Jumaat, 16 November 2012

Dalam Hati Ada Taman


Di sebuah rumah agam terbiar sejak 50 tahun lalu yang terletak di Hulu Mount Kiara dihuni oleh dua ekor drakula. Masing-masing kelihatan muda remaja tetapi hakikatnya usia mereka menjangkau lebih dari 700 tahun. Walau pun mereka hidup lebih lama sebelum kewujudan kerajaan negeri Melaka dan penubuhan Malaysia, mereka hidup mengikut arus pembangunan setempat. Seperti manusia biasa lain, mereka berdua juga melakukan kegiatan harian seperti bersiar-siar di KLCC atau Pavillion Bukit Bintang, bermain badminton dan menonton wayang gambar. Itu pun hanya keluar pada waktu malam sahaja. Jika mahu keluar pada waktu siang, perlulah ada jampi mantera khas. Itu pun tempoh manteranya agak terhad dan digunakan jika benar-benar diperlukan. Contohnya seperti berkunjung ke pesta buku antarabangsa.
Mereka juga mengikuti perkembangan hiburan tempatan dan antarabangsa. Apa sahaja konsert atau pesta, sudah tentu mereka ke sana. Bukan setakat untuk berhibur, mereka turut memburu gadis-gadis yang disukai untuk menghirup darah yang segar. Dengan peralatan yang canggih serta selamat, mereka tidak perlu membunuh mangsa hanya semata-mata untuk mendapatkan darah. Peralatan berkenaan dibeli dari Transylvania, Romania. Daerah asal-usul nenek moyang drakula.
Sehinggalah suatu malam, salah seorang dari mereka dirundung kesedihan. Sudah seminggu dia tidak menghirup walau setitis darah kerana kurang selera. Sudah seminggu jugalah dia rasa malas untuk keluar memburu gadis seperti biasa. Rakannya mula berasa bimbang akan keadaan teman baiknya. Dengan perasaan berani bercampur takut, dia menanyakan masalah temannya yang sedang menangis.

Drakula 1: Semenjak kebelakangan ini, kau macam ada masalah. Kau sakit ke?
Drakula 2: Tak.
Drakula 1: Atau sebab kantoi dengan polis masa nak gigit leher awek dari Asia Tengah di Bukit Bintang minggu lepas?
Drakula 2: Tak.
Drakula 1: Atau pun risau sebab terhisap darah yang dicemari HIV atau Aids ketika kita di Lorong Haji Taib bulan lepas?
Drakula 2: Tak juga.
Drakula 1: Habis tu? Apa masalah kau sebenarnya?
Drakula 2: Kau tak akan faham masalah aku sebenarnya (Sambil teresak menangis).
Drakula 1: Macam mana aku nak faham atau tidak? Kau belum ceritakan masalah kau kepada aku, bodoh!
Drakula 2: Oh! Yakah?
Drakula 1: Ya...!!
Drakula 2: Begini. Bulan November depan kekasih aku akan bernikah dengan pemuda lain. Sebab itulah aku sedih.
Drakula 1: (Terkesima) Wah.... Dalam diam kau sempat lagi bercinta? Nampak sahaja ganas tetapi dalam hati ada taman. Manusia bertuah manakah yang jatuh cinta dengan kau? (Tersengih sehingga nampang gigi taring)
Drakula 2: Kalau aku beritahu, kau jangan marah, ya?
Drakula 1: Buat apa aku marah. Lagi pun manusia adalah spesis yang memberi bekalan darah kepada kita.
Drakula 2: Nama kekasih aku Diana Danielle. Dia akan bernikah dengan Farid Kamil pada 3 November depan. Sebab itulah aku sedih sekarang.
Drakula 1: (Menggaru kepalanya) Maksud kau, Diana Danielle pelakon Hantu Gangster tu? Dan Farid Kamil pengarah dan pelakon filem Kongsi?
Drakula 2: (Menganggukkan kepalanya) Aku dapat tahu dari suratkhabar pagi tadi. (Sambil menyerahkan senaskah akhbar kepada Drakula 1)

Entahlah apa yang berlaku selepas perbualan mereka berdua. Yang pasti, ia menyebabkan Drakula 1 naik angin kerana telah membuang banyak masanya. Drakula 1 meninggalkan temannya yang kini mengalami kecederaan yang serius di kepala akibat dipukul dengan senjata tumpul. Dia dibiarkan terbaring di bilik bacaan rumah agam dalam keadaan separa sedar.

Kantoi: Tertangkap atau hampir ditangkap
Awek: Panggilan gadis atau wanita cantik

Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Rabu, 14 November 2012

4 Angka 1 Malaysia




Rabu malam Khamis
Kota raya dilanda hujan gerimis
Di sana-sini sang musafir berlari dari kebasahan
Agar tidak mahu dirinya ditimpa kesejukan
Di satu penjuru kota raya
Sekumpulan musafir berbagai warna kulit merenung ke arah nombor 4 angka
Bertaruh nasib untuk mendapatkan ganjaran hidup
Demi kenikmatan duniawi

Malangnya
Tiada satu nombor yang bertuah
Bertambah malang dari sebelumnya
Keluh dan hampa menjadi sajian malam utama
Lebih kenyang dari Nasi Goreng Pataya
 
Mereka mencuba lagi seperti sebelumnya
Meneka nombor 4 angka
Tanpa serik dan rasa jemu
Untuk menantikan hari Rabu malam Khamis seterusnya



                                                                
Jalan Maharajalela
2030 Malam, 7 November 2012



Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
  

Impian Rothwill



Persekitaran Kampung Gannar agak malap serta sejuk walau pun waktu tengahari semakin hampir tiba. Beberapa orang penduduk masih keluar ke sana dan ke mari demi menjalankan urusan masing-masing. Tidak jauh dari situ, beberapa buah bot nelayan ditambat kemas pada jeti. Mungkin para nelayan tidak turun ke laut kerana disebabkan musim tengkujuh yang akan melanda tidak lama lagi. Mujurlah bekalan makanan cukup untuk mengharungi musim berkenaan. Penempatan Kampung Gannar terletak di tebing muara Sungai Verdug yang berdekatan dengan laut.
Di pintu masuk utama Kampung Gannar, kelihatan sebuah pedati kuda tiba berdekatan dengan sebuah kedai serbaneka. Selain membawa penumpang, pedati itu juga turut membawa surat dan parsel berdaftar untuk penduduk. Seorang lelaki yakni penjaga kedai berkenaan menerima sebuah beg yang diserahkan oleh pemandu pedati tadi.
“Berat pula beg kali ini.”
“Bukankah sekarang ini hampir penghujung bulan? Anak-anak muda yang merantau ke kota mengirimkan wang kepada keluarga mereka setiap bulan. Sebab itulah berat.” Jawab si pemandu itu.
“Oh, ya. Terlupa pula yang sekarang ini hampir penghujung bulan. Maklumlah. Umur semakin lanjut dan kerap terlupa.”
“Saya cadangkan yang kamu perlu berehat untuk beberapa hari.” Cadang si pemandu pedati.
“Saya fikir tidak perlu untuk sementara waktu. Sebabnya tinggal beberapa hari lagi saya akan bersara.”
“Bersara? Bukankah kedai ini milik kamu? Kamu tidak serahkan kepada anak kamu untuk mewarisinya?”
“Tidak. Kedai serbaneka ini adalah milik orang kampung dan ia dibawah naungan Koperasi Kampung Gannar. Saya hanyalah seorang penyelia kedai sahaja.”
“Oh, begitu.” Akhirnya si pemandu pedati itu faham.
Selepas mengasingkan surat dan parsel mengikut lot alamat rumah, dia mengarahkan seorang pekerja yang dipercayainya untuk menjalankan tugas sebagai penghantar surat. Sekian lama menjalankan tugas berkenaan, akhirnya pekerja itu tiba di alamat terakhir untuk menyerahkan sepucuk surat yang amat penting.
“Salam sejahtera. Ada sesiapa di rumah?” Pintu diketuk dengan sopan.
“Ya. Ada surat untuk saya?” Tanya seorang lelaki tua yang datang dari halaman rumah berdekatan. Mengurus dan menjaga tanaman herba adalah hobinya sejak usia muda lagi.
“Maafkan saya, Encik Boromir. Saya tidak perasan yang encik berada di situ. Ada surat untuk anak encik.”
“Terima kasih.” Surat berkenaan diserahkan kepada Encik Boromir sebelum menurunkan tandatangan pada buku penerimaan. Ini sebagai tanda penerimaan surat yang diserahkan kepada pelanggan.
Selepas si penghantar surat itu beredar, Encik Boromir segera memanggil anaknya yang berada di belakang rumah.
“Rothwil. Ada surat untuk kamu.” Tidak beberapa minit kemudian, seorang pemuda yang cergas fizikalnya tiba dengan memakai apron. Berambut kerinting dan bersih wajahnya. Dia sedang membantu ibunya di dapur untuk menyediakan hidangan tengahari.
“Tawaran kemasukan Akademi Kulinari Diraja. Hebat!” Rothwil berasa teruja bila membaca kepala surat berkenaan.
“Tahniah, Rothwil. Kamu memang layak menerimanya. Impian untuk menjadi tukang masak terkenal hampir menjadi kenyataan.” Usik Encik Boromir. Kembang kempis hidungnya bila melihat kejayaan yang dicapai oleh anaknya.
“Belum lagi, ayah. Saya perlu banyak belajar lagi. Mungkin apa yang ada di sana tidak ada di sini. Jika di sini menu kita lebih banyak menumpukan hidangan makanan laut, mungkin di sana hidangan mewah seperti daging ayam, lembu serta kambing sudah menjadi hidangan utama.”
Rothwil arif. Dia kerap membaca dan mengkaji resepi-resepi popular di perpustakaan mini yang terletak di belakang kedai serbaneka. Menu sedemikian sering dihidangkan ketika majlis keramaian golongan atasan. Ia jarang dihidangankan atau dimasak oleh golongan pertengahan dan bawahan seperti dia. Tidak lama kemudian, ibunya datang menyusul untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Wajah wanita berkenaan agak cengkung tetapi tidak sakit.
“Anak kita mendapat tawaran pengajian di sana.” Kata Encik Boromir kepada isterinya tanpa ditanya.
“Bila kamu akan melaporkan diri?” Ibunya seperti tidak sabar untuk mendengar lebih lanjut berita gembira itu.
“Hujung bulan ini, ibu. Saya perlu membuat persiapan secukupnya.”
“Mengapa pula? Bukankah kamu sudah ditawarkan tempatnya?”
“Memang benar. Itu dikira melepasi saringan pertama. Saringan kedua pula perlu menjalani ujian memasak dihadapan pegawai penilai dan pengetua akademi. Jika berjaya, barulah saya layak menuntut di situ.” Ibunya terdiam sebelum memandang ke arah suaminya.
“Itulah dinamakan Akademi Kulinari Diraja. Bukan sebarangan orang yang dapat menuntut ilmu di sana. Dikhabarkan pula, akademi berkenaan telah melahirkan ramai tukang masak yang terkenal sejak seratus tahun yang lalu. Ada diantara mereka menjadi tukang masak keluarga diraja, menteri kabinet dan membuka restoran terkenal bertaraf lima bintang.”
“Baiklah. Sementara kita ada masa, lebih elok ibu akan membantu kamu sebaik mungkin demi mencapai impian. Jadi, hidangan apa yang akan kamu masak di hadapan pegawai penilai akademi nanti?” Tanya ibu.
“Saya fikir, saya ingin menampilkan hidangan yang agak lain dari hidangan biasa. Saya ingin memperkenalkan hidangan makanan laut kampung kita kepada mereka. Saya perlu mengkaji apa makanan laut yang terkenal di sini.”
“Cadangan yang bagus. Selepas makan tengahari nanti, ibu akan bawa kamu berjumpa dengan Pakcik Abbey. Dia dahulu pernah menjadi tukang masak gabenor sepuluh tahun lalu. Dia akan memberi petua yang amat berguna jika mahu menyediakan hidangan yang amat istimewa.”
“Pakcik Abbey? Saya tidak tahu yang dia pernah menjadi tukang masak gabenor?” Rothwil terkejut bila mendengar apa yang diceritakan oleh ibunya. Siapa yang tidak kenal Pakcik Abbey. Semua orang di Kampung Gannar amat mengenalinya. Seorang juragan bot nelayan yang hebat dan sering mengharungi hujan dan ribut ketika berada di laut. Serta juga seorang yang jarang berbual dan membuang masa di kedai minum.
“Hanya orang terdekat sahaja yang tahu apa pekerjaannya sepuluh tahun lalu. Selama itu, Pakcik Abbey sentiasa merahsiakan apa pekerjaannya kepada orang kampung.”
“Mengapa pula? Bukannya dia melakukan perkara yang tidak elok.” Rothwil kehairanan akan tabiat Pakcik Abbey.
“Entahlah. Itulah perangainya sejak dahulu lagi. Dia suka berahsia dan tidak suka menghebahkan kepada orang lain.” Jawab ibu dengan panjang lebar.
“Er... Saya fikir cukup setakat ini. Bagaimana pula hidangan tengahari kita? Mungkin ia sudah sejuk bila kita asyik bercerita dan berseronok di sini. Lagi pun perut saya sudah pun berbunyi.” Encik Boromir mencelah.
“Baiklah... Mari kita masuk ke dalam. Perkara itu terserah kepada ibu. Ibu tahulah bagaimana nak uruskan nanti.”
“Terima kasih, ibu. Terima kasih.” Ucap Rothwil dengan perasaan gembira.
Sejak kecil lagi, dia sering mengikuti ibunya ke mana sahaja majlis keramaian yang melibatkan tugas sebagai tukang masak. Apabila meningkat remaja, Rothwil menjadi pembantu ibunya dengan menyediakan peralatan dan bahan-bahan masakan. Tidak kira sama ada majlis perkahwinan, sambutan tahun baru, kenduri menyambut kelahiran dan sebagainya, ibunya adalah salah seorang dari pasukan tukang masak utama di Kampung Gannar. Pendek kata, bakatnya sebagai tukang masak turut diwarisi dari ibunya.
Rothwill mula menanam azam. Mulai saat ini, dia perlu berlatih bersungguh-sungguh serta mendapatkan tunjuk ajar dari Pakcik Abbey dan ibunya demi mencapai impiannya sebagai tukang masak terkenal. Kini, impian tersebut hampir berada didalam genggamannya.

Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
 

Khamis, 11 Oktober 2012

Selepas Berlari

Secawan nescafe
Sebatang kretek
Sepinggan nasi goreng paprik
Hanya kerana hujan lebat yang belum reda



                                                              Jalan Kuchai Lama
                                                              Hampir Isyak, Khamis, 11 Oktober 2012


Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
 

Lari... Lari... Lari...!

+ Aku berlari
+ Terus berlari
+ Lari menyelamatkan diri
+ Lari dari kebasahan hujan lebat
+ Lari ke bawah jejambat yang dipenuhi musafir kota
+ Berlindung dari kebasahan hujan lebat



                                                      Jalan Kuchai Lama
                                                      Hampir Maghrib, Khamis, 11 Oktober 2012


Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
 

Selasa, 9 Oktober 2012

Aein

Nama dia Aein
Jalan Ipoh dia tinggal
KL tempat asalnya
Sudah setahun dia kerja di hotel
Jabatan F N B dia kekal

Nama dia Aein
Orangnya cantik, comel, kulit putih bercampur coklat muda
Tingginya sederhana, rambut diikat kemas
Menjadi kapten, mengarah hantar itu dan ambil ini

Nama dia Aein
Dia masih kekal di sini
Kerjanya masih sama sehingga kini



                                                                                                Hotel Sunway Putra
                                                                                                5 - 7 Oktober 2012


Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
  

Jumaat, 21 September 2012

(Selamat?) Pagi....

Pagi yang dingin belum tentu memberi kesegaran kepadaku
Hanya gelap gelita yang menguasai alam
Ditemani salakan anjing jalanan tak bertuan
Untuk memeriahkan lagi suasana pagi yang tak berapa selamat






                                                                     Teratak Bujang, Puchong
                                                                      5.35 pagi, 21 September 2012



Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa. 

Isnin, 17 September 2012

Kerana Jahil...

Kerana jahil...
Hanya mengingati urusan duniawi
Tanpa mengenang Tuhan walau seminit sahaja
Hinggakan kau alpa sentiasa

Kerana jahil...
Kau leka akan keseronokkan
Tanpa rasa bersalah terhadap Maha Esa
Menikmati nafsu serakah yang tidak sehebat mana

Kerana jahil...
Sanggup melakukan apa sahaja demi ganjaran mimpi
Ikut teluntuk sang iblis bertopengkan manusia
Menjadi ma'mum si penzalim yang dahagakan darah insan lemah


                                                                                        Di kampung halaman
                                                                                        16 September 2012


Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa. 

Sabtu, 15 September 2012

Amarah


Hatiku panas pijar
Darahku mendidih menggelegak
Mindaku bengkak membara
Tangan dikepal erat padat
Lantas tumbukan padu ke makhluk berwajah dua
Caci maki aku hamburkan
Tarian sepak terajang kuhadiahkan kepadanya
Tiada secubit kasihan dalam diriku
Sehingga kepuasan tidak terkata


                                                                                           SS2, Petaling Jaya.
                                                                                           14 September 2012

Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Sabtu, 8 September 2012

Majlis Hari Raya & Deklamasi Puisi di Rumah PENA

Baru semalam (beberapa jam lalu) saya menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya, menyambut Hari Kemerdekaan serta deklamasi puisi di rumah PENA. Saya juga dapat bertemu dan bergambar bersama beberapa orang penyair yang berpengalaman di Malaysia.

Kambing golek dua ekor hanya tunggu dijamah oleh tetamu

Satay yang siap disusun rapi...

 Kelihatan saudara Sani Sudin dan Pyanhabib

Sedang menunggu masa untuk menikmati hidangan

Gerai dari ITBM (pandai-pandailah cari sendiri apa maksudnya)




Kumpulan gamelan membuat persembahan



Tunggu apa lagi? Jom makan....!!

Itadakimasu...(Saya makan dulu...)

Majlis dirasmikan dengan upacara memotong nasi pulut kuning

 Sebahagian peminat sastera...


Deklamasi puisi dari Pengarah DBP

Deklamasi puisi dari abang AGI (Maaf. Nama penuhnya saya tak ingat)

 Saya amat tertarik dengan cara abang AGI mendeklamasi puisinya

Deklamasi puisi dari kumpulan e-Sastera

Saudara Pyanhabib mempromosi karya terbarunya

Inilah karya terbarunya yang berjudul: Balada

 Isinya menarik selepas membaca sepintas lalu dan mendapat tandatangan dari beliau

Sempat juga saya bergambar dengan beliau...

Ketika melepak sebentar di dalam rumah PENA, sempat juga membelek beberapa naskah buku yang menarik perhatian. Teringin juga nak merakam foto dengan banyak buku-buku yang saya belek dan baca. Malangnya, ruang memori dalam telefon bimbit sudah terhad ruangnya. Hanya dua gambar sahaja saya sempat rakam: