Sabtu, 13 September 2014

Cerpen: Mengejar Harapan

Pinggir Bandar Putrajaya
  
Inilah kali pertamanya Miko menjejakkan kaki di Putrajaya. Bandar ketiga terbesar serta pesat membangun selepas Kuala Lumpur dan Labuan. Ketibaannya ke kota yang menjanjikan seribu satu harapan itu bertujuan untuk mencari rezeki yang halal. Nasihat dari ibu bapanya masih segar dalam ingatan sebelum dia menaiki keretapi malam.
"Jagalah diri baik-baik. Jangan lakukan perkara yang boleh mendatangkan malu kepada keluarga dan memusnahkan masa depan kamu." Itulah yang dipesan bapa Miko.
"Sampai di sana nanti, jangan lupa hubungi kami di sini." Ibunya seperti tidak mahu melepaskan Miko yang satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.
Tetapi, apakan daya. Harapan Miko perlu dikecapi demi masa depan keluarganya. Dia perlu membantu bagi meringankan beban ibu bapa yang jerih membanting tulang di bendang untuk membiayai persekolahan adik-adik lelakinya.
 
 
Dari utara tanahair, Miko tiba di stesen keretapi Kuala Lumpur pada pukul 7 pagi dan perlu bertukar tren untuk ke Putrajaya. Pada pagi tersebut adalah pagi yang ceria dengan cuaca yang baik dan sesuai untuk menerokai persekitaran Putrajaya. Tetapi sebelum itu dia perlulah mengisi perutnya yang kosong terlebih dulu. Miko singgah sebentar di kedai serbaneka 24 jam untuk membeli roti. Dan pada masa itulah dia terpandang ke arah papan kenyataan di kedai berkenaan. Papan kenyataan mempamerkan pelbagai iklan seperti peluang pekerjaan, perkhidmatan dan sewa bilik. Matanya terbaca pada salah satu helaian kertas berwarna merah jambu.
"Mencari rakan serumah. Perlulah perempuan dan bebas rekod jenayah." Mulut Miko muncung bila membaca iklan tersebut. Mengapa perlu disertakan bebas rekod jenayah? Adakah dia mengalami masalah dengan rakan serumahnya sebelum ini?
Bilik sewa yang paling murah
Pada rancangan asalnya Miko ingin menyewa sebuah tube dengan sewa bulanan sebanyak RM50. Tube adalah sebuah bilik kecil yang seakan-akan seperti peti dingin menyimpan mayat di hospital. Ia terletak di sebuah bangunan yang dikenali sebagai Wisma Belia Malaysia dan Miko sudah pun membuat persediaan sebelum merantau ke Putrajaya dengan melayari laman web serta meninjau kos sewanya. Tetapi hari ini Miko langkah kanan dan tanpa membuang masa dia segera menghubungi bakal rakan rumah berdasarkan nombor telefon bimbit yang disertakan pada kertas tadi.
"Helo. Usagi bercakap." Suara perempuan menyambut panggilan Miko.
"Assalamualaikum. Nama saya Miko."
"Waalaikumusalam, Miko. Ya, saya?"
"Saya ada terbaca satu iklan di kedai serbaneka tadi mengenai mencari rakan serumah."
"Ya. Memang saya perlukan rakan serumah dengan segera. Sebenarnya saya takut tinggal berseorangan dan lagi pun amat sukar untuk membayar sewa. Maklumlah. Kos sara hidup di sini agak tinggi."
"Jika tidak keberatan, boleh kita berjumpa di mana-mana?" Tanya Miko.
"Tiada masalah. Kita boleh bertemu di Kafe Mak Amit. Ia terletak tidak jauh dari kedai serbaneka." Cadang Usagi.
"Baiklah, saya akan ke sana segera." Perbualan mereka ditangguhkan dan Miko berjalan melintasi jalan raya yang masih lengang menuju ke sebuah kafe yang terletak selang beberapa blok bangunan. 

 
Setibanya di kafe yang dinyatakan Usagi, hanya beberapa orang pelanggan sahaja yang berada di situ. Miko kembali menghubungi Usagi dan selepas mendail nombor, kedengaran bunyi deringan telefon bimbit berhampiran dengannya. Miko terpandang ke arah seorang gadis yang agak rendah yang sedang bersandar pada tembok batu. Gadis itu juga seperti menantikan seseorang.
"Maaf. Kamu Usagi?"
"Ya. Saya Usagi dan kamu pula Miko?" Gadis bernama Usagi inginkan kepastian.
"Saya Miko." Mereka bersalaman dan Usagi mengajak Miko ke rumah sewanya yang terletak di tingkat atas kafe berkenaan.
Usagi
Keluasan rumah yang bakal diduduki agak sederhana dan mempunyai dua buah bilik. Di ruang tamu, hanya terdapat sebuah meja rendah yang diletakkan di bahagian tengah, sebuah televisyen dan beralaskan tikar mengkuang. Di bahagian dapur pula lengkap dengan peti sejuk, dapur memasak dan almari menyimpan barang kering serta bilik mandi yang disambung ke bahagian belakang.
“Jemputlah duduk.” Usagi memperlawanya ke balkoni rumah. Dari situ, mereka dapat melihat pusat bandar Putrajaya dengan jelas.
“Terima kasih.” Miko tidak kekok duduk bersila di lantai.
Dalam keadaan santai sebegini mudahlah Usagi ‘menemuramah’ Miko agar dapat mengenali rakan barunya dengan lebih dekat. Bermacam perkara mereka bualkan. Dari pengalaman Usagi menetap di Putrajaya sehinggalah kisah perjalanan Miko ke sini.
“Jadi, selama menetap di sini, kamu hanya bekerja di rumah sahaja?” Miko seperti tidak percaya dengan apa Usagi ceritakan.
“Ya. Saya bekerja sebagai mangaka bebas. Bagi saya, bekerja di rumah tidak membebankan fikiran saya serta bebas dari dikongkong oleh peraturan syarikat yang sering dikenakan pada pekerjanya. Apa yang penting, saya hanya perlu menghantar manga yang telah siap ke syarikat penerbitan mengikut jadual.” Usagi berasa bangga bila menceritakan kisah pekerjaannya. Memang patut pun kerana dia melukis manga untuk sebuah syarikat penerbitan yang bukan sahaja terkenal di Malaysia, bahkan sekitar rantau Asia Tenggara.
“Sebelum ini, siapa teman serumah Usagi?” Soalan yang diajukan oleh Miko membuatkan Usagi seperti meluat.
“Teman serumah pertama saya adalah rakan sekampung. Dia kini sudah pun melanjutkan pelajaran ke luar negara. Teman serumah kedua saya pula agak teruk.” Jawab Usagi.
“Teruk? Mengapa?”
“Saya sangka pada mulanya dia seorang yang baik dan mempunyai pekerjaan yang bagus. Akhirnya rahsia terbongkar bila pihak polis menyerbu rumah ini. Saya amat terkejut bila mendapat tahu yang biliknya dijadikan tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan ke sekitar bandar ini. Saya yang tidak bersalah turut diheret ke balai polis. Mujurlah Mak Amit dapat menyakinkan pihak polis yang saya tidak bersalah. Sebab itulah saya paparkan iklan mencari rakan serumah dengan menyatakan bebas rekod jenayah.” Perasaan marah Usagi dapat Miko rasai bila melihat raut wajah rakan barunya yang kemerahan.
“Usahlah marah. Kita ambil kejadian ini sebagai pengajaran buat kita. Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Tetapi, perlulah berhati-hati agar tidak terperangkap lagi dalam masalah besar yang sukar kita duga.”
“Betul juga. Silap saya kerana terlalu mempercayainya. Sebab dia sering belanja saya makan setiap minggu dan sanggup membayar bil elektrik dan air yang tertunggak dahulu. Saya tidak tahu yang itu adalah hasil menjual dadah.” Usagi mengeluh bila mengenangkan nasib malangnya.
“Yang sudah tu, sudahlah. Kalau diingatkan kembali, buat kamu sakit hati sahaja. Mari kita ke bawah sebentar. Saya ingin bersarapan. Saya belanja. Bagaimana?” Ajak Miko. Bila mendengar Miko ingin belanja sarapan, dengan tiba-tiba kemarahan Usagi hilang.
“Kalau macam tu, mari kita pergi sekarang.” Dengan bersemangat Usagi melangkah keluar dari rumah dengan diekori Miko.
 
Mereka berdua turun kembali ke bawah sebelum masuk ke Kafe Mak Amit. Kelihatan seorang wanita sedang berurusan dengan seorang pelanggan di kaunter bayaran. Bila ternampak kehadiran mereka, dengan segeralah wanita itu menjemput mereka masuk.
“Inilah rakan serumah baru yang kamu cakapkan pagi tadi.” Tanya wanita itu. Orangnya cantik meski pun berusia hampir mencecah 40an.
“Memperkenalkan ini Miko. Dan yang ini pula Mak Amit. Tuan punya kafe.” Akhirnya Miko dapat bertemu dengan orang yang menyelamatkan Usagi dari kesusahan.
Selepas berkenalan dan mengambil pesanan hidangan, Mak Amit memandang keadaan Miko dari atas hingga ke bawah. Dia ingin bertanyakan sesuatu kepada Miko berkenaan dirinya yang berasal dari luar bandar.
“Kamu datang ke sini berseorangan?”
“Ya.” Ringkas Miko menjawab.
“Berani sungguh. Belum pernah melihat seorang gadis seperti kamu berhijrah seorang diri ke bandar. Apa tujuan kamu ke Putrajaya?”
“Saya ke sini untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai untuk diri saya sendiri.”
"Kebetulan. Saya memang perlukan pelayan kafe perempuan seberapa segera. Apa kata Miko bekerja di sini. Lagi pun rumah sewa kalian cuma terletak di tingkat atas sahaja." Cadang Mak Amit.
“Saya sokong. Lagi pun saya tidaklah berasa kesunyian ketika bekerja di rumah.” Usagi beria-ia agar Miko menerima tawaran kerja dari Mak Amit.
“Tidak berasa kesunyian atau teringin menikmati hidangan percuma selalu?” Usik Mak Amit.
“Mak Amit janganlah kata begitu. Saya tahulah yang saya masih berhutang dengan Mak Amit sebanyak 20 ringgit pada bulan lepas. Bila saya mendapat gaji nanti saya bayarlah.”
“Tak apalah, Usagi. Anggaplah hutang kamu telah dilangsaikan. Untuk hari ini sebagai tanda penghargaan, saya akan belanja kamu makan.”
“Terima kasih banyak-banyak, Miko. Jika tidak, terpaksalah saya makan mee segera selama seminggu.” Dengan perasaan gembira, Usagi terus memeluk Miko dengan erat.
“Jangan asyik membazirkan wang kamu, Miko. Nanti bagaimana mahu membeli barang keperluan lain.” Mak Amit menasihatkan Miko.
“Usah khuatir, Mak Amit. Wang yang saya ada ini adalah hasil pendapatan saya ketika bekerja di kampung.” Miko berasa senang hati bila melihat wajah kegembiraan Usagi yang adakalanya seperti kebudak-budakan. 
Mak Amit (seluar pendek)
Kafe Mak Amit memang unik dan berlainan dari kafe-kafe biasa di sekitar Putrajaya. Sumber cahaya dari matahari bagi menerangi ruang kafe sehinggalah dekorasinya dari barangan kitar semula telah menarik hati ramai pelanggan. Bukan itu sahaja, Kafe Mak Amit telah mendapat pengiktirafan dari Majlis Perbandaran Putrajaya dan Kementerian Alam Sekitar kerana mengamalkan kempen hijau. Miko amat gembira bila mendapat bekerja di situ. Ditambah lagi keramahan rakan sekerja yang lain dan Mak Amit sendiri memberi tunjuk ajar kepada Miko bagaimana untuk menguruskan kafe jika Mak Amit keluar berurusan serta bagaimana untuk menyediakan minuman untuk para pelanggan.
 
 
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
 

Tiada ulasan: