"Haram jadah!" Itulah ayat pertama terpancul dari mulut aku ketika di tahan oleh sekumpulan jembalang biru gelap seramai lima anggota (kalau tak silap aku). Dengan cara menyorokkan diri ke dalam kawasan gelap terutama di bawah tiang lampu jalan yang tidak berfungsi, ini memudahkan mereka mencari mangsa. Laluan tersebut menjadi kebiasaan kepada para pengguna yang tinggal di kawasan pangsapuri berdekatan menuju ke kedai.
Pada masa yang sama, aku bersedia dengan sebatang pen, buku nota serta telefon bimbit berkamera untk mencatat nama serta nombor pengenalan anggota. Manalah tahu kalau mereka sengaja menimbulkan masalah seperti meminta suapan, bersikap biadap kepada mangsa saman dan sebagainya. Bolehlah aku merekodkan segala-galanya sebagai bukti untuk menyaman mereka kembali dengan tuntutan sebanyak RM 20 juta!
Aku kena saman oleh jembalang biru tua ketika menunggang sebiji kapcai menuju ke kedai gunting rambut pada pukul 9.40 malam tadi (sebelum menulis ke dalam blog ini). Ini saman kedua dengan kesalahan yang sama iaitu masuk jalan sehala dalam tahun 2011. Dipendekkan cerita, terbanglah duit aku kali kedua dengan berjumlah keseluruhannya adalah RM 600, campur dengan saman pertama sebanyak RM 300.
Dalam fikiran aku, muncul dua persoalan yang mungkin masyarakat tahu atau belum tahu di luar sana. Ke mana perginya wang hasil kutipan saman? Apa kegunaan sebenar wang berkenaan? Sebelum ini sering kita dengar dan lihat pelbagai operasi sekatan jalan raya untuk mengesan pesalah-pesalah trafik serta mengeluarkan surat saman. Surat saman ibaratkan seperti surat rasmi untuk meminta derma terhadap orang ramai agar membantu mereka kerana ketiadaan simpanan wang yang banyak.
Tetapi, tidak mengapalah jika kita gagal membongkar ke mana perginya wang hasil kutipan saman dalam masa terdekat. Lambat-laun, ia akan terdedah dalam masa sepuluh, dua puluh atau seratus tahun akan datang. Manalah tahu...
Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan