Ahad, 1 April 2018

Cerpen: Harapan Yang Masih Ada



Bendera Perikatan Bumi

 Suasana sunyi menyambut ketibaan kami di lokasi terpencil di pinggir Sektor Satu. Skrin pada siling kubah Sektor Satu mula bertukar wajah. Dari langit senja kepada waktu malam. Kawasan bukit-bukau dan batu-batan menjadi pemerhati bisu akan kegiatan sekumpulan manusia yang mencurigakan. Beberapa buah peti dipunggah dari lori dan dibawa menuju ke lorong kecil di celah bukit. Kami perlu menyusuri laluan sulit yang kelam dan lembab selama sejam dengan berhati-hati. Sekian lama berjalan kaki, akhirnya kami tiba di pintu masuk yang dikawal ketat oleh beberapa pengawal bersenjata. Mereka bukanlah anggota tentera tetapi para pejuang bawah tanah.
Selepas diperiksa, barulah kami dibenarkan masuk ke sebuah markas rahsia yang sekian lama beroperasi. Keadaan begitu sibuk dengan bunyi peralatan komunikasi serta para petugas yang sedang memantau kawasan persembunyian melalui monitor. Ada yang sedang menganalisa peta topografi tiga dimensi sekitar planet Marikh dan ada juga sedang mengumpul maklumat yang diterima dari para pengintip.
“Dah sampai pun orang Sektor Dua. Apa khabar, Zairul? Bagaimana keadaan di sana?” Tanya seorang lelaki tua yang lengkap bersenjatakan selaras senapang automatik.
“Saya sihat. Keadaan di sana tenang dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa, Pakcik Yugo. Mereka cuma menunggu lampu hijau dari Puan Julia saja.” Aku menjawab selepas berjabat tengan dengan lelaki berkenaan.
“Baguslah macam tu. Saya yakin Puan Julia berpuas hati dengan persiapan kita setakat ini.”
“Saya pun berharap begitu. Di mana Puan Julia sekarang ni?”
“Dia berada di tingkat bawah. Pergilah jumpa dia.”
“Baiklah, Pakcik Yugo.” Aku segera menuju ke tingkat bawah untuk bertemu dengan orang kuat dalam pertubuhan bawah tanah.
Julia Van Hauten. Seorang wanita cekal awal 40-an usianya mengetuai sebuah pertubuhan bawah tanah yang memperjuangkan kemerdekaan Koloni Marikh dari cengkaman Perikatan Bumi. Dia menggantikan tempat suaminya, Takiya Van Hauten yang juga seorang pejuang kemerdekaan. Suaminya kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di bumi atas kesalahan merancang untuk membunuh Raja Gihren Zami. Moyang Raja Gihren Zami adalah salah seorang dari tujuh pengasas Perikatan Bumi selepas berakhirnya Perang Dunia Ketiga.
Suasana di Sektor Satu. Hari siang sebenarnya skrin kubah gergasi


Hampir dua ratus tahun Koloni Marikh dianak-tirikan oleh pihak pemerintah. Ini kerana moyang kami yang berhijrah ke Planet Marikh berasal dari negara miskin serta pelarian perang dari negara bergolak. Selain mencari kehidupan baru, mereka berhijrah disebabkan permintaan tenaga buruh dalam sektor perindustrian, perlombongan dan pertanian. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa warga planet ini dianggap sebagai golongan kelas bawahan dan sering dipinggirkan serta ketinggalan dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik. Setelah sekian lama bersabar, akhirnya warga Koloni Marikh mula menuntut hak yang sama seperti warga Bumi secara aman. Malangnya, perjuangan kami disalah ertikan oleh pihak Perikatan Bumi dan menganggap kami sebagai ancaman utama. Ramai barisan pemimpin badan bukan kerajaan, persatuan serta mahasiswa ditangkap dan dijatuhkan hukuman berat. Akhirnya, kami tiada pilihan lain kecuali berjuang dengan mengangkat senjata.
Aku menuruni tangga curam dengan berhati-hati dan di hadapanku, Puan Julia baru sahaja selesai memberi taklimat kepada para ketua pasukan penyerbu.
“Kebetulan. Saya baru nak menghubungi kamu, Zairul. Ada perkara penting yang perlu kita bincangkan sekarang.”
“Perkara penting?”
“Mengenai operasi nekad yang kita akan lancarkan pada malam minggu nanti.”
“Adakah operasi ditangguhkan?” Aku ingin kepastian.
“Bukan. Semuanya berjalan lancar. Cuma saya ingin mendapatkan persetujuan dari kamu.”
“Mengenai apa, puan?”
“Kita dah merancang begitu lama operasi ini. Dan saya menjangkakan yang kita akan mendapat tentangan sengit dari pihak tentera Perikatan Bumi. Jadi, saya ingin melantik kamu menjadi timbalan kedua saya selepas Pakcik Yugo.”
“Tak lama lagi nama saya akan tersenarai dalam orang buruan oleh pihak Perikatan Bumi?” Puan Julia tersenyum bila aku menyuarakan kebimbanganku.
“Setiap perjuangan ada risiko tersendiri. Lagi pun saya sudah pun mengkaji dan menyiasat latar belakang kamu. Tak sangka pula arwah ayah kamu dahulu juga aktif dalam perjuangan ini dan kamu pula mengikuti jejak langkahnya. Kamu sememangnya layak menyandang jawatan ini kerana kamu begitu berdedikasi dalam persatuan mahasiswa sejak berada di kolej dulu.”
“Bagaimana yang lain? Adakah mereka setuju?”
“Mereka amat bersetuju. Jadi, jangan mempersia-siakan kepercayaan mereka terhadap kamu.”
“Terima kasih, puan. Oh, ya. Bekalan yang puan minta sudah tiba. Puan boleh lihat sendiri.” Aku mengajak Puan Julia ke tingkat atas untuk menunjukkan bekalan yang dipesan sebelum ini.
Setiap peti dibuka dan isinya mengandungi bekalan ubat-ubatan, senjata api, peluru dan bahan letupan. Kesemuanya dibeli dari pasaran gelap dan ada juga dihasilkan di kilang-kilang haram. Puan Julia amat berpuas hati dan mengarahkan kesemua peti berkenaan disimpan di setor berhampiran dengan hangar kenderaan tempur.
“Jangan lupa esok pagi. Kamu perlu hadir dalam mesyuarat terakhir sebelum kita memulakan operasi nekad. Saya berharap operasi ini mampu menggugat penguasaan Perikatan Bumi nanti.” Pesan Puan Julia.
“Saya pun berharapkan begitu, puan. Jika boleh, kita juga mampu mara dan menguasai atmosfera bumi.”
“Angan-angan kamu tinggi melangit. Terlalu awal untuk mencapai kejayaan sebegitu. Tetapi, bagus juga harapan kamu. Secara tak langsung, ia memberi semangat kepada saya serta yang lain untuk terus berjuang.” Tersengih Puan Julia bila melihat keazamanku yang bersungguh-sungguh.
Kami berpisah di situ kerana Puan Julia perlu menghadiri perjumpaan dengan anggota pejuang yang tidak mengambil bahagian dalam operasi nekad tersebut. Mungkin tugas mereka hanyalah menjaga keselamatan markas rahsia dan meneruskan perjuangan di Koloni Marikh sepanjang ketiadaan Puan Julia. Manakala aku pula, perlu pulang ke Sektor Dua sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan pada tepat pukul 12 malam nanti.

Tentera Perikatan Bumi mengawal stesyen angkasa
 Seperti yang dirancang, para pejuang kemerdekaan Koloni Marikh bersedia di pintu masuk terowong kabel utiliti. Kami mengenakan ves tektikal bagi menyimpan kelopak peluru, bom tangan serta kit perubatan. Misi utama adalah menawan stesyen angkasa dan merampas kapal angkasa yang berlabuh. Begitu juga pasukan yang lain di sektor masing-masing. Mereka ditugaskan untuk merampas kemudahan penting milik Perikatan Bumi seperti balai polis, pejabat kerajaan, gudang kastam, depoh jentera berat, loji janakuasa nuklear dan sebagainya. Kami kini sedang menantikan sebuah lori milik syarikat katering yang akan tiba ke stesyen berkenaan bagi menghantar bekalan. Di dalamnya, dua orang pejuang yang menyamar sebagai pekerja katering menyeludup masuk seorang penggodam yang bersembunyi di ruang rahsia serta membawa bahan letupan.
“Puan, lihat di sana.” Aku menghulurkan binokular digital kepada Puan Julia sebelum menunjukkan ke arah pintu masuk utama stesyen angkasa yang dikawal ketat oleh pihak tentera Perikatan Bumi.
Sebuah lori katering tiba sebelum ditahan di pos keselamatan. Beberapa anggota tentera bermundar-mandir di sekeliling lori berkenaan sambil melakukan pemeriksaan. Manakala seorang lagi sedang memeriksa dokumen serta pengenalan diri pemandu dan kelindannya. Rasa gelisah menyelubungi diriku kerana begitu lama lori berkenaan ditahan. Bimbang jika operasi berkenaan gagal sebelum sempat bertindak. Namun, hatiku berasa lega bila lori berkenaan dibenarkan masuk sebelum menuju ke ruang pemunggahan barang yang terletak di aras bawah stesyen angkasa.
“Sekarang, kita hanya perlu tunggu mereka menggodam sistem kunci pintu terowong ini.” Puan Julia melihat jam tangan seketika.
Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi ‘bib’ beberapa kali sebelum pintu terowong  terbuka dengan sendirinya. Tanpa membuang masa, kami segera berlari masuk dan menyusuri terowong berkenaan menuju ke stesyen yang jaraknya hampir satu kilometer dari tempat kami berkumpul. Setibanya di suatu ruang yang menempatkan jentera janakuasa elektrik, kami bertemu dengan dua anggota pejuang yang menyamar menjadi pemandu dan kelindan lori katering bersama dengan seorang remaja perempuan yang ditugaskan sebagai penggodam.
“Bagaimana sekarang, Maria?”
“Puan. Saya telah memasukkan virus ke dalam sistem komputer keselamatan automatik di bilik bank data tadi. Talian kecemasan dan litar kamera tertutup pula saya sudah pun sekat.” Lapor Maria.
“Saya sudah pun kunci bom jangka pada lori tadi dalam tempoh empat puluh minit. Habis saja tempoh itu, lori itu akan meletup dan ia mampu memusnahkan separuh stesyen ini.” Kata anggota pejuang berkenaan.
“Baiklah. Sebelum kita mulakan operasi ini, sekali lagi saya ingatkan kembali rancangan yang saya rangkakan. Pasukan Pakcik Yugo mengambil alih menara kawalan stesyen angkasa di bahagian barat. Pasukan Roy pula mengambil alih jabatan keselamatan di bahagian timur.” Aku memandang ke arah seorang pemuda bertubuh besar yang bernama Roy. Roy mengangguk faham dengan pelan yang diterangkan oleh Puan Julia.
“Pasukan saya dan Zairul pula akan merampas kapal angkasa di landasan utama. Jika misi ini berjaya, hanya tinggal selangkah lagi untuk kita mencapai kemerdekaan dari Perikatan Bumi. Ada sebarang soalan?”
“Tiada, puan.”
“Bagus. Kita ada empat puluh minit sebelum bom meletup dan dalam masa itulah kita perlu selesaikan tugas kita. Kita bergerak sekarang!” Kami berpecah mengikut lokasi masing-masing.
Puan Julia memberi taklimat terakhir
Kami menyusuri koridor yang sunyi dengan penuh berwaspada. Adakalanya dapat melihat beberapa anggota tentera Perikatan Bumi berlari ke sana-sini di tingkat atas. Mujurlah mereka tidak sedar akan kehadiran kami di situ. Setibanya di satu simpang, kami segera bersembunyi di sebuah setor berhampiran apabila ternampak kehadiran beberapa anggota tentera datang mendekati lif berkenaan.
“Apa masalah sekarang ini?” Tanya seorang pegawai tinggi tentera yang tergesa-gesa ke tingkat atas bersama seorang pegawai teknikal. Di belakangnya, anggota pegawal yang lengkap bersenjata sentiasa mengekori ke mana sahaja.
“Sistem komputer utama diserang virus. Segala sistem keselamatan di stesyen ini terganggu dan pada masa yang sama talian kecemasan serta kamera litar tertutup tiba-tiba tak berfungsi.”
“Macam ada yang tak kena. Ia berlaku secara serentak.” Belum sempat mereka masuk ke dalam lif, seorang anggota tentera berlari ke arah mereka dalam keadaan cemas.
“Tuan. Ada berlaku pertempuran di jabatan keselamatan. Pihak pemberontak telah menyusup masuk ke sini.”
“Macam mana boleh berlaku? Bukankah stesyen ini sentiasa dikawal ketat 24 jam?” Pegawai tinggi tentera itu memandang kembali ke arah pegawai teknikal di sisinya.
“Mungkin ia ada kaitan dengan masalah yang kita hadapi sekarang.” Jawab pegawai teknikalnya.
“Mari kita pergi ke sana.” Mereka bergegas ke jabatan keselamatan dan membatalkan hasrat untuk memasuki lif itu tadi.
Hatiku lega apabila mereka beredar dari situ. Sebaik kelibat mereka hilang dari pandangan, kami segera menaiki lif yang menuju ke landasan utama.
“Setidak-tidaknya, Roy telah berjaya menarik perhatian mereka.” Kata Puan Julia kepadaku.
Tanpa membuang masa, kami mempersiapkan diri bagi menghadapi tentangan dari pengawal bersenjata. Dari dalam lif, aku dapat melihat dengan jelas begitu besarnya kapal angkasa yang berlabuh di landasan utama. Turut kelihatan beberapa anggota tentera Perikatan Bumi yang sedang berkawal di sekitar landasan utama. Sebuah jip bersenjata pula mengawal pintu masuk ruang kargo kapal angkasa. Setelah pintu lif terbuka, kami terus meluru keluar dan melepaskan tembakan sambil berlari ke arah pintu masuk kargo kapal angkasa. Salah seorang anggota pejuang sempat melontarkan bom tangan ke arah jip bersenjata itu sebelum ditembak mati. Jip itu musnah terbakar dan ini memberi peluang kepada kami untuk merampas kapal angkasa berkenaan.
“Zairul. Bawa Maria ke dalam kapal dan pastikan dia selamat.” Pesan Puan Julia sambil membalas tembakan dengan anggota tentera.
“Baik, puan.” Lantas aku menarik tangan Maria ke dalam kapal. Tugasnya sekarang adalah menyahkod kata kunci keselamatan pada kapal angkasa berkenaan sebelum ia boleh diterbangkan.
Maria mengeluarkan komputer riba dari beg sandang dan menyambungkan kabel ke komputer induk. Dia menaip tanpa henti bagi usaha untuk menyahkod kata kunci. Aku pula hanya mengawasi pintu kargo kapal angkasa dan berharap agar Puan Julia serta yang lain sempat berlari masuk. Tembak-menembak serta bunyi letupan masih berterusan dan tidak lama kemudian muncul beberapa rakan seperjuangan yang sedang mengusung Puan Julia. Kecederaannya cukup parah.
“Tutup pintu kargo sekarang! Bawa Puan Julia ke bilik rawatan.” Jerit salah seorang pejuang. Aku segera memetik suis pintu kargo dan kini tumpuanku kepada keadaan Puan Julia.
“Mana letaknya peti kecemasan?” Masing-masing sibuk mencari peralatan pembedahan serta ubat-ubatan.
“Zairul. Kata kunci telah saya nyahkod. Kapal ini boleh digunakan.” Kata Maria kepadaku. Belum sempat aku berkata apa-apa kepada Maria, seorang anggota pejuang bernama Hanif memanggil namaku.
“Zairul. Puan Julia ingin bercakap dengan kamu sekarang.”
Aku bergegas ke bilik rawatan yang terletak di bahagian bawah kapal angkasa. Di situ para pejuang yang terselamat hanya memerhatikan keadaan Puan Julia yang semakin tenat. Apabila melihat ketibaanku, Puan Julia berusaha untuk bangun tetapi aku menegah dia berbuat demikian.
“Maafkan saya, Zairul. Sampai di sini saja saya bersama kamu semua.” Kata Puan Julia dalam keadaan menahan kesakitan.
“Jangan kata begitu, puan. Saya yakin puan pasti selamat.” Aku berusaha untuk menahan kesedihan.
“Tidak, Zairul. Masa saya hampir tiba. Sebelum saya pergi, dengar arahan terakhir saya baik-baik.” Puan Julia berhenti bercakap seketika bagi mengatur kembali nafasnya yang tercungap-cungap.
“Kamu pergilah ke Planet Europa. Ia adalah sebuah bulan bagi Planet Jupiter. Di sana ada markas rahsia yang baru didirikan bagi meneruskan perjuangan kemerdekaan Koloni Marikh. Setelah tiba di sana, jumpa ketua pejuang veteran bernama Logan, bapa saudara saya. Tolong serahkan loket ini kepada dia.” Tangan Puan Julia terketar-ketar menyerahkan loket kepadaku.
Belum sempat aku bertanya berkenaan loket yang diberinya, secara tiba-tiba Puan Julia terkulai. Seorang pejuang wanita yang berdiri di belakangku segera memeriksa keadaan Puan Julia sebelum dia memaklumkan yang Puan Julia sudah pun meninggal dunia.
“Sekarang kamu menjadi ketua kami. Apa tindakan seterusnya?” Tanya Maria.
“Kita akan ke Planet Europa. Tetapi kita tak boleh berlepas selagi Pakcik Yugo, Roy serta yang lain selamat tiba ke sini.” Aku memeriksa kelopak peluru sebelum berjalan menuju ke pintu kargo. Tetapi sempat dihalang oleh Hanif.
“Maaf, Zairul. Mereka tak dapat bersama dengan kita lagi.” Hanif memberi penjelasan.
“Maksud kamu?”
 “Mereka semua adalah anggota skuad berani mati. Pasukan Roy ditugaskan untuk menarik perhatian pihak tentera agar kita terus mara ke sini. Pasukan Pakcik Yugo mempertahankan menara kawalan dan membuka pintu landasan agar kita dapat membawa keluar kapal angkasa ini. Mereka sanggup mengorbankan diri demi kemerdekaan Koloni Marikh. Hanya kita sahajalah harapan yang masih ada untuk warga Koloni Marikh.” Kata Hanif.
Penjelasan dari Hanif menyebabkan aku terdiam seketika. Aku tidak menyangka yang mereka sanggup melakukan tugas yang cukup berat demi kelangsungan perjuangan yang tiada kesudahan. Aku memandang setiap wajah anggota pejuang di situ. Dari tiga puluh anggota pejuang yang terlibat dalam operasi nekad, hanya lapan belas orang sahaja yang terselamat.
“Siapa di sini pernah mengendalikan kapal angkasa? Tak kisahlah apa jenis kapal angkasa sama ada kapal dagang atau kapal mengangkut sampah?” Aku bertanya. Masing-masing memandang sesama sendiri sebelum tiga orang pemuda tampil ke hadapan.
“Saya pernah menjadi jurutera penerbangan di syarikat penerbangan. Tapi tak lama sebab syarikat tu telah diambil alih oleh syarikat dari bumi.” Kata pemuda pertama.
“Kami pula pernah menjadi pembantu juruterbang di syarikat yang sama.” Pemuda kedua dan ketiga turut membuat pengakuan.
“Baguslah macam tu. Pergi bersiap sedia di kokpit kapal sekarang. Yang lain pula bersedia di tempat masing-masing. Kita perlu berlepas secepat mungkin.”
“Baik.” Mereka segera bertindak setelah menerima arahanku.
Aku masuk ke ruang kokpit kapal angkasa dan duduk di kerusi kapten. Dua orang juruterbang yang duduk di hadapanku sedang melakukan pemeriksaan pada panel pemanduan. Manakala jurutera penerbangan pula memeriksa sistem teknikal dan memastikan agar keadaan kapal angkasa berada dalam keadaan yang baik sebelum berlepas.
“Kesemua sistem teknikal dalam keadaan baik, Zairul.” Kata jurutera penerbangan yang duduk di sebelahku.
“Kami pun dah bersedia.” Juruterbang di hadapanku menunggu arahan dariku.
“Perhatian anak kapal. Ini Zairul bercakap. Kita berlepas ke Planet Europa sekarang.” Aku segera mengangguk kepada juruterbang dan dengan segeralah tuas pendikit ditolak ke hadapan.
Kapal angkasa berlepas tepat pada masanya sebelum berlakunya letupan bom yang kuat sehingga memusnahkan sebahagian besar bangunan stesyen angkasa berkenaan. Kami melihat kemusnahan yang teruk melalui tingkap kokpit. Kelihatan juga pasukan bantuan tentera Perikatan Bumi yang baru tiba tetapi sudah terlambat. Aku juga menerima laporan dari Hanif bahawa pasukan pejuang bawah tanah di sektor-sektor sekitar Planet Marikh telah berjaya mengucar-kacirkan keadaan sehinggakan pihak tentera Perikatan Bumi gagal berbuat apa-apa pun. Lantas aku mengarahkan Hanif menghubungi kesemua ketua pasukan di setiap sektor agar berundur dan bersembunyi untuk seketika sementara menunggu arahan selanjutnya dariku.
“Zairul, kita ada satu lagi berita baik. Mereka turut berjaya membawa lari tiga buah kapal angkasa dari stesyen angkasa di Sektor Lima dan Tujuh.”
“Bagus. Hubungi mereka dan arahkan mereka pergi ke Planet Europa. Kita akan berjumpa di sana.”
“Baik.”
“Dan lagi satu. Saya melantik kamu sebagai timbalan saya mulai sekarang ini.”
“Terima kasih, Zairul.” Hanif menepuk bahuku sebelum beredar.
Mataku beralih pada loket yang diberikan oleh Puan Julia. Pesanan akhir darinya masih berlegar-legar di mindaku. Yang peliknya, mengapa aku perlu menyerahkan loketnya kepada Logan? Logan. Namanya seperti pernah aku dengar sebelum ini tetapi di mana dan bila? Tanganku secara tidak sengaja terkupil bingkai loket dan didalamnya ada gambar kecil bersaiz ibu jari kaki. Gambar seorang gadis dengan senyuman yang cantik. Mungkin usianya sebaya denganku. Hatiku secara tiba-tiba berdebar bila melihat gambar berkenaan.
“Itu cuma perasaan aku. Bukan masa yang sesuai untuk mencari cinta.” Bisik hatiku.
Dengan segeralah aku membuang perasaan itu sejauh mungkin dan mengalih pandangan ke tingkap kokpit. Planet Marikh semakin jauh ditinggalkan dan bagiku, perjuangan yang sebenar hanya baru sahaja bermula. Kami generasi muda Koloni Marikh adalah harapan yang masih ada.
Kapal angkasa milik Perikatan Bumi yang dibawa lari

Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.