Selasa, 25 Jun 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 2)

Mesyuarat tergempar sedang berlangsung

             Tidak sampai waktu tengah hari, seluruh daerah Kota Biru kecoh bila menerima perkhabaran yang menakutkan. Pelbagai reaksi dapat dilihat di setiap wajah warga daerah berkenaan. Ada yang masih tidak percaya akan perkhabaran tersebut dan ada juga masih tidak mengendahkannya. Bahkan masih meneruskan kegiatan harian di ladang serta menguruskan perniagaan seperti biasa. Di pejabat gabenor, seluruh ahli jawatankuasa daerah Kota Biru serta para pemimpin setempat yang dipanggil sebelum ini bersemuka dengan Tuan Alifey untuk membincangkan masalah berkenaan.
            “Tuan, oleh kerana daerah ini agak terpencil dari daerah-daerah yang lain serta bersempadan dengan negeri seteru yakni Filgaria, kita perlu mengambil tindakan segera demi menghalang mereka dari menceroboh negeri kita.” Kata seorang ketua kampung yang berusia lewat 50an.
            “Memang benar kata Encik Lugos. Daerah Kota Biru adalah satu-satunya jalan masuk yang sesuai ke negeri kita. Mustahil mereka hendak melalui pergunungan yang merbahaya di sekitar daerah lain. Langkah terbaik yang perlu kita lakukan adalah mempertahankan daerah ini sementara menunggu bantuan ketenteraan dari ibu negeri.” Sokong seorang lagi ketua kampung.
            Suara para hadirin mula menguasai bilik persidangan. Masing-masing ingin meluahkan pendapat mengenai apa yang dikatakan oleh rakan sejawatannya. Apabila keadaan berlanjutan, dengan segeralah Tuan Alifey berdiri dari tempat duduk pengerusi untuk menenangkan keadaan.
            “Sila bertenang tuan-tuan yang dihormati. Kita perlu menyelesaikan masalah ini bersama-sama. Saya amat setuju dengan apa yang dikatakan rakan kita tadi. Semenjak saya menerima berita mengenai tentera Filgaria mula menghampiri sempadan, saya berusaha memikirkan apa perancangan terbaik yang perlu saya lakukan demi menyelamatkan daerah Kota Biru dan negeri Radessia keseluruhannya. Tetapi, sehingga kini saya gagal mencari jalan penyelesaiannya. Bencana sebegini terlalu besar. Ini bukannya bencana alam. Ini adalah bencana yang boleh memusnahkan masa depan dan mencemarkan kedaulatan negeri Radessia. Saya khuatir dengan penaklukan Filgaria ke atas negeri kita, masa depan anak-cucu kita akan terjejas.”
            Suasana sunyi mula menyelubungi bilik persidangan. Ratusan pasang mata masih tertumpu ke arah Tuan Alifey. Venius yang bertugas sebagai tukang kebun pejabat gabenor hanya berdiri di sebalik daun pintu masuk bilik persidangan. Memerhatikan situasi yang agak genting ketika ini. Genting kerana perlu mencari jalan penyelesaian dalam masa yang singkat.
            “Bagaimana pula dengan daerah lain? Adakah kita perlu meminta bantuan dari mereka?” Tanya seorang pemuda dengan wajah yang agak cengkung.
            “Saya telah pun mengirimkan beberapa pucuk surat ke daerah-daerah lain untuk meminta bantuan termasuklah ke ibu negeri. Sehingga kini saya masih belum menerima sebarang maklum balas.” Jawab Tuan Alifey.
            “Jika begitu, kita tidak perlu bergantung kepada bantuan dari daerah lain semata-mata. Kita sepatutnya memulakan langkah yang drastik demi keselamatan daerah kita.” Seorang lagi tetamu memberi pendapatnya. Kini, kebuntuan pula menguasai keadaan. Tidak tahu apa lagi yang mereka perlu lakukan.
            Tidak lama kemudian, seorang lelaki tua yang duduk tidak jauh dari Tuan Alifey berada mula bangun. Berkulit cerah, tegap dan kepalanya hampir botak. Namun, raut wajahnya menampakkan seperti seorang pahlawan yang sekian lama menunggu untuk berbakti kepada masyarakat.
            “Tuan Alifey. Saya sudah berkhidmat di dalam tentera Diraja Radessia selama 30 tahun dan sudah pun bersara pada lima tahun yang lalu. Dengan pengalaman yang saya miliki, saya berjanji akan melatih golongan belia di daerah ini dengan bersungguh-sungguh demi mempertahankan tanah air. Saya juga mewakili rakan-rakan pesara tentera Diraja Radessia bersedia untuk kembali berkhidmat.” Kata lelaki itu.
            Selepas itu, seorang demi seorang menawarkan diri untuk membantu mempertahankan daerah Kota Biru. Ada yang menawarkan khidmat membuat senjata, logistik, bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membuat pakaian seragam. Akhirnya, hasil perbincangan telah diputuskan sebulat suara. Seluruh tenaga warga daerah Kota Biru perlu dikerah dengan segera tanpa membazirkan masa. Seusai sahaja mesyuarat tergempar, para tetamu bergegas pulang bagi membuat persediaan untuk menghadapi kemaraan musuh. Menjelang senja pula, beribu helai poster telah siap dicetak untuk diedarkan di seluruh daerah. Poster berkenaan menyiarkan pengumuman pengambilan rekrut sukarelawan bagi kaum lelaki yang sihat berumur dari 17 dan ke atas. Mereka perlu mendaftarkan diri di rumah ketua kampung masing-masing.
           
