Isnin, 4 Ogos 2014

Novel Bersiri: BUMI BARU (BAB 1)

            Kamil merenung ke arah cawan plastik kosong tanpa sebarang reaksi. Pak Seman selaku ketua pertahanan koloni hanya berpeluk tubuh dan duduk di sebelah kiriku. Wajahnya berkedut, berjanggut putih serta bertubuh gempal. Wak Parman pula duduk bertentangan dengan Pak Seman. Asap rokok berkepul-kepul keluar dari hidungnya menghiasi ruang bilik mesyuarat yang keluasannya 12 kaki lebar dan 14 kaki panjang. Kolonel Ismail, selaku penghulu Koloni Jalur Gemilang duduk di kepala meja sebagai pengerusi mesyuarat pada petang itu. Kapten Ramesh, yang bertindak sebagai ketua pasukan peronda luar koloni hanya mampu membatukan diri tanpa berbuat apa-apa. Dia duduk bersebelahan Kolonel Ismail.
            “Saya cadangkan kita pindahkan semua penduduk yang berada di luar koloni kita.” Pak Seman memecahkan kebuntuan yang kami alami sekarang.
            Seluruh hadirin tertumpu ke arahnya. Pak Seman sedang menekan sesuatu pada papan kekunci komputer riba yang terletak di atas meja. Sejurus kemudian, projektor digital yang menghubungkan dari komputer riba memancarkan gambaran visual peta topografi 3 dimensi di tengah meja mesyuarat.
            “Kita lihat punca di sini. Penduduk tinggal berselerakan di sekitar luar koloni kita. Jadi, tidak hairanlah mereka menyerang dan melarikan diri dengan mudah.” Ringkas penjelasannya.           
Ancaman orang gasar tidak boleh dipandang remeh
Kamil melihat setiap inci peta topografi 3 dimensi berkenaan. Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Pak Seman. Jarak dari sebuah rumah ke rumah yang lain adalah antara 1 hingga 2 kilometer antara satu sama lain. Penempatan berselerakan ini boleh menyukarkan perhubungan sesama mereka. Menurut penduduk di situ, banyak hasil pertanian yang musnah atau hilang. Mereka sangka, ini angkara haiwan liar seperti babi hutan. Namun, persoalan ini akhirnya terjawab apabila kejadian serangan maut berlaku semalam. Beberapa orang petani yang pulang dari ladang diserang oleh sekumpulan orang gasar. Dua petani terbunuh dan beberapa yang lain cedera. Menurut maklumat dari petani yang terselamat, mereka kelihatan seperti manusia biasa. Pakaian diperbuat dari kulit haiwan, berambut panjang dan wajah mereka seakan-akan makhluk mawas. Mereka bersenjatakan lembing, kapak dan panah.
            “Kita kumpulkan semua penduduk dalam satu kawasan yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat secepat mungkin sebelum berlaku lagi kejadian yang tidak diingini.”
            “Bagus cadangan, Pak Seman. Tetapi, bagaimana kita hendak mulakan?” Persoalan mula timbul dari mulut Kolonel Ismail. Pandangan mereka beralih kembali ke arah Pak Seman. Pak Seman tersenyum. Senyuman yang penuh bermakna dan perlu dirungkai dengan seberapa segera.
            “Tuan hanya perlu keluarkan arahan kepada semua anggota keselamatan dan penduduk sekitar untuk mengadakan operasi pemindahan secara berperingkat. Kita adakan gotong-royng membina rumah dengan tersusun di sekitar pesawat induk ini.”
            Kamil begitu kagum dengan buah fikiran Pak Seman. Dalam diam, dia sudah ada jalan penyelesaian. Operasi pemindahan ini mengingatkan kembali kisah operasi pemindahan orang awam ke kampung baru pada sekitar tahun 50an. Buah fikiran tersebut datang dari Sir Harold Briggs, seorang pegawai tinggi British. Dengan Rancangan Briggs, seluruh bekalan makanan, perubatan dan kewangan tidak jatuh ke tangan pengganas komunis serta penduduk awam tidak lagi diganggu.
            Selesai sahaja mesyuarat dengan cadangan Pak Seman diterima sebulat suara, mereka bersurai dan keluar dari sebuah bilik mesyuarat yang dibina berdekatan dengan pintu masuk utama pesawat induk. Pak Seman diarahkan oleh Kolonel Ismail untuk bertemu dengan penghulu-penghulu koloni lain untuk mendapatkan bantuan dan membincang dengan lebih lanjut mengenai operasi pemindahan. Dia perlu menaiki sebuah pesawat khas yang sedia menanti di pelantar pesawat induk. Kamil dan Wak Parman pulang ke rumah yang jaraknya beberapa meter dari bilik mesyuarat. Di serambi rumah, Salmi baru selesai menyelenggara senapangnya.
            “Bagaimana dengan mesyuarat tadi?” Tanya Salmi. Orangnya bertubuh sasa dan berambut pendek.
            “Arahan telah dikeluarkan. Semua penduduk yang tinggal berselerakan di luar koloni ini dikehendaki berpindah ke lokasi selamat.”
            “Wak berharap operasi pemindahan ini perlu dimulakan dengan seberapa segera. Wak tidak mahu berlaku lagi seperti yang terjadi semalam.” Memang benar apa yang dicakapkan oleh Wak Parman. Dalam situasi yang tidak menentu, bila-bila masa sahaja boleh berlaku dan ini bukanlah perkara yang boleh dibawa main-main.
            Kamil melihat jam tangannya. Waktu menjangkau hampir pukul 2 petang. Dengan segeralah dia melangkah masuk ke dalam rumah untuk mengambil selaras senapang semi automatik di dalam almari pakaian. Gelagatnya menarik perhatian Wak Parman.
            “Giliran kamu untuk bertugas pada petang ini?” Tanya Wak Parman.
            “Tidak. Saya berehat selama 2 hari. Saya ingin bertemu dengan Kapten Ramesh sebentar.”
            “Boleh saya ikut?” Tanya Salmi.
            “Boleh. Saya perlukan kamu untuk seketika.” Kamil mengizinkan Salmi ikut serta. Dia jarang menyertai misi menjelajah seluruh planet Bumi Baru ini. Salmi sering ditugaskan menjadi pengawal koloni dibawah pimpinan Pak Seman. Apa salahnya Salmi keluar dari koloni untuk melihat persekitaran luar. Wak Parman pula meninggalkan mereka berdua menuju ke belakang rumahnya untuk meninjau tanaman hidrofonik di sebuah setor khas.
            Dalam masa beberapa minit berjalan kaki, akhirnya tiba di perkarangan pejabat pasukan peronda luar koloni. Kehadiran mereka disambut Kapten Ramesh dengan wajah yang ceria. Dia seperti menerima perkhabaran gembira dan perlu berkongsi bersama.
            “Kamil. Baguslah kamu datang. Saya ada berita gembira yang perlu kamu tahu.”
            “Apa beritanya?” Kamil kehairanan dengan tingkah-lakunya. Perwatakkan Kapten Ramesh adalah seorang yang tegas dan jarang benar dia ketawa atau bergembira.
            “Begini. Salah seorang anggota peronda saya telah mengesan lokasi persembunyian orang gasar di hutan selatan koloni ini. Saya bercadang mahu mengajak kamu pergi memburu. Bagaimana?”
            “Bagus juga. Mari kita bergerak sekarang.” Tanpa berfikir panjang, mereka bertolak ke lokasi yang dinyatakan dengan menaiki beberapa buah kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai menjadi kenderaan bersenjata.
            
