Selasa, 26 November 2013

Cerpen: Gelombang Kedua


Seorang pemuda berdiri di balkoni rumah yang mengadap ke arah matahari terbenam. Pemandangan yang indah dan persekitaran yang damai menyebabkan dia memilih untuk menetap di situ. Dia menghayati deruan ombak yang menghempas pantai. Ia adalah muzik latar yang menjadi alat terapi psikologi untuk menenangkan dirinya jika mengalami kesulitan. Pemuda itu mengenakan sepasang seragam tentera biru gelap dan berkasut but. Sebilah parang disisip kemas pada pinggang kirinya. Tajam dan berkilat. Parang itu adalah senjata tradisional kebanggaan bangsanya yang terkenal akan kekentalan menentang penjajah Sepanyol, Amerika Syarikat, Filipina dan yang terbaru, negara penjajah yang berjiran dengan selatan Filipina iaitu Malaysia.

Moyangnya, Sultan Jamalul Kiram 3
Kemudian, dia masuk ke dalam rumah untuk melihat kembali perancangan yang dirangka sejak 15 tahun yang lalu. Di ruang pejabat, terdapat empat buah peta besar yang digantung pada dinding rumahnya. Peta yang paling menonjol adalah peta negeri Sabah. Diikuti peta daerah Lahad Datu, daerah Kunak, daerah Semporna dan daerah Tawau. Empat daerah berkenaan amat penting dan menjadi sasaran utamanya berbanding daerah-daerah lain di negeri Sabah. Dia tersenyum. Entahlah sudah berapa kali dia berbuat demikian bila melihat sendiri perancangan rapi yang bakal merubah geografi politik Asia Tenggara.

“Usah khuatir. Aku bersumpah akan merampas kembali hak bangsa Sulu dari penjajah.” Dia melafaskan janji didalam hatinya di hadapan sebuah potret. Potret yang memaparkan seorang tokoh Sulu yang berjaya menggugat kedaulatan negara jirannya suatu ketika dahulu iaitu Sultan Jamalul Kiram 3.

Dia mengenangkan kembali kisah impian moyangnya untuk mendapatkan semula negeri Sabah dari penjajahan Malaysia. Malangnya, impian itu tidak kesampaian kerana kesilapan percaturan strategi, tanpa persediaan mencukupi, perancangan yang lemah serta terburu-buru. Diburukkan lagi keadaan bila mereka termakan janji-janji palsu dari pihak tertentu dari semenanjung Malaysia kononnya yang mereka akan dilindungi dari sebarang tentangan dari pihak tentera. Seramai 250 anggota pengawal elit Sulu yang diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Jamalul Kiram 3 mendarat di Kampung Tanduo dan mengukuhkan barisan pertahanan.

Selepas banyak rundingan serta tawaran menyerah diri ditolak, mereka diserang dari semua arah sehinggakan Raja Muda Azzimudie Kiram dilaporkan terbunuh. Ada khabar angin menyatakan yang dia dibunuh oleh pengikutnya sendiri kerana hilang kepercayaan. Tetapi ada pula berkata dia berjaya melepaskan diri dari kepungan dan kembali ke selatan Filipina sebelum menghilangkan diri. Ketika itu dia berusia 10 tahun dan terlalu muda untuk memahaminya sehinggalah dia ditabalkan menjadi raja muda ketika berusia 16 tahun.

“Aku tidak mahu perkara ini berulang kembali. Aku pastikan misi ini berjaya menghampiri 90 peratus. Jika gagal menewaskan tentera penjajah sepenuhnya, setidak-tidaknya mereka terpaksa mengadakan genjatan senjata dan ingin mengadakan rundingan damai. Sudah tentu pihak penjajah tunduk dibawah tekanan antarabangsa.” Bisik hatinya sekali lagi.


Raja Muda Jeffry Kiram

Raja Muda Jeffry Kiram mula mempelajari kesilapan lampau dan memperbaiki pengurusan ketenteraan bangsa Sulu. Dalam beberapa tahun, dia berulang-alik dari Tausug City ke Manila sebanyak tiga kali semata-mata mahu ke perpustakaan serta arkib negara untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan mendalami ilmu yang berkaitan ketenteraan. Beberapa buah buku rujukan disalin dan banyak nota telah ditulis. Kemudian, dia membukukan kesemua maklumat penting sebelum membuat cetakan bagi mengedarkan kepada semua ketua hulu-balang Sulu.

“Tuanku bersungguh-sungguhkah?” Tanya salah seorang ketua hulu-balang Sulu kepada Raja Muda Jeffry yang ketika itu usianya baru mencecah 21 tahun.

“Saya tidak bergurau dalam hal ini. Kesilapan dan kegagalan adalah guru terbaik untuk kita. Saya sudah pun merangka strategi bagaimana untuk mendapatkan kembali hak kita keatas Sabah.”

“Tetapi, ramai pengikut kita berpendapat bahawa misi untuk mengambil kembali negeri Sabah adalah perkara yang mustahil. Itu adalah misi membunuh diri. Sejarah telah membuktikan sebelum ini.”

“Sekarang ini tiada yang mustahil. Kamu lihatlah sendiri keadaan sekarang pentadbiran politik negara yang menjajah negeri Sabah. Diselubungi pelbagai masalah dalaman terutamanya masalah ekonomi, rasuah dan krisis politik. Keadaan seperti inilah kita perlu mengambil peluang.” Raja Muda Jeffry Kiram memandang ke arah barisan ketua hulu-balang Sulu yang memerhatikannya. Air muka mereka seperti tidak percaya dengan apa yang dirancang.

“Saudara-saudara sekalian. Saya faham apa yang kalian fikirkan sekarang ini. Usah khuatir. Di dalam buku yang saya agihkan kepada kalian adalah panduan bagi membina semula kekuatan kita sebagai Tentera Diraja Sulu. Selain itu, ia turut disertakan modul latihan untuk anggota tentera kita bagi mempertingkatkan kemahiran peperangan. Jika ada kesulitan untuk memahami isi kandungan buku ini, janganlah teragak-agak untuk bertemu dengan saya. Jadi, persiapkan diri mulai saat ini jika mahu bangsa Sulu tercatat dalam lipatan sejarah Asia Tenggara dan pentas antarabangsa!” Titah ucapan dari Raja Muda Jeffry disambut dengan laungan takbir sebanyak tiga kali.
 

Sejak itu, selama 15 tahun mereka bekerja keras bagi memperkuatkan angkatan perangnya untuk melanggar negara jiran. Pelbagai ilmu telah dipelajari seperti latihan menembak, berkawad, peperangan gerila, serangan hendap, membuat bom buatan sendiri, risikan dan sebagainya. Apabila bersedia, mereka menyusup masuk ke negeri Sabah dalam kumpulan kecil dengan bantuan bangsa Sulu yang lahir di sana agar tidak disedari oleh pihak berkuasa Malaysa dan Filipina.

Bagi memudahkan pergerakan para pengintip di Sabah, Tentera Diraja Sulu telah mengeluarkan Mykad palsu dan kualitinya hampir menyamai Mykad asli. Beberapa peralatan asas untuk menghasilkan Mykad telah dibeli melalui orang dalam di Jabatan Pendaftaran Negeri Sabah. Dengan hanya rasuah sahaja segalanya berjalan dengan lancar. Untuk menyeludup masuk bekalan persenjataan, mereka menggunakan kapal selam. Kapal selam yang mereka gunakan  tidaklah secanggih seperti kapal selam negara-negara maju. Model kapal selam berkenaan sering digunakan oleh kartel-kartel dadah untuk menyeludup masuk dadah yang sudah diproses dari Colombia ke Amerika Syarikat. Jadi, Raja Muda Jeffry Kiram meminta bantuan kepakaran mereka untuk melatih para belia Sulu bagi membina dan mengeporasikan kapal selam sepenuhnya.

 
Untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai misi penaklukan dan memperkuatkan angkatan perang Sulu, mereka menjalankan pelbagai jenis perniagaan tidak kira sama ada salah disisi undang-undang atau sebaliknya. Bangsa Sulu terkenal akan kemahiran membuat senjata api buatan sendiri sehinggakan terdapat bengkel pembuatannya disetiap rumah. Senjata api jenis M-16 dan AK-47 paling banyak dihasilkan berbanding jenis-jenis senjata api yang lain. Negara-negara Afrika yang mengalami konflik dalaman menjadi pelanggan utamanya. Tidak kira sama ada pelanggan berkenaan dari pihak pemberontak atau kerajaan, perniagaan tetap perniagaan. Yang penting, harga senjata berkenaan berpatutan. Mereka membayar harganya secara tunai dalam matawang dolar atau dalam bentuk barangan berharga seperti berlian atau emas. Selain itu, kegiatan jenayah seperti rompakan bersenjata dan penyeludupan dadah turut memberi sumbangan dengan mendapatkan bantuan dari kumpulan-kumpulan kongsi gelap di semenanjung Malaysia dengan bayaran sebanyak 40 peratus dari hasil keuntungan beserta bekalan pelbagai jenis senjata api terpakai.

Dengan bantuan para pengintip di negeri Sabah, dia juga telah menerima banyak maklumat risikan berharga. Raja Muda Jeffry Kiram serta para ketua hulu-balang Sulu turut mengkaji kedudukan penting pasukan keselamatan penjajah di sekitar negeri Sabah khususnya empat daerah berkenaan. Dia perlu tahu berapa banyak balai polis? Di laluan manakah terdapatnya pos pemeriksaan? Berapa buah kapal peronda polis marin dan tentera laut yang berlabuh di markas laut? Berapakah kekuatan tentera darat di sana dan sebagainya. Itu semua perlu diambil kira. Bangsa Sulu yang bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja estet telah membina ratusan kubu pertahanan, terowong sulit, setor bagi menyimpan bekalan senjata, makanan dan ubat-ubatan di sekitar ladang kelapa sawit yang beribu hektar serta kawasan hutan berhampiran. Kerja-kerja pembinaan dilakukan dengan penuh berwaspada agar tidak diketahui oleh musuh dalam selimut.

 
“Tuanku, kami telah bersedia. Kita boleh berangkat sekarang.” Kata salah seorang anggota pengawal elit Sulu. Orangnya berjambang dan berambut panjang. Dia juga mengenakan pakaian seragam tentera.

Raja Muda Jeffry Kiram mengangguk sebelum bergerak keluar menuju ke sebuah jeti konkrit. Dari situ, mereka akan bergerak ke tengah Laut Sulu dengan menggunakan bot laju di mana terdapat tiga buah kapal selam sedang menanti. Raja Muda Jeffry akan mengetuai 30 pengawal elit Sulu untuk menyusup masuk ke negeri Sabah.

“Bagaimana dengan tentera kita di Sabah?” Tanya Raja Muda Jeffry kepada orang kanannya, Pak Amier.

“Seramai 2 ribu tentera Sulu sudah berada di kedudukan yang telah ditetapkan. Hanya menantikan arahan selanjutnya dari tuanku.” Jawab Pak Amier.

“Bagus.” Jawab Raja Muda Jeffry sebelum mengambil sebuah telefon satelit dari beg galasnya. Kemudian, dia mendail nombor tertentu untuk membuat panggilan terus ke semenanjung Malaysia.

“Komeng. Jalankan tugas kamu.” Diam seketika sebelum kembali berbicara.

“Tak perlu risau. Kamu semua akan dapat separuh lagi habuannya bila kerja saya selesai.” Jawab dengan tegas sebelum memutuskan talian.

Dia baru sahaja mengeluarkan arahan kepada wakil 11 kumpulan utama kongsi gelap yang bergiat aktif di sekitar Kuala Lumpur, Klang, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka dan Johor Bahru. Tugas mereka adalah melancarkan serangan terhadap anggota polis di kawasan masing-masing bagi mengalih perhatian pihak berkuasa dari menumpukan kawalan keselamatan ke atas empat daerah negeri Sabah.

“Maafkan saya. Saya ingin bertanya, apakah nama operasi kita? Mana-mana negara lain sudah pasti ada nama operasi tersendiri.” Tanya Pak Amier.

“Saya namakan Operasi Gelombang Kedua.”

“Bagus juga bunyinya.” Bunyi pujian dari Pak Amier seperti mengampu dan membodek ketuanya.

“Jangan buang masa. Kita perlu bergerak sekarang sebelum hujan ribut melanda. Setibanya kita di negeri Sabah, pastikan kalian memberikan ‘hadiah’ yang paling istimewa kepada Malaysia!”

“Allahu Akhbar....! Allahu Akhbar....! Allahu Akhbar....!”

Laungan takbir itu sebagai tanda bermulanya penaklukan ke atas Sabah dari cengkaman Malaysia. Dalam minda Raja Muda Jeffry Kiram, dia teringin duduk di singgahsana milik Yang Dipertua Negeri Sabah yang bakal dikosongkan oleh pemilik asalnya. Jika semua perancangannya berjalan lancar, dia akan memperkuatkan lagi angkatan perang Sulu bagi misi seterusnya iaitu melanggar Labuan serta Sarawak sebelum menakluk negara Brunei Darul Salam.
 

 Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.