Rabu, 29 Julai 2015

Cerpen: Glovania


Negeri Glovania (anak panah)

Sebuah pedati kuda berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk sebuah rumah agam yang indah. Pedati berkenaan membawa seorang pembesar yang amat penting dalam sebuah kerajaan yang baru ditubuhkan. Pintu gerabak dibuka dan muncullah seorang pembesar yang berpakaian segak dan berusia awal 50an.
Tanpa membuang masa, pembesar berkenaan bergegas masuk menuju ke bilik bacaan yang terletak di tingkat atas. Setelah kot labuh disangkut, dia segera duduk di meja kerja sebelum membelek beberapa dokumen rasmi. Tidak lama kemudian, datang isterinya sambil membawa hidangan petang.
"Semenjak awak dilantik sebagai menteri pertahanan, awak begitu jarang bersama dengan kami. Lebih-lebih lagi dengan cucu awak. Dia asyik tertanya-tanya ke mana menghilang datuk kesayangannya." Kata si isteri sambil meletakkan secawan teh di sisi suaminya.
"Memang benar. Saya diamanahkan oleh Dewan Perhimpunan Rakyat untuk mengurus dan mentadbir sebuah angkatan bersenjata yang baru, di sebuah negeri yang baru berusia setahun jagung. Ini adalah satu penghormatan tertinggi kepada saya dan tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan baik. Dia di mana sekarang?"
"Sudah pun tidur di biliknya. Pergilah jenguk." Lantas dia segera ke bilik cucunya yang terletak di sebelah bilik tidur utama.
Rasa simpati mula menyelubungi hati si pembesar bila mengenangkan nasib cucunya. Bapanya yakni anak kepada pembesar berkenaan adalah salah seorang pegawai tinggi tentera yang berusaha membina Angkatan Tentera Glovania, pecahan dari Angkatan Tentera Persekutuan Genovia. Manakala ibunya adalah seorang doktor yang sentiasa sibuk di hospital. Lantaran itulah si pembesar dan isterinya memberi kasih sayang yang secukup terhadap cucu mereka. Sekurang-kurangnya tidaklah berasa sunyi di rumah agam yang besar ini. Pintu bilik dibuka dan kelihatan si anak kecil sedang tidur lena di katil. Dia perlu melangkah dengan berhati-hati agar cucunya tidak terjaga dari tidur. Sungguh comel bila melihat si anak kecil yang sedang berehat.
"Apalah nasib kamu? Ayah dan ibumu sentiasa sibuk dengan urusan masing-masing. Kamu tiada sesiapa pun melainkan kami berdua yang semakin tua." Bisik hatinya.
Pada mulanya dia ingin mengusap dan mengucup kepala si cucu. Namun keinginan itu dibatalkan sahaja kerana bimbang cucunya akan terjaga dan menangis. Setelah berpuas hati, dia segera keluar dari bilik berkenaan dan ingin kembali ke bilik bacaan. Ketika itulah seorang pembantu rumah datang menghampiri dan membisik ke telinga si pembesar.
“Penting sangatkah sehinggakan dia datang ke sini?” Tanya si pembesar dengan nada suara yang perlahan.
“Katanya amat penting.” Jawab pembantu rumah tadi dengan nada yang sama. Si pembesar itu turun ke bawah untuk bertemu dengan seseorang.
Kelihatan seorang pegawai tentera berusia awal 30an berlegar-legar di ruang tamu yang luas. Dia tidak mahu duduk di sofa walau pun dipelawa oleh pembantu rumah sebelum ini. Apabila melihat kemunculan tuan pembesar, pegawai berkenaan berdiri tegak dan menabik hormat.
"Maafkan saya kerana mengganggu tuan. Saya membawa perkhabaran buruk kepada tuan." Kata pegawai itu dengan tutur kata yang tenang tetapi tegas.
"Perkhabaran buruk? Apa dia?"
            Tentera Persekutuan Genovia sedang menghampiri sempadan negeri kita. Berdekatan dengan daerah Dorado. Dianggarkan seramai 20 ribu tentera termasuk 2 ribu kavalri dan 2 ratus laras meriam 8 paun akan masuk ke negeri kita pada bila-bila masa sahaja."
"Sudahkah melaporkan perkara ini kepada jeneral awak?"
Semuanya sudah kecuali tuan perdana menteri belum dimaklumkan.” Si pembesar mengurut dagunya yang licin dicukur. Dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu.
"Siapakah yang mengetuai serangan ke atas negeri kita?"
Menurut pihak risikan, Marsyal Jeneral Massena yang akan mengetuai pencerobohan masuk ke negeri kita, tuan."
“Terima kasih atas maklumat itu tadi. Saya akan ke kediaman perdana menteri sebentar nanti. Awak boleh pergi.”
“Baik, tuan.” Pegawai berkenaan beredar.
Tentera Persekutuan Genovia
Penerangan tadi menyebabkan si pembesar itu terdiam seketika. Dia cuba mengingatkan sesuatu akan nama yang disebut tadi. Ya. Marsyal Jeneral Massena adalah rakan karib ketika menuntut di kolej ketenteraan pada 30 tahun yang lalu. Mereka berdua bersama-sama menyertai Angkatan Tentera Persekutuan Genovia. Dia berkhidmat dalam tentera laut sebagai kapten. Manakala Marsyal Jeneral Massena pula berkhidmat dalam rejimen kavalri sebagai mejar.
Si pembesar berkhidmat dengan penuh cemerlang sehinggalah warga negeri Glovania mula mengadakan referendum untuk menarik diri dari Persekutuan Genovia pada 10 tahun lalu. Sebagai anak jati negeri Glovania, si pembesar mengambil keputusan nekad untuk meletak jawatan dan menyertai barisan kepimpinan Glovania bagi memperjuangkan hak tanahairnya. Kemerdekaan diberikan dengan rasminya oleh pemerintah Persekutuan Genovia walau pun mendapat tentangan oleh pihak pembangkang.

“Tuan. Kita sudah pun tiba di kediaman perdana menteri.” Pemandu pedati kuda mengejutkan si pembesar yang duduk termenung di dalam gerabak.
“Baiklah. Terima kasih.”
Tanpa disedarinya, dia sudah pun tiba ke kediaman orang nombor satu di negeri Glovania. Hatinya berdebar-debar untuk bersua muka dan dia membayangkan bagaimana reaksi perdana menteri bila menerima berita buruk yang akan disampaikan olehnya. Namun begitu, ketibaannya disambut oleh beberapa pegawai tinggi tentera termasuklah anaknya.
“Kami sudah pun memaklumkan kepadanya.” Bisik anak si pembesar yang memegang jawatan sebagai jeneral.
“Reaksi?”
Beliau tidak terkejut.” Mereka memerhatikan tingkah laku perdana menteri yang masih berdiri mengadap ke arah taman bunga. Menunggu pendapat atau sebarang persoalan yang akan diajukan darinya.
“Sebagai menteri pertahanan, apa tindakan tuan selanjutnya bagi menghalang pencerobohan ini?”
Perdana menteri memandang ke arah si pembesar dengan renungan yang penuh harapan. Soalan yang secara tiba-tiba diajukan kepada si pembesar itu tidak sedikit pun rasa kaget.
“Saya sudah pun memikirkan perkara ini ketika dalam perjalanan ke sini, tuan. Cadangan saya adalah kita perlu menubuhkan jabatan perang sebagai pusat operasi bagi menyelia hal ehwal peperangan, penghantaran bantuan bekalan serta khidmat logistik, menempatkan anggota tentera di lokasi pertahanan strategik, menerima dan memberi arahan kepada para panglima dan propaganda.” Penerangan dari si pembesar itu disambut dengan anggukkan kepala si perdana menteri.
“Saya memang menjangkakan perkara ini akan berlaku semenjak mereka menang dalam pilihanraya umum yang lalu. Antara punca utama pihak pemerintah tewas adalah disebabkan memberikan kita kemerdekaan. Pihak pembangkang sudah pun mengambil alih kuasa pemerintahan Persekutuan Genovia dan akan mengotakan janji mereka tidak lama lagi.”
“Mengotakan janji? Maksud tuan, mahu merampas negeri kita agar kembali ke dalam Persekutuan Genovia?” Tanya anak si pembesar.
“Ya. Itulah janji utama pihak pembangkang. Kerana politik, peperangan tidak dapat dielakkan dan kerana politik jugalah hubungan persaudaraan yang terjalin sejak dahulu lagi terputus. Kita tidak dapat lari dari perkara ini.”
Masing-masing terdiam bila mendengar pandangan dari seorang perdana menteri. Perasaan sedih dan kesal dapat dilihat dari raut wajah orang nombor satu negeri Glovania. Si pembesar itu memandang ke anaknya.
“Berapa ramai anggota tentera tetap yang kita ada?”
Kita hanya mempunyai 8 ribu anggota tentera tetap termasuklah 2 ratus kalvari dan 30 laras meriam 6 paun. Untuk mengimbangi kekuatan tentera Persekutuan Genovia, kita memerlukan anggota sukarelawan dari kaum lelaki Glovania.”
“Berapa ramai yang kita perlukan lagi?”
Sekurang-kurangnya 6 ribu orang diperlukan bagi mempertahankan negeri kita.” Jawab anaknya yang baru memegang jawatan jeneral sejak akhir tahun lalu.
“Tidak mengapalah walau pun masih belum mencukupi. Lagi pun dalam medan peperangan, kuantiti yang besar belum tentu dapat menewaskan kuantiti kecil. Kebijaksanaan turut diperlukan dalam situasi ini.”
Si perdana menteri seolah-olah berputus-asa dan jika boleh, mahu menyerahkan nasibnya bulat-bulat kepada Tuhan. Namun begitu, si pembesar tidak mahu menyerahkan begitu sahaja. Dia mendekati perdana menterinya untuk menenangkannya.
“Tuan perdana menteri tidak perlu risau. Kita akan menghadapi bersama-sama. Jika itulah peperangan yang mereka mahukan, peperangan jugalah kita berikan kepada mereka.” Kata-kata hikmat yang keluar dari mulut si pembesar itu tadi telah memberikan satu semangat baru kepada perdana menteri dan para jeneral yang lain.

Epaulet
Anggota tentera Glovania masih memakai seragam tentera Persekutuan Genovia berwarna biru gelap termasuklah para pegawai tinggi. Si pembesar itu telah mengeluarkan arahan yang kesemua anggota tentera hendaklah mengenakan ikatan kain putih di epaulet kiri dan kanan baju seragam. Begitu juga dengan anggota sukarelawan. Mereka dilarang memakai pakaian berwarna biru gelap serta dikenakan ikatan kain putih. Ini sebagai langkah keselamatan agar tidak menjadi mangsa tembakan rakan sendiri dan dapat membezakan diantara kawan atau lawan di medan perang nanti. Sepucuk terakol diperiksa sebelum disangkut pada pinggangnya. Si pembesar itu berjalan keluar bersama dengan perdana menteri dan para jeneral yang lain menuju ke beberapa buah pedati yang sedia menanti. Mereka pergi meninjau ke sebuah sekolah yang akan dijadikan sebagai pusat operasi.
Cabaran yang sebenar sudah pun bermula bagi warga negeri Glovania. Mereka tidak akan berpaling ke belakang dan perlu mengharunginya bersama-sama dengan penuh ketabahan. Cahaya senja yang semakin pudar disambut dengan jeritan burung gagak yang hinggap di bumbung bangsal kuda. Masa berlalu pergi dengan detikan yang penuh debaran. 



Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Rabu, 15 Julai 2015

Puisi: Selamat Tinggal Cik Ramadan


Selama 30 hari kau mendampingiku
Setahun sekali kau datang menemaniku yang kesunyian
Ke mana sahaja aku pergi, kau setia kepadaku
Mengawal nafsu serakah tanpa leka
Menjaga kewajipanku sebagai hambaNya
Dia memberi ruang baru untuk menambahkan nikmat pahala

Kini,
Dia akan meninggalkan aku dengan penuh kehormatan
Meninggalkan bekalan yang disediakan agar aku memanfaatkannya
Dia akan kembali kepadaku di masa hadapan


Amaran: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Ahad, 5 Julai 2015

Puisi: Kekasihku, Mee Segera


Ketika aku bersedih, dialah yang memujukku
Apabila aku ketandusan ilham, dialah menerangi mindaku
Semasa ganjaranku belum diterima, dialah menyokong hidupku
Situasi genting yang melanda bagaikan ribut kencang datang menyerang, dialah menyambung talian hayat yang semakin tipis
Sehingga kini, dia menemaniku sepanjang masa
Tanpanya, aku tiada apa-apa melainkan kelaparan yang tiada kesudahan


Amaran: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.