Selasa, 17 Disember 2013

Cerpen: Tilikan Millia



Chiyupa, kapal udara pengangkut pesawat (bawah)

Lautan biru terbentang luas bagaikan hamparan kain satin. Kepulan awan tebal yang menghiasi hamparan ‘kain satin’ itu seperti gumpalan kapas yang bersih, berarak beriringan mengikut tiupan angin. Di ufuk horizon timur, kelihatan beratus-ratus kapal udara terbang membelah awan. Lama-kelamaan, ia semakin mendekati sebuah daratan yang berbukit-bukau.


Terdapat tiga buah kapal udara pengangkut pesawat dalam kumpulan konvoi besar itu. Kapal berkenaan dikawal ketat oleh kapal udara kelas pembinasa, korvet dan friget. Konvoi berkenaan dalam perjalanan menuju ke negara musuh yang terletak di selatan benua dengan misi yang menentukan nasib hidup dan mati negara Persekutuan Iglasia. Setiap kapal udara pengangkut pesawat membawa sebanyak 27 pesawat pejuang jenis Yak-3, 14 pesawat pengebom jenis Yak-T5, 2 buah pesawat peninjau jenis BF110 dan 2 buah helikopter penyelamat. Konvoi ini terlibat dalam misi merbahaya yang sehingga kini dirahsiakan dari pengetahuan para juruterbang.


Di dalam bilik taklimat begitu gawat dengan suara perbualan para juruterbang. Baru sekejap tadi pengumuman telah dikeluarkan agar kesemua juruterbang berkumpul di bilik taklimat dengan segera. Salah seorang mereka yang berada di situ hanya duduk tanpa berbual dengan sesiapa pun. Dia asyik mengira biji tasbih dengan mulutnya berkumat-kamit seperti membaca jampi serapah. Gelagatnya telah menarik perhatian rakan setugas yang duduk di sebelah.


“Kamu tak perlu risau, Millia. Kita semua pasti selamat. Saya yakin misi seterusnya tidak ada masalah untuk kita tangani.” Pujuk rakannya yang bernama Dio. Gadis yang berperangai gila-gila itu begitu bersemangat serta berkeyakinan. Orangnya tinggi lampai dan berambut pendek. Berkulit pucat dengan rambut pendek yang kelabu.


“Itu saya tahu, Dio. Walau bagaimana pun, hati saya macam tidak tenteram sejak pagi tadi. Seperti ada sesuatu perkara yang tidak baik bakal berlaku pada bila-bila masa.” Jawab Millia dengan renungan mata ke arah papan tulis di hadapan.


Gadis dari suku kaum Shaman ini telah melanggar pantang larang nenek moyangnya. Wanita dari kaum berkenaan tidak dibenarkan mendapat pendidikan yang sewajarnya walau pun undang-undang telah menetapkan setiap kanak-kanak wajib didaftarkan ke sekolah bantuan kerajaan. Millia sejak kecil lagi terpaksa belajar membaca, menulis dan mengira secara sembunyi dengan bantuan seorang guru di kampungnya. Di rumah, dia curi-curi membaca buku milik abangnya yang bersekolah. Sehinggakan untuk mengambil peperiksaan peringkat tinggi, terpaksalah menggunakan alamat rumah guru berkenaan serta menjadi calon persendirian dalam peperiksaan. Rahsia akhirnya terbongkar apabila bapanya mendapat tahu yang Millia menjadi penuntut cemerlang dalam kategori calon persendirian.


“Sampai bila kita hidup dalam kemiskinan? Sampai bila ayah mahu hidup dengan pemikiran kolot ini? Adakah kalian sanggup hidup dibawah kawalan peraturan yang sudah tidak relevan ini?” Tanya Millia dengan tegas.


Ketika itu, berlangsungnya majlis timbang tara yang dihadiri ratusan penduduk kampung. Ia mirip seperti perbicaraan jenayah di mahkamah. Yang menjadi juri terdiri daripada golongan tua yang sebaya dengan ayahnya. Ayah Millia selaku hakim dalam perbicaraan itu seperti tidak mahu mendengar penjelasan anaknya.


“Jangan kata begitu, Millia. Sekarang minta maaf dan mengaku salah.” Pujuk ibunya yang seperti ketakutan bila melihat reaksi para juri yang mula tidak menyenangi apa yang diucapkan Millia tadi.


“Saya tidak akan meminta maaf dan saya tidak akan berehat selagi suku kaum Shaman tidak keluar dari kepompong kemiskinan serta hidup dalam kepercayaan yang karut ini.”


“Diam! Kata-kata kamu penuh dengan racun berbisa! Inilah akibatnya jika anak-anak gadis kita menerima pendidikan. Mereka pasti menderhaka kepada ibu bapa dan suami masing-masing. Saya telah membuat keputusan. Bahawa kamu didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman usir dari kampung ini serta-merta. Kamu tidak dibenarkan kembali seumur hidup!” Itulah hukuman yang diputuskan tanpa membuat sebarang perbincangan dengan para juri yang lain. Pada hari itu jugalah Millia diusir dan mujurlah kakak kepada guru yang mengajarnya secara sembunyi itu sudi menumpangkan sementara waktu di ibu kota Persekutuan Iglasia, Ades.


Bapa Millia adalah seorang ketua suku kaum Shaman yang tegas, pawang dan tukang tilik nasib yang dapat meramalkan sesuatu perkara di masa hadapan. Setiap tilikan yang dilakukannya jarang benar meleset. Bahkan, tilikan mengenai negara Persekutuan Iglasia menghadapi peperangan pada 5 tahun lalu benar-benar terbukti. Lantas, bapanya telah memberi amaran kepada kaum belia Shaman agar tidak mencampuri urusan negara. Apabila pihak kerajaan mengeluarkan arahan khidmat negara, semua belia di Persekutuan Iglasia mendaftarkan diri dalam perkhidmatan tentera kecuali belia Shaman. Kebetulan, Millia baru sahaja tamat menjalani latihan vokasional. Lantas, dia segera menyertai angkatan udara selaku wakil tunggal suku kaum Shaman walau pun dia hanya seorang gadis.


“Pelik sungguh perangai rakan kita hari ini. Selalunya dia lebih suka berbual dan menghamburkan kata-kata kesat terhadap juruterbang lelaki yang lain.” Sambung seorang lagi rakan juruterbang yang datang ke arah Dio. Gadis yang bernama Gisella segera duduk di sebelah Millia sambil mengunyah sesuatu.


“Kamu makan apa? Mahu sedikit?” Tanya Dio.


“Habiskan semua.” Sebungkus kacang rebus diserahkan kepada Dio yang tidak sabar untuk menghabiskan baki makanan. Maklumlah. Hidangan percuma.


Mereka bertiga adalah rakan karib sejak ditempatkan di kapal udara pengangkut pesawat pada 2 tahun yang lalu. Mereka sama-sama mengharungi kesukaran yang tiada berpenghujung dan sudah terlibat pelbagai misi merbahaya sehinggakan hampir meragut nyawa mereka bertiga. Dio adalah satu-satunya juruterbang wanita yang memiliki rekod bersih dan cemerlang dalam perkhidmatan Angkatan Udara Persekutuan Iglasia. Sebelum dia ditukar ke Skuadron H; iaitu pasukan pengebom, Dio adalah juruterbang pesawat pejuang Yak-3 dengan rekod menembak jatuh pesawat musuh sebanyak 43 buah. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang dapat menandingi kehebatan Dio dalam arena pertempuran udara. Millia pula sama seperti Dio. Dia juga adalah satu-satunya pegawai senjata wanita dalam Skuadron H. Tugasnya adalah menyelenggara bahan letupan serta penembak bahagian tengah. Dan Gisella pula, sebelum ini dia ditugaskan sebagai operator telefon di kementerian pertahanan. Dan kini, menjadi jururadio selain menjadi penembak bahagian belakang.


“Bangun semua!” Dengan serta-merta para hadirin senyap dan berdiri tegak. Beberapa orang pegawai tampil ke hadapan diikuti seorang pegawai tinggi berpangkat mejar jeneral. Dia akan membentangkan perancangan misi tersebut dalam sesi taklimat yang akan berlangsung.


“Selamat pagi semua. Saya tidak mahu membuang masa dan kalian perlu menumpukan perhatian apa misi yang akan terima sebentar nanti.” Masing-masing mengeluarkan buku nota dan pen untuk menulis maklumat yang akan disampaikan. Dio, Millia dan Gisella turut berbuat demikian.


“Misi kita adalah memusnahkan sebuah empangan hidroelektrik yang yang terbesar di tenggara Prontera. Ini kerana, empangan berkenaan membekalkan tenaga eletrik kepada kilang-kilang yang membina peralatan perang di kawasan perindustrian berdekatan dengan empangan tersebut. Jika kita berjaya memusnahkan empangan itu, bukan setakat memutuskan bekalan tenaga elektrik. Bahkan, berlaku banjir besar melanda kawasan perindustrian tersebut. Secara tidak langsung, ia menyekat bekalan senjata kepada pasukan tentera musuh. Tugas ini digalas oleh Skuadron H pimpinan Kapten Watari. Skuadron E pimpinan Kapten Iruga pula berperanan untuk mengawal keselamatan Skuadron H dari serangan pesawat musuh serta meriam anti pesawat. Ada sebarang soalan?” Seorang juruterbang yang duduk di depan Dio mengangkat tangan sebelum berdiri.


“Ya, Fuqad?” Tanya pegawai tinggi itu.


“Adakah misi memusnahkan empangan itu melibatkan Juvia dan Midori?” Tanya dengan jelas. Juvia dan Midori merujuk kepada nama dua buah kapal udara pengangkut pesawat yang turut serta dalam konvoi ke negara Prontera selain Chiyupa, dimana Skuadron E dan H ditempatkan.


“Tidak. Juvia dan Midori mempunyai misi tersendiri dan tidak perlulah kita tahu. Apa yang penting, misi yang diberikan kepada kita perlu diambil perhatian. Andai misi kita berjaya, bermakna misi Juvia dan Midori turut berjaya.” Itulah penjelasan terakhir dari seorang mejar jeneral sebelum mereka bersurai.



Dio berasa hairan .

Seramai 4 ribu anak kapal bertugas di kapal udara pengangkut pesawat Chiyupa dan hampir 75 peratus anak kapalnya berumur dibawah 38 tahun. Sebahagian daripada mereka bertugas di atas dek landasan sama ada dalam unit pertahanan udara, juruterbang atau pun anggota sokongan penerbangan dan teknikal. Kehidupan di dalam kapal udara pengangkut pesawat ini bagaikan dalam sebuah perkampungan kecil. Biar pun jawatan dan tugas yang disandang, kesemua pegawai dan anak kapalnya merasakan mereka saling bergantung diantara satu sama lain. Walau pun hanya menjalankan tugas-tugas mudah seperti mendobi, memasak, membersihkan pesawat dan menyelenggara kemudahan asas, namun bidang tugas ini sama berat dan pentingnya sebagaimana tugas nakhoda yang bertanggungjawab terhadap perjalanan kapal udara Chiyupa.


Di ruang hangar pesawat begitu sesak dengan juruteknik senjata, mekanik serta juruterbang. Mereka sibuk memeriksa pesawat masing-masing agar tiada sebarang masalah ketika melaksanakan misi pada awal pagi esok. Dio yang duduk dalam kokpit pemandu sedang memeriksa kotak gear, tekanan brek, tekanan angin, penyukat isipadu minyak, penyukat suhu enjin, kompas serta kayu ria agar ia berfungsi dengan baik. Semuanya dicatat didalam buku laporan untuk diserahkan kepada ketua jurutera. Gisella sibuk menyelenggara mesingan berat 50mm di tempat duduk belakang pesawat. Setiap komponen perlu dibersihkan agar tidak berminyak dan melekit. Manakala Millia pula baru selesai memuat naik sebutir torpedo kawalan jauh ke dalam badan pesawat pengebom dengan bantuan beberapa juruteknik senjata. Torpedo berkenaan direka khas agar ia terbang meluncur ke sasaran selepas digugurkan dari pesawat.


Bila Millia terpandang ke arah Dio yang berada di dalam kokpit, hatinya mula resah. Kemudian, dia menilik ditelapak tangan dengan menggunakan jari telunjuk kanan. Mulut berkumat-kamit dan dahinya berkerut. Bila dia tersedar sesuatu, lantas Millia memanjat kepak pesawat untuk mendapatkan Dio.


“Dio, kita perlu berbincang sekarang.” Dio mula berasa hairan bila mendengar nada tegas yang keluar dari mulut Millia.


“Kenapa dengan kamu ni? Janganlah terlalu serius bila nak ajak berbual.” Dio tersengeh bila melihat raut wajah rakan setugasnya.


“Sekarang ini memang saya serius. Saya mesti ingatkan kepada kamu. Bermula esok pagi, kita perlu berwaspada. Saya tak mahu berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.”


Dio bertambah hairan bila mendengar penjelasan Millia. Dio tahu yang Millia adalah anak seorang tukang tilik nasib yang terkenal akan ketepatan tilikkannya. Keistimewaan bapanya diwarisi oleh seorang anak yang telah diusir. Sehinggakan saat ini, Millia sempat membuat tilikan nasib terhadap ahli kumpulannya.


“Apa maksud kamu?”


“Malam tadi saya telah bermimpi. Saya lihat seekor burung merpati putih terbang menuju ke sarangnya.  Malangnya, burung itu gagal berbuat demikian kerana telah diserang oleh seekor burung helang yang datang dari arah timur.” Adakalanya apa yang dia ucapkan, kandungannya banyak berkias-kias sehinggakan Dio sendiri tidak memahaminya.


“Jadi, apa kaitan dengan burung merpatih putih itu dengan kita?” Soalan yang diaju oleh Dio menyebabkan Millia gagal untuk menjawab. Lantas dia segera beredar turun dari situ menuju ke bahagian belakang pesawat.


“Ini pertama kali kulihat dia kelihatan resah. Sebelum ini tak pernah berlaku pun.” Bisik hati Dio. Dio kembali menyambungkan tugasnya tetapi terhenti sekali lagi. Dio mula memikirkan sejenak apa yang disampaikan oleh Millia tadi.


Tepat pukul 6 pagi, kesemua pesawat dibawa naik ke dek landasan dengan menggunakan lif khas yang mampu memuatkan 3 buah pesawat. Selepas dinaikkan, kepak pesawat yang berlipat dibuka oleh krew dek penerbangan sebelum ditunda serta disusun ke landasan dimana para juruterbang sudah pun menanti. Pesawat peninjau BF110 berlepas terlebih dahulu sebelum diikuti pesawat Skuadron E. Kemudian, barulah giliran Skuadron H memulakan penerbangan.


“Pesawat 264. Sila panaskan enjin sekarang.” Arahan dikeluarkan oleh pegawai trafik udara melalui talian komunikasi. Dio perlu membiarkan enjin berfungsi sambil menunggu giliran untuk berlepas.


Tidak lama kemudian, barulah giliran pesawat Dio mengambil tempat. Dio yang berada di kokpit pemandu sudah pun bersedia untuk menerima isyarat dari pegawai trafik udara yang memakai ves berwarna kuning pada bila-bila masa. Beberapa orang krew dek landasan membuat pemeriksaan terakhir dan memastikan kabel besi pelancar siap dipasang pada pencangkuk pesawat yang berfungsi sebagai bantuan lonjakan kepada pesawat sewaktu berlepas dengan kelajuan maksimum apabila kabel dilepaskan.


Dio menekan injak-injak minyak agar memaksimumkan kelajuan walau pun masih lagi terikat pada pencangkuk dan kabel pelepasan. Matanya masih menumpukan terhadap lampu isyarat yang masih menyalakan warna merah. Krew dek landasan mengambil kedudukan perlindungan sebelum lampu isyarat bertukar kepada warna hijau dan dengan kelajuan maksimum, pesawat pengebom 264 yang dipandu oleh Dio berlepas sebelum terbang meninggalkan Chiyupa.


Pesawat pengebom bersedia untuk berlepas

Di ruang udara, berpuluh-puluh pesawat pejuang dan pengebom terbang dalam bentuk formasi ‘V’ menuju ke negara musuh. Setakat ini, tiada pesawat musuh dikesan oleh pesawat peninjau yang berada paling hadapan. Namun begitu, mereka tetap berwaspada jika berlakunya serangan mengejut. Dalam penerbangan yang boleh dikira lama dan membosankan tanpa sebarang aktiviti, Gisella mula membuka bicara.


“Saya dapat tahu misi skuadron dari Juvia dan Midori berlainan dari kita” Gisella membuka cerita. Mereka akan berkomunikasi dengan menggunakan radio perhubungan.


“Apa misi mereka?” Dio menanyakan kembali. Masih menumpukan pemanduannya dengan tenang.


“Skuadron dari kapal udara Juvia ditugaskan memusnahkan bandar perlabuhan Astol di utara Prontera. Manakala skuadron dari kapal udara Midori ditugaskan mengebom ibu kotanya, Drankern.”


“Sebab itulah pada malam tadi saya ada nampak armada mereka berpisah dari kita menuju ke lokasi lain.” Mereka berdua asyik berbual sehinggalah menyedari yang Millia mendiamkan diri sejak berlepas dari kapal udara.


“Millia. Kamu tak apa-apa?” Panggilan dari Dio mengejutkan Millia dari lamunan yang panjang. Dia seperti bermimpi disiang hari.


“Er... Saya tak apa-apa.” Dia membetulkan tempat duduknya dan kembali menumpukan tugasnya.


“Mengenai semalam. Saya sudah pun memikirkan apa yang kamu cuba sampaikan kepada saya.”


“Fikirkan apa?” Tanya Millia.


“Andai apa yang kamu mimpi itu adalah benar, saya sudah pun bersedia untuk menghadapinya jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.”


“Sesuatu yang tidak diingini? Apa yang kamu kata kepada dia, Millia?” Gisella ingin tahu apa tilikan yang dilakukan oleh rakan setugasnya itu. Namun, belum sempat Millia membuka mulut, alat komunikasi berbunyi sebelum Gisella memetik suis aktif.


“Bersedia semua. Musuh datang dari arah pukul 9!” Selepas amaran dikeluarkan dari pesawat peninjau, sebuah pesawat musuh jenis F-4U terbang melintas di atas kepala mereka. Ia seolah-olah sengaja ‘memanaskan’ keadaan sebelum pesawat tadi berpatah. Tidak lama kemudian, muncul pula tiga buah pesawat musuh entah dari mana.


“Ada musuh mendekati pesawat 264. Bersedia!” Sekali lagi amaran diterima.


Dio dan yang lain terdengar desingan peluru dan bunyi seperti ketukan besi bertalu-talu pada badan pesawat pengebom dipandunya. Gisella mendongakkan mesingan berat sebanyak 45 darjah dan membalas tembakan. Manakala Millia pula menghalakan senjata ke arah kirinya. Kini giliran pesawat pejuang dari Skuadron E memulakan tugas mereka. Pertempuran satu lawan satu berlaku di sekitar ruang angkasa yang mereka sedang lalui. Ada kejar-mengejar dan adakalanya pesawat musuh yang ditembak jatuh itu menjunam ke laut dalam keadaan terbakar.


Kelihatan juga sebuah pesawat pengebom terbang dalam keadaan tidak stabil. Asap kebakaran berkepul-kepul keluar dari kokpit pemandu. Manakala dua krew di tempat duduk belakangnya terpaksa menyelamatkan diri dengan menggunakan payung terjun.


“Mengapa juruterbangnya tidak menyelamatkan diri?” Dio tertanya-tanya. Pesawat pengebom 164 seolah-olah terbang tanpa dikawal oleh juruterbangnya. Pesawat itu terus terbang sehinggalah ia merempuh tebing bukit dan terbakar.


“Mungkin juruterbang itu sudah pun meninggal dunia ketika serangan musuh tadi.” Millia meneka.


Namun begitu, keadaan genting tidak berakhir di situ. Sekali lagi mereka diserang oleh pesawat musuh. Gisella dan Millia berusaha membalas serangan dengan menembak ke arah pesawat musuh yang cuba terbang mendekati mereka. Ratusan kelongsong peluru menghambur keluar dari laras mesingan. Dio berusaha mengawal pesawatnya dengan bersungguh-sungguh.


“Dio. Ini Kapten Watari bercakap.” Suara ketua Skuadron H berkumandang diradio perhubungan.


“Ya, kapten. Kami di sini tak ada masalah dan semuanya terkawal.” Jawab Dio.


“Itu tadi. Sekarang ini kamu bertiga ada masalah.” Sebuah pesawat pengebom bernombor 224 terbang di sisi pesawat yang dipandu Dio. Kelihatan di kokpit pemandu, Kapten Watari sedang cuba menunjukkan sesuatu di bawah enjin pesawatnya.


“Ada apa, kapten?”


“Ada kebocoran minyak pada enjin pesawat kamu. Saya nasihatkan lebih elok tarik diri dan pulang segera ke Chiyupa demi keselamatan kalian.” Dio memandang ke arah penyukat isipadu minyak. Jarum penyukat mula menurun perlahan dan Dio perlu membuat keputusan dengan segera.


“Baiklah. Saya perlu mengundur diri demi keselamatan kita. Selamat berjaya, Kapten Watari.”


“Kamu juga, Dio.” Ucapan balas dan tabik hormat diberikan oleh Kapten Watari.


Millia dan Gisella tidak kecewa akan keputusan yang dibuat oleh Dio. Mereka berdua faham dengan keadaan yang tidak mengizinkan untuk meneruskan misi itu. Pesawat pengebom 264 mengurangkan kelajuan sebelum membuat pusingan U untuk kembali ke Chiyupa.


“Dio. Kita perlu buangkan torpedo ini dengan segera. Setidak-tidaknya ia dapat meringankan pesawat ini.” Cadang Millia.


“Cadangan yang bernas. Buang segera.” Dio bersetuju. Millia dan Gisella segera turun ke dalam ruang penyimpanan torpedo untuk membuka pintu bawah secara manual. Setelah dibuka, torpedo digugurkan ke laut tanpa mengaktifkan sistem peledak automatik.


“Sekarang masalah pertama sudah pun diselesaikan. Kini yang kita perlu buat adalah berdoa agar kita semua selamat.Ha...ha...ha...!” Kata Dio dengan nada gurauan.


“Dalam keadaan sebegini masih mampu nak ketawa?” Gisella resah.


Sementara itu, hati Millia mula berdebar. Peluh dingin mengalir keluar dari topi kulitnya. Matanya memandang ke hadapan dan melihat Dio yang sedang memandu. Pesawat mula bergegar serta secara tiba-tiba, enjin berhenti berfungsi serta kipas berhenti berputar. Pesawat itu seperti terawang-awangan di udara tanpa bergerak ke mana-mana.


“Pakai tali pinggang keselamatan. Kita tiada pilihan lain kecuali terpaksa mendarat di permukaan laut.” Dio memberi amaran.


“Jika boleh, tolong pandu perlahan sikit.” Pesan Gisella dengan nada ketakutan.


“Apa kamu fikir ini teksi ke? Saya tahulah apa yang nak dibuat.” Dio cuba menarik kayu ria dengan sepenuh tenaga. Manakala kaki kanannya menekan brek. Jarak ketinggian antara pesawat berkenaan dengan permukaan dianggarkan 100 meter.


Pesawat Yak-T5 semakin mendekati permukaan air. Millia dan Gisella memejamkan matanya dan menutup wajah mereka dengan telapak tangan. Perasaan ngeri serta takut menerjah masuk ke dalam perasaan masing-masing bila memikirkan maut semakin menghampirinya. Dalam beberapa saat, keadaan di dalam kokpit bergegar sehinggakan kepala Gisella terhantuk pada cermin kokpit. Mujurlah ia tidak pecah dan Gisella sendiri tidak mengalami sebarang kecederaan. Bila hilang rasa pening kepala, Giselle dengan segera menolak cermin kokpit untuk keluar bagi mendapatkan rakan yang lain. Pada masa itu, kelihatan Millia sudah pun keluar dari kokpit dan kini sedang terbaring di atas kepak pesawat.


“Dio masih tak keluar lagi?” Tanya Gisella.


“Dio masih di dalam.” Jawab Millia dalam keadaan separa sedar. Dunia dalam mindanya masih berputar-putar kepeningan.


Dengan segeralah Gisella memecahkan cermin kokpit pemandu dan mendapati Dio tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah di kepala akibat terhantuk pada penjera optik hadapan. Wajahnya berlumuran darah sehinggakan sukar untuk melihat wajah sebenar Dio. Air laut mula melimpah masuk sehingga ke paras dada Dio.


“Millia, tolong saya! Bahagian hadapan sudah hampir tenggelam!” Jerit Gisella. Millia berusaha untuk berdiri dan cuba menarik keluar rakan setugasnya. Bahagian hadapan pesawat sudah pun ditenggelami air kecuali di bahagian tengah dan ekor pesawat. Setelah Dio berjaya ditarik keluar, barulah mereka berdua menghela nafas lega.


Di ruang udara, terdapat sebuah pesawat peninjau sedang terbang melintasi atas mereka. Gisella dengan pantas, mengeluarkan sepucuk pistol suar dan mengacukan udara sebelum menembak ke arah pesawat berkenaan. Kelipan cahaya beserta asap berwarna kuning telah berjaya menarik perhatiannya. Harapan untuk diselamatkan semakin cerah terutama Dio perlukan rawatan segera sebelum ia menjadi mudarat.


