Isnin, 8 Disember 2014

Cerpen: Kesatria Meow



Salah seekor kesatria yang sedang berehat

Senja mula melabuhkan tirai malam tanpa kehadiran bintang di langit. Tiada awan yang menjadi perhiasan bagi mengisi kekosongan yang sedia ada. Pada malam itu juga tiada sebarang bunyi unggas di hutan berhampiran dengan sebuah kota usang di puncak bukit. Tetapi dari kota berkenaan, kedengaran sayup-sayup suara perbualan, bunyi lagaan besi serta kelipan cahaya suram.
Di dalamnya, terdapat ratusan kesatria berhimpun sejak petang tadi bagi menemani ketua masing-masing yang menghadiri satu mesyuarat tergempar. Ada diantara mereka sedang tidur, berehat sambil berbual, menjamu selera, membaiki senjata di bangsal tukang besi dan tidak kurang juga mengawal keselamatan sekitar kota usang. Sebanyak 25 puak antaranya Birman, Devon, Ragdoll, Abyss, Angora, Sphyx dan Nebelung telah dipanggil oleh Tuan Pendeta, seekor ahli nujum dan tabib yang paling dihormati oleh semua puak. Ketua-ketua puak berkenaan kini berada di bilik mesyuarat yang terletak di tingkat atas.
“Tuan Pendeta. Apa yang dirunsingkan sehingga memanggil kami secara mendadak?” Tanya Houram. Ketua puak Sphyx dari lembah tundra. Puak kucing berkenaan adalah puak yang tiada bulu pada tubuh mereka.
“Jika tuan ada sebarang masalah, kami sedia mendengarnya dan membantu dengan sebaik mungkin.” Sambung seekor lagi ketua puak.
Tuan Pendeta bangun dari tempat duduknya dan mula mundar-mandir di sekitar bilik mesyuarat. Wajahnya mendung dengan bulu yang kusam serta misainya kendur. Menggambarkan usia semakin lanjut tanpa disedarinya. Sudah beberapa dekad Tuan Pendeta menyumbang bakti terhadap bangsanya. Memberi khidmat kesihatan secara percuma dan adakalanya sering memberi pendapat serta buah fikiran jika ada penduduk mengalami kesulitan.
“Sebulan yang lalu aku telah mendapat alamat tidak baik ketika sedang bertafakur.”
“Alamat tidak baik?” Terkejut Jannies, ketua Puak Angora yang duduk di sebelah Houram.
“Ya. Sedang khusyuk membaca mentera keamanan, ada suara halus membisik ke telingaku dan memberi amaran dengan menyatakan bala bencana akan tiba dari benua kegelapan. Aku terkejut dan terus membuka mata. Aku dapati tiada sesiapa pun yang berada di situ melainkan hanya aku sahaja.” Tuan Pendeta menceritakan sedikit kisahnya.
Mereka yang berada di bilik mesyuarat berkenaan terdiam seketika. Ada diantara mereka memandang sesama sendiri bagi ingin mendapatkan kepastian dari rakannya. Tiba-tiba, kedengaran gelak ketawa yang kuat datang dari salah seekor ketua yang dijemput. Berbulu putih dan gebu. Lengkap dengan pakaian pahlawan dengan sebilah pedang disisip kemas dipinggangnya.
“Mengarut! Tuan Pendeta mungkin sudah nyanyuk akibat begitu lama bersendirian di kota ini.”
“Ardoss! Jaga lidahmu. Jangan sampai kepala terpisah dari tubuh. Kamu sedarkah dengan siapa berbicara?” Sergah Jannies. Ketua Puak Chincilla ini perlu diajar bagaimana bersikap sopan dan menghormati mereka yang lebih tua terutama dengan Tuan Pendeta.
“Oh. Maafkan aku, Jannies. Aku tidak bermaksud untuk berkelakuan biadap terhadap Tuan Pendeta. Aku khuatir yang Tuan Pendeta tidak sihat ketika menerima alamat yang tidak baik itu dan dia kemungkinan mengkhabarkan kepada kita dengan fikiran yang tidak waras.”
“Kurang ajar..!!” Jannies cuba menerpa ke arah Ardoss tetapi dihalang oleh Houram serta ketua puak yang lain. Begitu juga Ardoss yang cuba menyerang balas tetapi sempat ditahan oleh rakan berhampiran. Berlakunya perang mulut sehinggakan Tuan Pendeta mula hilang sabar.
“Cukup!!” Jerit Tuan Pendeta dengan menghentak tongkatnya berkali-kali. Suaranya boleh didengari mereka yang berada di perkarangan kota usang. Masing-masing berhenti berkelahi dan memandang ke arah Tuan Pendeta.
“Aku memanggil kalian bukan untuk bercakaran sesama sendiri. Kita di sini untuk mencari dan menyelesaikan kekusutan yang sedang aku alami. Aku perlukan buah fikiran dari kalian semua.”
Mereka yang berada di perkarangan kota usang menghentikan seketika kegiatan masing-masing dan menumpukan ke arah bilik mesyuarat di tingkat atas. Tiada seekor pun yang berani bertanya kepada pengawal yang menjaga laluan ke tingkat atas.
“Pastinya mesyuarat berkenaan membincangkan perkara yang agak panas.” Bisik seekor pengawal kepada rakan setugasnya.
“Kemungkinan juga.” Rakan setugas bersetuju.
Keadaan kembali reda di bilik mesyuarat. Ardoss yang duduk bertentangan dengan tempat duduk Jannies menjadi sasaran teguran Tuan Pendeta.
Atoss, abang kepada Ardoss
“Wei, budak mentah. Kamu dengar sini. Jangan fikir yang kamu boleh besar kepala disebabkan jasa mendiang ayahmu terhadap bangsa kucing. Dan kamu jangan berlagak disebabkan jasa abangmu yang berjaya menumpaskan naga di Pulau Tekpi dahulu. Kamu ke sini pun disebabkan menggantikan tempatnya buat sementara waktu dibawah pengawasan para pegawai abangmu.” Minda Tuan Pendeta teringat akan Atoss, abang kepada Ardoss yang kini berada di Negeri Lobak. Dia mewakili Negeri Meow kerana dijemput menghadiri majlis perkahwinan anak pemerintah negeri berkenaan.
“Tiada gunanya bercakap panjang lebar, Tuan Pendeta. Lebih elok kita tumpukan kembali masalah yang tuan hadapi sekarang ini.” Kata Houram sebelum menjeling ke arah Ardoss.
Ardoss seperti tidak insaf atau kesal dengan apa yang terjadi. Air mukanya menggambarkan ketidakpuas hatinya. Kucing seperti Ardoss perlu diberi perhatian dan dipantau gerak-gerinya agar dia tidak mengancam keselamatan Negeri Meow. Ardoss seekor kucing yang licik dan penuh muslihat serta mempunyai pengikutnya tersendiri. Sebab itulah Tuan Pendeta sering menasihatkan Atoss supaya membimbing adiknya agar tidak melakukan perkara yang boleh merugikan diri sendiri serta bangsanya.

Di luar kota usang, kelihatan satu lembaga muncul dalam kegelapan malam. Bunyi hentakan kaki dan disusuli bunyi rengekkan kuda telah menarik perhatian beberapa ekor pengawal di pintu masuk kota.
“Berhenti! Siapa di sana?!” Jerit pengawal kota dengan mengacukan tombak ke arah lembaga tadi.
“Eh! Itu macam Jonas.” Kata rakan setugas.
“Ya. Tetapi, dia seperti tergesa-gesa. Dia kembali dari mana? Patutlah hampir sebulan dia menghilangkan dirinya.” Seekor lagi pengawal dengan sifat ingin tahu.
Jonas, anak angkat Tuan Pendeta tiba dengan keadaan keletihan setelah sekian lama menunggang kuda tanpa henti. Kuda yang ditungganginya rebah betul-betul di hadapan pintu masuk utama kota berkenaan. Berpusu-pusulah mereka yang berada di situ untuk melihat dan ingin mengetahui apa yang sedang berlaku.
“Apa yang terjadi?” Tanya seekor kesatria dari Puak Abyss.
“Kamu diserang musuh ke?” Tanya seekor lagi dari Puak Birman.
“Dari mana kamu datang sehingga jadi begini, Jonas?” Tanya seekor lagi yang mengenalinya. Tetapi, kesemua soalan yang diajukan tidak dijawab Jonas dan dia terus melangkah naik ke tingkat atas untuk bertemu dengan bapa angkatnya dengan segera.
Tanpa meminta kebenaran, Jonas segera masuk dan bertemu dengan Tuan Pendeta. Apabila melihat sahaja air muka anak angkatnya, Tuan Pendeta sudah menduga yang alamat yang dia terima adalah benar belaka.
“Maaf kerana mengganggu. Memang benar alamat yang diterima oleh Tuan Pendeta. Pihak musuh kini menghampiri perairan negeri kita. Dari pengamatanku di menara teleskop di tebing tinggi, dianggarkan hampir seribu buah kapal pelbagai jenis yang akan menghampiri perairan negeri kita pada bila-bila masa.” Bergema suara bisikan dari para ketua puak bila mendengar laporan Jonas.
“Kamu telah kenal pasti siapa musuh berkenaan?” Tanya Jannies.
“Aku akan melukis lambangnya.” Tanpa membuang masa, Jonas mengambil sehelai kertas putih dan pensil untuk dilukis.
Walau pun Jonas tidak mampu membaca dan menulis dengan lancar, tetapi dia memiliki daya ingatan yang tajam serta pandai melukis. Mereka yang berada di situ menumpukan perhatian terhadapnya. Setelah siap dilukis, Jonas menyerahkan helaian kertas itu kepada Tuan Pendeta.
“Lambang ini. Aku cukup kenal lambang ini. Ia adalah Legiun Dubuk Ketiga dengan anggaran kekuatan tentera seramai 30 ribu dubuk!” Kata Tuan Pendeta.
“Tuan Pendeta pasti?” Houram ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut.
“Ya. Legiun ini adalah antara lima legiun yang terbaik dalam angkatan perang mereka. Ia amat berbeza dari rejimen tentera biasa kerana jika mahu menakluk sesebuah negeri, pihak pemerintah akan menghantar legiun jenis ini sebagai kumpulan pertama bagi membuka jalan kepada rejimen-rejimen tentera biasa.”
“Mereka ingat, dengan 30 ribu dubuk boleh menundukkan kita dengan mudah? Silap besarlah...” Houram mengepal-kepal penumbuknya. Nafasnya berombak bagaikan ada semangat juang yang terperangkap dalam dirinya.
“Bertenanglah, kawan. Cubalah kawal diri kamu dan aku faham yang kamu tidak sabar untuk mencantas setiap leher dubuk itu.” Tersengih Jannies bila melihat telatah teman dari Puak Sphyx.
“Jadi, apa tindakan selanjutnya, Tuan Pendeta?” Soalan dari seekor ketua Puak Ragdoll membuatkan Tuan Pendeta terdiam sejenak. Begitu mendalam dia berfikir sehinggakan misainya bergerak-gerak.
“Begini. Esok pagi kalian pulanglah ke tempat masing-masing dan melakukan persiapan bagi menghadapi pencerobohan pihak musuh. Berkumpul kembali di sini selepas empat hari kemudian bermula hari ini. Tetapi sebelum itu, pastikan kaum wanita, warga tua serta kanak-kanak dipindahkan ke lokasi selamat.”
“Baik, Tuan Pendeta.” Mereka menunduk hormat dan telah menerima arahan rasmi dari pemimpinnya. Begitu juga Ardoss yang menunduk hormat secara tidak ikhlas. Seperti dikatakan Tuan Pendeta tadi, Ardoss kini dibawah pengawasan para pegawai Puak Chincilla. Dia tidak boleh melakukan perkara yang menjejaskan keadaan.

Subuh telah lama berlalu dengan kokokkan ayam jantan yang bertenggek di atas bumbung rebannya. Beberapa ekor kesatria mula bangun dari tidur sebelum menuju ke tandas berhampiran. Manakala si tukang masak pula sudah pun memulakan tugas untuk menyediakan sarapan. Ada juga memeriksa dan memberi makanan kepada kuda yang ditempatkan di kandang berdekatan. Di bilik tidur yang terletak di menara utama, kelihatan cahaya samar yang dihasilkan dari lampu pelita masih memancar sejak malam tadi. Tuan Pendeta tidak melelapkan mata kerana sibuk menyiapkan surat rasmi yang perlu dikirimkan kepada negeri-negeri berhampiran. Setelah kerja penulisan selesai, dengan segeralah dia turun dari tingkat atas dan keluar ke perkarangan kota. Di situ, terdapat tiga penghantar utusan yang diselubungi jubah kerudung kelabu sedang menunggunya. Mereka bertiga telah dipilih oleh Tuan Pendeta sendiri bagi memikul satu amanah besar. Tuan Pendeta menatap setiap wajah penghantar utusan sebelum menyerahkan empat pucuk surat yang ditanda cop mohor berwarna merah.
“Kamu kirimkan surat ini kepada raja Negeri Pohon Berangan.”
“Baik, Tuan Pendeta.” Penghantar utusan itu menunduk hormat setelah menerima surat berkenaan.
“Kamu pula ke Negeri Rimbunan Hijau.”
“Baik, Tuan Pendeta.” Seekor lagi menunduk hormat.
“Dan kamu, pergi ke Negeri Lobak dan serahkan surat ini kepada pemerintahnya. Surat berwarna biru pula perlu diserahkan kepada Atoss. Kalian bertiga mesti ingat. Jangan sesekali membuka surat ini sehinggalah sampai ke tangan penerima. Faham?”
“Faham, Tuan Pendeta.”
“Bagus. Sekarang juga berangkat.” Tanpa membuang masa, mereka bertiga mendapatkan kuda yang disediakan.
Untuk ke Negeri Pohon Berangan, penunggang pertama perlu ke arah timur laut Negeri Meow. Manakala penunggang kedua akan ke Negeri Rimbunan Hijau yang terletak di seberang Sungai Shin di bahagian tenggara. Dan penunggang terakhir, dia perlu merentasi Banjaran Sewon di utara Negeri Meow untuk ke Negeri Lobak. Jika keadaan cuaca mengizinkan, dia akan tiba ke destinasinya sebelum menjelang petang pada keesokkan harinya.
“Semoga selamat pergi dan selamat pulang, anak-anakku.” Bisik Tuan Pendeta bila melihat mereka menunggang kuda keluar dari kota usang.
Dengan kesempatan yang ada, Tuan Pendeta meronda sekitar kota sambil menyedut udara pagi yang segar dan melakukan senaman ringan. Setiap kali dia berselisih dengan para pengawal kota, Tuan Pendeta akan menyambut ucapan selamat pagi dari mereka. Dia tidak lokek dengan senyuman serta mudah diajak berbual. Setelah puas bersiar-siar, barulah Tuan Pendeta kembali ke biliknya untuk berehat. Namun belum sempat dia merebahkan tubuhnya ke katil, kedengaran jeritan pengawal yang berada di menara pemerhati.
“Ada rombongan sudah tiba...!”
“Rombongan yang mana satu?” Tanya seekor pengawal kota sambil menarik kudanya.
“Ada tiga kumpulan rombongan. Satu darinya datang dari arah selatan.” Jerit pengawal sambil melambai tangannya ke arah kawasan lapang.
Tuan Pendeta bergegas keluar ke balkoni biliknya. Dari situ, dia dapat melihat beribu-ribu khemah putih berbentuk kon didirikan dan memenuhi segenap hamparan hijau.  Di pinggir tapak perkhemahan, kelihatan kumpulan rombongan para kesatria tiba untuk menyertai peperangan yang bakal mereka hadapi. Jika dilihat pada salah satu bendera yang mereka kibarkan, itu sudah pasti kumpulan berkenaan adalah dari puak minoriti Munchkin. Puak Munchkin terkenal dengan kepakaran dalam pertukangan senjata serta membina peralatan peperangan seperti meriam, manjanik dan panah balistik.
Tuan  Pendeta berasa puas hati bila melihat perkembangan positif di hadapannya. Dia tidak sangka, dengan ancaman kuasa asing yang semakin menghampirinya, ia telah berjaya menyatukan bangsa kucing yang selama ini sering bersaing dan hidup berpuak-puak. Tuan Pendeta juga berharap agar mereka bersatu-padu demi kelangsungan hidup bangsanya di masa hadapan.


Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Isnin, 22 September 2014

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Ke-51

Kelmarin (20 September) telah berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, PENA Ke-51. Antara isu yang berbangkit (hangat) adalah nasib tapak Rumah Pena dalam masa akan datang. Demi keuntungan yang dikejar oleh pihak kapitalis yang berselindung atas nama pemaju, khazanah negara seperti Rumah PENA turut menjadi sasaran. Rumah PENA adalah simbol perkembangan kesusasteraan di Malaysia dan telah melahirkan ramai pengkarya serta menarik minat orang ramai akan mendekati dunia sastera.
 
 
Sebelum mesyuarat, sarapan dulu
 
Jualan buku
Sasterawan Negara Baha Zain (kanan anda) turut hadir
Pendaftaran kehadiran ahli PENA


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Pada asalnya guna borang. Akhirnya guna sistem angkat tangan
Calon ahli jawatankuasa (1)
Calon ahli jawatankuasa (2)
 
Barisan baru selepas pemilihan

Selepas mesyuarat, menjamu selera sebelum bersurai
 
 

Selasa, 16 September 2014

Puisi: Masih Ada Lagikah Cinta?

(Sempena Hari Malaysia 16 September)


Seorang ibu yang uzur melihat kehadiran anaknya dengan pandangan sayu
Kehadiran anaknya yang sudah cukup pintar untuk berkata-kata merayu pilu kepadanya
Berilah sebidang cinta kepadaku agar dibangunkan dengan kasih sayang berpanjangan
Mana mungkin sebidang cinta itu diserahkan kepada anaknya yang tidak tahu menilai erti sebenar kasih sayang?
Harta menimbun, pangkat darjat, kuasa melimpah-ruah adalah kasih sayang di mata anaknya
Namun, anaknya tidak mengalah
Dia akan kembali setelah ibunya pergi mengadap Ilahi
Akan diambil sebidang cinta itu demi kemajuan nafsu serakah duniawi
Malangnya, dia masih belum puas
Dia mencari lagi cinta-cinta yang lain untuk diperkosanya


Amaran: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Isnin, 15 September 2014

Novel Bersiri: BUMI BARU (BAB 3)

BAB 3
            Waktu menunjukkan hampir pukul 5 petang. Kamil berehat bersama beberapa anggota pengawal di pos kawalan berdekatan dengan kawasan kejiranan. Walau pun syif bertugas tamat pada pukul 3 petang tadi, dia sengaja tidak mahu pulang ke rumah kerana tiada apa yang perlu lakukan. Ketika itulah seorang pemuda datang ke arahnya dan menyatakan bahawa Kolonel Ismail ingin berjumpa di pejabatnya dengan segera. Hati Kamil tertanya-tanya. Apa perkara mustahak yang perlu dibincangkan? Sedangkan dia hanya berpangkat rendah dan bukanlah orang penting seperti Kapten Ramesh atau Pak Seman.

            Setibanya di pejabat Kolonel Ismail, kelihatan Kapten Ramesh duduk bersebelahan dengan seorang pegawai tentera yang tegap tubuhnya. Kepalanya hampir botak dan memakai seragam celoreng digital berwarna hijau. Pegawai tentera itu melihat keadaan dirinya dari atas sehingga ke bawah dan dia seperti tidak percaya orang seperti Kamil menjadi anggota pasukan pengawal koloni.

            “Perkenalkan, Leftenan Fendi dari Koloni Johor. Dia berserta lapan pegawai yang lain akan melatih pasukan keselamatan kita dalam tempoh dua bulan ini.” Kolonel Ismail memperkenalkannya kepada Kamil. Mereka bersalaman sebelum Kamil duduk bersebelahan dengan Leftenan Fendi.

            “Baiklah. Atas permintaan Pak Seman ketika berada di Koloni Johor dulu, kita telah menerima bantuan bukan sahaja bekalan senjata, bahkan tenaga pengajar bagi memantapkan pasukan pengawal Koloni Jalur Gemilang. Kita sudah sedia maklum koloni kita diancam oleh orang gasar yang sering menimbulkan kebimbangan para penduduk khususnya golongan petani.”

            “Bila kita akan mulakan latihan intensif?” Kapten Ramesh inginkan kepastian.

            “Selepas kita adakan perjumpaan rasmi dengan kesemua anggota keselamatan kita. Saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi. Kamu pula Kamar. Saya perlukan bantuan untuk seketika bagi menumpangkan Leftenan Fendi di rumah kamu. Ini kerana berek yang sedia ada tidak mencukupi dan ada berek yang telah diubah menjadi setor serta wad pesakit. Bagaimana?” Kolonel Ismail mendapatkan persetujuan dariku.

            “Saya tiada masalah. Bahkan saya amat mengalu-alukan kedatangan tetamu kita.”

            “Bagus. Setakat ini pertemuan kita untuk hari ini. Kita tangguh dahulu sehingga diadakan perjumpaan rasmi pada pagi esok.” Akhirnya mereka bersurai dan Kamil mengajak Leftenan Fendi menginap di rumahnya untuk sementara waktu.

           
Halaman belakang rumah Wak Parman
Setelah tiba di rumah, kelihatan Wak Parman baru sahaja mengemas sebuah bilik kosong yang terletak bersebelahan dengan setor khas. Dia telah dimaklumkan oleh Pak Seman akan kehadiran tetamu dari Koloni Johor sejak awal lagi.

            “Selamat datang ke rumah yang tidak seberapa besar ini.” Ucap Wak Parman dengan rendah diri.

            “Terima kasih, pakcik. Saya amat berbesar hati akan sambutan keluarga pakcik.” Leftenan Fendi berasa gembira bila diberi layanan yang agak istimewa.

            “Silakan. Saya tunjukkan biliknya.” Ketika itulah muncul Haliza yang baru pulang dari gudang bekalan harian. Membeli bahan masakan untuk makan malam nanti.

            “Baguslah kamu pulang cepat. Kamu masaklah sedap-sedap. Wak percaya tetamu kita sudah lama berasa lapar selepas mengharungi perjalanan yang lama untuk ke sini.” Tersenyum Wak Parman bila melihat kepulangan Haliza.

            Leftenan Fendi terpegun seketika bila melihat kecantikan Haliza. Dia terus memerhatikan gadis itu yang sedang menyediakan kelengkapan memasak di dapur. Matanya tidak berkelip dan dia seolah-olah terkena pukau.

            “Tuan. Tuan berehatlah dahulu, tuan.” Suara Kamil mengejutkan Leftenan Fendi dari mimpinya.

            “Er... Ya? Ya...?” Leftenan Fendi terpingga-pingga bila bahunya digoyang oleh Kamil.

            “Tuan berehatlah dahulu. Jika mahu apa-apa, beritahulah Haliza.”

            “Haliza?” Barulah Leftenan Fendi tahu. Gadis yang berada di dapur tadi bernama Haliza.

            “Lupa pula saya. Wanita di sana tu bernama Haliza. Kami bertiga sudah lama tinggal bersama dengan Wak Parman.”

            “Yang seorang lagi tu, siapa?”

            “Yang ketiga bernama Salmi. Dia sekarang sedang bertugas mengawal petani yang berada di luar koloni. Kami bertiga sekian lama bersama dan sudah dianggap seperti adik-beradik.” Kamil menceritakan sedikit sebanyak latar belakang mereka sebelum dia beredar. Leftenan Fendi ingin berbual dengan Haliza tetapi bila melihat keadaan gadis tersebut yang sibuk memasak, dia membatalkan hasratnya untuk berbuat demikian.

            “Tak apalah. Bila-bila masa pun boleh.” Bisik hatinya sebelum melangkah masuk ke biliknya.
          

          
Salah satu pos pengawal
 
Malam semakin larut dan angin bertiup kencang sehinggakan keadaan semakin sejuk. Seolah-olah ia cuba memberikan amaran kecemasan kepada penduduk Koloni Jalur Gemilang. Bulan purnama kini dilitupi awan sehinggakan keadaan menjadi gelap. Dengan bergantung kepada lampu yang digantung pada tiang-tiang yang dipacak di lokasi tertentu, suasana begitu suram dan samar-samar pandangannya. Di bahagian selatan, beberapa lembaga asing bergerak keluar dari belukar dan mendekati pagar kawat berduri. Salah seorang dari lembaga berkenaan menyumpit ke arah sasaran iaitu seorang pengawal yang berada di menara pemerhati. Dengan mudah sahaja sasaran mengena dan pengawal berkenaan rebah di dalam menara itu. Tanpa membuang masa, satu demi satu dawai dipotong sehinggalah lapisan pagar yang terakhir berjaya dicerobohi.

            Di satu simpang jalan, seorang pemuda gempal berkawal di pondok pengawal yang dilitupi guni tanah. Dengan selaras senapang usang, dia menantikan rakannya yang berada di tandas berdekatan.

            “Apa masalah si Samad ni? Begitu lama berada di tandas.” Pemuda gempal itu mengeluh kebosanan. Tanpa dia sedari, satu lembaga menghampirinya dari arah belakang dengan pisau digenggam erat ditangan kanannya. Wajahnya bengis dan rambutnya panjang mengurai.

            Bang...! Bang...! Bang...!!

            Bunyi tembakan memecah kesunyian malam. Pemuda gempal tadi terkejut setelah melihat apa yang berlaku di belakangnya. Sekujur tubuh asing tertiarap dengan berlumuran darah menjadi tumpuannya.

            “Kamu tak apa-apa?” Tanya seorang lagi pengawal yang baru sahaja melepaskan tembakan dengan menggunakan sepucuk pistol.

            “Er... Tak apa-apa, Samad.” Pemuda gempal itu masih dalam keadaan terkejut.

            “Jangan buang masa. Koloni kita telah dicerobohi oleh pihak musuh.” Dengan pantas pengawal yang bernama Samad mengambil sebatang kayu dan mengetuk pada kepingan besi yang digantung pada palang kayu.

Bunyi yang kuat hasil ketukan itu mengejutkan lebih ramai penghuni yang sudah pun terjaga selepas terdengar bunyi tembakan sebelum ini. Selang beberapa saat, kedengaran lagi bunyi ketukkan kepingan besi di lokasi lain. Kemudian, di lokasi lain dan pendek kata, isyarat kecemasan sudah pun berbunyi di seluruh Koloni Jalur Gemilang. Beberapa orang penduduk mula keluar dari rumah masing-masing sambil membawa senjata api. Memandangkan senjata api tidak mencukupi, ada juga membawa peralatan pertanian seperti cangkul, sabit, penyodok pasir, parang dan kapak untuk dijadikan senjata. Mereka berkerumun di sekitar pondok pengawal untuk melihat mayat orang gasar dengan lebih dekat.

“Jangan berkumpul di sini. Orang gasar sudah mula menceroboh koloni kita...!” Sesudah sahaja amaran diberikan oleh Samad, segerombolan orang gasar secara tiba-tiba muncul dari kawasan gelap dan mula menyerang penduduk yang berkumpul di pondok pengawal.

Berlakulah pertarungan jarak dekat diantara dua golongan manusia yang amat berbeza kehidupannya. Dengan sifat ganas, orang gasar sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat mebunuh semua penghuni Koloni Jalur Gemilang. Mereka yang memiliki senjata api, dapatlah menembak dan membantu rakan-rakan lain yang diasak berterusan oleh pihak penceroboh. Semakin banyak mayat bergelimpangan di sekitar penempatan di selatan Koloni Jalur Gemilang dan sudah pastinya mayat orang gasar yang paling banyak.
 

“Wak... Bangun, Wak. Kita diserang sekarang ni!” Suara Haliza serta ketukkan pintu biliknya yang kuat menyebabkan Wak Parman terjaga dari tidur. Bunyi tembak-menembak mula kedengaran di kawasan kejiranan.

Pistol milik Wak Parman
Dengan pantas, Wak Parman menarik laci gerobok pakaian di sebelah katilnya untuk mengambil sepucuk pistol. Kemudian dia memeriksa keadaan senjatanya sebelum memakai tali pinggang peluru. Dengan hanya berpakaian baju tidur, Wak Parman segera ke belakang rumahnya untuk mendapatkan Leftenan Fendi. Pada masa itulah kelihatan Kamil dan Leftenan Fendi bergegas masuk ke rumah.

“Apa yang berlaku?” Tanya Leftenan Fendi yang memeriksa kelopak peluru pistol semi automatik.

“Tadi Haliza kata kita telah diserang.” Jawab Wak Parman yang masih dalam keadaan mengantuk.

“Maksudnya, orang gasar telah menceroboh masuk ke koloni. Begitu?” Leftenan Fendi memandang ke wajah Kamil.

“Ya. Tidak syak lagi.” Mereka bertiga terus meluru ke pintu hadapan untuk menghadapi serangan penceroboh.

Salmi dan Haliza tiba di pondok pengawal yang terletak hampir 10 meter dari rumahnya. Di situ kelihatan seorang pengawal yang sedang bergelut dengan orang gasar yang cuba membunuhnya. Dengan sepenuh hati, Salmi melibas senapang ke leher orang gasar berkenaan sehingga menyebabkan kematiannya.

“Kamu tak apa-apa, Wong?” Tanya Salmi. Mereka berdua rakan setugas ketika dalam pasukan pengawal koloni sebelum Salmi ditukarkan ke pasukan peronda luar koloni.

“Saya tak apa-apa. Tolong bantu yang lain.” Wong mengeluarkan sebilah pisau untuk mencungkil kelongsong peluru yang tersekat pada senapangnya.

Haliza sibuk melepaskan tembakan ke arah beberapa orang gasar yang cuba membunuh mangsanya yang sedang bertarung dari arah belakang. Salmi pula berusaha menyelamat beberapa orang awam serta anggota keselamatan yang cedera ke tempat mereka berlindung. Tanpa Salmi sedari, dua batang anak panah menembusi betis dan bahu kirinya.

“Aduh...!! Tolong...!!” Salmi menjerit kesakitan. Dia turut terbaring di sisi mangsa serangan yang cuba diselamatkannya.

“Lindungi saya sekarang!” Haliza menyerahkan senapang miliknya kepada Wong. Oleh kerana senapangnya mengalami kerosakan, terpaksalah Wong menggunakan senapang milik Haliza.

Kelongsong peluru tersekat
Dengan kudrat yang terhad, terpaksalah Haliza menarik Salmi serta seorang lagi mangsa pada masa yang sama. Seramai enam mangsa serangan termasuklah Salmi sempat diselamatkan tanpa sebarang rawatan. Haliza mengoyakkan kain batik yang dipakainya untuk digunakan bagi mengikat kaki Salmi bagi menahan pendarahan. Dengan kain yang sama jugalah digunakan untuk membalut kecederaan mereka yang diselamatkannya. Keadaan masih tegang dengan bunyi tembakan yang semakin rancak tanpa henti. Kaum wanita khususnya para isteri dan ibu, mereka melindungi keluarga mereka dengan menguncikan diri di dalam rumah masing-masing agar orang gasar tidak menceroboh masuk.

“Kita akan berpecah dalam beberapa kumpulan untuk memburu saki-baki orang gasar yang masih bebas. Jika boleh, pastikan setiap kumpulan tidak kurang dari lima orang.” Leftenan Fendi memberi arahan kepada para penduduk serta anggota keselamatan yang berada di situ.

Kumpulan Wak Parman meronda di jalan utama yang menuju ke pesawat induk dan kumpulan Kamil akan menyusuri laluan belakang kawasan kejiranan dan menggeledah lokasi-lokasi terpencil agar ia tidak menjadi tempat persembunyian orang gasar. Kumpulan Leftenan Fendi pula akan membantu rakan-rakan yang masih bertempur di lokasi lain. Sedang mereka bergerak ke lokasi pertempuran, kedengaran bunyi enjin yang semakin kuat datang menghampiri mereka dan kelihatan Kapten Ramesh yang berada di dalam salah satu kenderaan perisai. Beberapa buah kenderaan perisai mula muncul tindak lama kemudian.

“Berapa ramai orang gasar yang menceroboh koloni kita?”

“Dianggarkan seramai tujuh puluh hingga seratus orang. Tetapi ia mungkin kurang dari apa yang saya anggarkan.” Jawab Leftenan Fendi.

“Kita perlu ke sana untuk menghulurkan bantuan. Kawasan di sini sudah pun berada dibawah kawalan pegawai saya. Tidak perlulah risau.” Kapten Ramesh menerangkan keadaan terkini. Kumpulan Leftenan Fendi terpaksalah berpatah balik ke kawasan penempatan yang telah diserang oleh orang gasar.

Kumpulan Kamil menyusuri lorong penjalan kaki di sekitar penempatan dengan penuh berwaspada. Masing-masing melangkah perlahan dengan senjata digenggam erat. Selain itu, Kamil juga bertanya khabar kepada setiap penghuni rumah agar mereka sentiasa selamat serta mendapatkan beberapa maklumat jika ternampak kelibat orang gasar. Adakalanya Kamil terserempak dengan beberapa kumpulan kecil yang turut memburu orang gasar dan dengan lantas dia mengajak mereka agar menyertai kumpulannya.

“Tak jumpa apa-apa pun.” Kata seorang pemuda kepada Kamil selepas memeriksa sebuah setor menyimpan peralatan pertanian.

“Tak mengapa. Kita teruskan rondaan sehingga mendapat arahan baru dari pihak atasan.”

“Kalau begitu, baiklah.” Dengan rasa penuh tanggungjawab, mereka menyambung kembali tugas rondaan sehinggalah kedengaran azan subuh berkumandang.

Kenderaan perisai yang dinaiki Kapten Ramesh
Di perkarangan masjid, kelihatan kumpulan Wak Parman sudah pun berkumpul sebelum diikuti kumpulan-kumpulan lain. Mereka akan menunaikan solat Subuh berjemaah. Di luar Koloni Jalur Gemilang, masih kedengaran bunyi tembakan bertubi-tubi dari pasukan kenderaan perisai yang diketuai oleh Kapten Ramesh. Mereka memburu saki-baki orang gasar yang melarikan diri. Dalam keadaan yang masih gelap, terpaksalah mereka menembak secara rambang ke arah kawasan belukar serta hutan berdekatan.

Di lokasi pertempuran serta sekitar kawasan kejiranan, mayat-mayat orang gasar dikumpulkan ke dalam lori untuk dibawa ke pesawat induk bagi tindakan lanjut. Mereka yang cedera diberikan rawatan segera di dewan orang ramai. Haliza baru sahaja keluar dari perkarangan dewan orang ramai selepas menemani Salmi yang mendapatkan rawatan. Dan pada masa itulah Leftenan Fendi yang baru tiba ke situ terserempak dengan Haliza dengan pandangan yang berbeza dan ini membuatkan Haliza tidak selesa dengan cara sedemikian.

“Mengapa awak pandang saya begitu? Tanya Haliza dengan nada tegas.

“Kain batik yang awak pakai sekarang ini telah koyak sehingga melepasi paras betis.”

“Jadi, apa kaitan dengan awak?”

“Kaitan dengan saya? Awak telah menarik perhatian saya dan saya perlu menyerahkan kain ini kepada awak bagi menggantikan kain batik yang telah koyak. Ambillah.” Leftenan Fendi menyerahkan sehelai kain batik yang baru kepada Haliza.

“Terima kasih. Nanti saya akan pulangkan kembali kepada awak.”

“Tak perlulah, Haliza. Anggaplah kain batik baru itu hadiah dari saya.” Jawab Leftenan Fendi sebelum beredar. Tetapi sebelum itu, dia sempat tersenyum ke arah Haliza yang seperti terpingga-pingga bila menerima hadiah dari seorang lelaki yang baru dikenalinya. Wajahnya bertukar merah bila perasaan malu mula muncul. Kain batik baru itu adalah buatan dari Koloni Terengganu.

Menjelang pagi selepas beberapa jam berakhirnya serangan orang gasar, pasukan penyiasat yang ditubuhkan telah mengumumkan bahawa jumlah orang gasar yang dibunuh seramai 67 orang. Manakala seramai 16 orang termasuklah 10 orang awam terkorban dan ratusan lagi mengalami cedera parah. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.