Kereta peninjau yang dinaiki Kapten Roslan |
Hampir dua minggu mereka
berada di kawasan tundra dan dalam masa itu jugalah mereka gagal mengesan sebarang
kehidupan manusia di situ. Mereka berkhemah berhampiran dengan sebatang anak
sungai yang mengalir lesu dari arah utara. Suasana sejuk masih terasa sedangkan
matahari mula memancar sinar di dada langit. Beberapa anggota peninjau sibuk
mengemaskan khemah sebelum disimpan ke dalam lori. Ada juga sibuk menanam
sampah paket ransum makanan yang digunakan semalam. Dan, ada pula merancang ke
arah manakah perlu diperiksa bagi mengesan kehadiran manusia.
“Kita cuma belum memeriksa
lokasi ini.” Seorang pegawai menunjukkan suatu kedudukan dalam peta topografi.
“Kalau diikutkan, bukit ini
sudah tidak wujud lagi. Ia adalah kawasan tanah lapang yang kita lalui semalam.”
“Masalah juga. Kita masih
menggunakan peta topografi lama zaman sebelum bencana besar. Ini menyebabkan
kita keliru dan mudah tersesat.”
“Bukan sekali tetapi sudah
banyak kali kita tersesat sebelum ini, tuan.”
“Tidak mengapa. Kita akan
bergerak ke arah timur sebab kita belum ke sana lagi. Bagaimana bekalan makanan
kita? Adakah cukup untuk tiga hari lagi?”
“Ya. Cukup untuk tiga hari
lagi, tuan.” Pegawai berkenaan terdiam seketika sehinggalah salah seorang dari
anggotanya tiba dengan tergesa-gesa.
“Tuan, panggilan dari tuan
kolonel.” Pegawai berkenaan bergegas ke salah sebuah kenderaan di situ sebelum
mencapai ganggang telefon dari jururadio.
“Kapten Roslan bercakap.”
Pegawai bernama Kapten Roslan diam seketika sebelum memberi maklum balas.
“Sehingga kini kami masih
belum menemui sesiapa pun. Untuk hari ini kami akan ke arah timur dan jika
masih gagal mengesan, barulah kami pulang.” Sejurus kemudian, Kapten Roslan
menyerahkan kembali ganggang telefon kepada jururadio.
“Apa yang tuan kolonel kata?”
Tanya jururadio yang duduk di dalam kenderaan perisai.
“Tuan kolonel berpesan kepada
kita agar berhati-hati ketika menjalankan tugas. Dia benarkan kita pulang hari
ini jika gagal menemui sesiapa pun.”
“Jika begitu, kita perlu bergerak
sekarang. Takut-takut ribut pasir melanda selepas tengahari nanti.” Katanya
lagi. Sejak kebelakangan ini, tiupan angin begitu kuat sehinggakan mereka sukar
untuk mendirikan khemah dan memasak.
“Baiklah. Jika semua sudah bersedia,
kita bergerak sekarang.”
“Baik, tuan.” Arahan diterima
dan pasukan peninjau berkenaan mula bergerak ke arah timur dalam satu barisan.
Kampung Baru |
Sekian lama mereka bergerak ke
arah timur, Kapten Roslan mengesan sesuatu yang bergerak di hadapan. Lantas dia
mencapai teropong untuk melihatnya.
“Ada kehadiran manusia. Tingkatkan
kelajuan lagi.” Arah Kapten Roslan yang duduk di turet penembak kereta
peninjau.
“Baik, tuan.” Kelajuan diubah
sebelum menekan pedal minyak. Dua kenderaan yang mengikuti belakangnya turut
berbuat demikian.
Kelihatan seorang lelaki dan
seorang kanak-kanak sedang menunggang seekor unta. Cara mereka berpakaian
persis seperti kaum nomad Badwi yang hidup berpindah-randah suatu ketika
dahulu. Kehadiran pasukan peninjau itu menyebabkan mereka berdua hampir-hampir
mahu melarikan diri.
“Tunggu...! Jangan lari! Kami
datang bukannya berniat jahat!” Jerit Kapten Roslan. Mendengar sahaja apa yang
dikatakan Kapten Roslan, mereka berdua membatalkan niat untuk melarikan diri.
“Tuan ini siapa? Kalian boleh
berbahasa Melayu?” Tanya seorang lelaki nomad yang berusia dalam lingkungan
lewat 30an. Orangnya berjambang dan berambut panjang. Memakai serban yang
hampir menutupi kepalanya serta berjubah.
“Nama saya Roslan. Kami dari
Koloni Serdang yang terletak jauh di bahagian selatan. Memang itulah bahasa
kami. Bahasa Melayu.” Jawab dengan penuh bangga.
“Nama saya Awang dan ini anak
saya, Bulat. Kami berasal dari lembah hijau di sebalik gunung di sana.”
“Sudah berapa lama saudara
tinggal di lembah berkenaan?”
“Sejak saya lahir, tuan.”
Jawab Awang sambil diperhatikan oleh anaknya yang berusia 12 tahun.
“Bolehkah bawa kami ke
perkampungan saudara? Sekurang-kurangnya kami dapat merekodkan kewujudan
perkampungan saudara di dalam simpanan data pusat.” Kapten Roslan meminta izin.
“Boleh, tuan. Sila ikut saya.”
Dengan pantas punggung unta disesah dan mereka mula bergerak ke arah timur laut
dimana lokasi perkampungan itu berada.
Perjalanan mengambil masa
hampir satu setengah jam sehinggalah menemui sebuah lembah yang luas dan subur
menghijau. Dihiasi dengan ladang pertanian, kincir angin, tasik serta sungai yang
jernih dari pencemaran dan hutan yang tidak disentuhi oleh manusia. Sebuah
penempatan yang dianggarkan sebanyak 100 buah rumah dibina dari tanah liat
serta kayu dan beratap pelepah pohon tamar. Kedudukan rumah di kampung
berkenaan agak tersusun. Begitu juga dengan sistem keselamatan kampung. Seluruh
kampung berkenaan dibina tembok tanah liat setinggi satu meter.
Ketibaan mereka disambut oleh
orang kampung yang belum pernah menerima kehadiran orang luar seperti Kapten
Roslan dan rakan yang lain. Mereka dikerumuni kanak-kanak yang ingin melihat kenderaan
perisai dengan lebih dekat. Begitu juga orang dewasa pun turut serta. Lelaki yang
bernama Awang segera ke salah sebuah rumah di situ. Tidak lama kemudian, Awang
keluar bersama seorang lelaki tua.
“Tuan. Ini bapa saya dan juga
penghulu kampung ini.” Kapten Roslan menyambut salaman dari ketua kampung itu.
“Selamat Datang ke Kampung
Baru. Saya dapat tahu dari anak saya yang tuan dari Koloni Serdang. Begitu?”
“Ya, tok. Kami semua dari
Koloni Serdang.”
“Apa tujuan tuan datang ke mari?”
“Kami menjalankan tugas untuk
menanda dan merekodkan kewujudan manusia yang terselamat dari bencana besar
seabad lalu. Ini membolehkan kami membuat peta topografi yang baru bagi
menggantikan peta lama.”
“Jadi, lokasi kampung ini akan
direkodkan ke dalam peta baru berkenaan?”
“Benar, tok. Ia amat berguna
untuk kita semua. Jika ada berlaku sebarang kecemasan atau panduan sebelum memulakan perjalanan,
peta itulah menjadi rujukan.”
“Jika begitu, kehadiran tuan
serta yang lain amat dialukan. Tuan boleh meletakkan kenderaan di sana.”
Penghulu Kampung Baru mengarahkan Awang menunjukkan lokasi berkenaan.
“Terima kasih, tok. Kami amat berbesar
hati.” Dengan segera mereka memindahkan kenderaan masing-masing dan mendirikan
khemah.
