Sejak 29 November sehinggalah 3 Disember lalu aku berasa sangat bosan. Entahlah. Dari mana datangnya perkataan itu, aku sendiri pun tak tahu. Mana tidaknya, setiap hari media arus perdana lebih banyak menyiarkan laporan berita perhimpunan sebuah parti politik berusia 65 tahun yang cukup gah di mata rakyat jelata.
Para perwakilan dari semua bahagian diberi peluang untuk berucap dan berbahas dengan pelbagai isu atau perkara yang telah ditetapkan. Apa yang menariknya ialah mereka berucap sambil diselangi dengan berpantun, gurindam, menyanyi, berlawak jenaka dan bersyair pun ada.
Tidak habis di situ, ucapan presidennya lebih hebat (lebih hebat dari Adolf Hitler). Berdentam-dentum sambil merendah-rendahkan keupayaan pihak lawan tanpa berselindung dan rasa bersalah. Dengan penuh berkeyakinan bahawa mereka pasti menang dalam pilihanraya umum ke 13 pada tahun 2012. Pada masa yang sama mereka menghentam hal ehwal peribadi dalam ucapan berapi-api yang turut disiarkan secara langsung dan di saluran berita pada waktu perdana.
Tanpa disedari, mereka sebenarnya mendedahkan ‘pekung di dada’ yang teramat busuk dari dalam diri mereka. Ini menunjukkan perangai sebenar golongan yang memperjuangkan kepentingan rakyat jelata khususnya orang Melayu. Mereka seolah-olah ‘suci’ dari dosa yang mereka cipta demi mendapatkan majoriti dua pertiga suara rakyat melalui kertas undi.
Pada pendapat aku, mereka terlalu yakin yang teramat sangat bahawa rakyat sudah mula berpihak kepada mereka walau pun aku tidak pasti berapa peratus jumlahnya. Yang pasti, rakyat pada hari ini terutama golongan muda semakin bijak untuk menilai yang mana permata atau kaca. Tepuk dada, tanyalah iman.
Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan