Rabu, 27 September 2017

Cerpen: Kifarah

            Seorang lelaki berusia separuh abad berlari dalam keadaan terdengkot-dengkot menuju ke tapak pembinaan yang terbengkalai. Wajahnya agak cemas dan adakalanya dia kerap menoleh ke belakang. Sepasang sut berwarna perang yang dipakainya kini dicemari debu kekotoran.
            Setelah memastikan tiada siapa yang mengekorinya, dia terus melangkah masuk ke salah satu lot kedai terbiar dan bersembunyi di bawah tangga. Dia berehat seketika untuk menghilangkan rasa penat setelah sekian lama dia berlari.
            “Mahu lari ke mana, Datuk Haikal!” Suara wanita yang kuat bergema mengejutkan lelaki itu. Lelaki yang bernama Datuk Haikal mula berasa cemas. Dia tertanya-tanya bagaimana mereka mengesan kedudukannya dengan mudah.
            Dengan segeralah dia keluar dari bawah tangga kedai dan cuba berlari keluar menuju ke lorong belakang. Pada masa itulah satu das tembakan mengenai kaki kanannya sehingga menyebabkan dia tersungkur. Datuk Haikal menjerit kesakitan sambil memegang kakinya yang cedera.
            “Ya Allah...!” Ini kali pertama Datuk Haikal menyebut nama-Nya yang sebelum ini tidak pernah keluar dari mulutnya.
           Sejurus kemudian, muncul dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopeng ski mengangkat Datuk Haikal dengan kasar ke dalam sebuah van putih yang baru tiba. Mulutnya ditampal dengan pita pelekat sebelum kepalanya diserkup dengan kain. Dia sendiri tidak tahu ke mana destinasi yang dituju. Adakalanya kenderaan yang Datuk Haikal naiki bergegar seketika sebelum ia berhenti. Sayup-sayup kedengaran bunyi semboyan kapal dan ini bermakna, dia dibawa ke sebuah perlabuhan.
            Datuk Haikal diheret keluar dan dibawa masuk ke sebuah gudang yang agak tersorok dari pandangan umum. Di situ, kelihatan sebuah kerusi yang diletakan di hadapan sebuah kamera video digital yang disambungkan ke sebuah komputer riba di atas meja. Datuk Haikal didudukan dengan tangannya diikat ke belakang. Kain serkup ditarik dan ini menyebabkan pandangan Datuk Haikal bersilau seketika.     Masing-masing menanggalkan topeng ski dengan serentak. Dengan tindakan sedemikian menyebabkan Datuk Haikal terkejut bila melihat wajah mereka sebenar.
            “Mona? Awak...” Dia tidak menyangka yang Mona adalah salah seorang dari anggota kumpulan penculik. Mona adalah tukang cuci di pejabat Datuk Haikal yang sudah berkhidmat hampir 6 tahun.
            “Ya, datuk. Tetapi nama saya bukanlah Mona. Datuk tidak perlulah mengetahui nama sebenar saya.” Gadis yang menggunakan nama samaran itu berjalan dengan gaya menggoda dan memeluk Datuk Haikal dari belakang.
            Datuk Haikal memandang ke arah beberapa orang pemuda yang berada tidak jauh darinya. Salah seorang dari mereka duduk menghadap komputer riba.
            “Siapa mereka ini?” Tanya Datuk Haikal. Kali ini nadanya berubah seperti tidak senang dengan tindakan mereka.
            “Oh, lupa pula. Mereka ini adalah anak kepada mangsa-mangsa kezaliman yang datuk lakukan pada sepuluh tahun yang lalu. Dan saya adalah salah seorang dari mereka.”
            “Apa maksud awak?”
            “Masih ingat lagikah projek mega pembinaan taman tema bertaraf lima bintang di Kuala Hilir dulu? Penduduk yang enggan menyerahkan tanah pusaka kepada datuk telah dibunuh oleh orang suruhan datuk. Bukan itu saja, mangsa dipaksa menandatangani surat penyerahan tanah dan merampas geran tanah sebelum dibunuh.”
            “Apa awak mahu sebenarnya? Kalau mahukan wang, cakaplah berapa banyak awak mahukan.”
            “Kami tidak berminat dengan wang. Wang tidak akan menghidupkan keluarga kami yang datuk bunuh. Jangan fikir dengan wang juga, datuk boleh selamat?”
            “Kami hanya mahukan darah datuk. Itu saja.” Seorang pemuda tampil dengan perwatakan dingin. Dia menyeluk kocek seluar dan mengeluarkan sebilah pisau lipat.
            “Bertenang, dik. Cara kamu tak menyeronokkan langsung. Kakak ada cara yang lain. Pastinya kamu akan suka nanti.” Mona pergi ke arah meja dan menarik mendekati Datuk Haikal sebelum menaip sesuatu pada komputer riba.
            Mona membuka laman sesawang Youtube dan kemudian, membuka pula laman khas yang menayangkan kegiatan haram Datuk Haikal. Dari skandal kewangan, kegiatan kongsi gelap, rasuah, penyeludupan sehinggalah perancangan pembunuhan, semuanya dikumpulkan dalam laman khas mengikut judul.
            “Segala bukti salah laku datuk sudah pun dirakam dan dikumpul dengan baik mengikut judul sebelum ia dimuat naik. Lihatlah, datuk.” Skrin komputer riba di hala ke arah Datuk Haikal.
            Wajah Datuk Haikal menjadi pucat bila menonton visual itu. Kesemua visual berkenaan dirakam dengan menggunakan kamera khas yang mudah disembunyikan serta kualiti suara yang jelas. Antara visual yang ditontonnya adalah perbincangan dengan beberapa individu dalam urusan pengubahan wang haram. Kelihatan juga visual dengan judul Merancang Pembunuhan Wartawan. Pada masa itulah Datuk Haikal teringat. Dia mengarahkan pembunuh upahannya membunuh seorang wartawan akhbar tabloid yang cuba mendedahkan kegiatan jahatnya beberapa bulan yang lalu. Mujurlah umur wartawan berkenaan masih panjang. Dia mengalami kecederaan yang parah selepas terkena tembakan beberapa das di luar kediamannya. 
            “Jangan buang masa. Kami mahu datuk membuat pengakuan sekarang!” Mona mengaktifkan butang rakaman pada kamera video dan memberi isyarat kepada yang lain agar memakai kembali topeng ski dengan segera.
            “Ampunkan saya. Saya sanggup bayar berapa banyak yang awak mahukan.” Rayu Datuk Haikal.
            “Datuk mengaku yang datuk sendiri mengarahkan agar wartawan itu dibunuh? Jawab!”
            “Ya, saya mengaku.”
            “Mendalangi penyeludupan keluar minyak diesel bersubsidi ke luar negara?”
            “Ya...”
            “Mendalangi kegiatan pembalakan haram di Hutan Simpan Bukit Puteri?”
            “Membawa masuk beribu-ribu pendatang asing tanpa izin ke negara ini?”
            “Datuk juga menyogok beberapa orang pegawai kastam agar supaya kontena yang mengandungi komponen kenderaan curi dilepaskan keluar dari negara ini?”
            “Ya...ya. Saya mengaku. Tolonglah lepaskan saya. Tolong...” Sekali lagi Datuk Haikal merayu. Malangnya, tiada sesiapa yang bersimpati dengannya.
            “Tiada gunanya datuk meminta tolong. Tiada siapa yang akan membantu datuk.” Kata Mona sambil mengeluarkan picagari dari beg galas sebelum menyuntik di leher Datuk Haikal.
            Datuk Haikal berasa pening. Pandangan persekitaran berputar-putar seperti menaiki roda feris. Wajah-wajah mangsa kekejamannya muncul satu demi satu. Mereka seperti ketawa sambil melambai-lambai kepadanya. Tubuhnya berasa ringan dan tanpa disedari, dia dibawa ke dalam van putih yang sudah pun dibawa masuk ke dalam gudang. Beberapa orang pemuda mengambil tong plastik yang berisi minyak petrol dan dijirus di sekitar gudang. Selepas itu, mereka segera menukar pakaian dan pakaian hitam serta topeng ski yang dipakai sebelum ini dikumpulkan didalam plastik sampah untuk dibakar.
            “Kak Chu, rakaman pengakuan Datuk Haikal sudah pun dimuat naik ke laman Youtube tadi. Suara Kak Chu sudah pun saya ubahkan menjadi garau.” Kata seorang pemuda bertubuh gempal sebelum menyerahkan kad memori kepada gadis itu.
            “Bagus, Arif. Sekarang, Kak Chu mahu kamu buang komputer riba beserta kamera di tengah laut nanti. Jangan tinggalkan sebarang bukti. Kita perlu berpecah dan tidak boleh bertemu buat sementara waktu. Tunggu arahan selanjut dari kakak.” Pesan Kak Chu.
            “Baik, Kak Chu.” Masing-masing berpisah. Mereka menaiki bot laju yang telah disediakan. Mereka akan bersembunyi di negara jiran buat sementara waktu.
            Api mula menjulang tinggi sehingga ke bumbung gudang. Sedikit demi sedikit, api mula menyambar van putih dimana Datuk Haikal dibaringkan di bahagian belakang. Datuk Haikal dalam keadaan separuh sedar tetapi dia mula menyedari yang dirinya berada dalam bahaya. Dia berusaha melepaskan diri dari ikatan tetapi gagal. Asap kebakaran semakin tebal menyelubungi van berkenaan dan ini menyebabkan Datuk Haikal berasa sesak nafas.
            Beberapa buah jentera bomba tiba bersama dengan kereta peronda polis bantuan pelabuhan. Kebakaran mula memusnahkan keseluruhan gudang berkenaan. Turut musnah van putih yang digunakan untuk menculik Datuk Haikal. Oleh kerana van berkenaan adalah kenderaan yang dicuri pada seminggu lalu, ia perlu dimusnahkan agar tiada kesan bukti yang tertinggal. Sayup-sayup terdengar jeritan sayu meminta tolong sebelum ia lenyap dalam runtuhan bumbung gudang. Pihak bomba mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran memandangkan gudang itu menyimpan bahan-bahan mudah terbakar.
            Pada keesokkan pagi, akhbar-akhbar dimuka hadapan melaporkan lima tajuk utama yang ada berkait rapat. Pendedahan salah laku di Youtube, pengakuan Datuk Haikal, misteri kehilangan Datuk Haikal, kebakaran pejabat Datuk Haikal di Damansara dan misteri mayat rentung dalam kebakaran gudang usang. Pada tengahari pula, pihak polis menerima beberapa buah kotak yang mengandungi dokumen-dokumen penting milik Datuk Haikal yang dikirimkan oleh pengirim misteri sehinggakan pihak kurier gagal mengesan siapa pengirim sebenar. Apa yang pasti, berdasarkan dokumen yang diterima, pihak polis berjaya mengesan pelbagai kes salah laku Datuk Haikal yang sebelum ini begitu sukar untuk disiasat. Ini kerana Datuk Haikal menggunakan pengaruh ahli politik bagi melindungi kegiatan jenayah terancangnya.
            Bagi Mona atau Kak Chu, perjuangan menentang ketidak adilan bersama adik-adik angkatnya hanyalah permulaan. Di hadapan mereka, cabaran yang akan datang membuatkan mereka bersatu untuk menghadapinya bersama-sama.


Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.