Jumaat, 28 Jun 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 3)

Anak gabenor daerah Orenburg
         Perkarangan dewan orang ramai berubah wajah. Ia dipenuhi khemah dan bengkel tukang besi yang sibuk menjalankan tugasnya. Tuan Alifey sentiasa mengikuti perkembangan terkini pembikinan senjata yang amat diperlukan. Sedang asyik berbual dengan salah seorang tukang besi di situ, kedengaran bunyi rengekan kuda dengan diselangi sorakan gembira. Kemudian, terdengar lagi seseorang menjerit ke arahnya.
            “Bantuan dari daerah Orenburg sudah tiba...!” Wajah ceria mula terpancar bila mendengar perkhabaran gembira berkenaan. Lantas Tuan Alifey segera bertemu dengan sekumpulan tetamu yang menunggu di luar pagar.
            Jika dilihat gaya serta cara pemakaian si tetamu itu, jelaslah mereka adalah bukan sebarangan orang. Bertopi jerami, jubah poncho berwarna kelabu dan berkasut kulit paras lutut. Sebilah pedang dan sepucuk terakol tersisip kemas pada sarungnya dipinggang masing-masing. Mereka juga dilengkapi istinggar sebagai senjata tambahan.
            “Benni?” Tuan Alifey seperti mengenali salah seorang tetamu berkenaan. Seorang pemuda yang agak menonjol tampil di hadapan Tuan Alifey dengan gaya seperti seorang jagoan penembak tepat.
            “Tuan Alifey? Apa khabar?” Jejaka bernama Benni menyambut salam dari Tuan Alifey.
            “Saya sihat. Ayah kamu apa khabar?”
            “Sihat juga. Ayah turut mengirimkan bekalan kepada tuan. Lihatlah di sini.” Benni membawa Tuan Alifey bagi melihat sendiri bekalan bantuan yang dibawanya. Terdapat sembilan ekor kuda yang membawa lapan belas kotak kayu yang mengandungi istinggar dan peluru.
            “Seperti yang kamu tahu. Tentera Filgaria akan menakluki negeri kita pada bila-bila masa sahaja. Oleh sebab daerah Kota Biru bersempadan dengan negeri mereka, saya bertanggung jawab sepenuhnya untuk menyekat mereka dengan apa cara sekali pun.” Tuan Alifey membawa Benni meninjau sekitar bengkel besi di situ.
            Para tukang dan pekerjanya sibuk menempa pelbagai senjata yang diperlukan. Setiap tugasan dibahagikan mengikut kepakaran masing-masing. Ada ditugaskan menempa pedang, menempa mata tombak, menyediakan acuan dan ada ditugaskan untuk mencairkan besi dan tembaga di relau yang telah dibina khas.
            “Tuan Alifey usah khuatir. Bantuan seterusnya akan tiba tidak lama lagi. Kami adalah pasukan pendahulu sebelum bantuan dari daerah lain menyusul. Setakat mana persiapan pihak tuan? Saya nampak di sini amat sibuk.” Benni mengipas-ngipas wajahnya yang berpeluh dengan topinya.
            “Setakat ini semuanya berjalan lancar. Kami menggunakan bahan-bahan yang sedia ada termasuklah bahan yang dikitar semula. Kami cuma memerlukan lebih banyak bahan logam untuk membuat meriam sahaja.”
            “Tidak perlu bersusah-payah, Tuan Alifey. Dengan izin Tuhan bantuan yang tuan inginkan pasti sampai. Saya jamin.” Benni tersenyum sambil menepuk bahu Tuan Alifey.
            “Terima kasih, Benni. Terima kasih.” Tuan Alifey terhutang budi akan bantuan dari Benni. Mereka berdua terus meninjau persekitaran sehinggalah didatangi seorang lelaki yang berjubah kerudung hitam.
            “Maafkan saya. Boleh saya berbicara dengan Tuan Alifey sebentar?” Tanya lelaki itu dengan sopan. Tuan Alifey tidak berasa terganggu dan dia hanya mengganguk sebelum memandang ke arah Benni.
