Salah seekor kesatria yang sedang berehat |
Senja mula melabuhkan tirai malam tanpa kehadiran bintang
di langit. Tiada awan yang menjadi perhiasan bagi mengisi kekosongan yang sedia
ada. Pada malam itu juga tiada sebarang bunyi unggas di hutan berhampiran
dengan sebuah kota usang di puncak bukit. Tetapi dari kota berkenaan,
kedengaran sayup-sayup suara perbualan, bunyi lagaan besi serta kelipan cahaya
suram.
Di dalamnya, terdapat ratusan kesatria berhimpun sejak petang
tadi bagi menemani ketua masing-masing yang menghadiri satu mesyuarat tergempar.
Ada diantara mereka sedang tidur, berehat sambil berbual, menjamu selera, membaiki
senjata di bangsal tukang besi dan tidak kurang juga mengawal keselamatan
sekitar kota usang. Sebanyak 25 puak antaranya Birman, Devon, Ragdoll, Abyss,
Angora, Sphyx dan Nebelung telah dipanggil oleh Tuan Pendeta, seekor ahli nujum
dan tabib yang paling dihormati oleh semua puak. Ketua-ketua puak berkenaan
kini berada di bilik mesyuarat yang terletak di tingkat atas.
“Tuan Pendeta. Apa yang dirunsingkan sehingga memanggil
kami secara mendadak?” Tanya Houram. Ketua puak Sphyx dari lembah tundra. Puak
kucing berkenaan adalah puak yang tiada bulu pada tubuh mereka.
“Jika tuan ada sebarang masalah, kami sedia mendengarnya
dan membantu dengan sebaik mungkin.” Sambung seekor lagi ketua puak.
Tuan Pendeta bangun dari tempat duduknya dan mula
mundar-mandir di sekitar bilik mesyuarat. Wajahnya mendung dengan bulu yang
kusam serta misainya kendur. Menggambarkan usia semakin lanjut tanpa
disedarinya. Sudah beberapa dekad Tuan Pendeta menyumbang bakti terhadap
bangsanya. Memberi khidmat kesihatan secara percuma dan adakalanya sering
memberi pendapat serta buah fikiran jika ada penduduk mengalami kesulitan.
“Sebulan yang lalu aku telah mendapat alamat tidak baik
ketika sedang bertafakur.”
“Alamat tidak baik?” Terkejut Jannies, ketua Puak Angora
yang duduk di sebelah Houram.
“Ya. Sedang khusyuk membaca mentera keamanan, ada suara
halus membisik ke telingaku dan memberi amaran dengan menyatakan bala bencana
akan tiba dari benua kegelapan. Aku terkejut dan terus membuka mata. Aku dapati
tiada sesiapa pun yang berada di situ melainkan hanya aku sahaja.” Tuan Pendeta
menceritakan sedikit kisahnya.
Mereka yang berada di bilik mesyuarat berkenaan terdiam
seketika. Ada diantara mereka memandang sesama sendiri bagi ingin mendapatkan
kepastian dari rakannya. Tiba-tiba, kedengaran gelak ketawa yang kuat datang
dari salah seekor ketua yang dijemput. Berbulu putih dan gebu. Lengkap dengan
pakaian pahlawan dengan sebilah pedang disisip kemas dipinggangnya.
“Mengarut! Tuan Pendeta mungkin sudah nyanyuk akibat
begitu lama bersendirian di kota ini.”
“Ardoss! Jaga lidahmu. Jangan sampai kepala terpisah dari
tubuh. Kamu sedarkah dengan siapa berbicara?” Sergah Jannies. Ketua Puak
Chincilla ini perlu diajar bagaimana bersikap sopan dan menghormati mereka yang
lebih tua terutama dengan Tuan Pendeta.
“Oh. Maafkan aku, Jannies. Aku tidak bermaksud untuk
berkelakuan biadap terhadap Tuan Pendeta. Aku khuatir yang Tuan Pendeta tidak
sihat ketika menerima alamat yang tidak baik itu dan dia kemungkinan
mengkhabarkan kepada kita dengan fikiran yang tidak waras.”
“Kurang ajar..!!” Jannies cuba menerpa ke arah Ardoss
tetapi dihalang oleh Houram serta ketua puak yang lain. Begitu juga Ardoss yang
cuba menyerang balas tetapi sempat ditahan oleh rakan berhampiran. Berlakunya
perang mulut sehinggakan Tuan Pendeta mula hilang sabar.
“Cukup!!” Jerit Tuan Pendeta dengan menghentak tongkatnya
berkali-kali. Suaranya boleh didengari mereka yang berada di perkarangan kota
usang. Masing-masing berhenti berkelahi dan memandang ke arah Tuan Pendeta.
“Aku memanggil kalian bukan untuk bercakaran sesama
sendiri. Kita di sini untuk mencari dan menyelesaikan kekusutan yang sedang aku
alami. Aku perlukan buah fikiran dari kalian semua.”
Mereka yang berada di perkarangan kota usang menghentikan
seketika kegiatan masing-masing dan menumpukan ke arah bilik mesyuarat di
tingkat atas. Tiada seekor pun yang berani bertanya kepada pengawal yang
menjaga laluan ke tingkat atas.
“Pastinya mesyuarat berkenaan membincangkan perkara yang
agak panas.” Bisik seekor pengawal kepada rakan setugasnya.
“Kemungkinan juga.” Rakan setugas bersetuju.
Keadaan kembali reda di bilik mesyuarat. Ardoss yang
duduk bertentangan dengan tempat duduk Jannies menjadi sasaran teguran Tuan
Pendeta.
Atoss, abang kepada Ardoss |
“Wei, budak mentah. Kamu dengar sini. Jangan fikir yang
kamu boleh besar kepala disebabkan jasa mendiang ayahmu terhadap bangsa kucing.
Dan kamu jangan berlagak disebabkan jasa abangmu yang berjaya menumpaskan naga di
Pulau Tekpi dahulu. Kamu ke sini pun disebabkan menggantikan tempatnya buat
sementara waktu dibawah pengawasan para pegawai abangmu.” Minda Tuan Pendeta teringat
akan Atoss, abang kepada Ardoss yang kini berada di Negeri Lobak. Dia mewakili
Negeri Meow kerana dijemput menghadiri majlis perkahwinan anak pemerintah
negeri berkenaan.
“Tiada gunanya bercakap panjang lebar, Tuan Pendeta.
Lebih elok kita tumpukan kembali masalah yang tuan hadapi sekarang ini.” Kata
Houram sebelum menjeling ke arah Ardoss.
Ardoss seperti tidak insaf atau kesal dengan apa yang
terjadi. Air mukanya menggambarkan ketidakpuas hatinya. Kucing seperti Ardoss
perlu diberi perhatian dan dipantau gerak-gerinya agar dia tidak mengancam
keselamatan Negeri Meow. Ardoss seekor kucing yang licik dan penuh muslihat
serta mempunyai pengikutnya tersendiri. Sebab itulah Tuan Pendeta sering
menasihatkan Atoss supaya membimbing adiknya agar tidak melakukan perkara yang
boleh merugikan diri sendiri serta bangsanya.
Di luar kota usang, kelihatan satu lembaga muncul dalam
kegelapan malam. Bunyi hentakan kaki dan disusuli bunyi rengekkan kuda telah
menarik perhatian beberapa ekor pengawal di pintu masuk kota.
“Berhenti! Siapa di sana?!” Jerit pengawal kota dengan
mengacukan tombak ke arah lembaga tadi.
“Eh! Itu macam Jonas.” Kata rakan setugas.
“Ya. Tetapi, dia seperti tergesa-gesa. Dia kembali dari
mana? Patutlah hampir sebulan dia menghilangkan dirinya.” Seekor lagi pengawal
dengan sifat ingin tahu.
Jonas, anak angkat Tuan Pendeta tiba dengan keadaan
keletihan setelah sekian lama menunggang kuda tanpa henti. Kuda yang
ditungganginya rebah betul-betul di hadapan pintu masuk utama kota berkenaan.
Berpusu-pusulah mereka yang berada di situ untuk melihat dan ingin mengetahui
apa yang sedang berlaku.
“Apa yang terjadi?” Tanya seekor kesatria dari Puak
Abyss.
“Kamu diserang musuh ke?” Tanya seekor lagi dari Puak
Birman.
“Dari mana kamu datang sehingga jadi begini, Jonas?”
Tanya seekor lagi yang mengenalinya. Tetapi, kesemua soalan yang diajukan tidak
dijawab Jonas dan dia terus melangkah naik ke tingkat atas untuk bertemu dengan
bapa angkatnya dengan segera.
Tanpa meminta kebenaran, Jonas segera masuk dan bertemu
dengan Tuan Pendeta. Apabila melihat sahaja air muka anak angkatnya, Tuan
Pendeta sudah menduga yang alamat yang dia terima adalah benar belaka.
“Maaf kerana mengganggu. Memang benar alamat yang
diterima oleh Tuan Pendeta. Pihak musuh kini menghampiri perairan negeri kita.
Dari pengamatanku di menara teleskop di tebing tinggi, dianggarkan hampir
seribu buah kapal pelbagai jenis yang akan menghampiri perairan negeri kita
pada bila-bila masa.” Bergema suara bisikan dari para ketua puak bila mendengar
laporan Jonas.
“Kamu telah kenal pasti siapa musuh berkenaan?” Tanya
Jannies.
“Aku akan melukis lambangnya.” Tanpa membuang masa, Jonas
mengambil sehelai kertas putih dan pensil untuk dilukis.
Walau pun Jonas tidak mampu membaca dan menulis dengan
lancar, tetapi dia memiliki daya ingatan yang tajam serta pandai melukis.
Mereka yang berada di situ menumpukan perhatian terhadapnya. Setelah siap
dilukis, Jonas menyerahkan helaian kertas itu kepada Tuan Pendeta.
“Lambang ini. Aku cukup kenal lambang ini. Ia adalah
Legiun Dubuk Ketiga dengan anggaran kekuatan tentera seramai 30 ribu dubuk!” Kata
Tuan Pendeta.
“Tuan Pendeta pasti?” Houram ingin mengetahuinya dengan
lebih lanjut.
“Ya. Legiun ini adalah antara lima legiun yang terbaik
dalam angkatan perang mereka. Ia amat berbeza dari rejimen tentera biasa kerana
jika mahu menakluk sesebuah negeri, pihak pemerintah akan menghantar legiun
jenis ini sebagai kumpulan pertama bagi membuka jalan kepada rejimen-rejimen
tentera biasa.”
“Mereka ingat, dengan 30 ribu dubuk boleh menundukkan
kita dengan mudah? Silap besarlah...” Houram mengepal-kepal penumbuknya.
Nafasnya berombak bagaikan ada semangat juang yang terperangkap dalam dirinya.
“Bertenanglah, kawan. Cubalah kawal diri kamu dan aku
faham yang kamu tidak sabar untuk mencantas setiap leher dubuk itu.” Tersengih
Jannies bila melihat telatah teman dari Puak Sphyx.
“Jadi, apa tindakan selanjutnya, Tuan Pendeta?” Soalan
dari seekor ketua Puak Ragdoll membuatkan Tuan Pendeta terdiam sejenak. Begitu
mendalam dia berfikir sehinggakan misainya bergerak-gerak.
“Begini. Esok pagi kalian pulanglah ke tempat
masing-masing dan melakukan persiapan bagi menghadapi pencerobohan pihak musuh.
Berkumpul kembali di sini selepas empat hari kemudian bermula hari ini. Tetapi
sebelum itu, pastikan kaum wanita, warga tua serta kanak-kanak dipindahkan ke
lokasi selamat.”
“Baik, Tuan Pendeta.” Mereka menunduk hormat dan telah
menerima arahan rasmi dari pemimpinnya. Begitu juga Ardoss yang menunduk hormat
secara tidak ikhlas. Seperti dikatakan Tuan Pendeta tadi, Ardoss kini dibawah
pengawasan para pegawai Puak Chincilla. Dia tidak boleh melakukan perkara yang
menjejaskan keadaan.
Subuh telah lama berlalu dengan kokokkan ayam jantan yang
bertenggek di atas bumbung rebannya. Beberapa ekor kesatria mula bangun dari
tidur sebelum menuju ke tandas berhampiran. Manakala si tukang masak pula sudah
pun memulakan tugas untuk menyediakan sarapan. Ada juga memeriksa dan memberi
makanan kepada kuda yang ditempatkan di kandang berdekatan. Di bilik tidur yang
terletak di menara utama, kelihatan cahaya samar yang dihasilkan dari lampu
pelita masih memancar sejak malam tadi. Tuan Pendeta tidak melelapkan mata
kerana sibuk menyiapkan surat rasmi yang perlu dikirimkan kepada negeri-negeri
berhampiran. Setelah kerja penulisan selesai, dengan segeralah dia turun dari
tingkat atas dan keluar ke perkarangan kota. Di situ, terdapat tiga penghantar
utusan yang diselubungi jubah kerudung kelabu sedang menunggunya. Mereka
bertiga telah dipilih oleh Tuan Pendeta sendiri bagi memikul satu amanah besar.
Tuan Pendeta menatap setiap wajah penghantar utusan sebelum menyerahkan empat
pucuk surat yang ditanda cop mohor berwarna merah.
“Kamu kirimkan surat ini kepada raja Negeri Pohon
Berangan.”
“Baik, Tuan Pendeta.” Penghantar utusan itu menunduk hormat
setelah menerima surat berkenaan.
“Kamu pula ke Negeri Rimbunan Hijau.”
“Baik, Tuan Pendeta.” Seekor lagi menunduk hormat.
“Dan kamu, pergi ke Negeri Lobak dan serahkan surat ini
kepada pemerintahnya. Surat berwarna biru pula perlu diserahkan kepada Atoss.
Kalian bertiga mesti ingat. Jangan sesekali membuka surat ini sehinggalah
sampai ke tangan penerima. Faham?”
“Faham, Tuan Pendeta.”
“Bagus. Sekarang juga berangkat.” Tanpa membuang masa,
mereka bertiga mendapatkan kuda yang disediakan.
Untuk ke Negeri Pohon Berangan, penunggang pertama perlu
ke arah timur laut Negeri Meow. Manakala penunggang kedua akan ke Negeri
Rimbunan Hijau yang terletak di seberang Sungai Shin di bahagian tenggara. Dan penunggang
terakhir, dia perlu merentasi Banjaran Sewon di utara Negeri Meow untuk ke
Negeri Lobak. Jika keadaan cuaca mengizinkan, dia akan tiba ke destinasinya
sebelum menjelang petang pada keesokkan harinya.
“Semoga selamat pergi dan selamat pulang, anak-anakku.”
Bisik Tuan Pendeta bila melihat mereka menunggang kuda keluar dari kota usang.
Dengan kesempatan yang ada, Tuan Pendeta meronda sekitar
kota sambil menyedut udara pagi yang segar dan melakukan senaman ringan. Setiap
kali dia berselisih dengan para pengawal kota, Tuan Pendeta akan menyambut
ucapan selamat pagi dari mereka. Dia tidak lokek dengan senyuman serta mudah
diajak berbual. Setelah puas bersiar-siar, barulah Tuan Pendeta kembali ke
biliknya untuk berehat. Namun belum sempat dia merebahkan tubuhnya ke katil,
kedengaran jeritan pengawal yang berada di menara pemerhati.
“Ada rombongan sudah tiba...!”
“Rombongan yang mana satu?” Tanya seekor pengawal kota
sambil menarik kudanya.
“Ada tiga kumpulan rombongan. Satu darinya datang dari
arah selatan.” Jerit pengawal sambil melambai tangannya ke arah kawasan lapang.
Tuan Pendeta bergegas keluar ke balkoni biliknya. Dari
situ, dia dapat melihat beribu-ribu khemah putih berbentuk kon didirikan dan
memenuhi segenap hamparan hijau. Di
pinggir tapak perkhemahan, kelihatan kumpulan rombongan para kesatria tiba
untuk menyertai peperangan yang bakal mereka hadapi. Jika dilihat pada salah
satu bendera yang mereka kibarkan, itu sudah pasti kumpulan berkenaan adalah
dari puak minoriti Munchkin. Puak Munchkin terkenal dengan kepakaran dalam pertukangan
senjata serta membina peralatan peperangan seperti meriam, manjanik dan panah
balistik.
Tuan Pendeta
berasa puas hati bila melihat perkembangan positif di hadapannya. Dia tidak
sangka, dengan ancaman kuasa asing yang semakin menghampirinya, ia telah
berjaya menyatukan bangsa kucing yang selama ini sering bersaing dan hidup berpuak-puak.
Tuan Pendeta juga berharap agar mereka bersatu-padu demi kelangsungan hidup bangsanya
di masa hadapan.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.