            Seorang gadis berlari keluar dari rumah agamnya menuju ke sebuah taman bunga yang terletak di seberang jalan. Gadis itu seperti mencari seseorang. Dia memakai sepasang gaun berwarna biru langit dan sehelai selendang merah jambu yang dililit pada lehernya. Sungguh jelita gadis berkenaan. Barang siapa dapat memilikinya, nescayalah jejaka itu amat bertuah.
            “Ke mana dia sekarang? Janji berjumpa pada pukul 4 petang. Sekarang sudah pukul berapa?” Gadis itu keresahan. Wajahnya cemas bagaikan ibu kucing kehilangan anak. Tanpa disedari, datanglah seorang lelaki dengan gaya seperti mahu menerkam gadis berkenaan dari arah belakang.
            “Abang datang...” Gadis itu terkejut dan hampir menumbuk wajah lelaki misteri tadi.
            “Kamu sering muncul secara tiba-tiba! Menyusahkan betul Venius!” Gadis itu mula merajuk. Venius tersenyum bila melihat buah hatinya merajuk terhadapnya.
            “Ala... Janganlah marah, Marsha. Saya berjanji tidak akan muncul secara tiba-tiba pada masa akan datang.”
            “Janji... janji...! Kamu lebih suka menabur janji. Minggu lepas kamu muncul secara tiba-tiba ketika saya menjamah roti. Nasib baik saya tidak tercekik.” Marsha mendengus kemarahan. Tetapi Venius masih mampu tersenyum sedangkan dia tahu Marsha betul-betul marahkan dia.
            “Marsha, dengar sini. Kali ini amat serius. Dalam masa beberapa hari nanti kita mungkin sukar untuk bertemu seperti sekarang ini.” Penjelasan dari Venius menyebabkan kemarahan Marsha tidak berlanjutan
            “Mengapa, Venius? Adakah disebabkan arahan yang dikeluarkan oleh abang saya kelmarin?” Mereka berdua senyap seketika. Hanya irama alam sahaja yang mengisi ruang.
            “Ya, Marsha. Arahan dari abangmu tidak boleh ditangguhkan begitu sahaja. Lagi pun ada perkara yang perlu selesaikan dan lebih penting dari hubungan kita.”
            “Jadi, selama ini hubungan kita tidak penting. Begitu?”
            “Bukan begitu maksud saya. Hubungan kita memanglah penting. Cuma saya perlu mengutamakan tanggungjawab saya sebagai warga daerah ini. Sehingga kini, hubungan kita masih dapat bertahan tanpa dikesan oleh abangmu.” Wajah Tuan Alifey terbayang diminda Venius. Orangnya tegas dalam tanggungjawab sebagai seorang gabenor menjadikan dia seorang yang dihormati oleh penduduk daerah Kota Biru.
            “Lagi satu kebimbangan saya. Kita perlu mendapat restu darinya. Walau pun ibu masih ada, sebagai anak yang sulung, abang diamanahkan untuk menjaga saya walau apa cara sekali pun.” Venius termenung sejenak bila mendengar penjelasan dari Marsha. Tetapi, setiap permasalahan tersebut pasti ada jalan penyelesaiannya.
            “Saya ada satu cadangan. Apa kata kita mendapatkan restu dari ibumu terlebih dahulu dan menerangkan kepadanya mengenai hubungan kita secara jujur. Andai abangmu membantah, ibumu dapat mempertahankan kita.” Giliran Marsha pula terdiam seketika sebelum menatap wajah Venius.
             "Baiklah. Saya perlukan masa yang sesuai untuk berbincang dengan ibu. Jika boleh, Venius ikut bersama. Bagaimana?" Tanya Marsha. Menantikan jawapan yang akan diberikan oleh Venius pada bila-bila masa.
               Tanpa mereka sedari, sepasang mata sedang memerhatikan mereka berdua dengan penuh syak wasangka di sebalik rimbunan semak. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
           

Tiada ulasan: