Pengawal Penjara |
Dari luar bangunan utama penjara sudah cukup berasa gerun
bila memandang atau melaluinya. Sudah tentulah para pengguna jalanraya tidak
mahu memandu perlahan tanpa sebarang sebab kecuali jika ada kesesakan lalu
lintas. Kawalan keselamatan di sekitar penjara amat ketat dan terdapat tiga lapisan
pusat pemeriksaan yang mengelilingi kompleks berkenaan.
Para pengawal dan pegawai penjara yang bertugas di situ
juga terkenal dengan sikap bengis dan zalim terhadap para tahanan. Mereka
memakai sepasang seragam celoreng putih-kelabu dan memakai beret hitam.
Dilengan kiri mereka terdapat lilitan kain berwarna biru dengan lambang sebuah
parti politik pemerintah. Pelbagai jenis seksaan yang diterima jika para
tahanan enggan bekerja sama atau mengakui kesalahan. Itu belum kira lagi
seksaan dari perkhidmatan polis rahsia ketika sesi soal siasat.
Sebenarnya, komplek penjara itu bukanlah menempatkan para
penjenayah yang melakukan kesalahan seperti merompak atau membunuh. Tetapi
menempatkan para tahanan terdiri daripada golongan profesional seperti
pensyarah, doktor, peguam, guru, wartawan, penyair, penulis, golongan ulamak, jurutera,
aktivis masyarakat, mahasiswa dan pendek kata, mereka yang tidak sefahaman atau
sehaluan dengan pihak pemerintah akan dihumban ke situ untuk dipenjarakan
selama-lamanya tanpa sebarang perbicaraan yang adil.
Siren berbunyi tepat pada pukul 8 pagi dan ini menandakan
waktu melawat para tahanan bermula. Mengikut jadual yang ditetapkan, kaum keluarga
hanya dibenarkan datang melawat sekali pada setiap dua bulan. Jadi, peluang sebegini dimanfaatkan oleh para
tahanan untuk bertemu dengan ahli keluarga masing-masing setelah sekian lama dipenjara.
“Tapol 303! Keluar sekarang!!” Jeritan dari pegawai
penjara mengejutkannya dari lamunan. Dengan tenang dia melangkah keluar dari
bilik tahanan setelah pintu jeriji besi dibuka sebelum tangan dan kakinya
dirantai.
“Lambat macam pondan! Jalan cepat!” Kepalanya disekeh
oleh pengawal yang bertugas. Dia berjalan dengan diiringi dua orang pengawal
dan seorang pegawai.
Tapol 303 berasa gembira bila ternampak kehadiran ahli
keluarganya yang berada di dewan menunggu. Beberapa orang tahanan turut berada
di tempat yang sama. Mereka berbual seperti biasa tanpa diganggu oleh para
pegawal yang berada di situ. Selepas rantai di tangan dan kakinya dilerai,
barulah dia dibenarkan masuk ke dewan sebelum disambut oleh dua orang wanita
dan seorang dari mereka lebih muda dari Tapol 303.
“Kamu semakin kurus.” Wanita tua itu mengusap wajah Tapol
303.
“Saya tak tahu pula saya semakin kurus. Ibu sihat?”
“Ya. Ibu sentiasa sihat bila dapat melihat kamu selamat.”
“Usah risau, ibu. Saya sentiasa sihat dan selamat.” Tapol
303 memandang ke arah gadis yang berdiri di sisi ibunya.
“Abang tak sangka kamu cukup berani untuk datang ke sini,
Maya. Selalunya ibu datang bersama dengan pakcik.”
“Saya sendiri yang mahu ke sini. Bukan senang untuk
menyakinkan pakcik.” Mereka bertiga duduk di penjuru dewan dan si ibu
mengeluarkan bekalan makanan yang dibawa dari rumah.
“Kawalan keselamatan di sini begitu ketat. Sehinggakan
kuih yang saya buat pada malam tadi hancur dicincang oleh pengawal. Katanya atas
sebab keselamatan. Bahkan, kunci kereta, telefon bimbit dan pen perlu
ditinggalkan di kaunter tadi.” Maya merungut.
“Itu perkara biasa. Mereka bimbang jika ada sebarang
objek yang boleh membahayakan tahanan serta pihak penjara diseludup masuk.”
“Contohnya?” Tanya Maya lagi sambil menyerahkan secawan
teh kepada abangnya.
“Pisau kecil yang akan digunakan oleh tahanan untuk
membunuh diri. Pin rambut yang akan digunakan untuk membuka pintu penjara.”
Penjelasan dari abangnya menyebabkan Maya tersengih.
“Ini menunjukkan pihak pemerintah amat takut jika ada
berlaku yang tidak diingini terhadap tahanan. Sekarang ini badan bukan kerajaan
antarabangsa sedang menekan pihak pemerintah mengenai pelanggaran hak asasi
manusia.” Bisik Maya.
“Tetapi negara kuasa besar diam membisu mengenai isu ini.”
Kata Tapol 303 sambil membuka bekas makanan yang dihulurkan oleh ibunya.
“Betul. Itu disebabkan pihak pemerintah kini menjadi
penyokong kuat negara kuasa besar itu. Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini
negara kita sering menerima bantuan ketenteraan dari negara berkenaan.”
“Cukuplah. Ibu tak mahu mendengar perkara itu lagi.”
Mereka memandang ke arah ibunya. Dia seperti tidak senang dengan topik yang
dibualkan oleh anak-anaknya.
“Ibu mahu anak-anak ibu hidup bahagia dan selamat. Lagi
satu, ibu tak mahu kamu berdua terlibat dalam sebarang kegiatan yang
menyusahkan diri sendiri. Biarlah pemerintah ini zalim, korup atau boros. Yang
penting kita tak kelaparan dan ada tempat tinggal yang selesa. Mari makan.”
Tapol 303 dan Maya tidak membantah. Mereka hanya menurut sahaja apa yang
dikatakan oleh ibunya.
Pemikiran golongan tua seperti ibunya terhadap pihak pemerintah
masih menebal dan begitu sukar untuk mengikis sikap taat setia yang membuta
tuli. Mungkin ketika zaman ibunya pihak pemerintah mampu menutup segala
kecacatan dalam pentadbirannya. Kini dengan tibanya zaman dunia tanpa sempadan,
segala kisah sebenar, kudis dan kecacatan mudah terdedah dengan hanya dihujung
jari sahaja.
Tapol 303 mengambil tempat di sisi rakan sebiliknya,
Tapol 112. Di meja panjang itulah mereka menikmati hidangan malam bersama para tahanan
yang lain. Walau pun hidangan di penjara tidaklah selazat seperti hidangan yang
dinikmati oleh golongan aristokrat, setidak-tidaknya ia mampu mengalas perut
mereka dari kelaparan.
“Kamu ada baca akhbar pagi tadi?” Tapol 442 membuka topik
perbualan. Mereka perlu berbual dengan suara yang perlahan agar para pengawal
yang berada di koridor atas tidak mendengarnya.
“Maaf. Aku tidak akan sesekali menyentuh dan membaca alat
propaganda pihak penindas.” Jawab Tapol 193.
“Berita mengenai apa?” Tapol 303 pula bertanya.
“Majlis Fatwa telah mengeluarkan fatwa mereka bahawa
cukai kepala adalah halal dan rakyat wajib melunaskannya setiap 3 bulan sekali.”
“Wah... Bijak sungguh pihak pemerintah mempergunakan
golongan ulamak demi memeras wang rakyat. Adakah negara kita sudah kehabisan
wang simpanan?” Soalan berbaur sindiran dari Tapol 303 disambut dengan ketawa yang
terkawal.
“Mungkin wang banyak dihabiskan untuk majlis perkahwinan
anaknya.” Sekali lagi mereka ketawa bila mendengar jenaka Tapol 112.
“Mereka semua pengampu dan sanggup menjilat punggung
pemimpin yang tidak berguna itu.” Marah Tapol 193. Namun, suaranya
diperlahankan agar tidak didengari oleh pengawal penjara yang sedang mengawal.
“Ini membebankan golongan kurang berkemampuan terutama mereka
mempunyai ahli keluarga yang ramai.” Tapol 442 berasa bimbang. Sebelum ditahan,
dia adalah seorang doktor yang berpengalaman dan sering merawat pesakit miskin
tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Bukan sahaja membebankan golongan kurang kemampuan. Lambat-laun
golongan pertengahan akan terkena tempias juga.” Tambah Tapol 303.
“Apa yang pasti mereka telah berjaya membawa masuk para
ulamak yang pro-pemerintah demi menghalalkan segala-galanya. Hari ini cukai
kepala adalah halal dan rakyat perlu membayarnya. Di masa hadapan, arak pula
halal diminum.” Tapol 112 mengutarakan pendapatnya.
Tapol 112 adalah seorang guru di sebuah sekolah rendah
yang terletak di luar bandar. Dia dipenjarakan kerana mengkritik isteri
pemerintah yang suka berbelanja besar di luar negara dengan menggunakan wang
simpanan negara melalui laman blog miliknya. Selama seminggu Tapol 112 ditahan
serta dipukul oleh anggota polis rahsia ketika disoal siasat sebelum dihumban
ke penjara tanpa sebarang perbicaraan mahkamah.
Pada malam itu sama sahaja seperti malam sebelumnya.
Tiada sebarang kegiatan yang menarik untuk dia lakukan. Tambahan lagi, dia kini
berada di sebuah penjara dan bukanlah di asrama kampus seperti dulu. Waktu
sudah pun melepasi tengah malam tetapi Tapol 303 tidak berasa mengantuk dan
otaknya ligat memikirkan sesuatu.
“Sebelum ini cukai tenusu. Kini, cukai kepala. Pembayar
cukai perlu membayar cukai mengikut bilangan ahli keluarga masing-masing.” Tapol
303 cuba melelapkan mata. Lama kelamaan dirinya berasa melayang ke
awang-awangan dan keselesaannya sukar untuk digambarkan.
Ka-boom...!!
Bunyi letupan bom yang kuat cukup menggegarkan seluruh
kompleks penjara dan pekan berdekatan. Tapol 303 dan 112 terjaga dari tidur. Begitu
juga dengan para tahanan yang lain. Tiada seorang pun tahu apa yang sedang
berlaku sehinggalah bunyi tembak-menembak dan letupan grenad mula mengambil
tempat. Dalam suasana gelap dan kedinginan pagi, Tapol 303 berusaha memanjat katil
untuk melihat apa yang sedang berlaku di luar sana melalui tingkap kecil.
“Apa yang kamu nampak?” Tanya Tapol 112. Dia membantu
rakan sebiliknya yang sedang melihat keadaan di luar penjara.
“Ada kebakaran dan tembak-menembak. Lagi pun cahaya agak
terang-benderang.”
Di koridor penjara, beberapa orang pengawal berlari ke
sana dan ke mari sambil membawa senjata masing-masing. Bilik menyimpan bekalan
senjata dibuka dan beberapa buah kotak peluru dibawa keluar untuk diagihkan
kepada pengawal yang lain. Mereka mengambil kedudukan untuk bertahan di pintu
masuk penjara dan pejabat pentadbiran.
Kejadian tembak-menembak yang masih berterusan mula
berlarutan ke dalam bangunan penjara sehinggakan bergema dan memekakkan
telinga. Tiba-tiba, pintu penjara dibuka secara automatik dari bilik kawalan
penjara. Dan tanpa disuruh, beratus-ratus tahanan keluar untuk melarikan diri.
Tapol 303 dan 112 turut tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.
“Semua ikut saya! Ikut laluan ini!” Jeritan seorang gadis
telah menarik perhatian Tapol 303.
Kelihatan gadis berkenaan memakai pakaian serba hitam
dengan wajahnya disapu dengan arang kayu sebagai warna penyamaran. Rambutnya
diikat sanggul dengan kemas dan selaras senapang automatik digenggam erat.
Mereka yang memakai pakaian yang sama turut berbuat demikian dan membantu para tahanan
untuk melarikan diri.
“Maya? Apa kamu buat di sini? Sejak bila kamu terlibat
dalam kumpulan penentang?” Tapol 303 terkejut akan kehadiran Maya. Perwatakan
dan penampilan adiknya amat berbeza berbanding pada minggu lalu.
“Sejak abang mula terlibat dalam pergerakkan mahasiswa.
Kita tiada masa untuk berbual. Abang ikut saya ke sana sekarang.” Kata Maya
sebelum menarik tangan abangnya.
Para tahanan turut menyelamatkan rakan-rakannya yang
sakit di blok kesihatan. Mereka juga mengambil senjata api dari mayat-mayat
pengawal penjara di situ. Beberapa buah lori telah disediakan untuk membawa
kesemua tahanan ke lokasi yang selamat. Dentuman bom dan tembak-menembak masih
kedengaran walau pun operasi menyelamat telah berjaya dilaksanakan dengan
lancar.
“Dahsyat sungguh letupan tadi. Kamu menggunakan khidmat
penyerang nekad?” Tapol 303 masih tidak percaya dengan penglibatan Maya dalam
kumpulan penentang.
“Tidak. Kami telah mengubah suai sebuah lori tentera yang
dicuri dan memasang alat kawalan jauh bagi menggerakkan lori tanpa pemandu. Bom
seberat 100 kilogram sudah cukup untuk memusnahkan tiga lapisan pusat
pemeriksaan.” Terang Maya.
Tapol 303 merasai dirinya seperti berada dalam sebuah
filem aksi. Cuma bezanya ini bukanlah lakonan. Kematian dan kemusnahan sebenar berlaku
di depan matanya. Konvoi yang membawa para tahanan melalui beberapa buah pos
pemeriksaan yang telah musnah akibat letupan besar sebelum ini. Menambahkan
lagi keadaan ngeri bila melihat mayat-mayat pengawal penjara bergelimpangan dengan
keadaan yang tidak sempurna. Konvoi berkenaan terus bergerak ke kawasan luar bandar
sebelum hilang dalam kabus tebal. Bagi Tapol 303, perjuangan sebenar baru
sahaja bermula.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan