Khamis, 20 Januari 2011

Perkasa

            Keadaan di lautan nampak tenang. Ketenangan di awal pagi yang dingin memberi seribu satu misteri yang menyelubungi alam. Dalam keadaan sebegini, mungkin menimbulkan perasaan yang kurang senang kepada mereka yang memantau keselamatan perairan. Sebuah kapal perang setinggi tiga tingkat berlabuh di tengah lautan yang sedikit bergelora. Membiarkan dirinya terolang-oleng di alun ombak.
            Perkasa. Itulah nama kapal yang diberi ketika ia dilancarkan di pelabuhan setelah hampir setahun ia dibina. Sebuah kapal perang yang agak berlainan dari kapal perang biasa yang lain. Secocok dengan namanya kerana kapal berkenaan begitu canggih ketika ini. Sebanyak 50 buah meriam tembaga disusun dengan kedudukan yang teratur di mana 25 buah di bahagian kiri dan kanan badan kapal. Setiap meriam tersebut diberi nama jolokan oleh anak-anak kapal yang bertugas di posisi tempur seperti Algojo, Lipan Bara, Sang Petaka, Naga Berantai, Singa Berantai dan sebagainya.
            Di dalam perut kapal perang Perkasa, anak-anak kapal berdengkur lena dibuai mimpi di atas katil buaian. Merehatkan diri yang keletihan semasa bertugas semalam. Di atas geladak, mereka yang bertugas pada syif malam masih berkawal serta memerhati persekitaran kapal sehingga menjelang subuh. Seorang pegawai tentera laut berjalan ke hulu kapal untuk meneropong. Wajahnya berkerut setiap kali meneropong ke arah yang sama.
            “Klaus. Saya ada nampak sesuatu.” Dia masih meneropong dengan teliti.
            “Apa yang kamu nampak, Peter?” Seorang lagi pegawai tentera laut yang baru dua bulan berkhidmat.
            “Saya ternampak kelibat sebuah kapal besar di sana.”
            “Mungkin ia sebuah kapal memburu ikan paus atau kapal nelayan laut dalam.”
            “Mustahil. Di sini tiada langsung sebarang aktiviti ikan paus. Lagi satu. Kawasan di sini juga tidak sesuai untuk menangkap ikan. Lautnya agak bergelora. Pergi kejutkan kapten sekarang.” Arah Peter. Selaku timbalan kapten, dia mempunyai kuasa untuk memberi arahan serta melaksanakan perintah ketika kaptennya berehat.
            Dalam beberapa minit kemudian, seorang lelaki bertubuh besar, berambut panjang yang keputihan dan memakai sepasang pakaian fabrik murahan tiba di sisi Peter. Dia turut membawa sebilah pedang yang sentiasa digilapnya. Wajahnya kusam seperti baru bangun dari tidur.
            “Apa yang kamu nampak, Peter?”
            “Saya nampak sebuah kapal yang mencurigakan di sana. Saya nampak di sana.” Peter menyerahkan teropong kepada kaptennya, Kapten Brooke. Dengan penuh perhatian dia meneropong.
            “Kamu pasti?”
            “Ya, kapten. Saya amat pasti.” Mereka yang berada di situ terdiam dan menantikan reaksi nakhodanya.
            “Tak mengapa. Kalian boleh kembali bertugas.”
            Namun, gerak hati seorang kapten yang berpengalaman menyatakan sesuatu yang tidak elok. Langkahnya terhenti sebentar dan berpatah balik ke tempat yang mereka berdiri tadi. Mata Kapten Brooke mengecil. Dia masih memerhatikan apa yang tersembunyi di sebalik kabus itu. Tiba-tiba, muncul beberapa kelipan cahaya yang besar dan dengan serta-mertanya Kapten Brooke memberi amaran kepada anak kapalnya.
            “Semua meniarap...!” Pada masa yang sama letupan bertubi-tubi berlaku di sekitar kapal. Mujurlah ia tidak mengenai badan kapal Perkasa.
            “Bersedia semua...!” Arah Peter sambil merangkak untuk berlindung.
            Seorang kelasi mengetuk loceng berkali-kali untuk mengejutkan rakan yang lain. Mereka yang sedang tidur mula terjaga dan dalam keadaan kelam-kabut, kesemua anak kapal bergegas ke posisi tempur. Ubat bedil serta peluru meriam disediakan. Hanya perlu menunggu arahan Kapten Brooke sahaja untuk melepaskan tembakan.
            “Ingat pesan kapten. Jangan buka tingkap meriam selagi tidak mendapat arahan!” Ketua bahagian pertempuran mengingatkan yang lain.
            Sebuah kapal perang musuh muncul di sebalik kabus tebal. Kapal berkenaan sama saiz seperti Perkasa yang diperbuat daripada kayu yang bermutu tinggi, keras serta kalis air. Kain layarnya berwarna hitam dengan lambang naga melingkar dalam bentuk bulatan. Memiliki juga anak kapal yang berdisiplin dan patuh arahan kaptennya. Inilah dinamakan bertemu buku dengan ruas. Talkius itulah nama sebuah kapal perang yang digeruni milik negeri Zanarkand. Ia sudah memiliki rekod tempur tanpa kalah yang memberangsangkan sejak bermulanya perang maritim sejak lima tahun yang lalu.
            “Jangan lari! Sila menyerah diri dengan segera jika mahu selamat!” Amaran diberikan dari kapal perang Talkius melalui pembesar suara.
            “Akhirnya kamu muncul juga. Sudah lama aku menantikan saat ini.” Itulah yang diimpikan oleh Kapten Brooke. Dia memandang ke arah anak-anak kapal yang lain termasuklah Peter dan Klaus.
            “Ingat. Kita lakukan apa yang kita rancangkan selama ini.” Pesan Kapten Brooke.
            “Baik, kapten!” Mereka bergegas ke posisi masing-masing.
            Memorinya mengimbas kembali tiga minggu lalu iaitu beberapa hari sebelum dia dan tiga ratus anak kapal memulakan pelayaran untuk memburu sebuah kapal musuh yang digeruni yakni Talkius.

            Panglima Angkatan Laut Diraja Andorsia memanggil Kapten Brooke ke rumahnya yang terletak di markas operasi wilayah timur. Ketika itu, dia baru sahaja dipindahkan ke situ. Hatinya mula berdebar setibanya di rumah agam tuan panglima. Jarang benar orang seperti dia dijemput secara peribadi oleh salah seorang dari penasihat diraja dalam hal ehwal keselamatan negeri. Selepas dijemput masuk oleh pembantu rumah, Kapten Brooke  di bawa ke pejabat peribadi tuan panglima yang terletak bersebelahan taman bunga.
            “Selamat pagi, tuan panglima.”
            “Selamat pagi, Kapten Brooke. Sila duduk.” Tuan panglima menuangkan minuman teh dan diserahkan kepada Kapten Brooke. Sukar dipercayai yang dia diberi layanan istimewa!
            “Jadi, bagaimana keadaan di sini sejak tiba ke sini kelmarin?”
            “Cuaca yang baik tetapi adakala berasa sejuk.” Jawapan dari Kapten Brooke mengundang kelucuan dari tuan panglima.
            “Memang benar, Kapten Brooke. Wilayah sini sejuk walau pun hari nampak cerah. Kalau di waktu malam, sudah pasti suhu jatuh mendadak. Er... Sudah melihat rupa bentuk kapal perang kamu yang baru?”
            “Yang baru?” Kapten Brooke terkesima. Apa yang dimaksudkan kapal perang yang baru? Adakah dia akan memimpin sebuah kapal perang yang masih ‘berbau kilang’? Dan, dia juga akan memimpin anak-anak kapal yang sebahagian besar darinya adalah lepasan Akademi Angkatan Laut Diraja Adorsia yang cetek pengalaman?
            “Ya. Yang baru. Kapal perang ini adalah yang tercanggih dari mana-mana kapal perang sebelum ini. Badan kapal berkenaan dilindungi perisai keluli setebal 10 sentimeter yang bertujuan melindungi anak-anak kapal dari tembakan peluru penabur dari istinggar berat. Ia juga dilengkapi enjin berkuasa bateri. Ia amat berguna seandainya tiada angin yang bertiup untuk menggerakkan kapal dan perlulah dicas semula selepas digunakan selama tujuh hari.” Tuan panglima bangun menuju ke meja kerjanya untuk mengambil dokumen sulit berwarna kuning dan menyerahkan kepada Kapten Brooke.
            Kapten Brooke membelek-belek setiap helaian untuk membaca spesifikasi serta maklumat kapal terbaru itu. Dia juga melihat lukisan rajah kapal perang berkenaan dan kelengkapan yang disediakan.
            “Ini bukannya kapal perang. Sekilas pandang, mirip seperti kapal dagang yang tidak bersenjata.”
            “Memang benar. Ia seperti kapal dagang. Tugas kamu ialah melakukan serangan mengejut melalui penyamaran.” Suasana kembali senyap dan Kapten Brooke kembali menyemak dokumen tadi.
            “Bagaimana? Kamu sudi memimpin kapal perang serta krewnya?” Tanya tuan panglima.
            “Baiklah. Saya setuju. Tetapi, saya tidak tahu pula maklumat anak-anak kapal ini.”
            “Itu usah khuatir. Dari tiga ratus anak kapal ini, seratus lima puluh darinya adalah anggota tentera laut tetap yang berpengalaman. Lima puluh lagi adalah anggota tentera laut lepasan dari akademi dan lima puluh lagi adalah anggota tentera marin.”
            “Lima puluh lagi?”
            “Lima puluh lagi adalah anggota tentera laut simpanan. Maklumat selanjutnya ada di dalam dokumen ini. Mereka semua akan membantu kamu untuk menumpaskan Talkius.”
            “Talkius? Saya macam pernah dengar nama itu.” Kapten Brooke merenung sejenak sambil mengusap jambangnya yang tidak lebat.
            “Benar. Sebuah kapal perang yang digeruni. Sudah enam buah kapal perang utama dan terbaik milik kita tumpas di tangannya. Jadi, tugas untuk mengalahkan Talkius diserahkan kepada kamu.” Seram sejuk menyelubungi diri Kapten Brooke bila mendengar nama itu.
            Tugas berat sudah pun mula dipikul mulai saat itu. Hatinya berkecamuk dan kerisauannya mulai bersarang. Dia pernah mendengar bermacam-macam cerita mengenai kapal perang bernama Talkius milik negeri Zanarkand. Antaranya, mereka tetap memusnahkan kapal perang negeri Andorsia walau pun sudah pun mengibarkan bendera putih sebagai tanda menyerah kalah. Membiarkan anak-anak kapal perang Andorsia terapung di tengah lautan dalam keadaan kesejukan tanpa menyelamatkan mereka. Dipendekkan cerita, mereka melakukan pembunuhan yang kejam.
            “Bagaimana jika bertembung dengan kapal perang negeri Zanarkand selain Talkius?”
            “Beredar dengan seberapa segera dan jangan melepaskan sebarang tembakan. Kapal ini direka khas hanya untuk memusnahkan Talkius sahaja. Saya tidak mahu kamu membazirkan tenaga dan masa semata-mata bertempur dengan kapal musuh yang lain. Perlu diingat, kos membina kapal ini menelan belanja hampir 200 ribu zron.” Tegas juga peringatan dari tuan panglima kepada Kapten Brooke.
            Peringatan dari tuan panglima kekal dalam ingatan sehingga di hari pelancaran pada minggu hadapan. Seramai tiga ratus anak kapal dari pelbagai pangkat berbaris segak menghadap pentas utama. Anggota kelasi memakai sepasang seragam berwarna putih, topi jerami dan bersandal. Manakala pegawai pula memakai seragam biru gelap dan bertopi segi tiga. Anggota tentera marin pula memakai sepasang seragam berwarna merah, bersongkok hitam dan berseluar biru gelap. Mereka bertugas sebagai tukang kayu, tukang besi, tukang masak, mekanik, Juruteknik elektrik, paramedik, jurumeriam, juruselam, operator radio, pengemudi kapal, tentera marin dan sebagainya. Di belakang mereka, sebuah kapal perang yang baru keluar dari limbungan kering ditambat dengan kemas dan hanya tunggu untuk beraksi di lautan lepas.
            Seorang wakil istana naik ke pentas untuk merasmikan upacara itu. Orangnya dalam lingkungan lewat 50an usianya. Wajahnya cengkung dengan misai putihnya lebat. Dia juga memakai sepasang persalinan istana yang lengkap.
            “Dengan ini, saya mengisytiharkan nama kapal ini adalah Perkasa!” Selepas mengumumkan nama baru, wakil istana itu dengan serta-merta memotong reben biru yang diikat pada belon yang berwarna-warni dan bebas melayang ke udara sambil diperhatikan ratusan hadirin.
            Selepas majlis perasmian berakhir, Kapten Brooke bertemu dengan anak-anak kapal Perkasa dalam satu perjumpaan singkat. Melihat nakhodanya mundar-mandir di hadapan mereka, masing-masing sudah meneka apa yang ingin disampaikan oleh Kapten Brooke.
            “Esok kita akan berangkat sebelum mentari terbit. Misi utama kita adalah mengalahkan sebuah kapal perang musuh yang sekian lama bermaharajalela di perairan kita iaitu Talkius.” Seperti dijangka, bila mendengar nama Talkius, bergemalah suara bisikan di kalangan para kelasi dan pegawai tentera laut.
            “Saya faham akan perasaan kalian semua. Dan saya juga tahu apa yang difikirkan. Sebelum ini sudah banyak kapal perang utama milik kita cuba menumpaskan Talkius tetapi gagal. Jadi, apa salahnya jika kita pula mencuba. Saya sudah pun merangka satu perancangan khas untuk menumpaskan Talkius berpandukan kegagalan operasi sebelum ini. Usahlah khuatir semua.” Penjelasan tersebut sedikit sebanyak melegakan semua orang.
            “Arahan utama dari saya sebelum kita bersurai ialah kalian tidak perlu memakai pakaian seragam ketika menjalankan operasi esok. Hendaklah memakai pakaian orang awam dan gaya seperti nelayan. Lagi satu, kita berlayar tanpa mengibarkan bendera angkatan laut dan sebarang tanda pengenalan diri. Faham semua?!”
            “Faham, kapten!” Kapten Brooke memerhatikan raut wajah beberapa orang bawahannya. Keadaan senyap sunyi sehinggalah mereka bersurai. Tiupan bayu laut membelai rambut Kapten Brooke yang panjang mengurai. Walau pun usianya semakin lanjut, namun semangatnya       semakin membara dan berazam untuk menumpaskan Talkius.

            “Kapten, bagaimana sekarang?” Bisikan dari Peter mengejutkan Kapten Brooke dari lamunan.
            Kapal perang Perkasa dan Talkius mula berselisih dalam jarak 5 meter. Keadaan di atas geladak kapal Perkasa agak terkawal. Masing-masing bersiap sedia menghadapi pertempuran jarak dekat. Krew kapal perang Perkasa serta tentera marin yang lain bersembunyi di belakang dinding kapal sambil mengisi ubat bedil di dalam istinggar. Kelihatan anak-anak kapal perang Talkius sedang bersedia untuk melompat masuk ke geladak Perkasa untuk melakukan penggeledahan. Mereka tidak sedar akan bencana yang sedang menanti dan tidak melakukan persediaan langsung. Peluang yang hanya datang sekali ini tidak akan dipersiakan oleh Kapten Brooke. Lantas, dia mencapai ganggang telefon untuk mengeluarkan arahan keramatnya.
            “Tembak....!” Jerit Kapten Brooke. Serentak itu  tingkap meriam dibuka dan dengan serta-mertalah tembakan meriam dilepaskan dengan serentak.
            Tembakan jarak dekat dari meriam Perkasa memusnahkan dinding kapal perang Talkius. Hampir beratus anak kapal yang berada di dalam perut kapal berkenaan mati serta-merta. Ada juga yang tercampak keluar ke laut akibat kesan dari impak letupan. Di atas geladak, dengan diketuai oleh Peter dan Klaus, mereka melepaskan tembakan ke arah pihak musuh dengan bertalu-talu sebelum melompat naik ke kapal musuh.
            “Kita serbu...!” Jerit Peter dengan menghunuskan pedangnya sambil melompat naik ke geladak kapal Talkius. Mereka yang lain turut mengikut Peter dengan lengkap bersenjata seperti istinggar, pistol, kapak, tombak serta pedang.
            Serangan di luar jangkaan ini mengejutkan kapten kapal perang Talkius. Dia panik. Begitu juga dengan para pegawainya yang lain. Pendek kata, kesemua warga kapal perang Talkius kaget! Walau bagaimana pun, mereka sempat mempertahankan Talkius sedangkan separuh darinya telah ditawan dengan mudah oleh Angkatan Laut Diraja Andorsia.
            Kapten Brooke sempat menumbuk seorang musuh sebelum dicampak ke dalam laut. Dia turut menyertai serangan tanpa mempedulikan keselamatannya. Melihat nakhodanya turun padang, semangat juang krew kapal perang Perkasa mula meningkat. Pertarungan jarak dekat berlarutan sehingga ke dalam perut kapal perang Talkius. Di dalamnya, mayat-mayat pihak musuh bergelimpangan serta timbunan kayu dinding kapal yang pecah menyemakkan keadaan. Talkius mulai senget secara tiba-tiba dan kebakaran semakin marak yang berpunca dari kesan tembakan meriam Perkasa.
            “Semua berundur...! Kembali ke Perkasa...!” Arah Kapten Brooke. Masing-masing menyelamatkan diri. Pihak musuh pula tiada pilihan lain kecuali terjun ke laut. Bunyi letupan yang kuat menyebabkan kapal perang Talkius bergegar. Ia datang dari setor simpanan senjata mereka.
            “Selamatkan rakan-rakan kita yang cedera dan terkorban ke Perkasa...!” Klaus memberi peringatan.
Dalam suasana yang genting, mereka sempat menolak kapal perang Talkius jauh dari Perkasa dengan menggunakan galah. Bimbang akan letupan susulan yang lebih dahsyat lagi. Seperti dijangka, Talkius kapal perang kebanggaan negeri Zanarkand meletup. Dengan perlahan ia karam dalam keadaan terbakar. Dari lima ratus anak kapal, hanya tiga puluh satu darinya sahaja yang terselamat dan ditawan. Selebihnya, tenggelam bersama reputasinya yang kini lenyap termasuklah nakhodanya. Dalam pengiraan, seramai tiga belas anak kapal perang Perkasa terkorban dan dua puluh tiga lagi mengalami kecederaan. Anggota paramedik bertungkus-lumus merawat dengan dibantu oleh krew yang lain.
Kesemua tawanan ditempatkan ke dalam bilik tahanan di bahagian bawah kapal. Sementara itu, Kapten Brooke serta Peter dan Klaus menguruskan pengebumian anak-anak kapal yang terkorban. Kesemua mereka akan disemadikan di dalam lautan. Amat menyedihkan jika jasadnya dikubur tanpa sebarang penanda. Kesemua itu akan dicatat di dalam buku log laporan sebelum diserahkan kepada tuan panglima setibanya di markas. Beberapa orang juruselam datang ke arahnya untuk menyerahkan sesuatu.
“Kapten, kami telah menyelam ke dasar laut untuk mengambil plat pengenalan kapal perang Talkius.” Plat perak yang terukir nama kapal musuh itu diterimanya. Ia bersaiz besar. Sama besar saiz meja makan di rumah agam tuan panglima. Seluruh warga kapal perang Perkasa menumpukan perhatian ke arah objek tadi.
“Terima kasih, koperal. Terima kasih juga kepada semua yang lain kerana berganding bahu untuk menumpaskan Talkius. Inilah hasil yang kita terima setelah berminggu-minggu kita berada di lautan. Usaha ini juga berbaloi dan setimpal dengan pengorbanan mereka yang kini sudah tidak bersama dengan kita lagi. Jadi, saya mengingatkan kalian bahawa ini adalah satu permulaan. Selepas ini, kita akan menghadapi cabaran yang lebih hebat untuk diharungi.” Ucapan ringkas dari Kapten Brooke disambut dengan tepukan gemuruh warga kapal perang Perkasa.
Dalam fikiran Kapten Brooke, pelbagai cerita yang perlu disampaikan kepada tuan panglima. Sudah pastinya kos pembinaan Perkasa memberi pulangan yang besar kepada negeri Andorsia. Mungkin, ia lebih dari apa yang dia jangkakan. Mentari sudah pun berada di atas kepala mereka ketika dalam pelayaran pulang sambil membawa tanda kemenangan iaitu plat pengenalan kapal Talkius. Perkasa. Perjalanan sebuah kapal perang masih jauh lagi dan belum ada tanda-tanda untuk berhenti begitu sahaja.


Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Sabtu, 8 Januari 2011

Malam Puisi Zaen Kasturi - 7hb Januari 2011

Lokasi: Rumah PENA

  Lazatnya.... Makan kenyang-kenyang la...

 




      
Ada lagi? Sapulah...
            

 


Zaen Kasturi                                                                 Syeikh Amran

Datuk Dr. Anwar Ridwan

 Pn. Siti Zaleha Hashim                                                S.M. Zakir

   Datuk A. Samad Said memberi ucapan.                                      
 
     Roslan Madun (yang pegang kompang) mempersembahkan lagu rakyat.
                    
En. Zakariya Amataya dari Thailand.