Jumaat, 16 November 2012

Dalam Hati Ada Taman


Di sebuah rumah agam terbiar sejak 50 tahun lalu yang terletak di Hulu Mount Kiara dihuni oleh dua ekor drakula. Masing-masing kelihatan muda remaja tetapi hakikatnya usia mereka menjangkau lebih dari 700 tahun. Walau pun mereka hidup lebih lama sebelum kewujudan kerajaan negeri Melaka dan penubuhan Malaysia, mereka hidup mengikut arus pembangunan setempat. Seperti manusia biasa lain, mereka berdua juga melakukan kegiatan harian seperti bersiar-siar di KLCC atau Pavillion Bukit Bintang, bermain badminton dan menonton wayang gambar. Itu pun hanya keluar pada waktu malam sahaja. Jika mahu keluar pada waktu siang, perlulah ada jampi mantera khas. Itu pun tempoh manteranya agak terhad dan digunakan jika benar-benar diperlukan. Contohnya seperti berkunjung ke pesta buku antarabangsa.
Mereka juga mengikuti perkembangan hiburan tempatan dan antarabangsa. Apa sahaja konsert atau pesta, sudah tentu mereka ke sana. Bukan setakat untuk berhibur, mereka turut memburu gadis-gadis yang disukai untuk menghirup darah yang segar. Dengan peralatan yang canggih serta selamat, mereka tidak perlu membunuh mangsa hanya semata-mata untuk mendapatkan darah. Peralatan berkenaan dibeli dari Transylvania, Romania. Daerah asal-usul nenek moyang drakula.
Sehinggalah suatu malam, salah seorang dari mereka dirundung kesedihan. Sudah seminggu dia tidak menghirup walau setitis darah kerana kurang selera. Sudah seminggu jugalah dia rasa malas untuk keluar memburu gadis seperti biasa. Rakannya mula berasa bimbang akan keadaan teman baiknya. Dengan perasaan berani bercampur takut, dia menanyakan masalah temannya yang sedang menangis.

Drakula 1: Semenjak kebelakangan ini, kau macam ada masalah. Kau sakit ke?
Drakula 2: Tak.
Drakula 1: Atau sebab kantoi dengan polis masa nak gigit leher awek dari Asia Tengah di Bukit Bintang minggu lepas?
Drakula 2: Tak.
Drakula 1: Atau pun risau sebab terhisap darah yang dicemari HIV atau Aids ketika kita di Lorong Haji Taib bulan lepas?
Drakula 2: Tak juga.
Drakula 1: Habis tu? Apa masalah kau sebenarnya?
Drakula 2: Kau tak akan faham masalah aku sebenarnya (Sambil teresak menangis).
Drakula 1: Macam mana aku nak faham atau tidak? Kau belum ceritakan masalah kau kepada aku, bodoh!
Drakula 2: Oh! Yakah?
Drakula 1: Ya...!!
Drakula 2: Begini. Bulan November depan kekasih aku akan bernikah dengan pemuda lain. Sebab itulah aku sedih.
Drakula 1: (Terkesima) Wah.... Dalam diam kau sempat lagi bercinta? Nampak sahaja ganas tetapi dalam hati ada taman. Manusia bertuah manakah yang jatuh cinta dengan kau? (Tersengih sehingga nampang gigi taring)
Drakula 2: Kalau aku beritahu, kau jangan marah, ya?
Drakula 1: Buat apa aku marah. Lagi pun manusia adalah spesis yang memberi bekalan darah kepada kita.
Drakula 2: Nama kekasih aku Diana Danielle. Dia akan bernikah dengan Farid Kamil pada 3 November depan. Sebab itulah aku sedih sekarang.
Drakula 1: (Menggaru kepalanya) Maksud kau, Diana Danielle pelakon Hantu Gangster tu? Dan Farid Kamil pengarah dan pelakon filem Kongsi?
Drakula 2: (Menganggukkan kepalanya) Aku dapat tahu dari suratkhabar pagi tadi. (Sambil menyerahkan senaskah akhbar kepada Drakula 1)

Entahlah apa yang berlaku selepas perbualan mereka berdua. Yang pasti, ia menyebabkan Drakula 1 naik angin kerana telah membuang banyak masanya. Drakula 1 meninggalkan temannya yang kini mengalami kecederaan yang serius di kepala akibat dipukul dengan senjata tumpul. Dia dibiarkan terbaring di bilik bacaan rumah agam dalam keadaan separa sedar.

Kantoi: Tertangkap atau hampir ditangkap
Awek: Panggilan gadis atau wanita cantik

Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Tiada ulasan: