Puak gasar yang mengancam keselamatan peneroka |
Waktu subuh semakin menghilang dan menggantikan sang
suria yang terbit di ufuk timur. Kabus pagi masih berarak melingkari kawasan
tundra yang dipenuhi pepohon renek dan rumput keras. Bukit berbatu di sekitar
berkenaan dilitupi lumut yang tebal serta licin. Sudah pastinya ia amat sukar
untuk memanjat ke puncak bagi memantau keselamatan persekitaran markas operasi.
Di celah kaki bukit berbatu, kelihatan berpuluh buah
robot tempur yang diselubungi jaring penyamaran. Robot setinggi empat meter itu
adalah robot tempur dari kelas sederhana dan ia hanya boleh beroperasi di dalam
planet sahaja. Robot tempur yang dikenali sebagai Lipan Bara ini mampu bergerak
dengan kelajuan seribu kilometer sejam dengan menggunakan enjin jet yang telah
dipertingkatkan kuasa pecutan. Seorang anggota tentera yang berdiri di puncak
bukit berbatu meneropong ke arah barat daya. Dia mengamati setiap persekitaran
bagi mengesan kehadiran pihak musuh. Kemudian, dia memandang ke bawah di mana
rakan-rakannya yang sedang berkumpul mengelilingi unggun api.
“Ada nampak musuh?” Tanya salah seorang dari mereka yang
berada di bawah.
“Tak ada pun.”
“Cuba tengok lagi.”
Sekali lagi dia meneropong ke arah yang sama. Itulah
tugasnya sebagai pengawal markas hadapan. Sementara itu, seorang ketua pasukan
keluar dari khemah operasi sambil membawa sehelai kertas. Dia baru sahaja
menerima perintah dari ibu pejabat melalui radio komunikasi. Dia memanjat ke
atas robot Lipan Bara sebelum memanggil jurupandu yang lain.
Para jurupandu robot tempur Lipan Bara |
“Semua berkumpul. Ada perintah terbaru dari pihak
atasan.” Jerit ketua berkenaan.
Masing-masing berkumpul di hadapan robot tempur milik
ketua pasukan. Mereka mula pasang telinga bagi mendengar apa yang ingin disampaikan
olehnya. Mereka berharap agar perintah terbaru yang dikeluarkan oleh pihak
atasan dapat mengurangkan ketegangan serta bebanan yang mereka hadapi sekarang
ini.
“Untuk hari ini kita dibenarkan berehat. Pasukan peronda
ke-18 akan mengambil-alih tugas kita untuk meronda di sempadan. Walau bagaimana
pun, kita masih berada ditahap bersiap siaga jika berlaku kecemasan. Ada
sebarang soalan?”
“Tiada, tuan.”
“Baiklah. Sekarang bersurai.”
Kesemua jurupandu bertebaran dan kembali ke robot tempur
masing-masing dengan perasaan lega. Ada juga menyambung kembali menikmati
sarapan yang ditinggalkan seketika. Dan ada juga berbaring di bawah robot
tempur. Kumpulan juruteknik serta penyelenggara sentiasa berada di sisi Lipan
Bara jika mereka diperlukan.
Tidak jauh dari khemah radio komunikasi, sebuah robot
tempur diparkir dalam keadaan berlutut. Robot berkenaan dalam proses membaik
pulih akibat terlanggar jerangkap samar ketika melakukan rondaan beberapa
minggu yang lalu. Di dalam kokpit pemandu, seorang juruteknik begitu tekun
memeriksa dan menaiktarafkan sistem pemanduan Lipan Bara. Adakalanya dia
memandang ke bahagian bawah bagi memastikan kaki robot Lipan Bara berfungsi
dengan baik setelah dibaiki.
“Baiklah, dah selesai. Lipan Bara dikembalikan kepada
kamu, Johan.” Kata juruteknik kepada seorang jurupandu bernama Johan.
“Terima kasih.” Ucap Johan sebelum memanjat masuk ke
kokpit setelah juruteknik selesai menjalankan tugas.
Johan duduk di kokpit pemandu sementara menantikan arahan
dari ketua pasukan pada bila-bila masa. Sambil itu, dia sempat menatap sekeping
foto yang sering dibawa bersama ketika operasi. Hampir tiga bulan dia terlibat
dalam operasi ketenteraan dan selama itulah dia berasa bimbang dengan keadaan ahli
keluarga yang ditinggalkan.
“Berasa bimbang?” Suara garau mengejutkan Johan. Di luar
kokpit, seorang juruteknik baru sahaja duduk di kaki Lipan Bara. Dia seperti
mengetahui apa yang tersirat dihati Johan.
“Mana ada.” Johan cuba menafikan.
“Usah berdalih. Ini orang lama la...” Juruteknik yang
bernama Pak Akob tersengih bila melihat air muka Johan.
Lantas Johan kembali turun ke bawah untuk duduk bersama
dengan Pak Akob. Mereka semua adalah anggota tentera simpanan yang terdiri
daripada petani, peladang, penternak, pelombong dan pekerja industri kecil di
Planet U12. Mereka ditugaskan untuk mengawal keselamatan penempatan di Koloni
Lima dari ancaman puak gasar yang kini bersembunyi di sekitar banjaran gunung
berdekatan.
Planet U12 terletak di pinggir Bima Sakti yang kini menjadi
sebahagian jajahan Empayar Nusantara. Ia ditemui pada 50 tahun yang lalu dan hanya
satu pertiga sahaja planet berkenaan dapat diterokai. Ini kerana serangan puak
gasar terhadap kumpulan peneroka menjejaskan misi penjelajahan sehinggakan kerajaan
pusat menghantar angkatan tentera untuk membantu pihak berkuasa tempatan bagi
mengawal keselamatan. Pihak berkuasa tempatan telah menubuhkan sebuah briged
pertahanan awam yang dianggotai para peneroka. Pelbagai jenis senjata serta
kenderaan perang peninggalan zaman Perang Dunia Keempat yang masih elok
disumbangkan termasuklah robot tempur Lipan Bara. Pihak tentera juga telah
menghantar beratus jurulatih serta penasihat bagi melatih anggota pertahanan
awam.
“Macam mana Pak Akob tahu?”
“Saya pun sama seperti kamu juga ketika muda. Risau
dengan keluarga yang ditinggalkan. Bukan kamu sahaja, bahkan yang lain juga pun
merasai apa yang kamu rasa sekarang ini.” Kata Pak Akob sambil membuka bekas
tembakau dan mengeluarkan peralatan membuat rokok gulung.
“Pak Akob seperti tak berasa bimbang sekarang ini. Pak
Akob ada keluarga di sini?”
“Dulu ada. Sekarang ini anak-anak sudah besar panjang dan
berkeluarga sendiri. Isteri pula dah lama meninggal dunia. Jadi, tak perlu
risau dengan keadaan di rumah.”
“Keadaan di rumah?” Johan seperti memikirkan sesuatu.
“Saya tinggal di pangsapuri dua bilik di pekan Koloni
Lima. Rumah asal saya kini diduduki oleh anak sulung saya.”
“Biar betul? Rumah asal ketika Pak Akob mula-mula tiba di
sini dulu diduduki oleh mereka?”
“Saya sendiri arahkan mereka tinggal di situ selepas
berkahwin. Tak perlulah bersusah payah bekerja keras untuk kumpul duit bagi
membeli atau membina rumah sendiri. Seorang lagi anak tinggal bersama suaminya
di Koloni Empat.”
“Senangnya hidup Pak Akob.” Puji Johan. Asap rokok gulung
berkepul-kepul keluar dari hidung lelaki tua yang sedang berkongsi pengalaman
hidupnya dengan Johan.
“Bolehlah tu tapi bukanlah senang sangat. Apa cerita
pasal keluarga kamu?”
“Isteri saya hamil anak sulung. Saya risaukan isteri saya
yang ditinggalkan keseorangan. Entah makan atau tidak.” Johan meluahkan rasa
kebimbangan.
“Bila kali terakhir kamu menghubunginya?”
“Pada minggu lepas.”
“Adakah dia berada dalam keadaan yang baik ketika
dihubungi?”
“Ya. Tapi dia tidak tinggal di rumah yang kami duduki
sekarang.”
“Habis tu? Dia berada di mana?” Pak Akob ingin kepastian.
“Di rumah jiran saya.”
“Itu menunjukkan isteri kamu tiada sebarang masalah dan
dia tak keseorangan. Jadi, kamu tak perlulah risau. Setidak-tidaknya, mereka
menjenguk keadaan isteri kami jika dia tak sihat atau ada sebarang kesulitan. Siapa
jiran kamu?”
“Entahlah. Apa yang isteri saya beritahu, keluarga tu
baru berhijrah ke Koloni Lima dari bumi pada dua bulan lepas dan membuka
perniagaan menjual barangan runcit berdekatan dengan kawasan perumahan. Tetapi,
saya tak berapa kenal sangat.”
“Aduhai...” Pak Akob menepuk dahi.
“Kenapa, Pak Akob?”
“Kenapa kamu tanya? Jiran sendiri pun kamu tak kenal
sedangkan sudah dua bulan mereka pindah ke situ?”
“Saya sibuk bekerja di kilang sehari suntuk. Mungkin
isteri saya saja yang mengenali mereka.”
“Kesibukan bekerja bukanlah alasan yang baik untuk tidak bercampur
gaul dengan jiran tetangga dan hidup bermasyarakat. Mereka sangat penting
kepada kita kerana merekalah yang menjadi sahabat serta orang yang menghulurkan
bantuan jika kita mengalami masalah. Contohnya seperti apa yang kamu risaukan keadaan
isteri kamu tadi. Pepatah Melayu ada berkata; jiran sepakat membawa berkat.
Jadi, kita perlu memperkukuhkan hubungan silaturahim sesama jiran agar kita
bersatu hati bagi melakukan sesuatu perkara. Dah berapa bulan kandungannya?”
“Entahlah, saya tak berapa pasti. Saya bukannya pandai
sangat nak mengira berapa bulan kandungannya.” Johan tersengih sambil menggaru
kepalanya.
“Macam mana nak jadi seorang ayah? Silap-silap, umur anak
kamu pun tak ingat.” Sindir Pak Akob sebelum menjentik puntung rokok gulung ke
tanah dan sempat menjeling seketika ke arah Johan.
Robot tempur Lipan Bara |
Kelihatan seorang jururadio bergegas keluar dari khemah
dan memanggil ketua pasukan. Raut wajahnya agak cemas seperti menerima
perkhabaran buruk. Ketua pasukan itu mendekati jururadio berkenaan untuk
mendengar laporan yang disampaikan sebelum kembali masuk
ke khemah. Tidak lama kemudian, ketua pasukan tadi terus berlari keluar dan
memanjat salah satu robot tempur Lipan Bara.
“Semua berkumpul sekarang! Kita ada berita buruk.” Pak
Akob, Johan serta puluhan anggota pasukan peronda mula berkumpul dengan penuh
tanda tanya.
“Kenapa, kapten?” Tanya Pak Akob.
“Pasukan peronda ke-18 telah diserang hendap beberapa
minit yang lalu. Lima buah Lipan Bara dan sebuah kenderaan perisai musnah
akibat terkena bom kawalan jauh. Kita akan menghulurkan bantuan sekarang.”
“Di mana mereka sekarang?” Tanya seorang jurupandu yang
berusia awal 20an.
“Dua ratus kilometer ke arah tenggara dari sini. Kita
bersiap sekarang!” Dengan serta-merta bergegas ke robot tempur masing-masing.
Para jurupandu memanjat masuk ke kokpit sebelum memakai
tali pinggang keledar. Manakala anggota juruteknik menarik kabel dari jentera
janakuasa dan disambungkan ke belakang badan robot tempur. Setelah semua bersedia,
jurupandu menghidupkan enjin robot serta mengaktifkan navigasi pemanduan
digital. Jaring penyamaran diturunkan dan kabel penyambungan dicabut sebelum
robot tempur bergerak ke arah tenggara.
“Jangan lupa tetapkan koordinat masing-masing sebelum
kita ke sana.” Kapten pasukan peronda memberi peringatan sebelum pintu kokpit
ditutup.
Kesemua anggota pasukan peronda memecut ke lokasi
kejadian bagi menghulurkan bantuan. Dari jauh dapat dilihat kepulan asap tebal
naik ke udara dan bunyi tembakan bertalu-talu. Johan menjangkakan bahawa puak
gasar telah mencipta bahan letupan yang mampu memusnahkan lebih dari satu mesin
perang milik manusia. Mereka yang memandu robot tempur Lipan Bara, harapan
untuk kembali dengan selamat agak tipis setelah tiba ke tapak pertempuran yang
dicipta oleh puak gasar.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.