            “Saya fikir elok kamu semua berehat di rumah tetamu. Saya akan arahkan pembantu saya menyediakan segala kemudahan yang kamu perlukan.”
            “Baiklah. Kita bertemu kembali esok pagi. Selamat malam.” Ucap Benni.
            “Selamat malam, Benni.” Jawab Tuan Alifey. Setelah Benni dan ahli rombongan yang lain beredar, Tuan Alifey mendekati lelaki tadi.
            “Tuan. Memang benar apa yang tuan jangkakan.” Bisik lelaki itu ke telinga Tuan Alifey. Tuan Alifey mengerut dahinya seperti dia menerima maklumat yang tidak diingini seumur hidup.

            Menjelang tengah hari, Marsha pulang ke rumah agamnya dengan hati yang lapang selepas tamat sahaja kelas mengait benang. Sudah tiba masanya dia akan mempraktikkan apa yang dia pelajari selama ini. Ketika Marsha melintasi bilik bacaan berdekatan dengan ruang tamu, Tuan Alifey memanggilnya.
            “Adik, boleh abang bertanya sesuatu kepada adik?” Tanya Tuan Alifey.
            “Mengenai apa, abang?” Keadaan di bilik bacaan amat melegakan. Bunyi detikan jam antik memberi irama yang mendebarkan di dalam hati Marsha. Mengapa abangnya dalam keadaan berlainan dari hari sebelumnya? Wajah Tuan Alifey agak serius seolah-olah Marsha telah melakukan kesalahan berat.
            “Abang ingin tahu, apa hubungan adik dengan seorang lelaki bernama Venius? Abang mahu adik menjawab soalan ini dengan sejujurnya.”
            “Hanya sebagai kawan sahaja. Mengapa abang ingin tahu perkara ini dan dari mana abang mengetahui adik berkawan dengan Venius?” Marsha kehairanan bila melihat tingkah-laku abangnya yang mencurigakan.
            “Itu semua tidak penting. Abang tidak berapa setuju jika adik berkawan dengan Venius. Kerana dia datang dari golongan bawahan. Jika adik berbuat demikian, nescaya keluarga kita akan mendapat malu dimata masyarakat. Memalukan nenek moyang kita. Adalah lebih baik jika abang menjodohkan adik dengan Benni. Anak gabenor daerah Orenburg. Lagi pun dia berasal dari keturunan orang yang baik.”
            “Jadi, Venius berasal dari keturunan yang tidak baik? Begitu?” Marsha membesarkan bola matanya ke arah Tuan Alifey.
            “Bukan begitu maksud abang. Abang...”
            “Abang lebih pentingkan kedudukan darjat berbanding hati adik. Abang lebih pentingkan maruah dan harga diri berbanding kebahagiaan adik. Lagi satu. Mahu menjodohkan adik dengan Benni? Adik pun tidak kenal siapa dia dan belum pernah bertemu.” Suara Marsha semakin tinggi. Ini menarik perhatian Puan Olif, ibu kepada Tuan Alifey dan Marsha yang berada di dapur. Dengan langkah berhati-hati, Puan Olif keluar menuju ke bilik bacaan untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.
            “Dengar sini, Marsha. Abang tidak teragak-agak untuk memecat Venius dan menyingkirkan dia dari daerah Kota Biru. Bukan itu sahaja. Abang akan merancang untuk memerangkap dia dengan membuat pertuduhan bahawa dia adalah pengintip Filgaria. Adik sudah faham apa hukuman terhadap mereka yang menjadi tali barut dan pengintip bagi pihak musuh? Iaitu hukuman gantung sampai mati.” Marsha terkejut dengan tindakan yang bakal dikenakan terhadap Venius oleh Tuan Alifey.
            “Sampai begitu sekali abang mahu menganiayai Venius semata-mata ingin menjaga maruah keluarga? Kalau abang mahu berbuat demikian, dipersilakan. Tetapi perlu diingat, abang juga mendapat malu bila perkara ini didedahkan kepada umum!” Panas hati Marsha bila dia menerima ugutan dari abangnya sendiri.
            “Ibu tidak setuju jika kamu berbuat demikian terhadap adikmu.” Tegah Puan Olif dengan nada perlahan . Tuan Alifey pula terkejut bila ibunya muncul secara tiba-tiba di muka pintu masuk bilik bacaan. Dengan tergesa-gesalah Tuan Alifey berdiri dari tempat duduknya bila melihat wajah Puan Olif memancarkan kemarahannya.
            “Er... Ibu. Sebenarnya saya...”
            “Usahlah berdalih lagi. Ibu sudah pun tahu apa yang berlaku sejak awal tadi. Ibu amat kecewa bila mengetahui tindakan bakal dilakukan untuk menganiayai Venius jika dia meneruskan hubungannya dengan Marsha. Beginikah caranya seorang gabenor menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya?” Puan Olif berjalan perlahan ke sisi Marsha.
            “Tetapi ibu, Venius bukanlah setaraf dengan kita. Dahulu bukankah ibu selalu menegaskan kepada kami betapa perlunya kesinambungan keturunan dari golongan bangsawan yang gemilang. Menjaga nama baik demi menjaga maruah keluarga.”
            “Memang benar, Alifey. Tetapi ketika itu ayah dan datukmu masih hidup. Mereka berdua terlalu memegang teguh terhadap tradisi berkenaan. Setelah mereka tiada, sudah tiba masanya tradisi yang tidak relevan ini mesti dimansuhkan.” Puan Olif memandang ke arah Marsha dan tersenyum.
            “Sayang, dengar sini. Esok bawalah Venius bertemu dengan ibu. Ibu ingin berkenalan dengannya. Ibu yakin dia adalah pemuda yang baik dan mampu membahagiakan Marsha.” Harapan mulai cerah bila mendengar pelawaan ibunya. Kegembiraan di hati Marsha tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Kemudian, Puan Olif memandang ke arah Tuan Alifey pula.
            “Dan kamu pula Alifey. Seandainya terjadi sesuatu yang tidak diingini terhadap Venius, kamulah orang yang pertama ibu cari. Mengerti?!”
           "Mengerti, ibu." Tuan Alifey menundukkan kepalanya.
        Dia tidak berani memandang wajah Puan Olif. Terasa dirinya ditampar dengan kuat apabila ibunya menyebelahi Marsha dan Venius, si pemuda dari golongan bawahan yang tidak memiliki apa-apa langsung. Adakalanya Tuan Alifey berasa musykil. Mengapa ibunya berubah pendirian secara tiba-tiba? [Bersambung...]
            
Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Selasa, 25 Jun 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 2)

Mesyuarat tergempar sedang berlangsung

             Tidak sampai waktu tengah hari, seluruh daerah Kota Biru kecoh bila menerima perkhabaran yang menakutkan. Pelbagai reaksi dapat dilihat di setiap wajah warga daerah berkenaan. Ada yang masih tidak percaya akan perkhabaran tersebut dan ada juga masih tidak mengendahkannya. Bahkan masih meneruskan kegiatan harian di ladang serta menguruskan perniagaan seperti biasa. Di pejabat gabenor, seluruh ahli jawatankuasa daerah Kota Biru serta para pemimpin setempat yang dipanggil sebelum ini bersemuka dengan Tuan Alifey untuk membincangkan masalah berkenaan.
            “Tuan, oleh kerana daerah ini agak terpencil dari daerah-daerah yang lain serta bersempadan dengan negeri seteru yakni Filgaria, kita perlu mengambil tindakan segera demi menghalang mereka dari menceroboh negeri kita.” Kata seorang ketua kampung yang berusia lewat 50an.
            “Memang benar kata Encik Lugos. Daerah Kota Biru adalah satu-satunya jalan masuk yang sesuai ke negeri kita. Mustahil mereka hendak melalui pergunungan yang merbahaya di sekitar daerah lain. Langkah terbaik yang perlu kita lakukan adalah mempertahankan daerah ini sementara menunggu bantuan ketenteraan dari ibu negeri.” Sokong seorang lagi ketua kampung.
