Isnin, 27 Januari 2014

Cerpen: Kerana Kangkung


Suasana di pasar borong Taman Sentosa begitu sesak dengan orang ramai yang ingin membeli barangan keperluan. Sebelum subuh lagi operasi di pasar berkenaan bermula dengan ketibaan bekalan hasil pertanian dari Cameron Highland serta hasil perikanan dari pantai timur Malaysia. Majoriti pelanggan yang membeli di situ adalah pengusahan restoran, warung, medan selera, khidmat katering dan suri rumah. Ada juga mereka ke situ semata-mata untuk bersiar-siar selepas berjoging di taman rekreasi bersebelahan.

Aku tiba agak lewat dari kebiasaan. Ini disebabkan berlakunya kesesakkan lalulintas yang luar biasa di pintu masuk kawasan pangsapuri kos sederhana dimana aku menetap. Aku ke pasar borong dengan satu matlamat iaitu membeli sebanyak yang boleh sayur kangkung. Dikhabarkan bahawa sayur kangkung lebih murah berbanding dengan sayur-sayur yang lain. Kebanyakkan sayur yang dipamerkan masih belum terjual. Setiap kali aku singgah ke gerai untuk menanyakan sayur kangkung, jawapannya tetap sama.

“Maaf, puan. Sayur kangkung sudah habis.” Jawab seorang penjual yang berusia lewat 20an. Cara percakapannya dan telonya, tidak ubah seperti warga asing dari negara seberang.

“Pelik sungguh. Hari ini banyak pula sayur kangkung habis dijual.” Aku menggaru kepala yang tidak berasa gatal.

“Mungkin pasal pengumuman semalam. Harga sayur kangkung yang paling murah berbanding dengan sayur lain agaknya.”

“Boleh jadi.” Aku meninggalkan gerai berkenaan sebelum menuju ke sebuah gerai yang agak tersorok.

Seorang wanita yang berusia lewat 50an duduk bersendirian tanpa dihirau oleh sesiapa pun. Dia juga menjual sayur-sayuran yang pelbagai jenis. Aku mencuba untuk kali terakhir. Manalah tahu jika ada rezeki untuk mendapatkan sayur kangkung yang murah.

“Makcik. Sayur kangkung masih ada lagi?”

“Maaf, nak. Sudah habis.” Jawab dengan nada perlahan.

Aku berasa hampa bila mendengarnya. Namun, belum sempat aku melangkah pulang, wanita berkenaan memanggil aku kembali.

“Kalau anak mahu juga, makcik boleh jualkan. Tetapi harganya lebih tinggi dari harga asal.”

“Lebih tinggi? Harga asalnya berapa?”

“Seikat, 80 sen. Sekarang ini, seikat RM 2.”

“RM 2?! Mahalnya...” Aku terkejut bila mendengarnya.

“Sama ada mahu atau tidak, itu terpulang.” Kali ini nada suara wanita berkenaan berubah. Ia seakan-akan seperti ketua sendikit menjual sayur kangkung di pasaran gelap.

“Baiklah. Beri saya RM 6.” Dengan pantas wanita itu membungkus sayur kangkung sambil menoleh kiri dan kanan. Memastikan tiada sesiapa pun yang melihatnya terutama anggota penguatkuasa.


Setibanya di rumah, aku terus ke dapur untuk membasuh sayur kangkung yang dibeli sebentar tadi. Untuk hari ini, aku ingin memasak hidangan yang berkait rapat dengan sayur kangkung. Atau pun, mencipta menu hidangan yang bertemakan sayur berkenaan. Dalam pada masa itulah pelbagai ilham serta kreativiti muncul bagi memperkayakan hidangan sayur kangkung.

Waktu hampir mencecah pukul 1 petang dan dalam masa terdekat inilah suamiku akan pulang sebentar untuk makan tengahari. Kesemua hidangan telah tersedia di atas meja sebelum membersihkan peralatan memasak.

“Wah... sedap baunya.” Suamiku tiba sambil menanggalkan topi keledarnya.

“Marilah makan. Hari ini saya sediakan hidangan paling istimewa untuk hari ini.”

“Istimewa? Saya berharap awak janganlah membazir pula.”

“Tidaklah.” Dengan segeralah aku mengangkat tudung saji yang menutup hidangan tengahari.

Alangkah terkejutnya suamiku bila melihat hidangan berkenaan. Matanya terbeliak dan mulutnya ternganga. Adakalanya dia memandang ke wajahku sebelum memandang kembali ke arah hidangan tadi.

“Awak masak apa ni? Belum pernah saya lihat sebelum ini.” Tanya suamiku dengan perasaan kehairanan.

“Yang itu, sayur kangkung goreng belacan. Yang ini pula, kangkung tempura dan lagi satu, sup sayur kangkung. Dan yang terakhirnya, nasi goreng kangkung.”

“Aduh... Dalam satu hari ini, bermacam kejadian pelik sedang berlaku. Semuanya ada berkait rapat dengan sayur kangkung.” Suamiku terduduk dan mengeluh.

“Kenapa pula?”

“Di pejabat tadi, kecoh pasal rumah rakan sekerja dipecah masuk pencuri malam tadi. Bukan wang ringgit atau barang kemas yang dicuri. Tetapi sayur kangkung pula dicuri. Berita radio tadi, sebuah lori yang membawa sayur kangkung dilarikan oleh perompak. Entahlah. Lepas ini, kes pembunuhan juga pun melibatkan sayur kangkung.” Suamiku terus menyuapkan nasi goreng kangkung ke dalam mulutnya selepas berceloteh. Permasalahan sayur kangkung ditinggalkan begitu sahaja bila perut sudah pun diisi hidangan tengahari.


            Pada malam berkenaan selepas solat Maghrib berjemaah, kami sekeluarga menikmati makan malam dengan tema menunya tetap sama seperti tengahari tadi iaitu sayur kangkung. Anakku berasa hairan bila melihat hidangan yang disediakan di depannya.

            “Ibu. Di sekolah tadi, Boboi tak makan tengahari.”

            “Kenapa tak makan, Boboi? Sudah berapa kali ibu pesan. Jangan tak makan. Nanti sakit perut, semua orang susah hati nanti.” Aku mengerti akan sifat anakku yang suka menabung. Sehinggakan sanggup berpuasa dan enggan makan makanan yang dijual oleh pengusaha kantin.

            “Boboi tak makan siang tadi sebab Boboi rasa pelik. Makcik kantin jual dengan harga mahal. Bila Boboi tanya, makcik kantin tiba-tiba marah. Kemudian dia kata, kalau tak suka pergi makan di kantin sekolah lain.” Aku memandang ke arah suamiku. Dia seperti mengetahui apa yang sedang berlaku ketika ini.

            “Boboi kumpul duit, nak beli apa kalau tabung dah penuh?” Suamiku pula bertanya.

            “Boboi nak beli rumah besar. Bagi ayah ibu duduk di rumah besar. Rumah lagi mahal dari rumah kita duduk. Pesan cikgu Boboi, belilah rumah mahal harganya RM 110 juta sebab ada taman bunga!” Suamiku hampir tersedak bila mendengar Boboi yang petah bercakap. Adakalanya suamiku memandang ke arahku.

            Di kaca televisyen sedang menyiarkan berita mengenai perhimpunan membantah kenaikan harga barangan keperluan pada minggu lalu. Kesemua ulasan yang diberikan oleh para tokoh bijak pandai, aktivis politik dan ulama yang menyokong kuat pemerintah membidas tindakan rakyat yang menyertai perhimpunan berkenaan kononnya tidak bersyukur dan mengenang budi. Sehinggakan seorang mufti dari utara semenanjung menggelarkan mereka yang sebagai penderhaka terhadap pemerintah.

            Aku tidak mampu berbuat apa-apa bila keadaan semakin tidak menentu. Gologan marhen seperti kami sekeluarga hanya mampu berserah kepada nasib. Kerana kangkung, kami sanggup mengharungi demi kelangsungan hidup.


Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Selasa, 7 Januari 2014

Puisi: Naik...!!

Ikan naik
Ayam naik
Daging lembu naik
Sayur naik
Gula naik
Garam naik
Tepung naik
Susu naik
Minyak naik
Gas naik
Tol naik
Cukai naik
Yuran naik
Tambang naik
Sewa naik
Gaji masih tak naik
Jangan sampai darah rakyat naik
Sesiapa yang tak mahu naik, keluarlah kau dari Malaysia
Sesiapa yang menentang kenaikan, manusia itulah BUGHAH!
Janji telah dicapati olehmu


Amaran: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.