Angin petang bertiup lembut dari arah timur memberi kesegaran buat para petani yang bermandikan peluh sejak pagi tadi. Hasil tanaman gandum yang mereka usahakan dari satu generasi ke generasi yang lain memberi hasil yang lumayan serta menjamin pendapatan yang tetap. Beberapa orang kanak-kanak bergembira sambil bermain layang-layang di tengah kawasan ladang. Gembira kerana bermulanya musim cuti persekolahan akhir tahun selama sebulan.
“Layang-layang awak tidak dapat menandingi layang-layang saya.” Kata salah seorang budak perempuan dengan nada ejekan. Dia masih leka melihat ke langit.
“Walau pun layang-layang saya tidak cantik, tetapi ia dapat bertahan di udara hampir satu jam berbanding milik awak.” Balas budak lelaki sambil menarik perlahan talinya. Dia menumpukan perhatian terhadap layang-layangnya tanpa mempedulikan ejekan budak perempuan itu tadi.
Beberapa orang pemuda mula pulang ke rumah masing-masing setelah sehari suntuk bekerja di ladang berhampiran. Selepas berbual panjang, mereka meninggalkan seorang rakan sekampung yang masih duduk berehat di pondok kayu yang disediakan. Petani tersebut yang berusia awal 30an senyum keseorangan sambil membelek sehelai risalah. Dia masih menumpukan perhatiannya sekian lama sehinggalah ditegur oleh isterinya yang datang untuk mengajaknya pulang.
“Abang baca apa tu?”
“Promosi jualan jentera pertanian dan alat ganti dengan harga potongan istimewa. Teringin juga untuk memilikinya walau pun jentera terpakai. Dapat juga memudahkan kita mengerjakan ladang gandum ini.” Dia menyerahkan risalah kepada isterinya untuk dibaca.
“Ini jentera model lama. Harganya sudah pun turun sejak kemunculan jentera pertanian terkini pada bulan lepas. Kalau saya, lebih elok beli yang baru.”
“Model lama atau baru bukanlah satu persoalan. Apa yang penting, bagaimana kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Tiada gunanya jika memiliki jentera pertanian model terkini tetapi tidak pandai menjaganya. Akibatnya, jentera itu mengalami kerosakan tidak sampai setahun digunakan akibat tidak melakukan pemeriksaan berjadual.” Lelaki itu menerangkan sedikit sebanyak pengetahuannya kepada isteri tersayang.
“Abang memang bijak. Tidak sia-sia saya mengahwini abang.” Puji si isteri.
“Dan saya juga tidak berasa rugi kerana mendapat isteri yang penyayang dan cantik.” Si suami berjaya mengambil hati isterinya.
Si suami memandang ke arah ladang gandumnya. Keluasannya dianggarkan seluas dua kali keluasan padang bola sepak. Walau pun tidaklah seluas seperti ladang-ladang yang lain, dia tetap bersyukur kerana ladang inilah yang memberi kehidupan kepada keluarganya terutama kepada anak-anaknya yang masih kecil. Kini dijaga oleh neneknya sementara mereka berdua ke ladang. Ladang inilah juga menjadi saksi pertemuan pertama si suami dengan isterinya pada lima tahun yang lalu.
“Inilah nadi dan nyawa kita. Harta pusaka yang tiada galang ganti. Tanpanya, kita tidak akan hidup selesa seperti sekarang.” Katanya lagi.
“Bagi abang, ladang gandum ini amat bermakna dalam diri abang?”
“Ya. Ia amat bermakna bagi abang dan abang amat terhutang budi dengan ladang ini. Ayah, ibu dan abang telah membanting tulang mengerjakan ladang ini setelah ayah abang membelinya dari seorang saudagar yang hampir jatuh muflis dalam perniagaan. Untuk menyelamatkan perniagaannya, dia sanggup menjualkannya kepada ayah dengan harga yang murah.” Si suami memberhentikan cerita seketika. Membiarkan aturan pernafasannya berjalan lancar.
“Sebelum kemarau melanda daerah kita, ayah telah menyimpan berpuluh guni hasil tuaian gandum di dalam rumah kita sehinggakan mencecah siling rumah. Kata ayah, sediakan payung sebelum hujan. Kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini. Tidak kira ketika sama ada waktu senang atau susah, kita perlu menyimpan sebahagian hasil tuaian dan janganlah terlalu tamak demi mendapatkan wang dengan menjual kesemua stok simpanan yang ada. Akhirnya, abang akui kata-kata ayah ada benarnya ketika musim kemarau melanda.” Si isteri mendiamkan diri tanpa sebarang bicara.
Tidak jauh dari mereka berada, seorang pemuda datang dari jalan utama ke arah mereka sambil menjerit. Kayuhan yang laju menyebabkan debu-debu jalan batu kelikir berterbangan di belakangnya.
“Perang...! Perang...!” Jerit seorang pemuda tadi sambil memberhentikan kayuhan basikal dengan mendadak.
“Perang? Apa yang perang?” Mereka berdua kehairanan.
“Kita akan berperang dengan Republik Rakyat Malkuth! Mereka telah melanggar masuk sempadan negeri kita di utara”
“Dari mana kamu mendapat perkhabaran ini?” Si isteri seperti tidak percaya akan berita tersebut.
“Dari pekan tadi. Pakcik saya yang bertugas di pejabat telegram telah menerima berita dari kerajaan negeri tengah hari tadi.”
“Jadi, ramai yang dah tahu yang kita akan berperang dengan mereka?” Tanya pula si suami.
“Pendek kata, seluruh daerah ini sudah pun tahu. Arahan kerajaan negeri sudah pun dikeluarkan. Semua lelaki sihat berusia 18 tahun sehingga 40 tahun dipanggil berkhidmat. Sebab itulah saya ingin pulang segera untuk bersiapkan diri. Saya pergi dulu.”
“Hati-hati menunggang basikal dan kirimkan salam kepada ibu kamu.” Pesan si isteri.
“Baik...!” Pemuda itu terus mengayuh tanpa menoleh ke belakang.
“Nampaknya, sampai sini sahaja kita bersama. Abang akan pergi mempertahankan tanah air kita.”
“Adakah kita akan bertemu kembali?” Si isteri berasa bimbang akan pemergian suaminya.
“Usah risau dan bersedih. Andainya abang gugur di medan perang, jaga dan didiklah anak-anak kita agar menjadi manusia yang berguna. Ceritakanlah kepada mereka keberanian abang dan perwira yang lain berjuang demi kehidupan generasi akan datang. Jagalah ladang gandum ini seperti mana menjaga nyawa kita. Inilah satu-satunya harta yang kita miliki. Mari kita pulang.”
Si suami memandang kembali ke arah ladang gandum untuk penghabisan sebelum pulang ke rumah. Selepas ini, dia tidak lagi memegang pencakar dan sabit untuk mengerjakan ladang gandung. Dia akan memegang senjata api untuk mengusir anasir-anasir yang mengancam kedaulatan negerinya.
“Aku mesti mempertahankan harta pusaka generasiku.” Bisik hati si suami sebelum melangkah pergi.
Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan