Pejam celik tanpa kita sedari, tahun 2011 bakal menutup tirai. Pelbagai peristiwa tidak kira suka, duka, pelik, tidak pelik, jelik dan bermacam lagi mewarnai tahun berkenaan. Antara paling berkesan di hati masing-masing khususnya umat Islam adalah kematian tragis pemimpin Libya yang digeruni pihak barat, Muamar Ghadaffi.
Beliau maut di tangan rakyatnya sendiri dan kematian beliau disiarkan di kaca televisyen seluruh dunia. Mungkin, para pemimpin barat terutama Amerika Syarikat serta 'anak haram'nya, Israel, sudah tentu dapat tidur dengan lena. Kemudian, tidak sampai beberapa hari tumbangnya Ghadaffi, negara-negara barat mula membuka kembali pejabat kedutaan dengan megah. Ini memudahkan lagi urusan mereka menyedut keluar 'emas hitam' dari bumi Libya.
Terbaru, nasib yang sama turut menimpa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il. Cuma keadaan kematiannya agak 'lembut' sikit. Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam koc VIP keretapi. Tempat beliau digantikan oleh anaknya, Kim Jong Un yang berusia sekitar 20an. Pihak luar berasa was-was akan keupayaan pemuda setahun jagung ini untuk mentadbir sebuah negara komunis yang misteri dan berpopulasi sebanyak 24 juta orang. Para pemerhati politik berharap anaknya akan melakukan perubahan politik dan dasar luarnya walau pun secara perlahan. Kita di sini cuma tunggu dan lihat sahaja.
Bencana alam pula mendapat perhatianku secara peribadi. Negara Jepun. Sebuah negara yang amat aku sukai ditimpa musibah akibat gempa bumi dan tsunami. Daerah Fukushima bergegar dengan kekuatan kalau tidak silap lebih 8 richter. Kesannya boleh dirasai ke ibu negara, Tokyo. Kemudian, tsunami atau ombak gadang pula yang datang sehinggakan para penduduknya menyelamatkan diri ke bukit serta ke bangunan-bangunan tinggi. Walau bagaimana pun, aku tetap kagum akan rakyat Jepun yang tabah dan segera bangkit dari kemusnahan. Mereka berdisiplin sehinggakan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman, mereka berbaris dengan penuh sabar.
Peristiwa manis atau menggembirakan pula sukar untuk aku ingat sebab tidak banyak yang menarik perhatian kecuali satu iaitu majlis perkahwinan Putera William yakni anakanda Putera Charles dengan mendiang Puteri Diana. Pasangan mempelainya minta maaflah sebab aku tidak berapa ingat sangat namanya. Apa yang aku tahu, dia berasal dari golongan pertengahan yang bapanya adalah seorang bekas juruterbang British Airways. Berita baik yang kita terima dari sebuah stesyen televisyen pertengahan bulan ini menyatakan pasangan diraja ini akan datang melawat ke nagara kita ini pada tahun depan, 2012. Best, bukan?
Di dalam negara tidak kurang hebatnya. Perhimpunan Bersih di ibu kota berjaya menggoncangkan pentadbiran Najib walau pun disekat dengan teruk oleh pasukan keselamatan. Rakyat jelata sebenarnya sudah tahu apa peranan atau hubungan 'sulit' antara Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR dengan kerajaan pentadbiran Najib. Selepas ini, pastinya diadakan perhimpunan terhebat pada tahun hadapan.
Lagi satu. Bila sebut pasal sukan, sudah tentu kita mengingati bagaimana skuad Harimau Muda berjaya menjinakkan skuad Garuda dalam perlawanan akhir Sukan SEA. Menang melalui sepakan penalti, kita telah merobohkan tembok keegoan tuan rumah yang asyik mengganggu para anggota atlet dan pegawai kita. Sekarang, barulah tahu berapa tinggi atau rendah antara langit dengan bumi.
Lagi satu. Bila sebut pasal sukan, sudah tentu kita mengingati bagaimana skuad Harimau Muda berjaya menjinakkan skuad Garuda dalam perlawanan akhir Sukan SEA. Menang melalui sepakan penalti, kita telah merobohkan tembok keegoan tuan rumah yang asyik mengganggu para anggota atlet dan pegawai kita. Sekarang, barulah tahu berapa tinggi atau rendah antara langit dengan bumi.
Aku berharap tahun 2012 akan mendatangkan rezeki yang lebih baik dan tahun itulah kita sebagai umat Islam berharap agar semuanya selamat sebab pelbagai khabar angin yang dihebahkan oleh pihak barat mengenai hari kiamat adalah palsu belaka. Mungkin itu adalah senjata yang mampu menggoyahkan iman umat Islam. Wallahualam...
Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan