Persekitaran Kampung Gannar agak malap serta sejuk walau
pun waktu tengahari semakin hampir tiba. Beberapa orang penduduk masih keluar
ke sana dan ke mari demi menjalankan urusan masing-masing. Tidak jauh dari
situ, beberapa buah bot nelayan ditambat kemas pada jeti. Mungkin para nelayan
tidak turun ke laut kerana disebabkan musim tengkujuh yang akan melanda tidak
lama lagi. Mujurlah bekalan makanan cukup untuk mengharungi musim berkenaan.
Penempatan Kampung Gannar terletak di tebing muara Sungai Verdug yang
berdekatan dengan laut.
Di pintu masuk utama Kampung Gannar, kelihatan sebuah
pedati kuda tiba berdekatan dengan sebuah kedai serbaneka. Selain membawa
penumpang, pedati itu juga turut membawa surat dan parsel berdaftar untuk
penduduk. Seorang lelaki yakni penjaga kedai berkenaan menerima sebuah beg yang
diserahkan oleh pemandu pedati tadi.
“Berat pula beg kali ini.”
“Bukankah sekarang ini hampir penghujung bulan? Anak-anak
muda yang merantau ke kota mengirimkan wang kepada keluarga mereka setiap
bulan. Sebab itulah berat.” Jawab si pemandu itu.
“Oh, ya. Terlupa pula yang sekarang ini hampir penghujung
bulan. Maklumlah. Umur semakin lanjut dan kerap terlupa.”
“Saya cadangkan yang kamu perlu berehat untuk beberapa
hari.” Cadang si pemandu pedati.
“Saya fikir tidak perlu untuk sementara waktu. Sebabnya
tinggal beberapa hari lagi saya akan bersara.”
“Bersara? Bukankah kedai ini milik kamu? Kamu tidak
serahkan kepada anak kamu untuk mewarisinya?”
“Tidak. Kedai serbaneka ini adalah milik orang kampung
dan ia dibawah naungan Koperasi Kampung Gannar. Saya hanyalah seorang penyelia
kedai sahaja.”
“Oh, begitu.” Akhirnya si pemandu pedati itu faham.
Selepas mengasingkan surat dan parsel mengikut lot alamat
rumah, dia mengarahkan seorang pekerja yang dipercayainya untuk menjalankan
tugas sebagai penghantar surat. Sekian lama menjalankan tugas berkenaan,
akhirnya pekerja itu tiba di alamat terakhir untuk menyerahkan sepucuk surat
yang amat penting.
“Salam sejahtera. Ada sesiapa di rumah?” Pintu diketuk
dengan sopan.
“Ya. Ada surat untuk saya?” Tanya seorang lelaki tua yang
datang dari halaman rumah berdekatan. Mengurus dan menjaga tanaman herba adalah
hobinya sejak usia muda lagi.
“Maafkan saya, Encik Boromir. Saya tidak perasan yang
encik berada di situ. Ada surat untuk anak encik.”
“Terima kasih.” Surat berkenaan diserahkan kepada Encik
Boromir sebelum menurunkan tandatangan pada buku penerimaan. Ini sebagai tanda
penerimaan surat yang diserahkan kepada pelanggan.
Selepas si penghantar surat itu beredar, Encik Boromir
segera memanggil anaknya yang berada di belakang rumah.
“Rothwil. Ada surat untuk kamu.” Tidak beberapa minit
kemudian, seorang pemuda yang cergas fizikalnya tiba dengan memakai apron.
Berambut kerinting dan bersih wajahnya. Dia sedang membantu ibunya di dapur
untuk menyediakan hidangan tengahari.
“Tawaran kemasukan Akademi Kulinari Diraja. Hebat!”
Rothwil berasa teruja bila membaca kepala surat berkenaan.
“Tahniah, Rothwil. Kamu memang layak menerimanya. Impian
untuk menjadi tukang masak terkenal hampir menjadi kenyataan.” Usik Encik
Boromir. Kembang kempis hidungnya bila melihat kejayaan yang dicapai oleh
anaknya.
“Belum lagi, ayah. Saya perlu banyak belajar lagi.
Mungkin apa yang ada di sana tidak ada di sini. Jika di sini menu kita lebih
banyak menumpukan hidangan makanan laut, mungkin di sana hidangan mewah seperti
daging ayam, lembu serta kambing sudah menjadi hidangan utama.”
Rothwil arif. Dia kerap membaca dan mengkaji
resepi-resepi popular di perpustakaan mini yang terletak di belakang kedai
serbaneka. Menu sedemikian sering dihidangkan ketika majlis keramaian golongan
atasan. Ia jarang dihidangankan atau dimasak oleh golongan pertengahan dan
bawahan seperti dia. Tidak lama kemudian, ibunya datang menyusul untuk
mengetahui apa yang sedang berlaku. Wajah wanita berkenaan agak cengkung tetapi
tidak sakit.
“Anak kita mendapat tawaran pengajian di sana.” Kata
Encik Boromir kepada isterinya tanpa ditanya.
“Bila kamu akan melaporkan diri?” Ibunya seperti tidak
sabar untuk mendengar lebih lanjut berita gembira itu.
“Hujung bulan ini, ibu. Saya perlu membuat persiapan
secukupnya.”
“Mengapa pula? Bukankah kamu sudah ditawarkan tempatnya?”
“Memang benar. Itu dikira melepasi saringan pertama.
Saringan kedua pula perlu menjalani ujian memasak dihadapan pegawai penilai dan
pengetua akademi. Jika berjaya, barulah saya layak menuntut di situ.” Ibunya
terdiam sebelum memandang ke arah suaminya.
“Itulah dinamakan Akademi Kulinari Diraja. Bukan
sebarangan orang yang dapat menuntut ilmu di sana. Dikhabarkan pula, akademi
berkenaan telah melahirkan ramai tukang masak yang terkenal sejak seratus tahun
yang lalu. Ada diantara mereka menjadi tukang masak keluarga diraja, menteri
kabinet dan membuka restoran terkenal bertaraf lima bintang.”
“Baiklah. Sementara kita ada masa, lebih elok ibu akan
membantu kamu sebaik mungkin demi mencapai impian. Jadi, hidangan apa yang akan
kamu masak di hadapan pegawai penilai akademi nanti?” Tanya ibu.
“Saya fikir, saya ingin menampilkan hidangan yang agak
lain dari hidangan biasa. Saya ingin memperkenalkan hidangan makanan laut
kampung kita kepada mereka. Saya perlu mengkaji apa makanan laut yang terkenal
di sini.”
“Cadangan yang bagus. Selepas makan tengahari nanti, ibu
akan bawa kamu berjumpa dengan Pakcik Abbey. Dia dahulu pernah menjadi tukang
masak gabenor sepuluh tahun lalu. Dia akan memberi petua yang amat berguna jika
mahu menyediakan hidangan yang amat istimewa.”
“Pakcik Abbey? Saya tidak tahu yang dia pernah menjadi
tukang masak gabenor?” Rothwil terkejut bila mendengar apa yang diceritakan
oleh ibunya. Siapa yang tidak kenal Pakcik Abbey. Semua orang di Kampung Gannar
amat mengenalinya. Seorang juragan bot nelayan yang hebat dan sering
mengharungi hujan dan ribut ketika berada di laut. Serta juga seorang yang jarang
berbual dan membuang masa di kedai minum.
“Hanya orang terdekat sahaja yang tahu apa pekerjaannya
sepuluh tahun lalu. Selama itu, Pakcik Abbey sentiasa merahsiakan apa
pekerjaannya kepada orang kampung.”
“Mengapa pula? Bukannya dia melakukan perkara yang tidak
elok.” Rothwil kehairanan akan tabiat Pakcik Abbey.
“Entahlah. Itulah perangainya sejak dahulu lagi. Dia suka
berahsia dan tidak suka menghebahkan kepada orang lain.” Jawab ibu dengan
panjang lebar.
“Er... Saya fikir cukup setakat ini. Bagaimana pula
hidangan tengahari kita? Mungkin ia sudah sejuk bila kita asyik bercerita dan
berseronok di sini. Lagi pun perut saya sudah pun berbunyi.” Encik Boromir
mencelah.
“Baiklah... Mari kita masuk ke dalam. Perkara itu
terserah kepada ibu. Ibu tahulah bagaimana nak uruskan nanti.”
“Terima kasih, ibu. Terima kasih.” Ucap Rothwil dengan
perasaan gembira.
Sejak kecil lagi, dia sering mengikuti ibunya ke mana
sahaja majlis keramaian yang melibatkan tugas sebagai tukang masak. Apabila
meningkat remaja, Rothwil menjadi pembantu ibunya dengan menyediakan peralatan
dan bahan-bahan masakan. Tidak kira sama ada majlis perkahwinan, sambutan tahun
baru, kenduri menyambut kelahiran dan sebagainya, ibunya adalah salah seorang
dari pasukan tukang masak utama di Kampung Gannar. Pendek kata, bakatnya
sebagai tukang masak turut diwarisi dari ibunya.
Rothwill mula menanam azam. Mulai saat ini, dia perlu berlatih bersungguh-sungguh serta mendapatkan tunjuk ajar dari Pakcik Abbey dan ibunya demi mencapai impiannya sebagai tukang masak terkenal. Kini, impian tersebut hampir berada didalam genggamannya.
Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan