Jumaat, 28 Jun 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 3)

Anak gabenor daerah Orenburg
         Perkarangan dewan orang ramai berubah wajah. Ia dipenuhi khemah dan bengkel tukang besi yang sibuk menjalankan tugasnya. Tuan Alifey sentiasa mengikuti perkembangan terkini pembikinan senjata yang amat diperlukan. Sedang asyik berbual dengan salah seorang tukang besi di situ, kedengaran bunyi rengekan kuda dengan diselangi sorakan gembira. Kemudian, terdengar lagi seseorang menjerit ke arahnya.
            “Bantuan dari daerah Orenburg sudah tiba...!” Wajah ceria mula terpancar bila mendengar perkhabaran gembira berkenaan. Lantas Tuan Alifey segera bertemu dengan sekumpulan tetamu yang menunggu di luar pagar.
            Jika dilihat gaya serta cara pemakaian si tetamu itu, jelaslah mereka adalah bukan sebarangan orang. Bertopi jerami, jubah poncho berwarna kelabu dan berkasut kulit paras lutut. Sebilah pedang dan sepucuk terakol tersisip kemas pada sarungnya dipinggang masing-masing. Mereka juga dilengkapi istinggar sebagai senjata tambahan.
            “Benni?” Tuan Alifey seperti mengenali salah seorang tetamu berkenaan. Seorang pemuda yang agak menonjol tampil di hadapan Tuan Alifey dengan gaya seperti seorang jagoan penembak tepat.
            “Tuan Alifey? Apa khabar?” Jejaka bernama Benni menyambut salam dari Tuan Alifey.
            “Saya sihat. Ayah kamu apa khabar?”
            “Sihat juga. Ayah turut mengirimkan bekalan kepada tuan. Lihatlah di sini.” Benni membawa Tuan Alifey bagi melihat sendiri bekalan bantuan yang dibawanya. Terdapat sembilan ekor kuda yang membawa lapan belas kotak kayu yang mengandungi istinggar dan peluru.
            “Seperti yang kamu tahu. Tentera Filgaria akan menakluki negeri kita pada bila-bila masa sahaja. Oleh sebab daerah Kota Biru bersempadan dengan negeri mereka, saya bertanggung jawab sepenuhnya untuk menyekat mereka dengan apa cara sekali pun.” Tuan Alifey membawa Benni meninjau sekitar bengkel besi di situ.
            Para tukang dan pekerjanya sibuk menempa pelbagai senjata yang diperlukan. Setiap tugasan dibahagikan mengikut kepakaran masing-masing. Ada ditugaskan menempa pedang, menempa mata tombak, menyediakan acuan dan ada ditugaskan untuk mencairkan besi dan tembaga di relau yang telah dibina khas.
            “Tuan Alifey usah khuatir. Bantuan seterusnya akan tiba tidak lama lagi. Kami adalah pasukan pendahulu sebelum bantuan dari daerah lain menyusul. Setakat mana persiapan pihak tuan? Saya nampak di sini amat sibuk.” Benni mengipas-ngipas wajahnya yang berpeluh dengan topinya.
            “Setakat ini semuanya berjalan lancar. Kami menggunakan bahan-bahan yang sedia ada termasuklah bahan yang dikitar semula. Kami cuma memerlukan lebih banyak bahan logam untuk membuat meriam sahaja.”
            “Tidak perlu bersusah-payah, Tuan Alifey. Dengan izin Tuhan bantuan yang tuan inginkan pasti sampai. Saya jamin.” Benni tersenyum sambil menepuk bahu Tuan Alifey.
            “Terima kasih, Benni. Terima kasih.” Tuan Alifey terhutang budi akan bantuan dari Benni. Mereka berdua terus meninjau persekitaran sehinggalah didatangi seorang lelaki yang berjubah kerudung hitam.
            “Maafkan saya. Boleh saya berbicara dengan Tuan Alifey sebentar?” Tanya lelaki itu dengan sopan. Tuan Alifey tidak berasa terganggu dan dia hanya mengganguk sebelum memandang ke arah Benni.
            “Saya fikir elok kamu semua berehat di rumah tetamu. Saya akan arahkan pembantu saya menyediakan segala kemudahan yang kamu perlukan.”
            “Baiklah. Kita bertemu kembali esok pagi. Selamat malam.” Ucap Benni.
            “Selamat malam, Benni.” Jawab Tuan Alifey. Setelah Benni dan ahli rombongan yang lain beredar, Tuan Alifey mendekati lelaki tadi.
            “Tuan. Memang benar apa yang tuan jangkakan.” Bisik lelaki itu ke telinga Tuan Alifey. Tuan Alifey mengerut dahinya seperti dia menerima maklumat yang tidak diingini seumur hidup.

            Menjelang tengah hari, Marsha pulang ke rumah agamnya dengan hati yang lapang selepas tamat sahaja kelas mengait benang. Sudah tiba masanya dia akan mempraktikkan apa yang dia pelajari selama ini. Ketika Marsha melintasi bilik bacaan berdekatan dengan ruang tamu, Tuan Alifey memanggilnya.
            “Adik, boleh abang bertanya sesuatu kepada adik?” Tanya Tuan Alifey.
            “Mengenai apa, abang?” Keadaan di bilik bacaan amat melegakan. Bunyi detikan jam antik memberi irama yang mendebarkan di dalam hati Marsha. Mengapa abangnya dalam keadaan berlainan dari hari sebelumnya? Wajah Tuan Alifey agak serius seolah-olah Marsha telah melakukan kesalahan berat.
            “Abang ingin tahu, apa hubungan adik dengan seorang lelaki bernama Venius? Abang mahu adik menjawab soalan ini dengan sejujurnya.”
            “Hanya sebagai kawan sahaja. Mengapa abang ingin tahu perkara ini dan dari mana abang mengetahui adik berkawan dengan Venius?” Marsha kehairanan bila melihat tingkah-laku abangnya yang mencurigakan.
            “Itu semua tidak penting. Abang tidak berapa setuju jika adik berkawan dengan Venius. Kerana dia datang dari golongan bawahan. Jika adik berbuat demikian, nescaya keluarga kita akan mendapat malu dimata masyarakat. Memalukan nenek moyang kita. Adalah lebih baik jika abang menjodohkan adik dengan Benni. Anak gabenor daerah Orenburg. Lagi pun dia berasal dari keturunan orang yang baik.”
            “Jadi, Venius berasal dari keturunan yang tidak baik? Begitu?” Marsha membesarkan bola matanya ke arah Tuan Alifey.
            “Bukan begitu maksud abang. Abang...”
            “Abang lebih pentingkan kedudukan darjat berbanding hati adik. Abang lebih pentingkan maruah dan harga diri berbanding kebahagiaan adik. Lagi satu. Mahu menjodohkan adik dengan Benni? Adik pun tidak kenal siapa dia dan belum pernah bertemu.” Suara Marsha semakin tinggi. Ini menarik perhatian Puan Olif, ibu kepada Tuan Alifey dan Marsha yang berada di dapur. Dengan langkah berhati-hati, Puan Olif keluar menuju ke bilik bacaan untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.
            “Dengar sini, Marsha. Abang tidak teragak-agak untuk memecat Venius dan menyingkirkan dia dari daerah Kota Biru. Bukan itu sahaja. Abang akan merancang untuk memerangkap dia dengan membuat pertuduhan bahawa dia adalah pengintip Filgaria. Adik sudah faham apa hukuman terhadap mereka yang menjadi tali barut dan pengintip bagi pihak musuh? Iaitu hukuman gantung sampai mati.” Marsha terkejut dengan tindakan yang bakal dikenakan terhadap Venius oleh Tuan Alifey.
            “Sampai begitu sekali abang mahu menganiayai Venius semata-mata ingin menjaga maruah keluarga? Kalau abang mahu berbuat demikian, dipersilakan. Tetapi perlu diingat, abang juga mendapat malu bila perkara ini didedahkan kepada umum!” Panas hati Marsha bila dia menerima ugutan dari abangnya sendiri.
            “Ibu tidak setuju jika kamu berbuat demikian terhadap adikmu.” Tegah Puan Olif dengan nada perlahan . Tuan Alifey pula terkejut bila ibunya muncul secara tiba-tiba di muka pintu masuk bilik bacaan. Dengan tergesa-gesalah Tuan Alifey berdiri dari tempat duduknya bila melihat wajah Puan Olif memancarkan kemarahannya.
            “Er... Ibu. Sebenarnya saya...”
            “Usahlah berdalih lagi. Ibu sudah pun tahu apa yang berlaku sejak awal tadi. Ibu amat kecewa bila mengetahui tindakan bakal dilakukan untuk menganiayai Venius jika dia meneruskan hubungannya dengan Marsha. Beginikah caranya seorang gabenor menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya?” Puan Olif berjalan perlahan ke sisi Marsha.
            “Tetapi ibu, Venius bukanlah setaraf dengan kita. Dahulu bukankah ibu selalu menegaskan kepada kami betapa perlunya kesinambungan keturunan dari golongan bangsawan yang gemilang. Menjaga nama baik demi menjaga maruah keluarga.”
            “Memang benar, Alifey. Tetapi ketika itu ayah dan datukmu masih hidup. Mereka berdua terlalu memegang teguh terhadap tradisi berkenaan. Setelah mereka tiada, sudah tiba masanya tradisi yang tidak relevan ini mesti dimansuhkan.” Puan Olif memandang ke arah Marsha dan tersenyum.
            “Sayang, dengar sini. Esok bawalah Venius bertemu dengan ibu. Ibu ingin berkenalan dengannya. Ibu yakin dia adalah pemuda yang baik dan mampu membahagiakan Marsha.” Harapan mulai cerah bila mendengar pelawaan ibunya. Kegembiraan di hati Marsha tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Kemudian, Puan Olif memandang ke arah Tuan Alifey pula.
            “Dan kamu pula Alifey. Seandainya terjadi sesuatu yang tidak diingini terhadap Venius, kamulah orang yang pertama ibu cari. Mengerti?!”
           "Mengerti, ibu." Tuan Alifey menundukkan kepalanya.
        Dia tidak berani memandang wajah Puan Olif. Terasa dirinya ditampar dengan kuat apabila ibunya menyebelahi Marsha dan Venius, si pemuda dari golongan bawahan yang tidak memiliki apa-apa langsung. Adakalanya Tuan Alifey berasa musykil. Mengapa ibunya berubah pendirian secara tiba-tiba? [Bersambung...]
            
Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Tiada ulasan: