“Tuan. Mereka sudah pun tiba.” Pembantuku menunjukkan sesuatu ke arah
sebatang jalan yang rosak.
Kelihatan beberapa buah lori tiba dengan membawa berpuluh-puluh soldadu
yang sebahagian besarnya adalah remaja seawal 17 tahun. Mereka seperti terpingga-pingga
setelah turun dari lori berkenaan dan ada diantara mereka tidak tahu arah tuju.
Mereka terkejut bila melihat keadaan kawasan perkampungan yang telah lama
ditinggalkan. Kerosakan akibat serangan musuh boleh dilihat di mana sahaja.
“Pakaian seragam mereka agak berlainan dari kita. Mungkin itulah pakaian
seragam baru yang dilaporkan oleh pihak atasan kepada kita sebelum ini?” Kata
pembantuku lagi sambil menjamah hidangan tengahari.
“Barangkali ya. Tetapi, apa yang saya nampak ia tidak seperti pakaian
seragam. Pakaian mereka seperti diperbuat dari fabrik biasa.” Lantas aku dan pembantuku,
Koperal Lukosa pergi mendekati mereka untuk bertanya khabar. Begitu juga
beberapa anggota soldadu yang berehat bersamaku turut serta untuk mengetahui
selanjutnya.
“Apa khabar? Boleh saya bantu kalian?” Aku sengaja berlagak ramah mesra.
“Ya. Kami adalah pasukan tambahan yang dihantar bagi menggantikan soldadu
yang sudah terkorban dan cedera.”
“Kalian ditempatkan dalam pasukan mana?”
“Kami akan diserapkan ke dalam Kompeni Ke-6 dari Batalion Pertama Pengawal
Diraja.” Jawab remaja berkenaan dengan bersungguh-sungguh. Aku tersenyum sambil
memandang ke arah Koperal Lukosa.
“Kalian datang ke lokasi yang betul dan bertemu dengan orang yang
sepatutnya untuk melaporkan diri. Saya Mejar Zulov dan ini pembantu saya
Koperal Lukosa.” Dengan segeralah para soldadu baru itu membuat barisan dengan
teratur selepas aku memperkenalkan diri.
Setelah dihitung, seramai 60 anggota soldadu baru datang melaporkan diri.
Seorang pegawai yang turun dari lori tadi datang ke arahku untuk mendapatkan
tandatangan bagi mengesahkan penerimaan soldadu tambahan.
“Baiklah saya perlu ingatkan kalian. Jika terdengar bunyi nyaring seperti
bunyi nyamuk, pastikan kalian dengan segera cari tempat perlindungan. Ini
kerana ia adalah bunyi peluru artileri musuh yang akan tiba untuk memusnahkan
sasaran. Jangan berlagak wira dan pastikan jangan berpisah antara satu sama
lain. Jika ada sebarang kemusykilan, kalian boleh bertanya kepada anggota
senior. Faham?” Aku menunjukkan ke arah anggota soldadu yang mengekoriku tadi.
“Faham, tuan.” Semua patuh. Aku berlegar di dalam barisan soladadu itu
untuk membelek kelengkapan mereka khususnya pakaian seragam.
“Pakaian seragam yang berkualiti rendah. Topi keledar juga turut sama. Apa
yang berlaku sebenarnya? Adakah pihak kerajaan mengalami masalah kewangan untuk
mengharungi peperangan?”
“Benar, tuan. Pihak kerajaan mengalami masalah kewangan bagi menampung kos
peperangan ini. Semenjak kita tewas dalam beberapa siri pertempuran, ada
diantara kelengkapan perang yang kami terima adalah yang terpakai dan diambil
dari soldadu yang telah terkorban.” Jawab salah seorang dari mereka.
“Penyodok yang kalian terima ini nampaknya bukanlah yang baru tetapi
terpakai. Begitu juga bekas air minuman, topi keledar dan beg galas.” Aku
berkata lagi.
Aku kembali mendekati Koperal Lukosa dan berdiri mengadap para soldadu
baru. Aku menatap setiap wajah anggota baru dengan bermacam persoalan. Mengapa
pihak pemerintah menghantar terlalu ramai golongan muda ke medan perang? Amat
menyedihkan bila mereka terpaksa mengorbankan usia remaja bagi menyahut seruan
kerajaan untuk menyertai peperangan demi meluaskan empayar yang diimpikan oleh
seorang raja. Dan lebih teruk lagi, ada diantara mereka pastinya tidak akan dapat
melihat terbit dan terbenam mentari pada hari esok serta seterusnya. Aku
memberi isyarat kepada Koperal Lukosa bagi melaksanakan tugasnya.
“Kalian boleh berehat di sini sementara menunggu arahan untuk bergerak ke
kedudukan yang ditetapkan oleh pihak atasan nanti.” Ujar Koperal Lukosa
memandangkan sebahagian besar anggota baru itu mengalami keletihan akibat
terlalu lama duduk di dalam lori yang usang.
Suasana tengahari berlalu begitu sahaja tanpa sebarang kegiatan berfaedah
melainkan berehat dan tidur. Aku turut berbuat demikian bagi mengumpul sisa
tenaga yang banyak dihabiskan di medan perang sebelum ini.
Ini adalah hari ketiga kami bertahan di kubu berparit yang terletak
berhampiran satu kawasan yang dikenali sebagai Kawasan Tanpa Manusia. Kawasan
berkenaan dipenuhi dengan kawat berduri, punji buluh, lubang-lubang besar kesan
hentaman artileri dan lebih mengerikan, ratusan atau mungkin ribuan mayat bergelimpangan
yang semakin mereput. Aku berdiri mengadap ke arah Kawasan Tanpa Manusia bagi
melihat mentari terbenam di ufuk barat. Sungguh indah jika aku dapat menyaksikannya
bersama isteri tersayang yang kini menetap jauh di pendalaman.
“Saya tidak sangka pihak atasan menempatkan kita di lokasi yang menjadikan
sasaran utama pihak musuh. Adakah giliran kita pula menjadi umpan hidup?”
Koperal Lukosa tiba di sisiku sambil menghulurkan sekole kopi.
“Saya tidak pasti apa sebenar yang mereka rancangkan. Tetapi, apa yang saya
diberitahu oleh tuan kolonel, mereka telah pun menyediakan pelan kecemasan jika
kubu ini hampir jatuh ke tangan musuh.”
“Pelan kecemasan? Apa tu?”
“Kita telah memiliki senjata pembunuh yang amat merbahaya. Ia adalah gas
beracun yang dicipta di sebuah makmal rahsia yang dikenali sebagai Seksyen 9.”
“Seksyen 9? Saya sangka, ia hanyalah khabar angin semata-mata bagi menakutkan
pihak musuh. Tidak sangka pula ia memang benar wujud.” Koperal Lukosa menggaru
kepalanya yang hampir botak.
“Saya pun sangka begitu pada awalnya. Setelah saya dibawa ke makmal dan
melihat sendiri senjata berkenaan, barulah saya percaya. Sebab itulah hanya
pasukan kita sahaja dibekalkan topeng oksigen pada hari kelmarin.” Aku
mengimbau kembali pada hari berkenaan dimana seramai 60 anggota soldadu
tambahan tiba bagi melengkapkan kembali Kompeni Ke-6 dari Batalion Pertama
Pengawal Diraja.
“Baiklah. Saya perlu pergi memeriksa keadaan soldadu baru itu agar mereka
sentiasa bersedia. Saya perlu mengaturkan jadual bertugas pada malam nanti.”
Koperal Lukosa meninggalkan aku bersendirian sekali lagi. Suasana semakin gelap
dan cuaca sejuk semakin terasa. Lantas aku mengarahkan beberapa anggota soldadu
menyediakan bekas unggun api bagi memanaskan badan.
Keadaan pada keesokan pagi agak berlainan dari hari sebelumnya. Seolah-olah
aku berada di sebuah planet asing yang jauh dari bumi. Tiada lagi bunyi
dentuman bom dan tiada bunyi tembakan senjata ringan. Amat aneh dan cukup aneh.
Ini menyebabkan perasaan gelisah serta bimbang mula terasa dikalangan anggota
bawahan yang berada di dalam kubu berparit di sekitar perbatasan. Aku mula
perasan akan situasi ini apabila terjaga dari tidur. Bila aku melangkah keluar
dari kubu perlindungan, aku terlihat beberapa anggota soldadu memandang ke arah
Kawasan Tanpa Manusia dengan penuh tanda tanya.
“Apa yang berlaku?” Aku bertanya pada salah seorang soldadu yang berada di
situ.
“Peliklah. Pihak musuh menghentikan serangan artileri. Seperti
kelazimannya, selepas terbit matahari, mereka memulakan serangan tanpa henti
selama 4 jam. Tetapi tidak untuk hari ini. Adakah itu tandanya peperangan sudah
berakhir?” Ujar soldadu baru yang berusia awal 17 tahun.
“Saya tidak pasti. Apa yang kita perlu buat adalah perlu bersedia jika ada
sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku nanti.” Jawab seorang lagi soldadu
senior yang berada di sisiku.
“Tuan! Tuan!” Koperal Lukosa datang dengan tergesa-gesa dalam keadaan
cemas.
“Ya. Ada masalah?”
“Saya telah mendapat khabar dari jururadio kita. Katanya dia telah memintas
perhubungan komunikasi pihak musuh. Walau pun ia tidak berapa jelas, tetapi dia
dapat menangkap beberapa ayat diakhir perhubungan. Antaranya, ucapan selamat
berjaya dan pastikan barisan pertama ditawan.”
Aku berfikir sejenak bila mendengar apa yang dilaporkan oleh Koperal
Lukosa. Tiba-tiba, muncul satu perkara dimindaku secara mendadak.
“Serangan! Pihak musuh akan menyerang kedudukan kita pada bila-bila masa
sahaja. Arahkan semua pasukan bersedia dan kejutkan mereka yang sedang tidur
sekarang!” Aku segera mengeluarkan perintah sebelum mencari mana-mana pegawai
bawahan di sekitar kubu berparit.
Para soldadu berlari ke sana-sini sambil membawa kotak peluru dan menggalas
istinggar. Ada juga keluar dari kubu bawah tanah dengan keadaan baru bangun
tidur. Mesingan diperiksa agar komponennya tidak mengalami masalah untuk
menembak. Anggota soldadu yang baru tiba kelmarin berada di kedudukan yang
telah ditetapkan. Istinggar digenggam erat dan aku dapat mengesan ada diantara
mereka berasa gementar serta menggigil seluruh tubuh. Sudah tentu ini adalah
pengalaman pertama bagi mereka sama seperti kami hadapi sebelum ini.
“Tuan. Ada kabus di sana.” Koperal Lukosa menunding jari ke Kawasan Tanpa
Manusia. Kabus putih berarak mendekati barisan kubu berparit di mana kami
berada. Ia semakin menghampiri dengan pantas.
“Secara tiba-tiba ada kabus pula. Mengaburi pandangan kita dari mengesan
pergerakan mereka. Berikan saya teropong.”
Aku segera meneropong ke kawasan berkenaan. Dan aku dapat mengesan kelibat
pihak musuh yang sedang berjalan ke arah kami. Bukan seorang atau dua orang
tetapi beratus-ratus musuh semakin menghampiri.
“Bersedia semua. Jangan tembak selagi saya tidak mengarahkannya dan biar
mereka menghampiri ke sini.” Masing-masing mencekah istinggar dan memasang
bayonet. Bahuku dicuit dan Koperal Lukosa muncul di belakangku.
“Tuan terlupa barang ini.” Koperal Lukosa menyerahkan topi keledar
kepadaku.
“Terima kasih. Saya terlupa mengambilnya dari bilik tidur.”
Dalam masa beberapa saat, dengan segeralah aku mengeluarkan arahan untuk
menembak. Beratus-ratus das tembakan dilepaskan ke arah kabus putih. Tembakan
mesingan memberi sedikit bantuan bagi menghalang usaha pihak musuh dari
mendekati barisan kubu berparit. Aku dapat mendengar jeritan kesakitan dari
pihak musuh serta tembakan balas yang dilepaskan. Beberapa anggota soldadu terkena tembakan
musuh dan dibawa segera ke barisan belakang. Letupan bom tangan yang dilontar
oleh pihak musuh menyebabkan kami terpaksa berundur.
Pihak musuh mula menceroboh masuk ke dalam kubu berparit dan menguasai satu
demi satu laluan perhubungan ke kubu lain. Aku serta beberapa anggota soldadu
yang sempat menyelamatkan diri mula mengatur kedudukan bagi mempertahankan
barisan kubu yang belum ditawan oleh pihak musuh. Tidak lama kemudian, muncul beberapa
soldadu musuh di sebalik dinding kayu sambil menghunuskan istinggar yang sudah
pun dipasang bayonet pada hujung senjata mereka dan dengan pantas, kami
melepaskan berdas-das tembakan sehinggakan beberapa anggota musuh rebah.
“Tuan. Nampaknya kita tiada pilihan lain kecuali melaksanakan pelan
kecemasan.” Kata Koperal Lukosa dengan keadaan cemas.
“Benar. Tiupkan wisel sekarang dan saya perlu menghubungi pasukan khas yang
sudah pun bersedia untuk bertindak.” Aku mencapai ganggang telefon dari
jururadio yang berada di sisiku.
“Laksanakan pelan kecemasan dengan segera.”
Aku memberi arahan sebelum mengeluarkan topeng oksigen dari beg khas dan
memakainya. Beberapa anggota soldadu yang lain turut berbuat demikian. Koperal
Lukosa meniup wisel berkali-kali sebagai isyarat bermulanya pelan kecemasan.
Tidak lama kemudian kedengaran lagi tiupan wisel di lokasi berlainan. Mujurlah
Koperal Lukosa sempat memakai topeng oksigen apabila muncul asap kekuningan
yang datang dari entah mana mula menyelubungi kawasan kubu berparit. Itu adalah
gas beracun yang disalurkan melalui paip yang dipasang di sekitar kubu berparit.
“Jangan tembak. Biar gas beracun yang membunuh mereka.” Aku menghalang soldaduku
dari melepaskan tembakan apabila ternampak anggota musuh berlari ke sana-sini
sambil terbatuk-batuk dan memegang leher mereka.
Ada yang rebah dengan mata terbeliak dan mulut berbuih. Ada juga yang
bernasib baik, sempat melompat keluar dari kubu dan berlari berundur ke kubu
mereka. Para soldaduku yang memakai topeng oksigen kembali bertindak dengan
menembak ke arah musuh yang sedang berundur.
“Kalian perlu keluar dari kubu dan menyiarap dalam masa 30 minit sekarang.
Jangan menanggalkan topeng oksigen selagi saya tidak mengarahkannya. Beritahu
yang lain juga.” Beberapa anggota soldadu yang bersamaku dengan segera menjalankan
tugasnya.
“Mengapa kita perlu berbuat demikian?” Tanya Koperal Lukosa dengan suaranya
yang agak ‘suram’ apabila memakai topeng berkenaan.
“Gas beracun yang dihasilkan di makmal Seksyen 9 bersifat berat. Ia hanya
menyelubungi kawasan rendah seperti dalam kubu ini. Jadi perlulah kita naik ke
atas dan menantikan gas ini lenyap dalam masa yang ditetapkan. Jika bau seperti
jeruk masam hilang, barulah kita selamat untuk kembali ke kubu.”
“Dari mana tuan dapat maklumat ini semua?”
“Salah seorang saintis yang menceritakan kepada saya.”
Kami segera memanjat keluar dari kubu dan terus menyiarap ke atas tanah
agar tidak menjadi sasaran penembak hendap pihak musuh. Semakin ramai soldaduku
keluar dan berbuat sedemikian. Keadaan berterusan selama 30 minit tanpa
sebarang masalah susulan sehinggalah kesan serta bau gas beracun hilang di
sekitar kubu berparit. Aku tidak pasti berapa lama perlu bertahan di kubu ini.
Dan aku berharap peperangan ini hendaklah berakhir dengan seberapa segera.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.