Isnin, 15 September 2014

Novel Bersiri: BUMI BARU (BAB 3)

BAB 3
            Waktu menunjukkan hampir pukul 5 petang. Kamil berehat bersama beberapa anggota pengawal di pos kawalan berdekatan dengan kawasan kejiranan. Walau pun syif bertugas tamat pada pukul 3 petang tadi, dia sengaja tidak mahu pulang ke rumah kerana tiada apa yang perlu lakukan. Ketika itulah seorang pemuda datang ke arahnya dan menyatakan bahawa Kolonel Ismail ingin berjumpa di pejabatnya dengan segera. Hati Kamil tertanya-tanya. Apa perkara mustahak yang perlu dibincangkan? Sedangkan dia hanya berpangkat rendah dan bukanlah orang penting seperti Kapten Ramesh atau Pak Seman.

            Setibanya di pejabat Kolonel Ismail, kelihatan Kapten Ramesh duduk bersebelahan dengan seorang pegawai tentera yang tegap tubuhnya. Kepalanya hampir botak dan memakai seragam celoreng digital berwarna hijau. Pegawai tentera itu melihat keadaan dirinya dari atas sehingga ke bawah dan dia seperti tidak percaya orang seperti Kamil menjadi anggota pasukan pengawal koloni.

            “Perkenalkan, Leftenan Fendi dari Koloni Johor. Dia berserta lapan pegawai yang lain akan melatih pasukan keselamatan kita dalam tempoh dua bulan ini.” Kolonel Ismail memperkenalkannya kepada Kamil. Mereka bersalaman sebelum Kamil duduk bersebelahan dengan Leftenan Fendi.

            “Baiklah. Atas permintaan Pak Seman ketika berada di Koloni Johor dulu, kita telah menerima bantuan bukan sahaja bekalan senjata, bahkan tenaga pengajar bagi memantapkan pasukan pengawal Koloni Jalur Gemilang. Kita sudah sedia maklum koloni kita diancam oleh orang gasar yang sering menimbulkan kebimbangan para penduduk khususnya golongan petani.”

            “Bila kita akan mulakan latihan intensif?” Kapten Ramesh inginkan kepastian.

            “Selepas kita adakan perjumpaan rasmi dengan kesemua anggota keselamatan kita. Saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi. Kamu pula Kamar. Saya perlukan bantuan untuk seketika bagi menumpangkan Leftenan Fendi di rumah kamu. Ini kerana berek yang sedia ada tidak mencukupi dan ada berek yang telah diubah menjadi setor serta wad pesakit. Bagaimana?” Kolonel Ismail mendapatkan persetujuan dariku.

            “Saya tiada masalah. Bahkan saya amat mengalu-alukan kedatangan tetamu kita.”

            “Bagus. Setakat ini pertemuan kita untuk hari ini. Kita tangguh dahulu sehingga diadakan perjumpaan rasmi pada pagi esok.” Akhirnya mereka bersurai dan Kamil mengajak Leftenan Fendi menginap di rumahnya untuk sementara waktu.

           
Halaman belakang rumah Wak Parman
Setelah tiba di rumah, kelihatan Wak Parman baru sahaja mengemas sebuah bilik kosong yang terletak bersebelahan dengan setor khas. Dia telah dimaklumkan oleh Pak Seman akan kehadiran tetamu dari Koloni Johor sejak awal lagi.

            “Selamat datang ke rumah yang tidak seberapa besar ini.” Ucap Wak Parman dengan rendah diri.

            “Terima kasih, pakcik. Saya amat berbesar hati akan sambutan keluarga pakcik.” Leftenan Fendi berasa gembira bila diberi layanan yang agak istimewa.

            “Silakan. Saya tunjukkan biliknya.” Ketika itulah muncul Haliza yang baru pulang dari gudang bekalan harian. Membeli bahan masakan untuk makan malam nanti.

            “Baguslah kamu pulang cepat. Kamu masaklah sedap-sedap. Wak percaya tetamu kita sudah lama berasa lapar selepas mengharungi perjalanan yang lama untuk ke sini.” Tersenyum Wak Parman bila melihat kepulangan Haliza.

            Leftenan Fendi terpegun seketika bila melihat kecantikan Haliza. Dia terus memerhatikan gadis itu yang sedang menyediakan kelengkapan memasak di dapur. Matanya tidak berkelip dan dia seolah-olah terkena pukau.

            “Tuan. Tuan berehatlah dahulu, tuan.” Suara Kamil mengejutkan Leftenan Fendi dari mimpinya.

            “Er... Ya? Ya...?” Leftenan Fendi terpingga-pingga bila bahunya digoyang oleh Kamil.

            “Tuan berehatlah dahulu. Jika mahu apa-apa, beritahulah Haliza.”

            “Haliza?” Barulah Leftenan Fendi tahu. Gadis yang berada di dapur tadi bernama Haliza.

            “Lupa pula saya. Wanita di sana tu bernama Haliza. Kami bertiga sudah lama tinggal bersama dengan Wak Parman.”

            “Yang seorang lagi tu, siapa?”

            “Yang ketiga bernama Salmi. Dia sekarang sedang bertugas mengawal petani yang berada di luar koloni. Kami bertiga sekian lama bersama dan sudah dianggap seperti adik-beradik.” Kamil menceritakan sedikit sebanyak latar belakang mereka sebelum dia beredar. Leftenan Fendi ingin berbual dengan Haliza tetapi bila melihat keadaan gadis tersebut yang sibuk memasak, dia membatalkan hasratnya untuk berbuat demikian.

            “Tak apalah. Bila-bila masa pun boleh.” Bisik hatinya sebelum melangkah masuk ke biliknya.
          

          
Salah satu pos pengawal
 
Malam semakin larut dan angin bertiup kencang sehinggakan keadaan semakin sejuk. Seolah-olah ia cuba memberikan amaran kecemasan kepada penduduk Koloni Jalur Gemilang. Bulan purnama kini dilitupi awan sehinggakan keadaan menjadi gelap. Dengan bergantung kepada lampu yang digantung pada tiang-tiang yang dipacak di lokasi tertentu, suasana begitu suram dan samar-samar pandangannya. Di bahagian selatan, beberapa lembaga asing bergerak keluar dari belukar dan mendekati pagar kawat berduri. Salah seorang dari lembaga berkenaan menyumpit ke arah sasaran iaitu seorang pengawal yang berada di menara pemerhati. Dengan mudah sahaja sasaran mengena dan pengawal berkenaan rebah di dalam menara itu. Tanpa membuang masa, satu demi satu dawai dipotong sehinggalah lapisan pagar yang terakhir berjaya dicerobohi.

            Di satu simpang jalan, seorang pemuda gempal berkawal di pondok pengawal yang dilitupi guni tanah. Dengan selaras senapang usang, dia menantikan rakannya yang berada di tandas berdekatan.

            “Apa masalah si Samad ni? Begitu lama berada di tandas.” Pemuda gempal itu mengeluh kebosanan. Tanpa dia sedari, satu lembaga menghampirinya dari arah belakang dengan pisau digenggam erat ditangan kanannya. Wajahnya bengis dan rambutnya panjang mengurai.

            Bang...! Bang...! Bang...!!

            Bunyi tembakan memecah kesunyian malam. Pemuda gempal tadi terkejut setelah melihat apa yang berlaku di belakangnya. Sekujur tubuh asing tertiarap dengan berlumuran darah menjadi tumpuannya.

            “Kamu tak apa-apa?” Tanya seorang lagi pengawal yang baru sahaja melepaskan tembakan dengan menggunakan sepucuk pistol.

            “Er... Tak apa-apa, Samad.” Pemuda gempal itu masih dalam keadaan terkejut.

            “Jangan buang masa. Koloni kita telah dicerobohi oleh pihak musuh.” Dengan pantas pengawal yang bernama Samad mengambil sebatang kayu dan mengetuk pada kepingan besi yang digantung pada palang kayu.

Bunyi yang kuat hasil ketukan itu mengejutkan lebih ramai penghuni yang sudah pun terjaga selepas terdengar bunyi tembakan sebelum ini. Selang beberapa saat, kedengaran lagi bunyi ketukkan kepingan besi di lokasi lain. Kemudian, di lokasi lain dan pendek kata, isyarat kecemasan sudah pun berbunyi di seluruh Koloni Jalur Gemilang. Beberapa orang penduduk mula keluar dari rumah masing-masing sambil membawa senjata api. Memandangkan senjata api tidak mencukupi, ada juga membawa peralatan pertanian seperti cangkul, sabit, penyodok pasir, parang dan kapak untuk dijadikan senjata. Mereka berkerumun di sekitar pondok pengawal untuk melihat mayat orang gasar dengan lebih dekat.

“Jangan berkumpul di sini. Orang gasar sudah mula menceroboh koloni kita...!” Sesudah sahaja amaran diberikan oleh Samad, segerombolan orang gasar secara tiba-tiba muncul dari kawasan gelap dan mula menyerang penduduk yang berkumpul di pondok pengawal.

Berlakulah pertarungan jarak dekat diantara dua golongan manusia yang amat berbeza kehidupannya. Dengan sifat ganas, orang gasar sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat mebunuh semua penghuni Koloni Jalur Gemilang. Mereka yang memiliki senjata api, dapatlah menembak dan membantu rakan-rakan lain yang diasak berterusan oleh pihak penceroboh. Semakin banyak mayat bergelimpangan di sekitar penempatan di selatan Koloni Jalur Gemilang dan sudah pastinya mayat orang gasar yang paling banyak.
 

“Wak... Bangun, Wak. Kita diserang sekarang ni!” Suara Haliza serta ketukkan pintu biliknya yang kuat menyebabkan Wak Parman terjaga dari tidur. Bunyi tembak-menembak mula kedengaran di kawasan kejiranan.

Pistol milik Wak Parman
Dengan pantas, Wak Parman menarik laci gerobok pakaian di sebelah katilnya untuk mengambil sepucuk pistol. Kemudian dia memeriksa keadaan senjatanya sebelum memakai tali pinggang peluru. Dengan hanya berpakaian baju tidur, Wak Parman segera ke belakang rumahnya untuk mendapatkan Leftenan Fendi. Pada masa itulah kelihatan Kamil dan Leftenan Fendi bergegas masuk ke rumah.

“Apa yang berlaku?” Tanya Leftenan Fendi yang memeriksa kelopak peluru pistol semi automatik.

“Tadi Haliza kata kita telah diserang.” Jawab Wak Parman yang masih dalam keadaan mengantuk.

“Maksudnya, orang gasar telah menceroboh masuk ke koloni. Begitu?” Leftenan Fendi memandang ke wajah Kamil.

“Ya. Tidak syak lagi.” Mereka bertiga terus meluru ke pintu hadapan untuk menghadapi serangan penceroboh.

Salmi dan Haliza tiba di pondok pengawal yang terletak hampir 10 meter dari rumahnya. Di situ kelihatan seorang pengawal yang sedang bergelut dengan orang gasar yang cuba membunuhnya. Dengan sepenuh hati, Salmi melibas senapang ke leher orang gasar berkenaan sehingga menyebabkan kematiannya.

“Kamu tak apa-apa, Wong?” Tanya Salmi. Mereka berdua rakan setugas ketika dalam pasukan pengawal koloni sebelum Salmi ditukarkan ke pasukan peronda luar koloni.

“Saya tak apa-apa. Tolong bantu yang lain.” Wong mengeluarkan sebilah pisau untuk mencungkil kelongsong peluru yang tersekat pada senapangnya.

Haliza sibuk melepaskan tembakan ke arah beberapa orang gasar yang cuba membunuh mangsanya yang sedang bertarung dari arah belakang. Salmi pula berusaha menyelamat beberapa orang awam serta anggota keselamatan yang cedera ke tempat mereka berlindung. Tanpa Salmi sedari, dua batang anak panah menembusi betis dan bahu kirinya.

“Aduh...!! Tolong...!!” Salmi menjerit kesakitan. Dia turut terbaring di sisi mangsa serangan yang cuba diselamatkannya.

“Lindungi saya sekarang!” Haliza menyerahkan senapang miliknya kepada Wong. Oleh kerana senapangnya mengalami kerosakan, terpaksalah Wong menggunakan senapang milik Haliza.

Kelongsong peluru tersekat
Dengan kudrat yang terhad, terpaksalah Haliza menarik Salmi serta seorang lagi mangsa pada masa yang sama. Seramai enam mangsa serangan termasuklah Salmi sempat diselamatkan tanpa sebarang rawatan. Haliza mengoyakkan kain batik yang dipakainya untuk digunakan bagi mengikat kaki Salmi bagi menahan pendarahan. Dengan kain yang sama jugalah digunakan untuk membalut kecederaan mereka yang diselamatkannya. Keadaan masih tegang dengan bunyi tembakan yang semakin rancak tanpa henti. Kaum wanita khususnya para isteri dan ibu, mereka melindungi keluarga mereka dengan menguncikan diri di dalam rumah masing-masing agar orang gasar tidak menceroboh masuk.

“Kita akan berpecah dalam beberapa kumpulan untuk memburu saki-baki orang gasar yang masih bebas. Jika boleh, pastikan setiap kumpulan tidak kurang dari lima orang.” Leftenan Fendi memberi arahan kepada para penduduk serta anggota keselamatan yang berada di situ.

Kumpulan Wak Parman meronda di jalan utama yang menuju ke pesawat induk dan kumpulan Kamil akan menyusuri laluan belakang kawasan kejiranan dan menggeledah lokasi-lokasi terpencil agar ia tidak menjadi tempat persembunyian orang gasar. Kumpulan Leftenan Fendi pula akan membantu rakan-rakan yang masih bertempur di lokasi lain. Sedang mereka bergerak ke lokasi pertempuran, kedengaran bunyi enjin yang semakin kuat datang menghampiri mereka dan kelihatan Kapten Ramesh yang berada di dalam salah satu kenderaan perisai. Beberapa buah kenderaan perisai mula muncul tindak lama kemudian.

“Berapa ramai orang gasar yang menceroboh koloni kita?”

“Dianggarkan seramai tujuh puluh hingga seratus orang. Tetapi ia mungkin kurang dari apa yang saya anggarkan.” Jawab Leftenan Fendi.

“Kita perlu ke sana untuk menghulurkan bantuan. Kawasan di sini sudah pun berada dibawah kawalan pegawai saya. Tidak perlulah risau.” Kapten Ramesh menerangkan keadaan terkini. Kumpulan Leftenan Fendi terpaksalah berpatah balik ke kawasan penempatan yang telah diserang oleh orang gasar.

Kumpulan Kamil menyusuri lorong penjalan kaki di sekitar penempatan dengan penuh berwaspada. Masing-masing melangkah perlahan dengan senjata digenggam erat. Selain itu, Kamil juga bertanya khabar kepada setiap penghuni rumah agar mereka sentiasa selamat serta mendapatkan beberapa maklumat jika ternampak kelibat orang gasar. Adakalanya Kamil terserempak dengan beberapa kumpulan kecil yang turut memburu orang gasar dan dengan lantas dia mengajak mereka agar menyertai kumpulannya.

“Tak jumpa apa-apa pun.” Kata seorang pemuda kepada Kamil selepas memeriksa sebuah setor menyimpan peralatan pertanian.

“Tak mengapa. Kita teruskan rondaan sehingga mendapat arahan baru dari pihak atasan.”

“Kalau begitu, baiklah.” Dengan rasa penuh tanggungjawab, mereka menyambung kembali tugas rondaan sehinggalah kedengaran azan subuh berkumandang.

Kenderaan perisai yang dinaiki Kapten Ramesh
Di perkarangan masjid, kelihatan kumpulan Wak Parman sudah pun berkumpul sebelum diikuti kumpulan-kumpulan lain. Mereka akan menunaikan solat Subuh berjemaah. Di luar Koloni Jalur Gemilang, masih kedengaran bunyi tembakan bertubi-tubi dari pasukan kenderaan perisai yang diketuai oleh Kapten Ramesh. Mereka memburu saki-baki orang gasar yang melarikan diri. Dalam keadaan yang masih gelap, terpaksalah mereka menembak secara rambang ke arah kawasan belukar serta hutan berdekatan.

Di lokasi pertempuran serta sekitar kawasan kejiranan, mayat-mayat orang gasar dikumpulkan ke dalam lori untuk dibawa ke pesawat induk bagi tindakan lanjut. Mereka yang cedera diberikan rawatan segera di dewan orang ramai. Haliza baru sahaja keluar dari perkarangan dewan orang ramai selepas menemani Salmi yang mendapatkan rawatan. Dan pada masa itulah Leftenan Fendi yang baru tiba ke situ terserempak dengan Haliza dengan pandangan yang berbeza dan ini membuatkan Haliza tidak selesa dengan cara sedemikian.

“Mengapa awak pandang saya begitu? Tanya Haliza dengan nada tegas.

“Kain batik yang awak pakai sekarang ini telah koyak sehingga melepasi paras betis.”

“Jadi, apa kaitan dengan awak?”

“Kaitan dengan saya? Awak telah menarik perhatian saya dan saya perlu menyerahkan kain ini kepada awak bagi menggantikan kain batik yang telah koyak. Ambillah.” Leftenan Fendi menyerahkan sehelai kain batik yang baru kepada Haliza.

“Terima kasih. Nanti saya akan pulangkan kembali kepada awak.”

“Tak perlulah, Haliza. Anggaplah kain batik baru itu hadiah dari saya.” Jawab Leftenan Fendi sebelum beredar. Tetapi sebelum itu, dia sempat tersenyum ke arah Haliza yang seperti terpingga-pingga bila menerima hadiah dari seorang lelaki yang baru dikenalinya. Wajahnya bertukar merah bila perasaan malu mula muncul. Kain batik baru itu adalah buatan dari Koloni Terengganu.

Menjelang pagi selepas beberapa jam berakhirnya serangan orang gasar, pasukan penyiasat yang ditubuhkan telah mengumumkan bahawa jumlah orang gasar yang dibunuh seramai 67 orang. Manakala seramai 16 orang termasuklah 10 orang awam terkorban dan ratusan lagi mengalami cedera parah. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
 

Tiada ulasan: