Aku duduk menyandar di pangkal pokok sambil menghabiskan
saki-baki makanan yang dibekalkan dari rumah. Mengawasi beberapa ekor kambing milik
ayahku sedang meragut rumput tidak jauh dari tempat aku berada. Itulah salah
satu sumber rezeki bagi menyara keluargaku selain bercucuk tanam dan menangkap
ikan di sungai. Suasana nyaman, mendung dan dingin masih terasa sedangkan waktu
sudah pun menjelang tengahari. Ini kerana hujan lebat melanda kampungku sejak
tengah malam sehinggalah awal pagi tadi.
Di hadapanku, sebuah tembok yang cukup besar dan sukar
digambarkan dengan kata-kata. Dari jauh, ia seperti tembok biasa yang mampu
dipanjat oleh sesiapa pun. Tetapi hakikatnya ia lebih besar dari apa yang aku
jangkakan. Menurut cerita ayahku, ketinggian tembok itu dianggarkan hampir 480
meter dan lebarnya dianggarkan hampir 500 meter. Tambahnya lagi, tembok itu
didirikan mengelilingi tempat kami berada dengan keluasan dianggarkan 83 ribu
kilometer persegi. Tiada laluan keluar dan masuk di darat yang menjadi
penghubung ke dunia luar melainkan laluan udara sahaja.
“Apa fungsi tembok tu?” Aku bertanya kepada ayahku ketika
pertama kali keluar bersama memburu ayam hutan.
“Tembok tu berfungsi untuk melindungi kita dari sebarang
ancaman musuh dari luar.” Jawab ayahku.
“Siapa musuh di luar sana?”
“Entahlah. Ayah pun tak tahu.” Ringkas jawapannya seperti
nada malas untuk menjawab soalanku. Seolah-olah dia cuba menyembunyikan
sesuatu.
Akhirnya barulah aku mengerti mengapa kami berada di sini
apabila usiaku mula menginjak dewasa. Aku adalah salah seorang dari ratusan generasi
pertama yang dilahirkan di dalam penjara terbesar di dunia pada 20 tahun yang
lalu. Arwah datukku adalah seorang peguam dan aktivis politik yang aktif
menentang pihak pemerintah sebelum dia serta keluarganya ditahan dan dibuang ke
sini bersama ribuan yang lain. Turut menerima nasib yang sama adalah anggota
kumpulan kongsi gelap, penjenayah biasa, pesalah juvana, pengkhianat, gelandangan,
penjenayah seksual, pengamal ajaran sesat, pelampau kaum, golongan liberal, murtad
dan ateis, pendatang asing tanpa izin serta golongan LGBT*.
Teringat kembali cerita dari dari ayahku. Ketika mereka ditangkap,
ayahku berusia 10 tahun. Ahli keluarga yang lain turut diheret keluar dari
rumah pada tengah malam dalam keadaan sehelai sepinggang. Rumah serta harta
bendanya disita. Kemudian mereka dikumpulkan bersama ribuan yang lain di sebuah
kem tumpuan sebelum diterbangkan ke Sarawak. Setibanya di lapangan terbang,
mereka dikumpulkan sekali lagi di hangar pesawat untuk diberikan pakaian banduan
serta kelengkapan keperluan yang lain. Selepas itu kami dibawa ke penjara ini
dengan menggunakan helikopter.
Mujurlah pihak pemerintah sudah pun menyediakan rumah,
haiwan ternakan, baja, anak benih dan kelengkapan pertanian bagi kelangsungan
hidup mereka sepanjang hayat di sini. Pada peringkat awal mereka berasa kekok
kerana hidup dalam suasana yang baru. Ibaratkan menjalani kehidupan seharian
dizaman pertengahan Eropah secara tiba-tiba. Dengan berkat kesabaran, bekerjasama
dan tolong-menolong sesama rakan senasib, akhirnya mereka mampu hidup dengan
sempurna walau pun tanpa bantuan peralatan moden.
Sebelum ini mereka pernah merancang untuk keluar dari kawasan
kurungan ini. Namun, terpaksalah dibatalkan setelah melihat sendiri kedalaman
serta ketebalan tembok ketika melaksanakan operasi menggali terowong berdekatan
dengan tembok berkenaan.
“Kita akan mengalami masalah bekalan oksigen jika kita
terus menggali lebih dalam. Tetapi kita tak tahu berapa dalam tembok ini
ditanam.” Ujar seorang lelaki tua kepada yang lain.
“Lagi satu. Tembok ini dibina bukan dari bahan binaan
biasa seperti konkrit. Ia seakan-akan logam. Saya cuba memecahkan tembok ini
tadi. Tetapi tak berkesan langsung.” Tambah seorang lagi teman ayahku.
“Tak apalah kalau begitu. Kita ditakdirkan menjalani
kehidupan di sini sehingga akhir hayat. Mari kita pergi dari sini. Lubang
terowong janganlah dikambus. Kita tanam pokok-pokok renek di sekitarnya supaya
pengawal di atas tembok tidak menyedari kegiatan kita di sini.” Pesan ayahku
ketika itu sebaya dengan usiaku.
Tembok. Menjadi saksi utama kesengsaraan halus yang kami
hadapi selama ini sehinggakan hasrat arwah atukku untuk melihat dunia luar sebelum
menghembus nafasnya yang terakhir tidak kesampaian. Mungkin sama ada ayahku,
aku, anakku, cucuku atau generasi seterusnya sempat melihat dunia luar jika
diberikan kesempatan. Tetapi, bila masanya?
Kelihatan seorang gadis berlari menghampiriku sambil
melambai tangannya. Wajahnya cemas seperti ada perkhabaran yang tidak baik yang
ingin disampaikan kepadaku.
“Kenapa, adik?” Aku bingkas bangun.
“Ayah suruh balik sekarang. Perintah berkurung dah
dikeluarkan.” Katanya sambil menarik kambing-kambing yang belum habis meragut
rumput.
“Perintah berkurung dalam waktu begini? Baru tengahari.”
“Jangan banyak soal. Balik nanti abang tanyalah pada
ayah.” Tambahnya lagi sebelum beredar dalam keadaan tergesa-gesa.
Setibanya kami di kampung, ramai penduduk turut berlari
pulang dari ladang berhampiran. Ada yang menarik lembu dan kerbau, menghalau
ayam serta itik masuk ke dalam reban dan ada juga membawa hasil tangkapan ikan
dari sungai berdekatan. Kelihatan ayah sedang berkata sesuatu kepada rakan yang
lain sebelum bersurai.
“Buat masa ini kita jangan turun ke pekan.” Kata ayah
ketika dia masuk ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
“Kenapa, ayah?”
“Ada berlaku pergaduhan antara kumpulan samseng di sana.
Sudah kamu kurungkan kesemua kambing di dalam kandang?”
“Sudah, ayah.”
“Bagus. Sekarang ambil senjata dan berkumpul di pintu
masuk kampung. Nanti ayah menyusul kemudian. Suruh adik dan emak bersembunyi
dalam rumah dan jangan keluar.” Pesan ayah sebelum masuk ke bilik tidur utama
untuk mengambil sebilah parang.
Aku pula mencapai busur dan bekas berisi anak panah di
bilik tidur sebelum kembali ke pintu masuk utama kampung. Orang kampung sudah
pun berkumpul sambil membawa pelbagai jenis senjata. Beberapa orang pemuda
menolak pedati lembu menutup beberapa laluan keluar masuk di sekitar
perkampungan dan berkawal di situ. Ketua kampung memberi arahan agar bersiap
sedia jika berlaku kejadian yang tidak diingini. Beberapa buah kampung
berhampiran turut berada dalam keadaan berjaga-jaga setelah diberi amaran awal.
“Lihat sana.” Seorang pemuda menundingkan jari ke ruang
udara.
Kelihatan sebuah helikopter berlegar-legar di ruang udara
pekan sambil melepaskan tembakan bertubi-tubi. Kedengaran bunyi letupan
bertali-arus sebelum berlaku kebakaran besar. Asap tebal dapat dilihat dengan
jelas dari kampungku yang terletak di atas bukit.
“Macam mana mereka boleh tahu ada kekecohan di pekan tu?”
“Entahlah. Mungkin mereka mendapat maklumat dari
pengintip.”
“Pengintip?” Aku termenung sejenak.
Adakah selama ini pergerakkan serta kegiatan harian kami sentiasa dipantau oleh mereka? Mungkinkah ada diantara kami ini adalah pengintip yang menyamar menjadi penghuni penjara? Aku memandang kembali ke arah tembok gergasi. Berdiri kukuh tanpa tergugat dari sebarang ancaman. Baik dari manusia atau alam sekitar. Tembok yang memisahkan kami dari arus kemajuan yang mereka nikmati ketika ini. Tembok menjadi simbol kekejaman bisu.
LGBT* (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender)
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.