Isnin, 9 September 2013

Hujan Di Brickfield



Lembap
Hujan turun selebat-lebatnya tanpa henti
Menyejukkan alam yang sekian lama membahang dengan topik politik yang sering diperkotak-katik
Terperangkap di pondok kekalutan umat manusia yang mengejar wang, masa dan kuasa
Tanpa payung maruah, harga diri dibasahi air hujan yang hanyir dengan tipu muslihat
Tanpa payung maruah, hidupnya tidak bermakna dan kosong!
Tanpa payung maruah, perjalanan masa tertangguh!



                                                                              Brickfield, 1932 malam
                                                                              2 September 2013


Amaran: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Ahad, 1 September 2013

Cerpen: Mutiara Ajaib



Kolonel Natsu buntu bila gagal mendapatkan bantuan.
 Gudang senjata menjadi tumpuan orang ramai. Masing-masing memerlukan senjata bagi mempertahankan tempat tinggal dan ahli keluarga mereka. Anggota keselamatan turut membantu bagi melancarkan sesi pengagihan. Istinggar, terakol, peluru, ubat bedil, pedang dan tombak telah disediakan. Tidak kira tua atau muda, mereka semua berbaris dalam beberapa barisan untuk mendapatkan senjata berkenaan. Kaum wanita dan kanak-kanak telah dipindahkan ke kubu perlindungan yang telah disediakan.
Di hadapan gudang senjata, terletaknya sebuah bangunan tiga tingkat dimana di situlah pejabat gabenor Kota Magnolia. Seorang pemuda berdiri di balkoni bangunan berkenaan semata-mata mahu melihat operasi pengagihan yang sedang dijalankan. Orangnya tampan, berkaca mata dan berambut panjang yang lurus. Tangan kirinya masih memegang hulu pedang yang disangkut pada pinggangnya. Pedang itu jugalah menjadi lambang kuasa seseorang yang mengepalai sesuatu organisasi. Seorang pembantu peribadi tiba dengan agak tergesa-gesa. Wajahnya cemas bagaikan si ibu kucing kehilangan anaknya.
“Tuan, kita ada berita kurang baik.” Kata pembantunya. Seorang gadis yang juga anggota keselamatan. Jejaka yang berpangkat kolonel itu berpaling ke arah pembantunya dengan pandangan yang penuh tanda tanya.
“Berita kurang baik?”
“Kerajaan Pusat tidak dapat membantu kita. Mereka hanya mampu mengucapkan selamat berjaya dan semoga Tuhan melindungi kita. Itu sahaja.” Katanya.
“Sudah saya jangkakan. Itu sahaja jawapan yang mampu mereka berikan. Mereka lebih suka duduk dan melihat kejatuhan Kota Magnolia dan Pulau Magnolia keseluruhannya.” Pemuda itu mengeluh hampa. Tetapi, ini tidak bermakna dia menyerah kalah sebelum mula bertarung.
Tidak lama kemudian, tiba pula seorang lelaki yang memakai sepasang jubah kelabu di pejabat berkenaan. Lelaki itu sering membawa sebuah buku tebal berkulit keras ke mana sahaja. Berambut pendek dan bertubuh sasa. Usianya hampir menjangkau lewat 40an.
“Maaf kerana mengganggu. Boleh saya berjumpa dengan Kolonel Natsu?” Tanya dengan sopan. Mereka berdua memandang ke belakang untuk mengetahui siapa tetamu yang tiba.
“Cikgu Gray! Sila masuk. Saya amat menantikan kehadiran cikgu ke mari.”
“Terima kasih, tuan.” Cikgu Gray melangkah masuk ke pejabat dengan sopan. Pembantu peribadi itu beredar keluar dari pejabat setelah menerima isyarat dari Kolonel Natsu.
“Apa hajat tuan memanggil saya ke mari?” Tanya Cikgu Gray sambil duduk di sofa berdekatan.
“Begini, cikgu. Sekarang ini situasi Kota Magnolia berada ditahap merbahaya. Lanun akan tiba ke sini pada bila-bila masa dengan lengkap persenjataannya. Lebih menyulitkan keadaan Kerajaan Pusat tidak dapat menghulurkan sebarang bantuan dan hanya mampu berdoa agar kita selamat. Jadi, oleh kerana cikgu adalah orang yang dihormati penduduk Kota Magnolia, saya ingin melantik cikgu sebagai penyokong moral terhadap para penduduk serta anggota pasukan keselamatan keseluruhannya.”
“Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kerana saya dilantik dalam tugas ini. Tetapi, apa yang saya musykil sekarang ini, mengapa Kerajaan Pusat bertindak sebegitu? Bukankah Pulau Magnolia dan kotanya sebahagian dari miliknya? Ibaratkan membiarkan lubuk rezeki dimusnahkan oleh pihak lain.”
“Entahlah. Saya sebenarnya sudah buntu untuk memikirkan itu semua. Lagi pun, cikgu bukannya tidak tahu akan masalah dalaman pentadbiran Kerajaan Pusat. Rasuah, salah guna kuasa, karenah birokrasi, kronisme dan bermacam lagi. Itu semua menjadi rencah permainan untuk mendapatkan kuasa.”
“Baiklah. Itu kita lupakan seketika. Sekarang ini, apa perancangan tuan? Saya nampak di luar sana anggota keselamatan sibuk mengagihkan bekalan senjata kepada orang awam. Adakah mereka benar-benar telah bersedia?”
“Mereka sudah pun bersedia walau pun kurang arif dalam ilmu peperangan. Namun begitu, mereka telah pun diberi latihan asas secukupnya oleh anggota saya. Tambahan lagi, sebahagian dari penduduk kota ini adalah bekas anggota tentera laut yang sudah bersara.” Penerangan dari Kolonel Natsu sedikit sebanyak dapat menenangkan hati Cikgu Gray yang turut bimbang bila mendengar perkhabaran buruk tadi.

Kota Magnolia
Pulau Magnolia ditemui oleh seorang penjelajah wanita yang kaya-raya bernama Magnolia Van Helfield pada 50 tahun yang lalu. Pulau berkenaan terletak seratus batu nautika dari tanah besar. Walau pun pulau itu tiada sebarang sumber asli, ia adalah kedudukan yang strategik dan menjadi pilihan utama bagi para nelayan untuk berlindung dari ribut. Lantas, Magnolia Van Helfield mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membina sebuah kota penempatan. Kemudian, dia menawarkan pekerjaan dan tempat tinggal kepada mereka yang berminat khususnya kepada pesara tentera laut. Magnolia Van Helfield berazam akan menjadikan pulau dan kotanya menjadi pusat industri perikanan serta bengkel membaik-pulih kapal yang terkenal. Selepas Magnolia Van Helfield meninggal dunia, para penduduk bersepakat untuk menamakan kota serta pulau yang mereka diami sekarang dengan nama Magnolia sebagai mengenang jasanya.

Pembantu peribadi tadi bergegas kembali ke pejabat Kolonel Natsu. Kali ini, dia turut membawa satu lagi khabar buruk untuk ketuanya.
“Tuan, lanun sudah pun tiba ke perairan pulau kita. Menurut pengawal kota, mereka kini sedang mendaratkan kelengkapan perangnya ke pantai.” Cikgu Gray memandang tepat ke wajah Kolonel Natsu. Menunggu tindakan selanjutnya.
“Jika begitu, ayuh kita ke tembok pertahanan segera.” Mereka bertiga bergegas keluar dari bangunan pentadbiran menuju ke pintu masuk utama.
Mereka menyusuri kawasan persekitaran yang sudah bertukar wajah. Guni-guni pasir disusun teratur disepanjang laluan penempatan serta premis perniagaan. Kubu berparit turut digali agar menjadi tempat perlindungan dari serangan meriam musuh.
Setibanya disalah satu menara pemerhati kota, Kolonel Natsu terus meneropong ke arah pantai. Kelihatan berpuluh-puluh jong milik lanun mula berlabuh di sekitar perairan Pulau Magnolia. Dianggarkan hampir seribu lanun durjana sedang mendarat ke pantai sambil membawa bersama tangga buluh, pemecah pintu dan meriam.
“Apa yang tuan nampak?” Tanya Cikgu Gray.
“Mujurlah meriam yang mereka bawa adalah jenis berkuasa rendah dan sukar untuk memusnahkan tembok kota kita.”
“Bagaimana tuan yakin yang meriam berkenaan sukar menembusi pertahanan kita?”
“Sebab saya pernah berkhidmat dalam Unit Artileri Ketujuh selama 10 tahun sebelum ditukarkan ke sini. Saya tahu jenisnya dan meriam yang mereka gunakan sekarang adalah dari model lama yang hanya mampu merosakkan kapal kecil sahaja.”
“Walau pun sukar untuk memusnahkan tembok kota, setidak-tidaknya meriam mereka dapat memusnahkan penempatan penduduk di dalam kota ini. Itu pun kalau mereka terfikir untuk berbuat demikian.”
“Memang benar. Mereka sebenarnya sudah merancang untuk berbuat demikian. Cuba lihat di sana.” Kelihatan lanun-lanun sibuk mengatur kedudukan meriam di lokasi yang sesuai. Ada diantara mereka mendongakkan laras meriam sebanyak 45 darjah ke arah Kota Magnolia.
“Apa kita perlu lakukan sekarang?” Tanya lagi Cikgu Gray. Dia mula berasa cemas. Kolonel Natsu memandang ke arah para pegawainya yang berada di sisinya.
“Beri amaran kepada yang lain agar bersedia menghadapi serangan lanun. Pergi sekarang.” Arahan diterima dan para pegawai keselamatan dengan segera melaksanakan tanggung jawab masing-masing.
Para penduduk kota yang bersenjata telah bersedia di kedudukan yang telah ditetapkan. Selang beberapa saat, kedengaran bunyi tembakan meriam bertalu-talu sebelum berlaku letupan. Penempatan dan premis perniagaan musnah dalam kebakaran akibat impak letupan peluru meriam. Tiada gunanya untuk memadamkan kebakaran kerana api marak dengan pantas akibat tiupan angin yang kuat. Selama 30 minit Kota Magnolia dihujani peluru meriam. Namun, mujurlah tiada siapa yang mengalami kemalangan jiwa kerana warga kota berkenaan sudah pun bersedia sejak awal lagi. Kolonel Natsu dan Cikgu Gray duduk berlindung disebalik tembok kota sambil memerhatikan pergerakan lanun. Tidak lama kemudian, tembakan meriam berhenti dan disambung pula dengan pekikan suara garau.
“Wahai penghuni Kota Magnolia. Jika kalian mahu selamat, lebih elok kalian keluar dari kota dan menyerah diri!” Senyap. Masing-masing mendiamkan diri sehinggalah Kolonel Natsu membalas pekikan tadi.
“Wahai lanun durjana! Sungguh biadap kalian semua. Datang tanpa diundang, membuka bicara tanpa memperkenalkan diri!” Kolonel Natsu membalas. Perasaan geram bila melihat tingkah laku kurang sopan seorang ketua lanun yang berdiri megah berhampiran dengan pintu masuk kota.
“Ha...ha...! Maafkan saya. Mungkin terlalu bersemangat sehinggakan terlupa untuk memperkenalkan diri. Nama saya Borcha. Kapten Borcha. Naga Laut Utara itulah gelaranku sehinggakan pemimpin kalian di Kerajaan Pusat tidak lena tidur bila mendengarnya. Dan juga bakal menduduki takhta di Kerajaan Pusat dalam masa terdekat nanti!”
“Bercita-cita tinggi tetapi belum tentu dikecapi. Bersuara lantang tetapi kosong isinya. Wahai Kapten Borcha dengan gelaran yang dicipta sendiri. Lebih molek pulanglah ke tempat asalmu. Di sini tiada apa yang menarik untuk dijarah. Tiada emas, perak, berlian atau pun zamrud.”
“Tetapi kalian ada lemak ikan paus dan singa laut. Tidak saya lupa juga kalian ada menyimpan sebuah peti yang mengandungi sebutir mutiara ajaib.” Amat mengejutkan bila mendengar apa yang diperkatakan oleh Kapten Borcha. Masing-masing tidak tahu menahu mengenainya.
“Maaf. Saya tidak tahu mengenai peti berkenaan. Mungkin kamu hanya mendengar khabar angin yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.” Balas Kolonel Natsu. Dia sendiri mula gusar akan apa yang dituntut oleh Kapten Borcha.
“Usah berdolak-dalih. Saya tahu peti berkenaan ada tersembunyi di sekitar Kota Magnolia. Saya beri tempoh sehingga esok pagi agar kamu mencari dan menyerahkan kepadaku. Jika tidak, Kota Magnolia dan seluruh pulau ini akan menjadi padang jarak padang terkukur.” Kapten Borcha memberi tempoh yang singkat kepada Kolonel Natsu serta warganya.
“Di mana hendak mencarinya? Selama saya menetap di sini, tidak pernah dengar mengenai mutiara ajaib itu.” Cikgu Gray turut berada dalam dilema.
“Tidak mengapa. Buat masa ini, kita memperkukuhkan pertahanan kota. Langkah pertama, padamkan kebakaran yang sedang berlaku dan kedua kumpulkan semua objek besar seperti tong kayu dan guni pasir. Disusunkan di hadapan pintu-pintu masuk utama kota ini agar pihak musuh tidak dapat memecah masuk.” Kolonel Natsu kemudian memandang ke arah pembantu peribadinya.
“Kamu pula hubungi sekali lagi untuk memohon bantuan dari Kerajaan Pusat. Jika gagal, hubungi pula mana-mana daerah yang sudi menghulurkan bantuan.”
“Baik, tuan.” Pembantu peribadinya beredar dengan segera. Terbongkok-bongkok bagi mengelak dari dikesan oleh pandangan musuh.
“Sekarang tugas saya sudah pun bermula. Saya ingin meninjau keadaan mereka di sana.” Kata Cikgu Gray. Dia turut mengekori pembantu peribadi Kolonel Natsu. Meninggalkan Kolonel Natsu bersama para pegawai keselamatan yang lain.
Cikgu Gray yang menyusuri laluan kubu berparit sempat bertegur sapa dan memberi senyuman kepada para penduduk yang lengkap bersenjata. Semangat mereka tidak luntur walau pun kediaman mereka musnah dalam kebakaran. Ada juga menanyakan situasi dan perkembangan terkini di luar tembok kota. Sudah pastinya Cikgu Gray bijak memainkan peranannya sebagai penyokong moral.
Sedang asyik berbual dengan para penduduk setempat, yang kebetulan mereka berada berdekatan dengan loji penyulingan air laut, muncullah sekumpulan penyelam seramai lima orang keluar dari loji berkenaan. Dengan pantas mereka yang berada di situ bersedia untuk menentang sebarang pencerobohan.
“Tolong jangan tembak! Kami datang untuk membantu!” Suara garau disebalik topeng penyelam.
“Kalau mahu membantu kami, sila buka topeng kalian.” Cikgu Gray memberi arahan kepada tetamu ‘istimewa’ tadi. Dia bersembunyi disebalik tiang lampu jalan dalam keadaan menyiarap.
Tetamu berkenaan membuka topeng penyelam dan salah seorang dari mereka adalah wanita. Wanita itu mula tampil ke hadapan. Cikgu Gray yang masih kebimbangan cuba memberanikan diri untuk bertemu dengannya.
“Puan ini siapa dan bagaimana puan boleh tiba ke sini? Bukan mudah untuk melepasi kepungan yang dilakukan oleh pihak lanun.” Cikgu Gray kehairanan.
 “Nama saya Erza. Saya adalah seorang saintis, jurutera dan pereka. Kami dapat masuk ke sini dengan menggunakan kapal selam hasil ciptaan saya. Saya juga adalah cucu kepada Magnolia Van Helfield. Jururadio saya telah menerima isyarat kecemasan dari sini awal pagi tadi. Tanpa membuang masa, kami mula bertindak. Dengan berpandukan cetakan pelan biru yang disimpan oleh nenek saya, kami dapat masuk ke sini tanpa dikesan pihak lanun.” Mereka yang berada di situ berasa gembira serta teruja bila dapat melihat kehadiran cucu Magnolia Van Helfield, pengasas Kota Magnolia.
“Hebat! Jika begitu, saya bawa kalian bertemu dengan gabenor. Sila ikut saya.” Cikgu Gray segera membawa tetamu berkenaan untuk bertemu dengan Kolonel Natsu.

Suasana mula sunyi ketika menjelang tengah malam. Di kawasan premis perniagaan dan kediaman, tiada apa yang menarik untuk dilihat. Hanya runtuhan dan kesan kebakaran sahaja yang menghiasi persekitaran. Dalam tempoh bertenang ini, mereka mengambil kesempatan untuk berehat serta mengukuhkan pertahanan bagi menghalang lanun dari menceroboh masuk ke kota. Di tapak perkhemahan lanun, kedengaran gelak ketawa dan nyanyian beramai-ramai. Mereka berpesta sambil menikmati minuman keras dan hidangan malam. Suara mereka dapat didengari sehingga ke tembok pertahanan Kota Magnolia.
“Saya amat mengenalinya.” Jawab Erza selepas disoal oleh Kolonel Natsu mengenai Kapten Borcha. Mereka bertiga duduk bersila di dalam kubu berparit yang digali berdekatan dengan pejabat gabenor.
“Siapa dia sebenarnya, puan?” Tanya Cikgu Gray. Mulutnya masih mengunyah sekeping roti yang telah direndam dalam kopi susu.
“Dia adalah bekas pembantu nenek saya ketika mereka menjalankan ekspidisi menerokai kawasan baru di Benua Timur.”
“Tetapi mengapa Kapten Borcha menyertai pihak lanun dan dia juga menuntut agar kami menyerahkan sebuah peti yang mengandungi sebutir mutiara ajaib. Kami sendiri pun tidak tahu yang peti berkenaan disembunyikan dalam kota ini.” Tanya Kolonel Natsu lagi.
“Sebenarnya Kapten Borcha memang seorang ketua lanun. Dia menyertai pasukan nenek saya dengan menyamar sebagai pelaut upahan hanya kerana mahukan mutiara ajaib yang disimpan oleh nenek saya.”
“Jadi, mutiara ajaib itu memang wujud? Begitu?” Mereka berdua terkejut bila mendengar apa yang diceritakan oleh Erza.
“Sebenarnya tidak. Memang tidak wujud langsung.” Jawab Erza dengan tenang. Namun begitu, jawapan darinya tidak memuaskan hati Kolonel Natsu.
“Tunggu dulu. Yang mana satu yang betul? Sekejap kata tadi mutiara ajaib itu disimpan oleh nenek puan. Kemudian puan kata pula tidak wujud. Yang mana satu sebenarnya?” Cikgu Gray sempat menjeling ke arah gabenor Kota Magnolia. Dia dapat mengesan angin kemarahan Kolonel Natsu.
“Mutiara ajaib yang saya katakan tadi sebenarnya palsu. Ia cuma sebutir mutiara biasa yang tercabut dari anting-anting nenek saya. Ia berfungsi sebagai meningkatkan moral serta semangat anggota pasukan ekspidisi agar tidak berputus asa dan mempercayai keajaiban semasa menghadapi kesulitan. Jadi secara kebetulan, kapal yang membawa pasukan ekspidisi dipukul ombak ketika menghadapi taufan di tengah laut. Entahlah bagaimana nenek saya mendapat akal, lalu dia memanjat tiang layar dan menunjukkan mutiara itu ke arah langit yang gelap. Tidak lama kemudian, taufan mula reda dan keadaan laut mulai tenang. Pada masa itulah anggota pasukan ekspidisi mempercayai bahawa mutiara yang dipegang oleh nenek saya adalah mutiara ajaib.”
“Dan tidak lama kemudian, Kapten Borcha menyertai pasukan ekspidisi dengan menyamar menjadi pelaut upahan setelah mendengar kisah berkenaan yang diceritakan dari mulut ke mulut.” Sambung Cikgu Gray.
“Ya, memang benar Cikgu Gray. Namun begitu, hasratnya tidak kesampaian kerana penyamarannya terbongkar. Lalu dia diusir seperti anjing kurap.”
“Itulah sebabnya dia menyerang Kota Magnolia demi mendapatkan mutiara ajaib serta ingin membalas dendam kerana dimalukan oleh nenek puan.” Cikgu Gray membuat kesimpulan.
“Tetapi apa yang perlu kami lakukan sekarang? Tinggal beberapa jam lagi masa akan tamat dan Kapten Borcha pastinya akan melancarkan serangan yang lebih dahsyat pada pagi esok.” Kolonel Natsu memberi peringatan kepada Erza dan Cikgu Gray.
“Perkara itu biarlah kami yang menguruskannya. Tuan cuma perlu menghapuskan lanun-lanun yang berada di daratan sahaja.” Jawab Cik Erza sebelum bingkas bangun.
“Apa yang akan kamu lakukan nanti?” Tanya lagi Kolonel Natsu.
“Tuan akan tahu nanti.” Jawab Erza lagi dengan senyuman yang memberi harapan kepada Kolonel Natsu serta warga Kota Magnolia.
“Baiklah. Kita akan mulakan rancangan ini pada tengah malam nanti.” Kata Cikgu Gray dengan nada bersemangat. Mereka bertiga berpisah di situ. Erza kembali bertemu dengan krew kapal selamnya manakala Kolonel Natsu dan Cikgu Gray menuju ke tembok pertahanan untuk memantau pergerakan lanun.

