Kosong. Itulah yang mampu aku ungkapkan sejak dilahirkan
20 tahun lalu. Persekitaran di sini memang kosong tanpa tumbuh-tumbuhan, hutan
rimba, hidupan liar dan burung-burung berterbangan. Yang tinggal hanya
tanah-tandus yang gersang serta gumuk-gumuk pasir yang pelbagai bentuk. Penempatan
setinggan yang dibina dari batu-batan tanah liat dan bangkai-bangkai pesawat menyemakkan
lagi pemandangan. Beberapa orang kanak-kanak bermain di laluan penjalan kaki dengan
penuh kegembiraan. Terlalu muda untuk memikirkan akan masalah yang dihadapi
sekarang. Apalah nasib mereka. Sudahlah dilahirkan di zaman yang penuh
pancaroba dan kesusahan. Ditambahkan lagi peluang pendidikan amat terhad.
Menurut cerita ayah, dia juga turut mengalami keadaan yang
sama sejak dilahirkan. Dia sendiri pun tidak pernah melihat sebuah alam yang
indah seperti yang diceritakan oleh nenek-moyangnya. Hanya imaginasi sahaja
yang mampu menggambarkan suasana pada masa silam.
“Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Fikiran ayah
semakin pudar untuk mengambarkan pemandangan alam yang menghijau.” Itu sahaja
yang ayah mampu ucapkan. Seperti malas untuk menceritakan dengan lebih lanjut
kepadaku.
“Apa yang berlaku sehinggakan alam yang indah itu hilang
begitu sahaja?” Aku bertanya pula kepada ibuku ketika menikmati makan tengah
hari.
“Ketamakkan. Itulah yang menjadi penyebab utama mengapa
alam sekitar yang indah musnah. Bukan itu sahaja, peperangan yang dahsyat turut
menyumbang kemusnahan persekitaran serta memupuskan beberapa buah tamadun
manusia di seluruh dunia.” Aku termenung seketika bila memikirkan kembali apa
yang diceritakan oleh ibu.
Aku memandang ke langit. Sebuah pelantar udara gergasi
terapung di ruang udara tanpa sebarang masalah. Gumpalan awan putih adakalanya
menutup badan pelantar berkenaan bagaikan ada sebuah kota raya dibina di
kayangan. Terdapat sepuluh lagi pelantar udara gergasi yang terapung di seluruh
negara. Pelantar udara gergasi berkenaan adalah sebuah penempatan canggih bagi
golongan atasan dan golongan kelas kedua yang dapat menampung populasi penduduk
sebanyak 2 hingga 3 juta manusia bagi setiap pelantar udara gergasi. Pelbagai
kemudahan disediakan seperti khidmat kesihatan, bekalan air serta elektrik,
taman rekreasi, keselamatan dan sebagainya. Terdapat juga hutan simpan yang
mengandungi pelbagai spesis hidupan flora dan fauna. Kami menggelarkannya
Koloni Syurga. Pernah suatu ketika aku meluahkan hasrat untuk berhijrah ke Koloni
Syurga. Malangnya, maklum balas yang aku terima amat menyedihkan bila
mendengarnya.
“Kita mesti ingat, Maya. Kita adalah golongan kelas
bawahan dan tidak layak untuk tinggal di sana. Usah bermimpilah untuk berhijrah
atau menetap di sana.” Ujar Fasha. Teman sekerja ketika berehat selepas mencari
bahan-bahan yang boleh dikitar semula dari tapak pembuangan sampah.
“Mengapa kamu kata begitu?” Aku seperti tidak berpuas
hati akan jawapan tadi.
“Mereka lebih mengutamakan kasta. Kalau kamu bernasib
baik dapat tinggal di sana pun, belum tentu mereka melayan kamu dengan baik. Mereka
layan kita seperti hamba abdi. Gaji yang diterima tidak setimpal dengan
pekerjaan yang kita lakukan. Andai kamu cuba menyeludup masuk ke sana dan dapat
ditangkap, kamu akan dijatuhkan hukuman mati serta merta dengan mencampak kamu
dari pelantar udara gergasi itu!” Perasaan gerun dan takut mula muncul dihulu
hati. Ditambah lagi bila aku mula memasang niat untuk menyeludup masuk ke dalam
pelantar udara gergasi berkenaan.
Sebuah kapal angkasa terbang keluar dari perut pelantar udara
gergasi menuju ke arah kami berada. Pesawat berkenaan mula terbang rendah dengan
perlahan dan di bahagian bawah pesawat, pintu dibuka sebelum ratusan tan sampah
dicampak keluar. Kemudian, pesawat berkenaan beredar pergi dan kembali ke
pelantar udara gergasi.
“Kamu lihat pesawat itu. Mereka membuang segala jenis
sampah-sarap, sisa kumbahan, sisa buangan dari kilang dan bermacam jenis
kekotoran yang mereka hasilkan ke kawasan kita. Inikah cara bangsa bertamadun
melayan kita sedemikian?!” Nada kemarahan dapat aku rasai melalui luahan hati
Fasha. Pemandangan sedemikian berlaku saban hari sehinggakan aku tidak ingat
sudah berapa kali pesawat mengangkut bahan buangan tiba ke lokasi di mana kami
berada. Akhir kata putus, aku terus membatalkan niat untuk menyeludup atau
berhijrah ke Koloni Syurga. Biarlah impian tinggal impian.
Pada suatu malam, berlakunya hujan ribut yang amat kuat.
Bumbung di beberapa buah rumah setinggan diterbangkan angin sehinggakan para
penghuninya segera mendapatkan perlindungan di dalam kubu perlindungan. Ibu
mengarahkan aku membawa adik yang berusia 10 tahun berlindung di dalam kubu
perlindungan. Manakala ayah sibuk menarik kanvas yang menutup bumbung rumah
dari diterbangkan angin. Pada masa itulah terdengar satu letupan yang kuat dan
disusuli bunyi yang nyaring.
“Bunyi apa pula tu?” Aku memberanikan diri untuk
menjenguk keluar dari kubu perlindungan.
Di dada langit yang gelap, kelihatan cahaya
berkelip-kelip dan diselangi percikan bunga api dari pelantar udara gergasi.
Apa yang menakutkan ialah pelantar udara berkenaan seperti jatuh terhempas ke
bumi dengan perlahan.
“Ayah! Lihat di sana!” Aku segera menundingkan jari ke
arah pelantar udara gergasi. Apabila melihat situasi berkenaan, ayah dengan
pantas mencapai jaket hujan sebelum keluar dari kubu perlindungan.
“Kamu tunggu di sini. Ayah mahu berjumpa kawan sebentar.”
“Saya mahu ikut.”
“Jangan, Maya. Jaga ibu dan adik.” Ayah tidak membenarkan
aku mengikutnya. Ayah berlari keluar sebelum menghilangkan diri dalam kepekatan
malam.
Dalam masa beberapa minit sahaja, ratusan lelaki dewasa
termasuklah ayah segera ke arah kelipan cahaya. Kedengaran juga suara orang
yang memperkatakan kejadian yang aku lihat sebentar tadi.
“Dengar cerita, mereka ternampak pelantar udara gergasi
terbakar sebelum terhempas.” Kata seorang pemuda yang sibuk mempersiapkan diri
untuk ke tempat kejadian.
“Koloni Syurga yang hebat sebegitu pun boleh terhempas?
Mustahil.”
“Tiada yang mustahil. Mungkin ia berpunca dari masalah
teknikal atau pun disambar petir.” Belum sempat mereka bergerak ke tempat
kejadian, seorang ketua kampung datang menghampiri mereka.
“Kamu berdua tunggu dulu. Beritahu penduduk setinggan
yang lain. Jangan keluar dari kubu perlindungan sehinggalah diberitahu kelak.
Ini sebagai langkah berjaga-jaga. Faham?”
“Faham, tok ketua.” Mereka melaksanakan tugas tersebut.
Aku masih memerhatikan situasi di luar sana sehinggalah aku sedar yang adik dan
ibuku sudah pun tidur lena.
Namun begitu, semangat ingin tahu semakin meluap-luap.
Aku perlu menyertai mereka untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Aku
melangkah keluar dengan berhati-hati agar ibu dan adikku tidak terjaga dari
tidur. Sambil memakai jubah kerudung, aku menyelinap masuk ke dalam sekumpulan
lelaki dewasa yang berpusu-pusu ke tempat kejadian. Jarak antara perkampungan
setinggan dengan pelantar udara gergasi terhempas dianggarkan sejauh 15
kilometer. Dari kedudukan kumpulan yang aku berada, dapat dilihat cahaya
kebakaran besar yang semakin marak.
Kami perlu menaiki pelantar udara gergasi yang
ketinggiannya hampir menyamai bangunan 100 tingkat dengan menggunakan lif khas.
Setibanya di bahagian permukaan, kelihatan beberapa buah bangunan yang dibina
di atas pelantar berkenaan terbakar serta runtuh. Ada juga kenderaan awam yang
rosak beserta mangsa bencana yang bergelimpangan.
“Baiklah. Kita perlu berpecah kepada beberapa kumpulan.
Tugas utama kita adalah menyelamatkan mangsa seramai mungkin. Bergerak
sekarang!” Arah ketua kampung.
“Baik, tok.” Arahan terus dilaksanakan. Barulah aku faham
apa tujuan sebenar mereka ke sini.
Aku menyertai kumpulan mencari dan menyelamat di salah
sebuah bangunan yang terletak berhampiran dengan pusat perniagaan. Di situ, ada
juga mangsa yang terselamat dan ada juga mangsa yang telah pun meninggal dunia.
Apabila melihat kehadiran kami, beberapa orang mangsa terkejut.
“Tolong...!! Orang liar!” Jerit seorang lelaki tua yang
mula ketakutan bila melihat penampilan kami yang tidak terurus.
“Jangan apa-apakan saya! Ambillah gelang emas ini. Ini
sahaja yang paling berharga.” Rayu seorang wanita yang terperangkap di bawah almari
dokumen yang menghempapnya.
“Puan, kami ke sini bukan untuk mengapa-apakan puan.
Merompak pun bukan. Kami datang untuk membantu puan.” Kata seorang pemuda yang
berusaha menarik keluar wanita berkenaan dengan dibantu oleh rakan yang lain.
Aku pula memeriksa nadi dan pernafasan salah seorang
mangsa yang terbaring di bawah meja kerja. Seorang lelaki yang berusia lewat
40an masih tidak sedarkan diri walau pun sudah berkali-kali aku mengejutkannya.
“Saya fikir orang ini masih hidup.” Aku cuba membawanya
keluar tetapi gagal kerana lelaki berkenaan amat berat.
“Tak mengapa. Kita utamakan mereka yang mampu berjalan. Saya
akan arahkan rakan yang lain membawa dia keluar. Usah khuatir.” Pujuk ketua
kumpulan yang aku sertai.
Kami keluar dari kawasan runtuhan menuju ke kawasan
lapang di mana sudah ramai mangsa sedang diberi rawatan. Beberapa anggota polis
dan bomba Koloni Syurga turut membantu. Ayah juga berada di situ dan terkejut
bila melihat kehadiranku di situ.
“Buat apa kamu ke sini? Sepatutnya kamu bersama dengan
adik dan ibu.” Ayah bimbang akan keselamatanku.
“Saya perlu membantu mereka. Setidak-tidaknya dapat
membuka mata semua pihak akan kewujudan kita di permukaan bumi ini.”
“Ibu tahu yang kamu ke sini?” Ayah bertanya lagi.
“Tidak. Saya keluar ketika mereka sedang tidur.” Jawapan
spontan dariku menyebabkan ayah menepuk dahinya.
“Beginilah. Kamu tunggu di sini dan jangan ke mana-mana
lagi. Bantu mereka sebaik mungkin.” Pesan ayah sebelum beredar menuju ke sebuah
ambulan untuk mendapatkan ubat-ubatan. Kelihatan juga ketua kampung sedang
membincangkan sesuatu dengan ketua keselamatan dan gabenor pelantar udara
gergasi.
Aku hanya mampu menggelengkan kepala bila mengenangkan
akan layanan ayah terhadapku. Layanan seolah-olah aku masih berusia 10 tahun
sedangkan usiaku sudah pun menjangkau hampir 19 tahun. Usia yang layak untuk
berdikari dan keluar dari rumah untuk berhijrah bagi mencari peluang pekerjaan.
Operasi menyelamat masih berlanjutan sehingga keesokan harinya. Dianggarkan
seramai hampir lapan ratus orang terkorban dan ribuan yang lain mengalami
kecederaan yang serius dalam kejadian pelantar udara gergasi terhempas.
Koloni Syurga. Gelaran bagi pelantar udara gergasi yang
megah terapung di dada langit. Di situlah harapan untuk kami mencari rezeki
demi menyara keluarga masing-masing. Kini harapan untuk menetap dan bekerja di
sana semakin cerah apabila pihak penguasa pelantar udara gergasi berkenaan membuka
peluang pekerjaan serta latihan kepada mereka yang berkelayakan. Bukan itu
sahaja, pihak penguasa sanggup menghulurkan bantuan kesihatan, kewangan serta
teknologi demi membina semula penempatan yang lebih tersusun. Begitu juga pihak
penguasa bagi sepuluh lagi pelantar udara gergasi. Mereka mula membuka mata
akan kewujudan masyarakat setinggan yang menetap di celah-celah gumuk-gumuk
pasir dan bukit batu. Para penduduk Koloni Syurga berasa terhutang budi atas
jasa para penyelamat yang sudi menghulurkan bantuan walau pun dalam keadaan
serba daif. Mereka tidak lagi memandang negatif terhadap masyarakat yang
menetap di kawasan penempatan setinggan.
Sebuah kapal angkasa sudah sedia menanti untuk membawa
kami ke Koloni Syurga. Kami akan menjalani latihan kemahiran kerja di sana
selama 6 bulan. Pelbagai kursus ditawarkan seperti pendawaian elektrik dan
elektronik, mekanikal, pembinaan, pengurusan, pertanian dan perakaunan. Kos latihan
ditanggung oleh pihak penguasa Koloni Syurga sebagai tanda penghargaan kepada
kami. Aku dan Fasha adalah penuntut perempuan pertama yang akan ke sana bersama
dengan 20 penuntut lelaki. Fasha pula tidak lagi merungut. Sikap curiga
terhadap penduduk Koloni Syurga mula terhakis apabila melihat layanan baik yang
diberikan oleh sekumpulan doktor dan jururawat yang datang ke perkampungan
setinggan untuk menjalankan pemeriksaan dan rawatan percuma kepada penduduk.
“Ambillah skaf ini. Di sana sejuk bila menjelang malam.”
Ibu menyerahkan kepadaku sebelum disimpan di dalam beg galas.
“Minyak hangat ini amat berguna jika kamu mengalami
masalah urat selepas belajar. Gunakan ia sebelum tidur.” Giliran ayah pula
menyerahkan kepadaku.
“Terima kasih ibu, ayah. Saya berjanji, saya akan belajar
bersungguh-sungguh dan menjaga nama baik keluarga.” Aku mula menandang kembali
ke arah ayah. Dia seperti keberatan untuk melepaskan aku pergi. Menyedari yang
aku sedang memandangnya, cepat-cepat ayah memandang ke arah lain.
“Ayah tak apa-apa?”
“Tak ada apa-apa. Usah khuatir akan ayah di sini. Yang
penting sekarang, keselamatan kamu di sana nanti.”
“Ayah tidak perlu risau akan keselamatan saya. Lagi pun
saya dan Fasha akan sentiasa bersama walau ke mana sekali pun. Inilah peluang
saya untuk mencari pengalaman di sana. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh
demi masa depan kita.” Aku memujuknya. Sekurang-kurangnya dapat meredakan
hatinya yang resah.
“Awak tak usah risau. Dia sudah besar panjang dan boleh
berfikir sendiri. Sudah boleh membezakan antara baik dan buruk. Apa yang kita
dapat jika tidak membenarkan anak-anak kita berusaha mencari rezeki demi
meringankan beban kita?” Ibu pula cuba meredakan keresahan ayah. Bila mendengar
apa yang dikatakan isterinya, akhirnya ayah akur akan kehendakku yang ingin
merantau ke Koloni Syurga.
“Baiklah. Ayah bersetuju.” Ayah tersenyum bila melihat
aku gembira yang ayah merestui pemergianku ke sana.
Sudah tiba masanya untuk berangkat. Perasaan bercampur
aduk bila kapal angkasa mula berlepas menuju ke Koloni Syurga. Ada gembira,
sedih, gementar, berkecamuk dan sebagainya. Fasha seperti mahu menangis bila
mengenangkan keadaan ibunya yang ditinggal keseorangan.
“Sudah. Jangan menangis lagi. Keluargaku sentiasa
menjenguk keadaan dia.” Aku memujuk Fasha. Kapal angkasa mula memasuki ruang
pendaratan selepas 30 minit perjalanan dari daratan. Bermulalah perjalanan
hidup kami sebagai penuntut industri.
Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
1 ulasan:
Cerpen ini sudah pun diterbitkan didalam KOMPLOT MENULIS: KOMPILASI CERPEN GMM (Grup Mari Menulis)
Catat Ulasan