Sudah empat hari Dio menerima rawatan intensif selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dari otaknya. Menurut doktor, kesan dari kecederaan parah yang dialami Dio, kemungkinan besar boleh menyebabkan buta. Perkhabaran tersebut menyebabkan mereka berasa bimbang terutama Millia. Mimpi dan tilikan yang dibuatnya adalah benar belaka. Akhirnya, Millia dan Gisella mengambil keputusan untuk melawat Dio sebelum dibawa pulang ke Persekutuan Iglasia untuk rawatan lanjut. Mereka berdua baru sahaja tiba ke kapal udara hospital dengan menggunakan helikopter. Selepas mendaftar diri, mereka terus ke wad persendirian di tingkat 4. Di sepanjang koridor menuju ke bilik rawatan begitu sunyi. Jarang benar orang lalu-lalang di situ melainkan jururawat dan doktor sahaja. Ketibaan rakannya disambut oleh Dio dengan kepalanya masih berbalut. Millia dan Gisella datang menziarah Dio dengan membawa buah tangan.


“Siapa tu?” Tanya Dio. Tangannya meraba-raba mencari teman yang berada di sisinya.


“Millia. Saya bersama dengan Gisella.” Kehadiran mereka berdua membuatkan Dio tersenyum kembali. Hidupnya kini diselubungi kegelapan tanpa sinar cahaya.


“Bagaimana dengan keadaan kamu sekarang? Dengar khabar kamu akan dibawa pulang. Begitu?” Tanya Gisella sambil mengupas kulit epal.


“Ya. Saya akan dibawa pulang segera pada petang nanti. Itu pun atas permintaan dari ayah saya.” Jawab Dio dengan matanya celik tetapi tidak dapat melihat wajah teman-temannya yang cantik.


“Baguslah macam tu. Di sana kemudahan perubatan lebih lengkap berbanding di sini.” Gisella gembira. Semua orang tahu yang Dio adalah cucu saudara kepada seorang jeneral yang mengetuai kempen menakluk gugusan Kepulauan Mekia milik negara Prontera. Jadi, Dio diberi sedikit kelonggaran untuk dilepaskan tugas dan mendapat rawatan bertaraf kelas pertama.


“Millia. Betukah kamu ada menerima khabar gembira dari kampung?”


“Ya. Saya telah menerima kiriman surat dari kampung. Bapa saya telah meninggal dunia dan tempat sebagai ketua suku kaum Shaman diambil oleh abangku. Dia kata, hukuman diusir dari kampung dibatalkan serta merta. Bahkan dia membenarkan saya pulang.”


“Seronoknya. Pasti kamu berasa rindu dengan kampung halaman.” Dio menumpang gembira.


“Tetapi, saya memilih untuk tidak kembali ke sana.” Jawapan yang diberikan membuat Dio terpingga-pingga. Tangannya meraba-raba mencari tangan Millia untuk dipegang.


“Mengapa pula? Inilah peluang untuk kamu mengubah keadaan dan nasib kaum kamu.” Dio kehairanan akan sikap Millia. Sudah ada peluang, tetapi tidak mahu mengambilnya.


“Saya tak akan ke mana-mana selagi pihak musuh tidak ditewaskan dan mengakhiri peperangan selama 5 tahun. Itulah prinsip saya. Selepas tamat sahaja peperangan ini, saya ingin menyambung pengajian dan mendapatkan tempat dalam barisan pegawai tinggi dalam kerajaan. Ini memudahkan saya membantu suku kaum Shaman.”


 “Tinggi sungguh cita-cita kamu.” Puji Gisella. Potongan buah epal disuap ke mulut Dio dengan berhati-hati.


“Saya fikir, dalam barisan pegawai tinggi, ada satu jawatan yang perlu diwujudkan demi keharmonian dan keamanan negara kita dan ini amat sesuai untuk kamu. Saya boleh syorkan cadangan ini kepada datuk saudara saya. Dia salah seorang ahli penasihat keselamatan negara.” Cadang Dio dengan senyuman yang mencurigakan.


“Jawatan apa yang sesuai untuk saya?” Tanya Millia. Mungkin Dio cuba mahu mengenakan Millia seperti sebelum ini.


“Jawatan ahli nujum negara. Bagaimana? Kamu suka?”


“Jika benar, apa salahnya?” Ketawa yang kuat memecahkan kesunyian yang berpanjangan. Konflik politik yang berlarutan selama 5 tahun tidak dapat memisahkan persahabatan 3 gadis yang berlainan latar belakang.

 
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.