Khamis, 29 Disember 2011

Menghitung Detik Yang Berlalu...

Pejam celik tanpa kita sedari, tahun 2011 bakal menutup tirai. Pelbagai peristiwa tidak kira suka, duka, pelik, tidak pelik, jelik dan bermacam lagi mewarnai tahun berkenaan. Antara paling berkesan di hati masing-masing khususnya umat Islam adalah kematian tragis pemimpin Libya yang digeruni pihak barat, Muamar Ghadaffi.

Beliau maut di tangan rakyatnya sendiri dan kematian beliau disiarkan di kaca televisyen seluruh dunia. Mungkin, para pemimpin barat terutama Amerika Syarikat serta 'anak haram'nya, Israel, sudah tentu dapat tidur dengan lena. Kemudian, tidak sampai beberapa hari tumbangnya Ghadaffi, negara-negara barat mula membuka kembali pejabat kedutaan dengan megah. Ini memudahkan lagi urusan mereka menyedut keluar 'emas hitam' dari bumi Libya.

Terbaru, nasib yang sama turut menimpa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il. Cuma keadaan kematiannya agak 'lembut' sikit. Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam koc VIP keretapi. Tempat beliau digantikan oleh anaknya, Kim Jong Un yang berusia sekitar 20an. Pihak luar berasa was-was akan keupayaan pemuda setahun jagung ini untuk mentadbir sebuah negara komunis yang misteri dan berpopulasi sebanyak 24 juta orang. Para pemerhati politik berharap anaknya akan melakukan perubahan politik dan dasar luarnya walau pun secara perlahan. Kita di sini cuma tunggu dan lihat sahaja.

Bencana alam pula mendapat perhatianku secara peribadi. Negara Jepun. Sebuah negara yang amat aku sukai ditimpa musibah akibat gempa bumi dan tsunami. Daerah Fukushima bergegar dengan kekuatan kalau tidak silap lebih 8 richter. Kesannya boleh dirasai ke ibu negara, Tokyo. Kemudian, tsunami atau ombak gadang pula yang datang sehinggakan para penduduknya menyelamatkan diri ke bukit serta ke bangunan-bangunan tinggi. Walau bagaimana pun, aku tetap kagum akan rakyat Jepun yang tabah dan segera bangkit dari kemusnahan. Mereka berdisiplin sehinggakan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman, mereka berbaris dengan penuh sabar.

Peristiwa manis atau menggembirakan pula sukar untuk aku ingat sebab tidak banyak yang menarik perhatian kecuali satu iaitu majlis perkahwinan Putera William yakni anakanda Putera Charles dengan mendiang Puteri Diana. Pasangan mempelainya minta maaflah sebab aku tidak berapa ingat sangat namanya. Apa yang aku tahu, dia berasal dari golongan pertengahan yang bapanya adalah seorang bekas juruterbang British Airways. Berita baik yang kita terima dari sebuah stesyen televisyen pertengahan bulan ini menyatakan pasangan diraja ini akan datang melawat ke nagara kita ini pada tahun depan, 2012. Best, bukan?

Di dalam negara tidak kurang hebatnya. Perhimpunan Bersih di ibu kota berjaya menggoncangkan pentadbiran Najib walau pun disekat dengan teruk oleh pasukan keselamatan. Rakyat jelata sebenarnya sudah tahu apa peranan atau hubungan 'sulit' antara Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR dengan kerajaan pentadbiran Najib. Selepas ini, pastinya diadakan perhimpunan terhebat pada tahun hadapan.

Lagi satu. Bila sebut pasal sukan, sudah tentu kita mengingati bagaimana skuad Harimau Muda berjaya menjinakkan skuad Garuda dalam perlawanan akhir Sukan SEA. Menang melalui sepakan penalti, kita telah merobohkan tembok keegoan tuan rumah yang asyik mengganggu para anggota atlet dan pegawai kita. Sekarang, barulah tahu berapa tinggi atau rendah antara langit dengan bumi.

Aku berharap tahun 2012 akan mendatangkan rezeki yang lebih baik dan tahun itulah kita sebagai umat Islam berharap agar semuanya selamat sebab pelbagai khabar angin yang dihebahkan oleh pihak barat mengenai hari kiamat adalah palsu belaka. Mungkin itu adalah senjata yang mampu menggoyahkan iman umat Islam. Wallahualam...


Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa. 

Sabtu, 24 Disember 2011

Kekasihku Laila

Katakanlah wahai kekasihku Laila
Mengapakah kau bersedih duka
Dengan hati yang resah dan gelisah
Bagaikan ombak bergelora menghempas pantai

Janganlah kau termenung lagi
Kelak nanti binasa diri
Fikiranmu akan berkecamuk
Andai kau mengenang memori luka

Wahai kekasihku Laila
Tidak mungkin aku pergi meninggalkan kau bersendirian
Tidak mungkin aku mempersia-siakan baktimu
Tidak mungkin aku mencari penggantimu

Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Khamis, 22 Disember 2011

Mengecapi Kebahagiaan


Menyusuri jalan yang berliku
Merentasi hamparan hijau yang tanpa apa-apa pun
Menuju ke sebuah banjaran yang dipenuhi harapan
Harapan untuk mengecapi kebahagiaan yang kekal abadi

Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Jumaat, 16 Disember 2011

Mereka Yang Terlalu Yakin...

Sejak 29 November sehinggalah 3 Disember lalu aku berasa sangat bosan. Entahlah. Dari mana datangnya perkataan itu, aku sendiri pun tak tahu. Mana tidaknya, setiap hari media arus perdana lebih banyak menyiarkan laporan berita perhimpunan sebuah parti politik berusia 65 tahun yang cukup gah di mata rakyat jelata.

Para perwakilan dari semua bahagian diberi peluang untuk berucap dan berbahas dengan pelbagai isu atau perkara yang telah ditetapkan. Apa yang menariknya ialah mereka berucap sambil diselangi dengan berpantun, gurindam, menyanyi, berlawak jenaka dan bersyair pun ada.

Tidak habis di situ, ucapan presidennya lebih hebat (lebih hebat dari Adolf Hitler). Berdentam-dentum sambil merendah-rendahkan keupayaan pihak lawan tanpa berselindung dan rasa bersalah. Dengan penuh berkeyakinan bahawa mereka pasti menang dalam pilihanraya umum ke 13 pada tahun 2012. Pada masa yang sama mereka menghentam hal ehwal peribadi dalam ucapan berapi-api yang turut disiarkan secara langsung dan di saluran berita pada waktu perdana.

Tanpa disedari, mereka sebenarnya mendedahkan ‘pekung di dada’ yang teramat busuk dari dalam diri mereka. Ini menunjukkan perangai sebenar golongan yang memperjuangkan kepentingan rakyat jelata khususnya orang Melayu. Mereka seolah-olah ‘suci’ dari dosa yang mereka cipta demi mendapatkan majoriti dua pertiga suara rakyat melalui kertas undi.

Pada pendapat aku, mereka terlalu yakin yang teramat sangat bahawa rakyat sudah mula berpihak kepada mereka walau pun aku tidak pasti berapa peratus jumlahnya. Yang pasti, rakyat pada hari ini terutama golongan muda semakin bijak untuk menilai yang mana permata atau kaca. Tepuk dada, tanyalah iman.


Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Saman Oh Saman....!

"Haram jadah!" Itulah ayat pertama terpancul dari mulut aku ketika di tahan oleh sekumpulan jembalang biru gelap seramai lima anggota (kalau tak silap aku). Dengan cara menyorokkan diri ke dalam kawasan gelap terutama di bawah tiang lampu jalan yang tidak berfungsi, ini memudahkan mereka mencari mangsa. Laluan tersebut menjadi kebiasaan kepada para pengguna yang tinggal di kawasan pangsapuri berdekatan menuju ke kedai.

Pada masa yang sama, aku bersedia dengan sebatang pen, buku nota serta telefon bimbit berkamera untk mencatat nama serta nombor pengenalan anggota. Manalah tahu kalau mereka sengaja menimbulkan masalah seperti meminta suapan, bersikap biadap kepada mangsa saman dan sebagainya. Bolehlah aku merekodkan segala-galanya sebagai bukti untuk menyaman mereka kembali dengan tuntutan sebanyak RM 20 juta!

Aku kena saman oleh jembalang biru tua ketika menunggang sebiji kapcai menuju ke kedai gunting rambut pada pukul 9.40 malam tadi (sebelum menulis ke dalam blog ini). Ini saman kedua dengan kesalahan yang sama iaitu masuk jalan sehala dalam tahun 2011. Dipendekkan cerita, terbanglah duit aku kali kedua dengan berjumlah keseluruhannya adalah RM 600, campur dengan saman pertama sebanyak RM 300.

Dalam fikiran aku, muncul dua persoalan yang mungkin masyarakat tahu atau belum tahu di luar sana. Ke mana perginya wang hasil kutipan saman? Apa kegunaan sebenar wang berkenaan? Sebelum ini sering kita dengar dan lihat pelbagai operasi sekatan jalan raya untuk mengesan pesalah-pesalah trafik serta mengeluarkan surat saman. Surat saman ibaratkan seperti surat rasmi untuk meminta derma terhadap orang ramai agar membantu mereka kerana ketiadaan simpanan wang yang banyak.

Tetapi, tidak mengapalah jika kita gagal membongkar ke mana perginya wang hasil kutipan saman dalam masa terdekat. Lambat-laun, ia akan terdedah dalam masa sepuluh, dua puluh atau seratus tahun akan datang. Manalah tahu...


Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Selasa, 6 Disember 2011

Insan Istimewa Di Pasar Seni

Ketika aku lepak di Pasar Seni pada akhir bulan Oktober lalu, aku ternampak seorang lelaki yang kurang berakal ( dalam bahasa kasar ialah gila!) sedang melakukan aktiviti yang menarik perhatian orang awam di situ. Dia berusia awal 30 an dan sihat tubuh badan. Dia duduk di bawah sebatang pokok yang rendang berusia lebih 100 tahun sambil menyanyikan beberapa buah lagu dengan nada yang lantang serta sumbang.

Rambutnya kusut-masai. Dari segi pemakaiannya pula menarik perhatianku. Dia memakai sepasang kot kelabu seperti mana yang sering dipakai oleh golongan profesional dalam dunia korporat. Di dalamnya memakai kemeja kolar bulat jenama pagoda yang lusuh serta berkaki ayam.

Bila melihat keadaan lelaki itu, aku mula tertanya-tanya. Mengapa dia menjadi sedemikian? Adakah dia sebelum ini seorang lelaki yang normal seperti orang lain, berkerjaya tetap dan memiliki segulung ijazah dari universiti atau kolej? Atau sejak dilahirkan, dia mengalami kecacatan mental sehinggakan dia disisih oleh ahli keluarganya? Aku sendiri kurang pasti.

Lelaki itu adalah salah seorang ribuan insan yang kurang bernasib baik di Kuala Lumpur. Itu belum dikira lagi sekitar Malaysia. Dia juga salah seorang yang berperanan penting mewarnai kehidupan harian ibukota. Menghiasi pelbagai ragam serta gelagat yang boleh kita menimba pengajaran agar tidak leka mengejar arus pembangunan dan materialistik.


Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Sabtu, 3 Disember 2011

Orang Melayu Yang Tidak Tahu Berbahasa Melayu?

"Mummy, look at this. It's so cute." Suara manja seorang gadis Melayu berusia 16 tahun mencuri perhatianku. Gadis itu bersama ibunya sibuk membeli-belah di Suria KLCC .

"Yes, dear. It's look nice for you." Sahut ibunya dengan nada dan irama yang agak kemelayuan. Apa yang menarik terhadap gadis itu adalah dia begitu fasih berbahasa Inggeris tanpa cacat cela. Ditambahkan lagi yang dia boleh bertutur dalam dialek Amerika Syarikat.

Aku yakin pengaruh berbahasa Inggeris yang diamalkan seharian ini datang dari ibu bapanya. Mungkin orang tuanya pernah menuntut di negara Uncle Sam suatu ketika dahulu. Atau pun, ibu bapanya menjawat jawatan penting dalam organisasi swasta yang mengutamakan komunikasi dalam bahasa Inggeris. Siapa tahu?

Selain itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga diambil kira. Kawannya yang datang dari pelbagai kaum mustahil boleh berbahasa Melayu. Jadi, kenalah berbahasa Inggeris agar mudah berbual dengan mereka. Tidak ketinggalan faktor keadaan sekeliling. Contohnya, papan iklan di ceruk ruang pusat membeli-belah terkemuka ini dipenuhi bahasa Inggeris. Jarang benar untuk meletakkan bahasa Melayu.

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai khususnya remaja Melayu yang tinggal, mendiami dan berasal dari kawasan aristokrat, konglomerat dan urban tidak fasih berbahasa Melayu. Kalau boleh berbual dalam bahasa Melayu pun, hampir 45 peratus perkataan Inggeris pasti diselitkan. Mereka perlulah dipupuk sejak lagi untuk mengamalkan bahasa kebangsaan yang sering diperjuangkan oleh pejuang-pejuang bahasa terdahulu. Janganlah hanya kerana menjaga status dan 'standard' diri mereka sebagai golongan berada, sanggup menyisihkan bahasa Melayu yang dahulunya pernah menjadi bahasa perdagangan di zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ini barulah permulaan. Selepas bahasa Melayu terhakis sedikit demi sedikit, jati diri serta maruah bangsa Melayu sudah tentunya luntur. Jangan terkejut di masa akan datang nanti generasi muda Melayu yang tinggal di lokasi yang aku sebut tadi tidak mengaku dirinya bangsa Melayu tetapi mengaku dirinya bangsa Perancis, British, Spain dan sebagainya. Sehinggakan tidak mengenali tempe, belacan, budu, cencalok, tempoyak dan sayur ulaman.


Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.