sebelum disimpan ke dalam lori. Ada juga sibuk menanam sampah paket ransum makanan yang digunakan semalam. Dan, ada pula merancang ke arah manakah perlu diperiksa bagi mengesan kehadiran manusia.
“Kita cuma belum memeriksa lokasi ini.” Seorang pegawai menunjukkan suatu kedudukan dalam peta topografi.
“Kalau diikutkan, bukit ini sudah tidak wujud lagi. Ia adalah kawasan tanah lapang yang kita lalui semalam.”
“Masalah juga. Kita masih menggunakan peta topografi lama zaman sebelum bencana besar. Ini menyebabkan kita keliru dan mudah tersesat.”
“Bukan sekali tetapi sudah banyak kali kita tersesat sebelum ini, tuan.”
“Tidak mengapa. Kita akan bergerak ke arah timur sebab kita belum ke sana lagi. Bagaimana bekalan makanan kita? Adakah cukup untuk tiga hari lagi?”
“Ya. Cukup untuk tiga hari lagi, tuan.” Pegawai berkenaan terdiam seketika sehinggalah salah seorang dari anggotanya tiba dengan tergesa-gesa.
“Tuan, panggilan dari tuan kolonel.” Pegawai berkenaan bergegas ke salah sebuah kenderaan di situ sebelum mencapai ganggang telefon dari jururadio.
“Kapten Roslan bercakap.” Pegawai bernama Kapten Roslan diam seketika sebelum memberi maklum balas.
“Sehingga kini kami masih belum menemui sesiapa pun. Untuk hari ini kami akan ke arah timur dan jika masih gagal mengesan, barulah kami pulang.” Sejurus kemudian, Kapten Roslan menyerahkan kembali ganggang telefon kepada jururadio.
“Apa yang tuan kolonel kata?” Tanya jururadio yang duduk di dalam kenderaan perisai.
“Tuan kolonel berpesan kepada kita agar berhati-hati ketika menjalankan tugas. Dia benarkan kita pulang hari ini jika gagal menemui sesiapa pun.”
“Jika begitu, kita perlu bergerak sekarang. Takut-takut ribut pasir melanda selepas tengahari nanti.” Katanya lagi. Sejak kebelakangan ini, tiupan angin begitu kuat sehinggakan mereka sukar untuk mendirikan khemah dan memasak.
“Baiklah. Jika semua sudah bersedia, kita bergerak sekarang.”
“Baik, tuan.” Arahan diterima dan pasukan peninjau berkenaan mula bergerak ke arah timur dalam satu barisan.

Kampung Baru
Perjalanan diteruskan dengan tiga buah kenderaan. Di hadapan, sebuah kereta peninjau yang dinaiki oleh Kapten Roslan selaku ketua pasukan peninjau, sebuah kereta perisai berunut dan yang terakhir, sebuah lori separa runut yang dilengkapi dengan mesingan berat. Seramai sepuluh anggota peninjau termasuklah Kapten Roslan terlibat dalam operasi rutin mereka iaitu mengesan dan mengambil maklumat kewujudan manusia yang terselamat dari kejadian bencana besar seabad yang lalu.
Sekian lama mereka bergerak ke arah timur, Kapten Roslan mengesan sesuatu yang bergerak di hadapan. Lantas dia mencapai teropong untuk melihatnya.
“Ada kehadiran manusia. Tingkatkan kelajuan lagi.” Arah Kapten Roslan yang duduk di turet penembak kereta peninjau.
“Baik, tuan.” Kelajuan diubah sebelum menekan pedal minyak. Dua kenderaan yang mengikuti belakangnya turut berbuat demikian.
Kelihatan seorang lelaki dan seorang kanak-kanak sedang menunggang seekor unta. Cara mereka berpakaian persis seperti kaum nomad Badwi yang hidup berpindah-randah suatu ketika dahulu. Kehadiran pasukan peninjau itu menyebabkan mereka berdua hampir-hampir mahu melarikan diri.
“Tunggu...! Jangan lari! Kami datang bukannya berniat jahat!” Jerit Kapten Roslan. Mendengar sahaja apa yang dikatakan Kapten Roslan, mereka berdua membatalkan niat untuk melarikan diri.
“Tuan ini siapa? Kalian boleh berbahasa Melayu?” Tanya seorang lelaki nomad yang berusia dalam lingkungan lewat 30an. Orangnya berjambang dan berambut panjang. Memakai serban yang hampir menutupi kepalanya serta berjubah.
“Nama saya Roslan. Kami dari Koloni Serdang yang terletak jauh di bahagian selatan. Memang itulah bahasa kami. Bahasa Melayu.” Jawab dengan penuh bangga.
“Nama saya Awang dan ini anak saya, Bulat. Kami berasal dari lembah hijau di sebalik gunung di sana.”
“Sudah berapa lama saudara tinggal di lembah berkenaan?”
“Sejak saya lahir, tuan.” Jawab Awang sambil diperhatikan oleh anaknya yang berusia 12 tahun.
“Bolehkah bawa kami ke perkampungan saudara? Sekurang-kurangnya kami dapat merekodkan kewujudan perkampungan saudara di dalam simpanan data pusat.” Kapten Roslan meminta izin.
“Boleh, tuan. Sila ikut saya.” Dengan pantas punggung unta disesah dan mereka mula bergerak ke arah timur laut dimana lokasi perkampungan itu berada.
Perjalanan mengambil masa hampir satu setengah jam sehinggalah menemui sebuah lembah yang luas dan subur menghijau. Dihiasi dengan ladang pertanian, kincir angin, tasik serta sungai yang jernih dari pencemaran dan hutan yang tidak disentuhi oleh manusia. Sebuah penempatan yang dianggarkan sebanyak 100 buah rumah dibina dari tanah liat serta kayu dan beratap pelepah pohon tamar. Kedudukan rumah di kampung berkenaan agak tersusun. Begitu juga dengan sistem keselamatan kampung. Seluruh kampung berkenaan dibina tembok tanah liat setinggi satu meter.
Ketibaan mereka disambut oleh orang kampung yang belum pernah menerima kehadiran orang luar seperti Kapten Roslan dan rakan yang lain. Mereka dikerumuni kanak-kanak yang ingin melihat kenderaan perisai dengan lebih dekat. Begitu juga orang dewasa pun turut serta. Lelaki yang bernama Awang segera ke salah sebuah rumah di situ. Tidak lama kemudian, Awang keluar bersama seorang lelaki tua.
“Tuan. Ini bapa saya dan juga penghulu kampung ini.” Kapten Roslan menyambut salaman dari ketua kampung itu.
“Selamat Datang ke Kampung Baru. Saya dapat tahu dari anak saya yang tuan dari Koloni Serdang. Begitu?”
“Ya, tok. Kami semua dari Koloni Serdang.”
“Apa tujuan tuan datang ke mari?”
“Kami menjalankan tugas untuk menanda dan merekodkan kewujudan manusia yang terselamat dari bencana besar seabad lalu. Ini membolehkan kami membuat peta topografi yang baru bagi menggantikan peta lama.”
“Jadi, lokasi kampung ini akan direkodkan ke dalam peta baru berkenaan?”
“Benar, tok. Ia amat berguna untuk kita semua. Jika ada berlaku sebarang kecemasan  atau panduan sebelum memulakan perjalanan, peta itulah menjadi rujukan.”
“Jika begitu, kehadiran tuan serta yang lain amat dialukan. Tuan boleh meletakkan kenderaan di sana.” Penghulu Kampung Baru mengarahkan Awang menunjukkan lokasi berkenaan.
“Terima kasih, tok. Kami amat berbesar hati.” Dengan segera mereka memindahkan kenderaan masing-masing dan mendirikan khemah.
Bermulalah kerja-kerja bancian keatas penduduk Kampung Baru. Ada yang mengambil maklumat purata umur penduduk, berapa jumlah kaum wanita, kanak-kanak, warga emas serta orang dewasa, pekerjaan, melakar kedudukan lokasi dan sebagainya. Kapten Roslan dibawa meninjau sekitar perkampungan. Sambil itu, Awang menceritakan sedikit sebanyak sejarah kewujudan Kampung Baru serta masalah-masalah yang dihadapi mereka sekarang. Mereka sedang melintasi sebuah bengkel pertukangan besi.
“Dubuk gurun sering mengancam keselamatan haiwan ternakan orang kampung serta kanak-kanak. Apabila menjelang senja, kami segera menutup pintu pagar kayu di sekitar kampung dan memulakan kawalan keselamatan.”
“Bagaimana saudara dan orang kampung mempertahankan kampung ini?”
“Kami hanya bersenjatakan parang dan tombak yang ditempa oleh tukang besi. Bahan-bahan untuk membuat senjata diambil dari sebuah bandar kuno yang terletak di selatan kampung ini.”
“Bandar kuno?”
“Ya. Bandar kuno itu adalah satu-satunya jalan pintas untuk pulang ke koloni tuan. Pada pendapat saya, lebih elok elakkan dari mengikuti laluan berkenaan.”
“Mengapa?” Kapten Roslan
“Dengar khabar, di situ dihuni oleh puak gasar yang bengis. Kami mencari kepingan logam pun hanya kawasan pinggir sahaja dan tidak berani untuk masuk ke pusat bandar.” Perjalanan mereka diteruskan sehingga tiba di sebuah menara pemerhati berdekatan dengan pintu masuk kampung.
“Hari semakin gelap. Dalam masa beberapa minit lagi, semua pintu masuk di sekitar kampung ini akan ditutup dan dikawal ketat oleh para pengawal.” Awang memberitahu kepada Kapten Roslan bila melihat ketibaan beberapa orang belia kampung yang bersenjata. Tugas untuk mengawal keselamatan kampung sudah tiba. Tidak lama kemudian, kedengaran seruan azan yang mendayu suaranya dari sebuah surau.
“Waktu solat Maghrib sudah tiba. Ayuh kita solat berjemaah.” Awang mengajak.
“Silakan.” Mereka segera ke surau dan pada waktu itu juga semakin ramai jemaah tiba termasuklah anggota peronda Kapten Roslan.

Selepas solat, penduduk Kampung Baru mengadakan kenduri bagi menyambut kehadiran pasukan Kapten Roslan. Lima  ekor kambing telah dikorbankan pada siang tadi untuk dijadikan hidangan malam. Sambil menjamu selera, mereka khusyuk mendengar kisah Koloni Serdang dan kemudahan yang ada di sana. Kapten Roslan sibuk menjawab pelbagai soalan yang diajukan oleh para belia mengenai peluang pekerjaan dan latihan kemahiran di sana. Ada juga menanyakan tentang teknologi atau kelengkapan terkini yang dimiliki Koloni Serdang. Mereka sangka, selepas kejadian bencana besar yang melanda seluruh dunia, segala kecanggihan teknologi seperti internet, peralatan digital, robotik dan sistem satelit lenyap bersama dengan tamadun manusia. Hakikatnya, hanya peralatan manual sahaja yang mampu berfungsi sehingga kini.
“Saudara. Jika diberi peluang, adakah saudara akan berhijrah ke Koloni Serdang bagi mendapatkan peluang pekerjaan serta kehidupan selesa.” Tanya Kapten Roslan kepada Awang.
“Maafkan saya. Kami tidak dapat mengikuti tuan kerana kami masih mahu menetap kawasan ini, tuan. Lagi pun kami cukup selesa dengan cara hidup kami yang serba sederhana.” Awang menolak pelawaan Kapten Roslan dengan sopan.
“Jika begitu, tidak mengapalah. Saya akan cuba mencadangkan kepada ketua Koloni Serdang agar memberikan latihan kemahiran vokasional kepada para belia di sini. Dengan kemahiran itu, ia dapat membantu membangunkan perkampungan ini.”
“Ya. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar.” Ujar Awang.
“Insyaallah.” Jawab ringkas Kapten Roslan. Malam semakin larut dan diselangi salakan dubuk gurun yang seperti tidak berpuas hati kerana gagal menyelinap masuk ke dalam Kampung Baru.

Keesokan paginya, pasukan peninjau memulakan perjalanan pulang ke Koloni Serdang dengan diiringi doa dari warga Kampung Baru. Sebelum bergerak, Kapten Roslan berjanji kepada ketua kampung dan Awang bahawa apabila peta topografi siap dicetak, sebanyak lima salinan akan diserahkan kepada pihak Kampung Baru untuk dijadikan maklumat rujukan.
Perjalanan diteruskan menuju ke lokasi yang dinyatakan oleh Awang semalam. Jarak dari kampung berkenaan ke bandar kuno dianggarkan sejauh 5 kilometer dan tidak perlu memakan masa yang lama untuk ke sana jika menggunakan kenderaan bermotor. Bandar kuno yang ditenggelami pasir ini adalah sebuah bandaraya maju yang berdaya saing dan terkenal di seluruh dunia suatu ketika dahulu. Dianggarkan lebih 2 juta orang yang menetap di bandaraya berkenaan sebelum kejadian bencana besar. Kini, ia tidak ubah seperti bandar berhantu.
“Kita akan memasuki bandar kuno ini?” Tanya pemandu kereta peninjau.
“Ya. Kerana di sini adalah jalan pintas untuk pulang ke Koloni Serdang. Tetapi kita perlu berwaspada. Dikhabarkan ada orang gasar yang menghuni bandar kuno ini.” Kapten Roslan memberi peringatannya.
“Baik, tuan.” Jawab anak-anak buahnya melalui alat komunikasi. Kedudukan kenderaan turut diubah. Lori separa runut dikehendaki berada di bahagian tengah antara kereta peninjau dengan kereta perisai atas faktor keselamatan.