Bermulalah kerja-kerja bancian
keatas penduduk Kampung Baru. Ada yang mengambil maklumat purata umur penduduk,
berapa jumlah kaum wanita, kanak-kanak, warga emas serta orang dewasa,
pekerjaan, melakar kedudukan lokasi dan sebagainya. Kapten Roslan dibawa meninjau
sekitar perkampungan. Sambil itu, Awang menceritakan sedikit sebanyak sejarah
kewujudan Kampung Baru serta masalah-masalah yang dihadapi mereka sekarang.
Mereka sedang melintasi sebuah bengkel pertukangan besi.
“Dubuk gurun sering mengancam
keselamatan haiwan ternakan orang kampung serta kanak-kanak. Apabila menjelang
senja, kami segera menutup pintu pagar kayu di sekitar kampung dan memulakan
kawalan keselamatan.”
“Bagaimana saudara dan orang
kampung mempertahankan kampung ini?”
“Kami hanya bersenjatakan
parang dan tombak yang ditempa oleh tukang besi. Bahan-bahan untuk membuat
senjata diambil dari sebuah bandar kuno yang terletak di selatan kampung ini.”
“Bandar kuno?”
“Ya. Bandar kuno itu adalah
satu-satunya jalan pintas untuk pulang ke koloni tuan. Pada pendapat saya,
lebih elok elakkan dari mengikuti laluan berkenaan.”
“Mengapa?” Kapten Roslan
“Dengar khabar, di situ dihuni
oleh puak gasar yang bengis. Kami mencari kepingan logam pun hanya kawasan
pinggir sahaja dan tidak berani untuk masuk ke pusat bandar.” Perjalanan mereka
diteruskan sehingga tiba di sebuah menara pemerhati berdekatan dengan pintu
masuk kampung.
“Hari semakin gelap. Dalam
masa beberapa minit lagi, semua pintu masuk di sekitar kampung ini akan ditutup
dan dikawal ketat oleh para pengawal.” Awang memberitahu kepada Kapten Roslan
bila melihat ketibaan beberapa orang belia kampung yang bersenjata. Tugas untuk
mengawal keselamatan kampung sudah tiba. Tidak lama kemudian, kedengaran seruan
azan yang mendayu suaranya dari sebuah surau.
“Waktu solat Maghrib sudah tiba.
Ayuh kita solat berjemaah.” Awang mengajak.
“Silakan.” Mereka segera ke
surau dan pada waktu itu juga semakin ramai jemaah tiba termasuklah anggota
peronda Kapten Roslan.
Selepas solat, penduduk
Kampung Baru mengadakan kenduri bagi menyambut kehadiran pasukan Kapten Roslan.
Lima ekor kambing telah dikorbankan pada
siang tadi untuk dijadikan hidangan malam. Sambil menjamu selera, mereka
khusyuk mendengar kisah Koloni Serdang dan kemudahan yang ada di sana. Kapten
Roslan sibuk menjawab pelbagai soalan yang diajukan oleh para belia mengenai
peluang pekerjaan dan latihan kemahiran di sana. Ada juga menanyakan tentang teknologi
atau kelengkapan terkini yang dimiliki Koloni Serdang. Mereka sangka, selepas
kejadian bencana besar yang melanda seluruh dunia, segala kecanggihan teknologi
seperti internet, peralatan digital, robotik dan sistem satelit lenyap bersama
dengan tamadun manusia. Hakikatnya, hanya peralatan manual sahaja yang mampu
berfungsi sehingga kini.
“Saudara. Jika diberi peluang,
adakah saudara akan berhijrah ke Koloni Serdang bagi mendapatkan peluang
pekerjaan serta kehidupan selesa.” Tanya Kapten Roslan kepada Awang.
“Maafkan saya. Kami tidak
dapat mengikuti tuan kerana kami masih mahu menetap kawasan ini, tuan. Lagi pun
kami cukup selesa dengan cara hidup kami yang serba sederhana.” Awang menolak
pelawaan Kapten Roslan dengan sopan.
“Jika begitu, tidak
mengapalah. Saya akan cuba mencadangkan kepada ketua Koloni Serdang agar
memberikan latihan kemahiran vokasional kepada para belia di sini. Dengan
kemahiran itu, ia dapat membantu membangunkan perkampungan ini.”
“Ya. Mudah-mudahan semuanya
berjalan dengan lancar.” Ujar Awang.
“Insyaallah.” Jawab ringkas
Kapten Roslan. Malam semakin larut dan diselangi salakan dubuk gurun yang
seperti tidak berpuas hati kerana gagal menyelinap masuk ke dalam Kampung Baru.
Keesokan paginya, pasukan
peninjau memulakan perjalanan pulang ke Koloni Serdang dengan diiringi doa dari
warga Kampung Baru. Sebelum bergerak, Kapten Roslan berjanji kepada ketua
kampung dan Awang bahawa apabila peta topografi siap dicetak, sebanyak lima
salinan akan diserahkan kepada pihak Kampung Baru untuk dijadikan maklumat
rujukan.
Perjalanan diteruskan menuju
ke lokasi yang dinyatakan oleh Awang semalam. Jarak dari kampung berkenaan ke bandar
kuno dianggarkan sejauh 5 kilometer dan tidak perlu memakan masa yang lama
untuk ke sana jika menggunakan kenderaan bermotor. Bandar kuno yang
ditenggelami pasir ini adalah sebuah bandaraya maju yang berdaya saing dan
terkenal di seluruh dunia suatu ketika dahulu. Dianggarkan lebih 2 juta orang
yang menetap di bandaraya berkenaan sebelum kejadian bencana besar. Kini, ia
tidak ubah seperti bandar berhantu.
“Kita akan memasuki bandar
kuno ini?” Tanya pemandu kereta peninjau.
“Ya. Kerana di sini adalah
jalan pintas untuk pulang ke Koloni Serdang. Tetapi kita perlu berwaspada. Dikhabarkan
ada orang gasar yang menghuni bandar kuno ini.” Kapten Roslan memberi
peringatannya.
“Baik, tuan.” Jawab anak-anak
buahnya melalui alat komunikasi. Kedudukan kenderaan turut diubah. Lori separa
runut dikehendaki berada di bahagian tengah antara kereta peninjau dengan
kereta perisai atas faktor keselamatan.
Perjalanan mereka lancar
tetapi berhati-hati. Bimbang jika terjadinya serang hendap oleh orang gasar
yang menunggu peluang jika berlaku kealpaan walau pun sesaat. Adakalanya mereka
ternampak beberapa kelibat manusia di sebalik runtuhan bangunan. Ia seperti
sedang memerhatikan perjalanan pasukan peninjau yang bergerak dengan kelajuan
sederhana. Selama sejam untuk melalui bandar kuno berkenaan sehinggalah selamat
keluar dari situ.
“Alhamdulillah. Nasib baik
kita tidak diserang tadi.” Ucap kesyukuran dari salah seorang anggota peninjau.
“Saya fikir, bandar kuno ini
patut dibersihkan agar ia menjadi laluan dan lokasi yang selamat untuk dihuni
oleh manusia lain.” Cadang seorang lagi anggota peninjau.
“Bagus cadangan itu. Saya akan
usulkan kepada tuan kolonel.” Kapten Roslan segera mencatatkan sesuatu didalam
buku notanya.
Suasana di luar Koloni Serdang |
Koloni Serdang berada di
hadapan mereka. Ia terletak berdekatan dengan sebuah bukit di selatan kawasan
tundra. Ia lengkap dengan kemudahan asas serta pembangunan yang semakin
meningkat sejak kejadian bencana besar pada seabad yang lalu. Dianggarkan
seramai 10 ribu manusia kini menetap di koloni berkenaan. Pasukan peninjau akhirnya
tiba sebelum waktu menjelang petang. Kesemua kenderaan peninjau kembali ke
depot simpanan untuk diselenggarakan. Anak-anak buah Kapten Roslan kembali ke
berek untuk berehat dan Kapten Roslan pula perlu ke pejabat pentadbiran untuk
menyediakan laporan.
“Baguslah kamu pulang tepat
pada masanya.” Kata Kapten Aziz, ketua Pasukan Peninjau Ke-5 dan rakan setugas
Kapten Roslan.
“Mengapa?”
“Kolonel Wahab ingin bertemu
dengan kamu dengan segera di pejabatnya. Mungkin mengenai penemuan sekumpulan
manusia yang terselamat semalam.” Kata Kapten Aziz.
“Cepat benar perkhabaran ini
tersebar.” Kapten Roslan menggaru kepalanya. Malam tadi selepas menghadiri
kenduri, dia menghubungi Kolonel Wahab mengenai penemuan tersebut.
“Kolonel Wahab begitu gembira
sehinggakan dia menghebahkan kepada umum. Kami pun berasa gembira dan secara
tidak langsung, ia memberi dorongan kepada kami agar berusaha
bersungguh-sungguh untuk menjalankan tugas.” Kapten Aziz turut gembira akan
pencapaian rakan setugas.
Ketika berjalan menuju ke
pejabat ketua Koloni Serdang, Kapten Roslan tidak putus-putus menerima ucapan
tahniah dari para anggota keselamatan. Setibanya di pintu masuk pejabat,
kedengaran suara serak-serak basah yang sedang berkata sesuatu.
“Dengan siapa yang dia
berbual?” Bisik hati Kapten Roslan sambil mengetuk pintu dengan tertib.
“Masuk.” Selepas mendapat
keizinan, dia dengan segera melaporkan diri kepada Kolonel Wahab. Kelihatan
Kolonel Wahab sedang berdiri di penjuru pejabat sambil memegang sehelai kertas.
Dia seperti sedang berlatih memberi ucapan.
“Sila duduk, kapten. Saya amat
gembira akan pencapaian kamu untuk hari ini. Tahniah saya ucapkan.”
“Terima kasih, tuan.” Kapten
Roslan menyambut salaman yang dihulurkan oleh Kolonel Wahab.
“Boleh kamu ceritakan mengenai
kampung yang berjaya ditemui semalam?”
“Nama kampung itu adalah
Kampung Baru. Ia terletak di sebuah lembah yang subur dengan sumber pertanian
serta hutan belantara yang masih belum terusik oleh manusia. Untuk ke sana,
kita perlu merentasi sebuah bandar kuno yang terletak 20 kilometer di timur
laut Koloni Serdang kerana dengan ia adalah laluan pintas untuk ke sana.”
“Laluan pintas? Jadi, kamu
pulang ke sini pasukan kamu menggunakan laluan di bandar kuno?” Terkejut
Kolonel Wahab.
“Ya, tuan. Walau bagaimana
pun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku ketika merentasi bandar
berkenaan. Tetapi, kami ada juga ternampak beberapa kelibat manusia yang sedang
memerhatikan kami.”
“Tidak sangka kamu bertindak
melalui kawasan itu.” Adakalanya Kolonel Wahab berasa kagum akan keberanian
Kapten Roslan.
“Tuan. Saya fikir lebih elok
kita perlu mengadakan operasi pembersihan ke atas bandar kuno berkenaan.
Runtuhkan bangunan-bangunan tinggal serta menangkap orang-orang gasar sebelum
dihantar ke kem tumpuan untuk diasimilasi. Kita akan bertindak tegas jika
mereka melawan. Bagaimana?” Cadang Kapten Roslan.
“Bagus cadangan kamu. Tetapi
kenalah merancang dengan berhati-hati agar tidak berlaku sebarang insiden yang
diluar jangkaan kita.”
“Saya pun harap begitu, tuan.”
“Dan lagi satu. Mengenai
Kampung Baru. Sudahkah kamu menjalankan bancian terhadap penduduknya?”
“Sudah, tuan. Pada pandangan
saya, warga Kampung Baru perlu diberikan bantuan terutama dari segi kemahiran
vokasional. Dengan kemahiran yang mereka miliki, mereka mampu berdikari dan
membangunkan taraf hidup mereka kepada yang lebih selesa.” Kapten Roslan
mengutarakan cadangannya yang dia catatkan didalam buku nota sebelum ini. Dia
kini menantikan reaksi dari Kolonel Wahab.
Kolonel Wahab bangun dari
kerusinya dan menuju ke arah tingkap. Dia melihat pelbagai kegiatan harian yang
sedang dijalankan oleh warga Koloni Serdang. Kelihatan seorang pemandu pedati
kuda yang membawa hasil pertanian dan seorang pengembala kambing gurun yang
sibuk mengawal ternakannya. Mereka baru pulang dari pasar utama yang terletak
berhampiran dengan dataran perhimpunan di tengah koloni.
“Usaha untuk membangunkan kembali
tamadun manusia bukanlah perkara mudah. Selain mencari dan mengesan manusia
yang terselamat dalam bencana berkenaan, kita juga berusaha memberi bantuan
dalam pelbagai bentuk. Antaranya pendidikan. Dengan memiliki ilmu pendidikan,
mereka mampu membangunkan kembali sebuah tamadun baru yang lebih pesat dari
tamadun yang sedia ada sebelum berlaku bencana besar. Semenjak kamu berjaya
menemui kampung berkenaan, secara tidak langsung kamu telah menaikkan semangat
anggota pasukan peninjau lain untuk menjalankan tugas mereka.” Kolonel Wahab masih
berdiri memandang ke arah luar.
Pintu bilik pejabat diketuk
sebelum seorang pegawai komunikasi masuk dengan tiba-tiba. Kolonel Wahab dan
Kapten Roslan berasa hairan akan keadaan tergesa-gesa pegawai berkenaan.
“Maaf kerana mengganggu. Ada satu
lagi berita baik. Ini dari Pasukan Peninjau Ke-8.”
“Pasukan Peninjau Ke-8?
Pasukan yang diketuai oleh Kapten Mohan.” Kapten Roslan meneka.
“Teruskan.” Kolonel Wahab
memberi keizinan.
“Mereka telah berjaya menemui
sebuah pekan nelayan yang terletak di barat laut kawasan gurun. Pekan tersebut agak
terpencil dan seramai seribu orang menghuni pekan berkenaan. Mereka juga amat
memerlukan bantuan dari kita.” Kata pegawai itu tadi. Kapten Roslan memandang
kembali ke arah Kolonel Wahab.
“Harapan manusia semakin
cerah. Tidak sia-sia kita menjalankan operasi ini demi kelangsungan hidup umat
manusia.” Kata Kapten Roslan dengan penuh kegembiraan.
“Hantarkan pesanan saya kepada
Kapten Mohan bahawa pasukan bantuan akan dihantar ke sana dalam dua hari lagi.
Sila bertahan di situ sebaik mungkin. Jangan lupa berikan koordinat kedudukan
pekan itu.” Kata Kolonel Wahab lagi.
“Baik, tuan.” Dengan segera
pegawai berkenaan beredar.
“Apa tindakan selanjut, tuan?”
“Saya fikir, eloklah pasukan
kamu dan pasukan Kapten Aziz bergabung untuk ke sana dalam masa terdekat. Kamu boleh
beredar segera untuk membuat persiapan.”
“Terima kasih, tuan.” Dengan
pantas Kapten Roslan berdiri tegak dan memberi tabik hormat kepada ketua Koloni
Serdang.
Kini, bermulalah tugas sebenar
untuk mereka menyumbangkan tenaga dan masa bagi menyiapkan peta topografi
terbaru demi memudahkan keperluan manusia di zaman pasca bencana besar di muka
bumi ini.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan