Jumaat, 25 Julai 2014

Cerpen: Malaysia Baru


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nama saya Remy. Ya. Saya sedang bercakap dengan awak. Awak sedang membaca cerpen yang saya karangkan sempena menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia Baru yang ke 50. Mengapa kami menyambut ulang tahun berkenaan? Bukannya menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia yang ditubuhkan pada 16 September 1963? Dan bukannya menyambut hari kemerdekaan sejak 31 Ogos 1957?
Sebenarnya Malaysia Baru ditubuhkan selepas berakhirnya Perang Dunia Ketiga pada 50 tahun lalu. Hampir separuh penduduk dunia menjadi korban peperangan nuklear yang dilancarkan oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Britain, India, Pakistan dan China. Negara Malaysia ketika itu terhimpit dalam konflik bersenjata walau pun berada dipihak berkecuali. Akhirnya, Malaysia dan negara-negara serantau lain kerap menjadi sasaran serangan oleh kuasa-kuasa besar. Untuk kelangsungan hidup, kami terpaksa menggali sendiri kubu dan parit perlindungan yang tidak seberapa canggih di sekitar penempatan tidak kira di bandar atau di desa bagi mengelak dari menjadi mangsa peperangan. Bagi mereka yang berkedudukan tinggi dan kaya-raya, mereka berlindung di dalam kubu perlindungan khas yang dibina oleh pihak kerajaan.
Diburukkan lagi keadaan, krisis dalaman negara menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Ketika kita sedang bercakaran sesama sendiri, tanpa disedari pendatang asing mula mengambil kesempatan dengan menjarah satu demi satu daerah. Mereka membunuh dan mengusir penduduk peribumi sebelum membawa masuk warganya. Namun begitu, mereka turut menjadi mangsa serangan senjata nuklear bila negara kita menjadi sasaran kuasa-kuasa besar.
Selepas tamatnya Perang Dunia Ketiga, populasi manusia yang terselamat di Malaysia tidak sampai 40 peratus. Begitu juga populasi penduduk seluruh dunia. Sehinggakan ada beberapa buah negara mengalami kepupusan manusia yang teruk. Namun begitu, mujurlah pihak kerajaan telah mewartakan Akta Identifikasi DNA 2009. Pada awalnya ia dikenali sebagai Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 setelah diluluskan di Dewan Rakyat pada 23 Jun 2009. Fungsi asal membolehkan Bank Data DNA Forensik Malaysia mengambil dan menyimpan sampel DNA serta menggunakan untuk tujuan kemanusiaan. Sebanyak 100 juta sampel DNA disimpan dengan selamat di dalam sebuah bilik kebal yang terletak di Banjaran Titiwangsa.
Majlis Saintis Malaysia telah mengkaji dan memilih sampel-sampel DNA yang sihat dari beberapa penderma yang terbaik sebagai langkah percubaan pertama. Jika ia berjaya, mereka akan membina sebuah pusat penghasilan manuklon iaitu manusia klon. Sehingga kini, seramai 6 juta manuklon telah berjaya dihasilkan dan nenek saya adalah salah seorang dari mereka. Mengapa mereka hanya menghasilkan manuklon sebanyak itu dalam masa 50 tahun? Ini kerana mereka perlu berhati-hati untuk memilih sampel dengan menyiasat latar belakang penderma agar penderma berkenaan bukanlah dari golongan penjenayah berat seperti perogol, pencuri, pengganas, penagih dadah, pelacur, pembunuh, perasuah dan sebagainya.
Untuk mengenali masyarakat manuklon cukup mudah. Di tangan kiri mereka terdapat kod bar yang mengandungi nombor siri pengenalan diri. Jika manusia biasa memiliki kad pengenalan, mereka juga memiliki kod bar yang bertindak sebagai nombor pengenalan diri. Sifat serta perwatakan manuklon sedikit berbeza dari manusia biasa. Manuklon begitu cekap menguruskan kegiatan harian mereka dengan sempurna. Sikap rajin bekerja, penyabar, pembersih, kemarahan mereka berada ditahap rendah dan komitmen kehidupan bagi memajukan diri mereka sendiri. Sebab itulah datuk saya yang berasal dari manusia biasa jatuh hati terhadap nenek saya.
Satu lagi masyarakat baru telah dicipta iaitu android. Ia adalah robot yang seakan-akan seperti manusia dari bentuk fizikal. Mereka amat diperlukan dalam bidang pembangunan, pengurusan serta menyelenggara kota. Android bertugas di lokasi-lokasi yang tidak lagi manusia biasa dan manuklon mampu bertugas seperti tapak pelupusan sampah, sistem saliran kumbahan bawah tanah, tapak projek pembinaan, loji pelupusan sisa nuklear serta ladang pertanian dan ternakan.
Selain itu, kami membina beberapa buah kota penempatan yang mesra alam dan bebas dari pencemaran. Bekalan tenaga elektrik pula, kami mendapatkannya dari sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga biologi, matahari, air dan angin. Kami juga membina loji penapisan air laut bagi membekalkan air tawar bersih kepada para penduduk kota serta membina lebih banyak markas pertanian untuk membekalkan sumber makanan kepada kami. Sistem pengangkutan awam menjadi nadi utama kepada warga kota untuk bergerak dari kota ke kota yang lain terutamanya sistem monorel dan keretapi laju. Pasukan jurutera bertungkus-lumus membina perisai anti nuklear bagi melindungi kota-kota di sekitar Malaysia dari ancaman senjata nuklear di masa hadapan. Kami tidak mahu berulang kembali bala petaka yang menimpa seperti sebelum ini. Hutan simpan dan taman negara diwujudkan bagi melindungi hidupan flora dan fauna yang semakin pupus akibat peperangan.
Sistem pemerintahan negara Malaysia Baru tidak seperti sebelum ini. Konsep pemerintahan negara ini berdasarkan sistem ahli jawatankuasa. Malaysia Baru dipimpin oleh seorang pengerusi dan timbalan pengerusi selaku pembantunya. Manakala bendahara mengetuai pasukan penasihat yang ditugaskan untuk menasihat serta memberi pandangan kepada pengerusi serta timbalannya dalam urusan pentadbiran negara. Bendahari diamanahkan untuk menguruskan kewangan negara. Temenggung bertindak sebagai ketua keselamatan dalam negara dan laksamana pula sebagai ketua angkatan tentera. Satu lagi jawatankuasa yang dikenali sebagai majlis eksekutif dianggotai ketua mufti, menteri luar, menteri kebajikan dan sosial, menteri penerangan, menteri pengangkutan, menteri kesihatan, menteri pendidikan, menteri bekalan tenaga hijau dan menteri pertanian. Mereka semua ini menyokong pentadbiran ahli jawatankuasa yang saya sebut tadi.
Saya berharap awak berpuas hati dengan apa yang saya tuliskan sekarang ini. Saya yakin awak mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku terhadap negara kita yang tercinta. Mengekalkan keamanan negara bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan persefahaman dan kerjasama dari semua pihak sama ada dari kerajaan atau pun rakyat jelata. Janganlah mementingkan diri sendiri demi mendapatkan kuasa dan kedudukan dalam pentadbiran negara seperti mana berlaku terhadap Malaysia sebelum Perang Dunia Ketiga. Akhirnya, ia akan merugikan diri sendiri.





Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.