Perjalanan mereka lancar tetapi berhati-hati. Bimbang jika terjadinya serang hendap oleh orang gasar yang menunggu peluang jika berlaku kealpaan walau pun sesaat. Adakalanya mereka ternampak beberapa kelibat manusia di sebalik runtuhan bangunan. Ia seperti sedang memerhatikan perjalanan pasukan peninjau yang bergerak dengan kelajuan sederhana. Selama sejam untuk melalui bandar kuno berkenaan sehinggalah selamat keluar dari situ.
“Alhamdulillah. Nasib baik kita tidak diserang tadi.” Ucap kesyukuran dari salah seorang anggota peninjau.
“Saya fikir, bandar kuno ini patut dibersihkan agar ia menjadi laluan dan lokasi yang selamat untuk dihuni oleh manusia lain.” Cadang seorang lagi anggota peninjau.
“Bagus cadangan itu. Saya akan usulkan kepada tuan kolonel.” Kapten Roslan segera mencatatkan sesuatu didalam buku notanya.

Suasana di luar Koloni Serdang
Koloni Serdang berada di hadapan mereka. Ia terletak berdekatan dengan sebuah bukit di selatan kawasan tundra. Ia lengkap dengan kemudahan asas serta pembangunan yang semakin meningkat sejak kejadian bencana besar pada seabad yang lalu. Dianggarkan seramai 10 ribu manusia kini menetap di koloni berkenaan. Pasukan peninjau akhirnya tiba sebelum waktu menjelang petang. Kesemua kenderaan peninjau kembali ke depot simpanan untuk diselenggarakan. Anak-anak buah Kapten Roslan kembali ke berek untuk berehat dan Kapten Roslan pula perlu ke pejabat pentadbiran untuk menyediakan laporan.
“Baguslah kamu pulang tepat pada masanya.” Kata Kapten Aziz, ketua Pasukan Peninjau Ke-5 dan rakan setugas Kapten Roslan.
“Mengapa?”
“Kolonel Wahab ingin bertemu dengan kamu dengan segera di pejabatnya. Mungkin mengenai penemuan sekumpulan manusia yang terselamat semalam.” Kata Kapten Aziz.
“Cepat benar perkhabaran ini tersebar.” Kapten Roslan menggaru kepalanya. Malam tadi selepas menghadiri kenduri, dia menghubungi Kolonel Wahab mengenai penemuan tersebut.
“Kolonel Wahab begitu gembira sehinggakan dia menghebahkan kepada umum. Kami pun berasa gembira dan secara tidak langsung, ia memberi dorongan kepada kami agar berusaha bersungguh-sungguh untuk menjalankan tugas.” Kapten Aziz turut gembira akan pencapaian rakan setugas.
Ketika berjalan menuju ke pejabat ketua Koloni Serdang, Kapten Roslan tidak putus-putus menerima ucapan tahniah dari para anggota keselamatan. Setibanya di pintu masuk pejabat, kedengaran suara serak-serak basah yang sedang berkata sesuatu.
“Dengan siapa yang dia berbual?” Bisik hati Kapten Roslan sambil mengetuk pintu dengan tertib.
“Masuk.” Selepas mendapat keizinan, dia dengan segera melaporkan diri kepada Kolonel Wahab. Kelihatan Kolonel Wahab sedang berdiri di penjuru pejabat sambil memegang sehelai kertas. Dia seperti sedang berlatih memberi ucapan.
“Sila duduk, kapten. Saya amat gembira akan pencapaian kamu untuk hari ini. Tahniah saya ucapkan.”
“Terima kasih, tuan.” Kapten Roslan menyambut salaman yang dihulurkan oleh Kolonel Wahab.
“Boleh kamu ceritakan mengenai kampung yang berjaya ditemui semalam?”
“Nama kampung itu adalah Kampung Baru. Ia terletak di sebuah lembah yang subur dengan sumber pertanian serta hutan belantara yang masih belum terusik oleh manusia. Untuk ke sana, kita perlu merentasi sebuah bandar kuno yang terletak 20 kilometer di timur laut Koloni Serdang kerana dengan ia adalah laluan pintas untuk ke sana.”
“Laluan pintas? Jadi, kamu pulang ke sini pasukan kamu menggunakan laluan di bandar kuno?” Terkejut Kolonel Wahab.
“Ya, tuan. Walau bagaimana pun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku ketika merentasi bandar berkenaan. Tetapi, kami ada juga ternampak beberapa kelibat manusia yang sedang memerhatikan kami.”
“Tidak sangka kamu bertindak melalui kawasan itu.” Adakalanya Kolonel Wahab berasa kagum akan keberanian Kapten Roslan.
“Tuan. Saya fikir lebih elok kita perlu mengadakan operasi pembersihan ke atas bandar kuno berkenaan. Runtuhkan bangunan-bangunan tinggal serta menangkap orang-orang gasar sebelum dihantar ke kem tumpuan untuk diasimilasi. Kita akan bertindak tegas jika mereka melawan. Bagaimana?” Cadang Kapten Roslan.
“Bagus cadangan kamu. Tetapi kenalah merancang dengan berhati-hati agar tidak berlaku sebarang insiden yang diluar jangkaan kita.”
“Saya pun harap begitu, tuan.”
“Dan lagi satu. Mengenai Kampung Baru. Sudahkah kamu menjalankan bancian terhadap penduduknya?”
“Sudah, tuan. Pada pandangan saya, warga Kampung Baru perlu diberikan bantuan terutama dari segi kemahiran vokasional. Dengan kemahiran yang mereka miliki, mereka mampu berdikari dan membangunkan taraf hidup mereka kepada yang lebih selesa.” Kapten Roslan mengutarakan cadangannya yang dia catatkan didalam buku nota sebelum ini. Dia kini menantikan reaksi dari Kolonel Wahab.
Kolonel Wahab bangun dari kerusinya dan menuju ke arah tingkap. Dia melihat pelbagai kegiatan harian yang sedang dijalankan oleh warga Koloni Serdang. Kelihatan seorang pemandu pedati kuda yang membawa hasil pertanian dan seorang pengembala kambing gurun yang sibuk mengawal ternakannya. Mereka baru pulang dari pasar utama yang terletak berhampiran dengan dataran perhimpunan di tengah koloni.
“Usaha untuk membangunkan kembali tamadun manusia bukanlah perkara mudah. Selain mencari dan mengesan manusia yang terselamat dalam bencana berkenaan, kita juga berusaha memberi bantuan dalam pelbagai bentuk. Antaranya pendidikan. Dengan memiliki ilmu pendidikan, mereka mampu membangunkan kembali sebuah tamadun baru yang lebih pesat dari tamadun yang sedia ada sebelum berlaku bencana besar. Semenjak kamu berjaya menemui kampung berkenaan, secara tidak langsung kamu telah menaikkan semangat anggota pasukan peninjau lain untuk menjalankan tugas mereka.” Kolonel Wahab masih berdiri memandang ke arah luar.
Pintu bilik pejabat diketuk sebelum seorang pegawai komunikasi masuk dengan tiba-tiba. Kolonel Wahab dan Kapten Roslan berasa hairan akan keadaan tergesa-gesa pegawai berkenaan.
“Maaf kerana mengganggu. Ada satu lagi berita baik. Ini dari Pasukan Peninjau Ke-8.”
“Pasukan Peninjau Ke-8? Pasukan yang diketuai oleh Kapten Mohan.” Kapten Roslan meneka.
“Teruskan.” Kolonel Wahab memberi keizinan.
“Mereka telah berjaya menemui sebuah pekan nelayan yang terletak di barat laut kawasan gurun. Pekan tersebut agak terpencil dan seramai seribu orang menghuni pekan berkenaan. Mereka juga amat memerlukan bantuan dari kita.” Kata pegawai itu tadi. Kapten Roslan memandang kembali ke arah Kolonel Wahab.
“Harapan manusia semakin cerah. Tidak sia-sia kita menjalankan operasi ini demi kelangsungan hidup umat manusia.” Kata Kapten Roslan dengan penuh kegembiraan.
“Hantarkan pesanan saya kepada Kapten Mohan bahawa pasukan bantuan akan dihantar ke sana dalam dua hari lagi. Sila bertahan di situ sebaik mungkin. Jangan lupa berikan koordinat kedudukan pekan itu.” Kata Kolonel Wahab lagi.
“Baik, tuan.” Dengan segera pegawai berkenaan beredar.
“Apa tindakan selanjut, tuan?”
“Saya fikir, eloklah pasukan kamu dan pasukan Kapten Aziz bergabung untuk ke sana dalam masa terdekat. Kamu boleh beredar segera untuk membuat persiapan.”
“Terima kasih, tuan.” Dengan pantas Kapten Roslan berdiri tegak dan memberi tabik hormat kepada ketua Koloni Serdang.
Kini, bermulalah tugas sebenar untuk mereka menyumbangkan tenaga dan masa bagi menyiapkan peta topografi terbaru demi memudahkan keperluan manusia di zaman pasca bencana besar di muka bumi ini.

Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.