Angin pagi menerpa deras ke wajah Kapten Borcha. Dia setia menanti sambil memerhatikan keadaan tembok pertahanan Kota Magnolia. Adakala dia mundar-mandir sambil mengepal penumbuknya. Dia seperti tidak sabar untuk melakukan kekejaman keatas penduduk kota yang akan dijarahnya. Kemudian dia melihat jam poketnya untuk mengetahui waktu.
“Hampir pukul 7 pagi. Tinggal beberapa minit lagi akan tahu nasib kalian wahai warga Kota Magnolia yang malang.” Bisik hati Kapten Borcha.
Suasana sunyi dibiarkan begitu sahaja sehinggalah berlaku beberapa letupan yang menggemparkan pada waktu berkenaan. Kapten Borcha serta pengikutnya bergegas ke pantai untuk melihat apa yang sedang berlaku. Kelihatan berpuluh-puluh jong milik lanun musnah dalam letupan yang dahsyat. Ada juga karam selepas api marak membakar badan jong berkenaan. Kapten Borcha terkejut besar sehinggakan mulutnya ternganga dan matanya terbeliak. Para pengikutnya turut terkejut. Pada masa itulah perasaan takut mula menyelubungi dalam diri mereka. Senjata terlepas dari tangan masing-masing dan semangat untuk mengganas luntur dalam sekelip mata.
"Bagaimana Kapten Borcha? Adakah kamu mahu berunding? Kami sebenarnya tidak berminat untuk berunding. Kalian tiada pilihan lain sama ada mahu menyerah kalah atau mati." Bunyi pembesar suara dari Kota Magnolia membuatkan Kapten Borcha panas hati. Itulah suara Kolonel Natsu yang cukup lantang bila melihat musuh yang mula lemah.
"Baiklah. Hari ini kalian selamat. Suatu hari nanti kalian akan terima pembalasannya. Kita berundur sekarang! Bawa sekali kelengkapan yang lain!" Kapten Borcha mengeluarkan arahan kepada pengikutnya sebelum berundur dengan menggunakan perahu.
Namun begitu, belum sempat mereka berbuat demikian, kedudukan mereka dihujani peluru dari semua arah. Barulah Kapten Borcha sedar yang mereka kini telah dikepung. Disebalik bukit pasir dan batu besar di sekitar pantai, para penduduk Kota Magnolia serta anggota keselamatan bersembunyi sambil melepaskan tembakan. Ramai lanun yang tewas sehinggalah tinggal Kapten Borcha dan beberapa yang lain.
"Kapten Borcha. Naga Laut Utara. Sila menyerah diri jika mahu selamat." Tidak lama kemudian, muncullah Cikgu Gray yang berdiri tidak jauh dari Kapten Borcha berada.
Dalam kedudukan yang terdedah kepada sasaran, Kapten Borcha masih mampu mengacukan sebilah pedangnya ke arah Cikgu Gray. Namun begitu, pedang yang dipegangnya terlepas dari genggaman apabila sebatang tombak menepis pedang itu. Dan dengan mudah Kapten Borcha serta yang lain ditahan sebelum dirantai oleh anggota keselamatan. Kolonel Natsu yang tiba tidak lama kemudian bersemuka dengan Kapten Borcha. Tetapi dia tidak berkata apa-apa pun melainkan tersenyum dan menepuk pipi Kapten Borcha dengan perlahan. Dengan arahan ringkas darinya, para tahanan dibawa ke penjara dengan kawalan ketat. Cikgu Gray yang menyaksikan gelagat gabenor Kota Magnolia segera mendekatinya untuk mengetahui apa sebenar yang sedang dilakukan.
"Saya hanya mengejeknya sahaja. Adakah perbuatan saya salah?" Tanya Kolonel Natsu.
"Bagi saya tidak salah jika tidak mengasari tahanan. Mereka juga berhak untuk mendapatkan peguam bagi perbicaraan dalam masa terdekat ini." Kata Cikgu Gray dengan nada tenang.
"Saya yakin tiada sesiapa pun yang ingin menjadi peguambela mereka. Bahkan, dalam masa yang singkat sahaja sudah pastinya mereka didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati." Jawab Kolonel Natsu. Tidak lama kemudian, Erza pun tiba selepas keluar dari perut kapal selamnya.
"Hebat juga perancangan puan. Adakah bahan letupan yang dipasang pada jong-jong lanun itu dihasilkan sendiri oleh puan?" Cikgu Gray berasa kagum.
"Ya. Saya menggunakan bom jangka dengan menetapkan masa yang sesuai sebelum ia meletup secara automatik."
"Puan sudah berjasa kepada Kota Magnolia. Sebelum ini nenek puan telah membuka penempatan di pulau ini dan kali ini, cucunya pula menyelamatkan pulau serta kotanya sekali." Puji Kolonel Natsu.
"Tidak perlulah memberi pujian yang tinggi menggunung. Ini adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul bagi mengenang jasa nenek saya kepada warga Kota Magnolia."
"Sekarang apa yang kita perlu lalukan? Ancaman lanun sudah pun berakhir." Tanya Cikgu Gray.
"Langkah pertama, kita perlu membangunkan kembali kota kita yang musnah akibat serangan semalam. Selepas semuanya selesai, kita akan mengadakan keramaian besar-besaran."
"Yang itulah kami ingin mendengarnya." Sahut Cikgu Gray dan Erza dengan serentak. Kolonel Natsu hanya tersenyum bila melihat gelagat mereka berdua.
Selang beberapa minit, pembantu peribadi Kolonel Natsu tiba dengan wajah yang ceria.
"Ada pesanan penting untuk tuan."
"Apa pesanannya?"
"Kerajaan Pusat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana berjaya menewaskan lanun. Dan sebagai penghargaan, pihaknya akan menghantar wakil pemerintah untuk mengurniakan anugerah tertinggi dalam masa terdekat." Setelah mendengar pesanan dari Kerajaan Pusat, Kolonel Natsu segera menulis sesuatu diatas kertas sebelum diserahkan kepada pembantu peribadinya.
"Hantar pesanan balas dari saya dengan menyatakan ucapan terima kasih. Saya tidak memerlukan sebarang anugerah tertinggi dari Kerajaan Pusat. Cuma saya perlukan bantuan kewangan secukupnya bagi membangunkan Kota Magnolia. Itu sahaja."
"Semasa kita susah, mereka tidak dapat menghulurkan bantuan. Tetapi, apabila kita berjaya, mereka juga mengucapkan tahniah dan tumpang gembira pula." Cikgu Gray mendengus nafasnya seperti tidak berpuas hati.
"Apa boleh buat, Cikgu Gray. Itulah sifat kerajaan kita sekarang ini." Kata Erza sebelum mengajak Kolonel Natsu dan Cikgu Gray kembali ke Kota Magnolia.
Mentari mula memancar terik apabila waktu tengahari semakin tiba. Cuaca cerah, deruan ombak dan diselangi kicauan camar laut membuatkan perasaan seseorang berasa tenang dan gembira bila ancaman bahaya sudah pun berakhir.



Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Puisi: Penjajah Virus



Ketika aku bangun dari kamar mimpi, aku keliru
Mana mungkin aku hidup kembali setelah tidur selama 56 tahun?
Siapa yang mengejutkan aku?
Apa yang dia mahu?
Atau apa yang ingin lakukan terhadapku?
Tiada sesiapa yang tahu.

Lalu aku menjengah ke jendela masa yang merangkak perlahan
Mengintai peristiwa yang berlaku ketika aku tidur selama 56 tahun
Hatiku ditusuk sembilu bila melihat virus-virus asing menjajah ketika aku tidur
Menjajah jiwa dan raga bangsaku yang bersengketa sesama sendiri tanpa disedari dianjingkan oleh pihak asing yang dikenali mereka

Mungkin Tuhan mahu aku menghapus penjajah virus yang berlaku ketika aku tidur selama 56 tahun itu?
Atau, mahu aku membersihkan kesemuanya dan kembalikan kenangan silam sebelum aku tidur selama 56 tahun?
Hanya Tuhan sahaja yang tahu.




                                                                       1 September 2013
                                                                       Awal pagi, Tanjung Sepat. 


Nota: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.