Seorang pemuda berdiri di
balkoni rumah yang mengadap ke arah matahari terbenam. Pemandangan yang indah
dan persekitaran yang damai menyebabkan dia memilih untuk menetap di situ. Dia
menghayati deruan ombak yang menghempas pantai. Ia adalah muzik latar yang
menjadi alat terapi psikologi untuk menenangkan dirinya jika mengalami
kesulitan. Pemuda itu mengenakan sepasang seragam tentera biru gelap dan
berkasut but. Sebilah parang disisip kemas pada pinggang kirinya. Tajam dan
berkilat. Parang itu adalah senjata tradisional kebanggaan bangsanya yang
terkenal akan kekentalan menentang penjajah Sepanyol, Amerika Syarikat,
Filipina dan yang terbaru, negara penjajah yang berjiran dengan selatan
Filipina iaitu Malaysia.
Moyangnya, Sultan Jamalul Kiram 3 |
“Usah khuatir. Aku bersumpah
akan merampas kembali hak bangsa Sulu dari penjajah.” Dia melafaskan janji
didalam hatinya di hadapan sebuah potret. Potret yang memaparkan seorang tokoh
Sulu yang berjaya menggugat kedaulatan negara jirannya suatu ketika dahulu iaitu
Sultan Jamalul Kiram 3.
Dia mengenangkan kembali kisah
impian moyangnya untuk mendapatkan semula negeri Sabah dari penjajahan Malaysia.
Malangnya, impian itu tidak kesampaian kerana kesilapan percaturan strategi, tanpa
persediaan mencukupi, perancangan yang lemah serta terburu-buru. Diburukkan
lagi keadaan bila mereka termakan janji-janji palsu dari pihak tertentu dari
semenanjung Malaysia kononnya yang mereka akan dilindungi dari sebarang
tentangan dari pihak tentera. Seramai 250 anggota pengawal elit Sulu yang
diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Jamalul Kiram 3 mendarat
di Kampung Tanduo dan mengukuhkan barisan pertahanan.
Selepas banyak rundingan serta
tawaran menyerah diri ditolak, mereka diserang dari semua arah sehinggakan Raja
Muda Azzimudie Kiram dilaporkan terbunuh. Ada khabar angin menyatakan yang dia
dibunuh oleh pengikutnya sendiri kerana hilang kepercayaan. Tetapi ada pula
berkata dia berjaya melepaskan diri dari kepungan dan kembali ke selatan
Filipina sebelum menghilangkan diri. Ketika itu dia berusia 10 tahun dan
terlalu muda untuk memahaminya sehinggalah dia ditabalkan menjadi raja muda
ketika berusia 16 tahun.
“Aku tidak mahu perkara ini
berulang kembali. Aku pastikan misi ini berjaya menghampiri 90 peratus. Jika
gagal menewaskan tentera penjajah sepenuhnya, setidak-tidaknya mereka terpaksa
mengadakan genjatan senjata dan ingin mengadakan rundingan damai. Sudah tentu
pihak penjajah tunduk dibawah tekanan antarabangsa.” Bisik hatinya sekali lagi.
Raja Muda Jeffry Kiram |
Raja Muda Jeffry Kiram mula
mempelajari kesilapan lampau dan memperbaiki pengurusan ketenteraan bangsa
Sulu. Dalam beberapa tahun, dia berulang-alik dari Tausug City ke Manila
sebanyak tiga kali semata-mata mahu ke perpustakaan serta arkib negara untuk
mendapatkan pelbagai maklumat dan mendalami ilmu yang berkaitan ketenteraan.
Beberapa buah buku rujukan disalin dan banyak nota telah ditulis. Kemudian, dia
membukukan kesemua maklumat penting sebelum membuat cetakan bagi mengedarkan
kepada semua ketua hulu-balang Sulu.
“Tuanku
bersungguh-sungguhkah?” Tanya salah seorang ketua hulu-balang Sulu kepada Raja
Muda Jeffry yang ketika itu usianya baru mencecah 21 tahun.
“Saya tidak bergurau dalam hal
ini. Kesilapan dan kegagalan adalah guru terbaik untuk kita. Saya sudah pun
merangka strategi bagaimana untuk mendapatkan kembali hak kita keatas Sabah.”
“Tetapi, ramai pengikut kita
berpendapat bahawa misi untuk mengambil kembali negeri Sabah adalah perkara
yang mustahil. Itu adalah misi membunuh diri. Sejarah telah membuktikan sebelum
ini.”
“Sekarang ini tiada yang
mustahil. Kamu lihatlah sendiri keadaan sekarang pentadbiran politik negara
yang menjajah negeri Sabah. Diselubungi pelbagai masalah dalaman terutamanya
masalah ekonomi, rasuah dan krisis politik. Keadaan seperti inilah kita perlu
mengambil peluang.” Raja Muda Jeffry Kiram memandang ke arah barisan ketua
hulu-balang Sulu yang memerhatikannya. Air muka mereka seperti tidak percaya
dengan apa yang dirancang.
“Saudara-saudara sekalian.
Saya faham apa yang kalian fikirkan sekarang ini. Usah khuatir. Di dalam buku
yang saya agihkan kepada kalian adalah panduan bagi membina semula kekuatan
kita sebagai Tentera Diraja Sulu. Selain itu, ia turut disertakan modul latihan
untuk anggota tentera kita bagi mempertingkatkan kemahiran peperangan. Jika ada
kesulitan untuk memahami isi kandungan buku ini, janganlah teragak-agak untuk
bertemu dengan saya. Jadi, persiapkan diri mulai saat ini jika mahu bangsa Sulu
tercatat dalam lipatan sejarah Asia Tenggara dan pentas antarabangsa!” Titah
ucapan dari Raja Muda Jeffry disambut dengan laungan takbir sebanyak tiga kali.
Sejak itu, selama 15 tahun mereka
bekerja keras bagi memperkuatkan angkatan perangnya untuk melanggar negara
jiran. Pelbagai ilmu telah dipelajari seperti latihan menembak, berkawad,
peperangan gerila, serangan hendap, membuat bom buatan sendiri, risikan dan
sebagainya. Apabila bersedia, mereka menyusup masuk ke negeri Sabah dalam
kumpulan kecil dengan bantuan bangsa Sulu yang lahir di sana agar tidak disedari
oleh pihak berkuasa Malaysa dan Filipina.
Bagi memudahkan pergerakan
para pengintip di Sabah, Tentera Diraja Sulu telah mengeluarkan Mykad palsu dan
kualitinya hampir menyamai Mykad asli. Beberapa peralatan asas untuk
menghasilkan Mykad telah dibeli melalui orang dalam di Jabatan Pendaftaran
Negeri Sabah. Dengan hanya rasuah sahaja segalanya berjalan dengan lancar. Untuk
menyeludup masuk bekalan persenjataan, mereka menggunakan kapal selam. Kapal
selam yang mereka gunakan tidaklah
secanggih seperti kapal selam negara-negara maju. Model kapal selam berkenaan
sering digunakan oleh kartel-kartel dadah untuk menyeludup masuk dadah yang
sudah diproses dari Colombia ke Amerika Syarikat. Jadi, Raja Muda Jeffry Kiram
meminta bantuan kepakaran mereka untuk melatih para belia Sulu bagi membina dan
mengeporasikan kapal selam sepenuhnya.
Untuk mendapatkan sumber
kewangan bagi membiayai misi penaklukan dan memperkuatkan angkatan perang Sulu,
mereka menjalankan pelbagai jenis perniagaan tidak kira sama ada salah disisi
undang-undang atau sebaliknya. Bangsa Sulu terkenal akan kemahiran membuat
senjata api buatan sendiri sehinggakan terdapat bengkel pembuatannya disetiap
rumah. Senjata api jenis M-16 dan AK-47 paling banyak dihasilkan berbanding
jenis-jenis senjata api yang lain. Negara-negara Afrika yang mengalami konflik
dalaman menjadi pelanggan utamanya. Tidak kira sama ada pelanggan berkenaan
dari pihak pemberontak atau kerajaan, perniagaan tetap perniagaan. Yang
penting, harga senjata berkenaan berpatutan. Mereka membayar harganya secara
tunai dalam matawang dolar atau dalam bentuk barangan berharga seperti berlian
atau emas. Selain itu, kegiatan jenayah seperti rompakan bersenjata dan
penyeludupan dadah turut memberi sumbangan dengan mendapatkan bantuan dari kumpulan-kumpulan
kongsi gelap di semenanjung Malaysia dengan bayaran sebanyak 40 peratus dari
hasil keuntungan beserta bekalan pelbagai jenis senjata api terpakai.
Dengan bantuan para pengintip
di negeri Sabah, dia juga telah menerima banyak maklumat risikan berharga. Raja
Muda Jeffry Kiram serta para ketua hulu-balang Sulu turut mengkaji kedudukan
penting pasukan keselamatan penjajah di sekitar negeri Sabah khususnya empat
daerah berkenaan. Dia perlu tahu berapa banyak balai polis? Di laluan manakah
terdapatnya pos pemeriksaan? Berapa buah kapal peronda polis marin dan tentera
laut yang berlabuh di markas laut? Berapakah kekuatan tentera darat di sana dan
sebagainya. Itu semua perlu diambil kira. Bangsa Sulu yang bekerja sebagai
buruh binaan dan pekerja estet telah membina ratusan kubu pertahanan, terowong
sulit, setor bagi menyimpan bekalan senjata, makanan dan ubat-ubatan di sekitar
ladang kelapa sawit yang beribu hektar serta kawasan hutan berhampiran.
Kerja-kerja pembinaan dilakukan dengan penuh berwaspada agar tidak diketahui
oleh musuh dalam selimut.
“Tuanku, kami telah bersedia.
Kita boleh berangkat sekarang.” Kata salah seorang anggota pengawal elit Sulu.
Orangnya berjambang dan berambut panjang. Dia juga mengenakan pakaian seragam
tentera.
Raja Muda Jeffry Kiram
mengangguk sebelum bergerak keluar menuju ke sebuah jeti konkrit. Dari situ,
mereka akan bergerak ke tengah Laut Sulu dengan menggunakan bot laju di mana
terdapat tiga buah kapal selam sedang menanti. Raja Muda Jeffry akan mengetuai
30 pengawal elit Sulu untuk menyusup masuk ke negeri Sabah.
“Bagaimana dengan tentera kita
di Sabah?” Tanya Raja Muda Jeffry kepada orang kanannya, Pak Amier.
“Seramai 2 ribu tentera Sulu
sudah berada di kedudukan yang telah ditetapkan. Hanya menantikan arahan selanjutnya
dari tuanku.” Jawab Pak Amier.
“Bagus.” Jawab Raja Muda
Jeffry sebelum mengambil sebuah telefon satelit dari beg galasnya. Kemudian,
dia mendail nombor tertentu untuk membuat panggilan terus ke semenanjung
Malaysia.
“Komeng. Jalankan tugas kamu.”
Diam seketika sebelum kembali berbicara.
“Tak perlu risau. Kamu semua
akan dapat separuh lagi habuannya bila kerja saya selesai.” Jawab dengan tegas
sebelum memutuskan talian.
Dia baru sahaja mengeluarkan
arahan kepada wakil 11 kumpulan utama kongsi gelap yang bergiat aktif di
sekitar Kuala Lumpur, Klang, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Melaka dan Johor
Bahru. Tugas mereka adalah melancarkan serangan terhadap anggota polis di
kawasan masing-masing bagi mengalih perhatian pihak berkuasa dari menumpukan
kawalan keselamatan ke atas empat daerah negeri Sabah.
“Maafkan saya. Saya ingin
bertanya, apakah nama operasi kita? Mana-mana negara lain sudah pasti ada nama
operasi tersendiri.” Tanya Pak Amier.
“Saya namakan Operasi
Gelombang Kedua.”
“Bagus juga bunyinya.” Bunyi pujian
dari Pak Amier seperti mengampu dan membodek ketuanya.
“Jangan buang masa. Kita perlu
bergerak sekarang sebelum hujan ribut melanda. Setibanya kita di negeri Sabah,
pastikan kalian memberikan ‘hadiah’ yang paling istimewa kepada Malaysia!”
“Allahu Akhbar....! Allahu
Akhbar....! Allahu Akhbar....!”
Laungan takbir itu sebagai tanda bermulanya penaklukan ke atas Sabah dari cengkaman Malaysia. Dalam minda Raja Muda Jeffry Kiram, dia teringin duduk di singgahsana milik Yang Dipertua Negeri Sabah yang bakal dikosongkan oleh pemilik asalnya. Jika semua perancangannya berjalan lancar, dia akan memperkuatkan lagi angkatan perang Sulu bagi misi seterusnya iaitu melanggar Labuan serta Sarawak sebelum menakluk negara Brunei Darul Salam.
Laungan takbir itu sebagai tanda bermulanya penaklukan ke atas Sabah dari cengkaman Malaysia. Dalam minda Raja Muda Jeffry Kiram, dia teringin duduk di singgahsana milik Yang Dipertua Negeri Sabah yang bakal dikosongkan oleh pemilik asalnya. Jika semua perancangannya berjalan lancar, dia akan memperkuatkan lagi angkatan perang Sulu bagi misi seterusnya iaitu melanggar Labuan serta Sarawak sebelum menakluk negara Brunei Darul Salam.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.