Rabu, 11 Januari 2012

Bahang Di Waktu Senja

Mentari terbenam di ufuk barat
Tanda malam akan menggantikan siang
Bahangnya tidak dapat kubayangkan
Sejak petang tadi aku bertahan
Nun di sana aku melihat
Kupu-kupu malam terbang keluar dari sarangnya
Mencari sisa-sisa dosa bertaburan di lorong senja
Yang ditinggalkan oleh jejaka kesepian
Sepi dari kebahagiaan sejati

Tunas Cipta Oktober 2010


Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Isnin, 2 Januari 2012

Salam Tahun Baru 2012...!

Sekarang berada di tahun 2012. Sudah pastinya masing-masing memulakan langkah yang pertama untuk melaksanakan pelbagai projek serta perancangan yang telah dibuat sejak tahun 2011. Apa azam pada tahun ini? Adakah azam pada tahun ini berbeza atau sama dengan tahun lepas. Bagaimana pula dengan azam pada tahun 2011? Adakah mencapai azam tersebut atau masih terkial-kial untuk mengecapinya? Jadi, tidak perlulah berikan jawapan kepada aku sekarang.

Perancangan untuk tahun 2012 memanglah banyak. Cuma tidak pastilah sama ada berjalan lancar atau tidak sebab sejak awal tahun lepas sudah heboh mengenai hari kiamat pada tahun 2012. Tidak kiralah di dalam dunia siber atau dalam siaran televisyen berbayar. Yang paling banyak kecoh datang dari pihak barat yang seolah-olah cuba menakutkan dan melemahkan iman umat Islam.

Cuba kita ingat kembali apa yang pernah diajar oleh para ustaz dan ulama kepada kita tentang hari kiamat. Seingat aku kalau tidak silap, hanya Allah sahaja mengetahui bila serta waktunya hari kiamat berlaku. Jadi, janganlah takut kepada dakyah-dakyah pihak barat mengenai hal ini. Orang yang asyik bimbangkan pasal hari kiamat adalah orang yang cetek imannya. Terlalu taksub akan tilikkan Nostramus yang mungkin dia seorang bangsa Yahudi. Atau, terlalu bergantung harap dari teori sains astronomi yang belum tentu kesahihannya sama ada meteor sebesar bulan akan berlanggar dengan bumi atau tidak? Wallahualam...

Nota: Catatan pendek ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.