            Suara para hadirin mula menguasai bilik persidangan. Masing-masing ingin meluahkan pendapat mengenai apa yang dikatakan oleh rakan sejawatannya. Apabila keadaan berlanjutan, dengan segeralah Tuan Alifey berdiri dari tempat duduk pengerusi untuk menenangkan keadaan.
            “Sila bertenang tuan-tuan yang dihormati. Kita perlu menyelesaikan masalah ini bersama-sama. Saya amat setuju dengan apa yang dikatakan rakan kita tadi. Semenjak saya menerima berita mengenai tentera Filgaria mula menghampiri sempadan, saya berusaha memikirkan apa perancangan terbaik yang perlu saya lakukan demi menyelamatkan daerah Kota Biru dan negeri Radessia keseluruhannya. Tetapi, sehingga kini saya gagal mencari jalan penyelesaiannya. Bencana sebegini terlalu besar. Ini bukannya bencana alam. Ini adalah bencana yang boleh memusnahkan masa depan dan mencemarkan kedaulatan negeri Radessia. Saya khuatir dengan penaklukan Filgaria ke atas negeri kita, masa depan anak-cucu kita akan terjejas.”
            Suasana sunyi mula menyelubungi bilik persidangan. Ratusan pasang mata masih tertumpu ke arah Tuan Alifey. Venius yang bertugas sebagai tukang kebun pejabat gabenor hanya berdiri di sebalik daun pintu masuk bilik persidangan. Memerhatikan situasi yang agak genting ketika ini. Genting kerana perlu mencari jalan penyelesaian dalam masa yang singkat.
            “Bagaimana pula dengan daerah lain? Adakah kita perlu meminta bantuan dari mereka?” Tanya seorang pemuda dengan wajah yang agak cengkung.
            “Saya telah pun mengirimkan beberapa pucuk surat ke daerah-daerah lain untuk meminta bantuan termasuklah ke ibu negeri. Sehingga kini saya masih belum menerima sebarang maklum balas.” Jawab Tuan Alifey.
            “Jika begitu, kita tidak perlu bergantung kepada bantuan dari daerah lain semata-mata. Kita sepatutnya memulakan langkah yang drastik demi keselamatan daerah kita.” Seorang lagi tetamu memberi pendapatnya. Kini, kebuntuan pula menguasai keadaan. Tidak tahu apa lagi yang mereka perlu lakukan.
            Tidak lama kemudian, seorang lelaki tua yang duduk tidak jauh dari Tuan Alifey berada mula bangun. Berkulit cerah, tegap dan kepalanya hampir botak. Namun, raut wajahnya menampakkan seperti seorang pahlawan yang sekian lama menunggu untuk berbakti kepada masyarakat.
            “Tuan Alifey. Saya sudah berkhidmat di dalam tentera Diraja Radessia selama 30 tahun dan sudah pun bersara pada lima tahun yang lalu. Dengan pengalaman yang saya miliki, saya berjanji akan melatih golongan belia di daerah ini dengan bersungguh-sungguh demi mempertahankan tanah air. Saya juga mewakili rakan-rakan pesara tentera Diraja Radessia bersedia untuk kembali berkhidmat.” Kata lelaki itu.
            Selepas itu, seorang demi seorang menawarkan diri untuk membantu mempertahankan daerah Kota Biru. Ada yang menawarkan khidmat membuat senjata, logistik, bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membuat pakaian seragam. Akhirnya, hasil perbincangan telah diputuskan sebulat suara. Seluruh tenaga warga daerah Kota Biru perlu dikerah dengan segera tanpa membazirkan masa. Seusai sahaja mesyuarat tergempar, para tetamu bergegas pulang bagi membuat persediaan untuk menghadapi kemaraan musuh. Menjelang senja pula, beribu helai poster telah siap dicetak untuk diedarkan di seluruh daerah. Poster berkenaan menyiarkan pengumuman pengambilan rekrut sukarelawan bagi kaum lelaki yang sihat berumur dari 17 dan ke atas. Mereka perlu mendaftarkan diri di rumah ketua kampung masing-masing.
           
            Seorang gadis berlari keluar dari rumah agamnya menuju ke sebuah taman bunga yang terletak di seberang jalan. Gadis itu seperti mencari seseorang. Dia memakai sepasang gaun berwarna biru langit dan sehelai selendang merah jambu yang dililit pada lehernya. Sungguh jelita gadis berkenaan. Barang siapa dapat memilikinya, nescayalah jejaka itu amat bertuah.
            “Ke mana dia sekarang? Janji berjumpa pada pukul 4 petang. Sekarang sudah pukul berapa?” Gadis itu keresahan. Wajahnya cemas bagaikan ibu kucing kehilangan anak. Tanpa disedari, datanglah seorang lelaki dengan gaya seperti mahu menerkam gadis berkenaan dari arah belakang.
            “Abang datang...” Gadis itu terkejut dan hampir menumbuk wajah lelaki misteri tadi.
            “Kamu sering muncul secara tiba-tiba! Menyusahkan betul Venius!” Gadis itu mula merajuk. Venius tersenyum bila melihat buah hatinya merajuk terhadapnya.
            “Ala... Janganlah marah, Marsha. Saya berjanji tidak akan muncul secara tiba-tiba pada masa akan datang.”
            “Janji... janji...! Kamu lebih suka menabur janji. Minggu lepas kamu muncul secara tiba-tiba ketika saya menjamah roti. Nasib baik saya tidak tercekik.” Marsha mendengus kemarahan. Tetapi Venius masih mampu tersenyum sedangkan dia tahu Marsha betul-betul marahkan dia.
            “Marsha, dengar sini. Kali ini amat serius. Dalam masa beberapa hari nanti kita mungkin sukar untuk bertemu seperti sekarang ini.” Penjelasan dari Venius menyebabkan kemarahan Marsha tidak berlanjutan
            “Mengapa, Venius? Adakah disebabkan arahan yang dikeluarkan oleh abang saya kelmarin?” Mereka berdua senyap seketika. Hanya irama alam sahaja yang mengisi ruang.
            “Ya, Marsha. Arahan dari abangmu tidak boleh ditangguhkan begitu sahaja. Lagi pun ada perkara yang perlu selesaikan dan lebih penting dari hubungan kita.”
            “Jadi, selama ini hubungan kita tidak penting. Begitu?”
            “Bukan begitu maksud saya. Hubungan kita memanglah penting. Cuma saya perlu mengutamakan tanggungjawab saya sebagai warga daerah ini. Sehingga kini, hubungan kita masih dapat bertahan tanpa dikesan oleh abangmu.” Wajah Tuan Alifey terbayang diminda Venius. Orangnya tegas dalam tanggungjawab sebagai seorang gabenor menjadikan dia seorang yang dihormati oleh penduduk daerah Kota Biru.
            “Lagi satu kebimbangan saya. Kita perlu mendapat restu darinya. Walau pun ibu masih ada, sebagai anak yang sulung, abang diamanahkan untuk menjaga saya walau apa cara sekali pun.” Venius termenung sejenak bila mendengar penjelasan dari Marsha. Tetapi, setiap permasalahan tersebut pasti ada jalan penyelesaiannya.
            “Saya ada satu cadangan. Apa kata kita mendapatkan restu dari ibumu terlebih dahulu dan menerangkan kepadanya mengenai hubungan kita secara jujur. Andai abangmu membantah, ibumu dapat mempertahankan kita.” Giliran Marsha pula terdiam seketika sebelum menatap wajah Venius.
             "Baiklah. Saya perlukan masa yang sesuai untuk berbincang dengan ibu. Jika boleh, Venius ikut bersama. Bagaimana?" Tanya Marsha. Menantikan jawapan yang akan diberikan oleh Venius pada bila-bila masa.
               Tanpa mereka sedari, sepasang mata sedang memerhatikan mereka berdua dengan penuh syak wasangka di sebalik rimbunan semak. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
           

Khamis, 20 Jun 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 1)

Sedang menghantar berita terkini
            Suasana pagi amat tenteram dan nyaman udaranya. Bukit-bukau, gunung-ganang, hutan malar menghijau dan awan yang bergerak perlahan bagaikan gembira akan persekitaran yang ada sekarang. Para petani membanting tulang mengusahakan ladang pertanian dengan senang hati. Seorang penggembala biri-biri mengawasi haiwan ternakan dari bawah pokok sambil meniup seruling dengan merdu. Dia tidak perlu berasa gusar akan keselamatan haiwan ternakannya yang berada di padang ragut kerana ancaman serigala semakin berkurangan.
            Di ufuk horizon barat, kelihatan seorang penghantar utusan menunggang seekor kuda hitam dengan pantas menuju ke pintu masuk utama daerah Kota Biru. Nama Kota Biru diambil kerana sebahagian besar premis perniagaan dan kediaman dicat berwarna biru. Apabila mentari pagi memancar ke arah Kota Biru, terserlah lagi warna biru dan ia dapat dilihat dari luar mukim daerah berkenaan.
Adakala dia menyesah punggung kudanya agar mempercepatkan lagi perjalanan. Beberapa orang petani yang berada berhampiran dengan jalan utama itu memerhatikan tingkah-laku si penghantar utusan. Bagi mereka, ini adalah perkara biasa. Mungkin si penghantar utusan itu perlu mengejar masa demi mengedarkan sebarang berita penting dari daerah ke daerah yang lain. Tetapi sebenarnya berita pada pagi itu agak menggemparkan dan ini boleh mengejutkan para penduduk daerah Kota Biru keseluruhannya.
            Setibanya di pejabat gabenor daerah Kota Biru, si penghantar utusan bergegas ke tingkat atas tanpa menambat kudanya pada tiang lampu berhampiran. Kehadirannya yang agak kelam-kabut menarik perhatian kakitangan di situ. Sebelum ke pejabat tuan gabenor, perlulah bertemu dengan seorang setiausaha yang berada di pejabat bersebelahannya.
          “Saya perlu bertemu dengan tuan gabenor dengan segera. Ini amat penting.” Kata si penghantar utusan ketika bertemu dengan setiausaha.
           “Baiklah. Sila ikut saya.” Mereka berdua pergi ke pejabat gabenor dan pada masa yang sama, tuan gabenor baru sahaja keluar dari tandas sambil mengeringkan tangannya dengan sapu tangan.
         “Ada berita penting, Tuan Alifey.” Kata setiausahanya ketika si penghantar utusan menyerahkan sepucuk surat kepada Tuan Alifey.
            Setelah sampul dibuka dan membaca isi kandungannya, mata Tuan Alifey terbeliak. Kemudian memandang kembali ke arah penghantar utusan tadi.
            “Adakah ini benar?”
            “Memang benar, tuan gabenor.” Jawab si penghantar utusan dengan yakin.
            “Selain saya, siapa lagi yang tahu khabar buruk ini? Tanya lagi Tuan Alifey.
            “Rakan-rakan saya kini sedang menghantar khabar ini ke ibu negeri serta daerah-daerah yang lain. Dalam waktu begini, mungkin mereka sudah sampai.” Tuan Alifey terdiam seketika. Memikirkan langkah seterusnya setelah menerima khabar berita tersebut.
            “Sarah, hubungi semua ahli jawatankuasa daerah Kota Biru, ketua kampung dan pemimpin belia. Kita adakan mesyuarat tergempar seberapa segera.” Arah Tuan Alifey kepada setiausahanya sebelum masuk ke pejabatnya untuk menulis sepucuk surat. Dia perlu memberi maklum balas mengenai khabar buruk itu ke ibu negeri.

            Keadaan cuaca pada hari berkenaan agak mendung. Suasana dingin masih terasa sedangkan waktu sebegini sudah pun menjelang tengah hari. Mungkin ia berpunca dari hujan lebat sejak malam tadi dan berakhir apabila menjelang subuh. Seorang remaja duduk menyandar pada sebatang pokok yang rendang berdekatan dengan sebatang sungai. Dia berpakaian selekeh, berkaki ayam dan memakai topi jerami yang hampir rosak. Sekilas pandang, tidak ubah seperti seorang remaja nakal yang tiada masa hadapan.
            Remaja tersebut merenung ke arah joran yang masih terpacak condong 45 darjah tanpa mendapat sebarang tangkapan. Tanpa disedari, seorang pemuda datang dari arah belakangnya dengan gerak-geri yang mencurigakan.
            “Wah...!!” Jeritan berkenaan mengejutkan remaja itu.
            “Hish...! Dah tak ada kerja lain? Sejak semalam asyik mengejutkan orang sahaja!” Marah remaja itu sambil membetulkan topi jeraminya.
            “Usahlah marah. Nah, ambil ini.” Pemuda itu menyerahkan bungkusan kertas berwarna coklat. Dengan segeralah remaja itu membuka dan mendapati terdapat paha ayam goreng dan seketul kentang rebus.
            “Terima kasih, Venius.”
            “Sama-sama, Jaster. Jadi, sudah kamu berfikir dengan mendalam?” Soalan yang diajukan tadi menyebabkan Jaster berhenti mengunyah daging ayam.
            “Fikirkan apa?” Jaster berpura-pura tidak tahu apa-apa langsung.
            “Janganlah buat tak tahu. Mengenai tawaran bekerja di pejabat gabenor. Itulah yang diharapkan oleh ibu kamu.”
            “Maaf. Saya tidak layak bekerja di situ.”
            “Tidak layak? Saya tidak menawarkan jawatan sebagai kerani atau pembantu tadbir. Cuma ditugaskan membantu tukang masak dan menghantar makanan kepada tuan gabenor. Itu sahaja.”
            “Saya lebih suka hidup sebegini tanpa dikongkong oleh sesiapa.”
            “Termasuklah ibu kamu. Begitu?” Kening Venius terangkat. Sukar memahami sikap dan fi’il Jaster. Jawapan dari Jaster tadi ada kalanya boleh mendatangkan kemarahan oleh sesetengah orang.
            “Sampai bila kamu ingin hidup begini? Hidup sehingga gigi kamu luruh dan rambut di kepala beruban. Kamu tidak berfikir untuk hidup berkeluarga? Memiliki seorang isteri yang cantik dan anak-anak yang comel. Tiada perancangan untuk membina sebuah rumah yang selesa?” Nada Venius mula berubah. Kesabarannya terhadap Jaster sudah melebihi had yang ditetapkan.
            “Terima kasihlah kerana mengambil berat terhadap saya. Lagi pun saya juga mempunyai cita-cita tersendiri yang masih belum tercapai setakat ini.”
            “Apa cita-cita kamu?” Tanya Venius dengan nada sindiran.
            “Ingin menjadi adiwira yang hebat. Bolehlah membantu orang lain yang kesusahan.” Jawapan dari Jaster menyebabkan Venius ketawa terbahak-bahak dengan kuat. Sehinggakan beberapa ekor burung yang duduk bertenggek pada pokok-pokok berdekatan terbang melarikan diri.
            “Venius, saya amat serius.” Marah Jaster.
            “Menjadi adiwira? Dengan tubuh yang kurus dan kecil ini ada hati untuk membantu orang lain? Terlebih dulu kamu sepatutnya membantu diri sendiri. Membaiki taraf kehidupan yang semakin terumbang-ambing. Barulah memikirkan bagaimana membantu orang lain. Faham...?” Sindir lagi Venius.
            Jaster mula tidak berasa selesa bila menerima ejekan dan sindiran yang tidak putus-putus terjah ke telinganya. Semakin dia mendiamkan diri, semakin kuatlah ketawa Venius. Jaster hanya memerhatikan gelagat Venius yang berguling-guling di atas rumput sambil memegang perutnya.
            “Adiwira? Ha...ha...ha...!!” Apabila Jaster sudah mula tidak tahan akan ejekan yang berbisa, lantas dia bangun dari tempat duduknya sebelum menundingkan jarinya ke arah Venius.
            "Janganlah merendah-rendahkan keupayaan saya. Saya berjanji akan membuktikan kebolehan saya untuk membantu orang yang kesusahan. Silap-silap, kamu pula terpaksa dibantu oleh saya. Percayalah nanti!" Jaster terus meninggalkan Venius yang masih terpingga-pingga. Mungkin sikapnya yang melampau menyebabkan Jaster berkecil hati dan merajuk. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.