Mereka bergerak menuju ke sasaran
Setibanya di pinggir hutan, mereka perlu berjalan kaki meredah jauh ke tengah hutan pokok tirus sehinggalah salah seorang anggota peronda memberi isyarat berwaspada. Ini bermakna mereka telah tiba ke lokasi persembunyian orang gasar. Dengan segeralah membentuk dua kumpulan. Kumpulan pertama akan menyerang dari arah hadapan dan yang kedua, dari arah belakang. Kedengaran suara-suara kasar disebalik belukar. Adakalanya ia seperti berebut sesuatu. Sekian lama bersembunyi dan memerhatikan gelagat orang gasar, kedengaran satu das tembakan dari arah belakang. Pasukan kedua memulakan serangan sebelum pasukan pertama turut berbuat sedemikian. Beberapa orang gasar berjaya melarikan diri dan ada juga bertindak menyerang balas. Namun begitu, mereka akhirnya menjadi mangsa tusukan peluru yang menembusi tubuhnya. Apabila keadaan mulai reda, mendapati seramai empat orang gasar telah ditembak mati. Ketika melakukan penggeledahan, mendapati mereka sedang memakan daging seekor kambing secara mentah. Mungkin kambing ini telah dicuri dari penduduk yang tinggal di luar koloni. Tanpa disedari, seorang dari mereka yang mati bangun secara tiba-tiba dan cuba menyerang salah seorang anggota peronda dengan menggunakan kapak. Mujurlah Salmi bertindak pantas dengan menghentak wajah orang gasar itu dengan udi senapangnya sehingga pengsan.
            “Sekarang tiga ditembak mati dan seorang telah ditawan.” Kata Kapten Ramesh dengan bangganya.
            Kepulangan pasukan pemburu ke koloni disambut oleh Kolonel Ismail setelah dimaklumkan oleh Kapten Ramesh. Mereka menjadi tumpuan orang ramai bagi melihat mayat-mayat orang gasar secara dekat. Pelbagai persoalan diajukan oleh mereka kepada kami.
            “Orang gasar seperti manusia di zaman pra-sejarah.” Kata seorang remaja yang berdiri di sebelah Kamil.
            “Adakah mereka kanibal?” Tanya pula seorang wanita yang muncul dikalangan orang ramai.
            “Hantar mayat orang gasar ke jabatan perubatan dan yang hidup pula dihantar ke bilik tahanan.” Arah Kolonel Ismail. Dengan kawalan ketat oleh pasukan pengawal koloni, kesemua mayat serta orang gasar yang masih pengsan dibawa ke pesawat induk tanpa diganggu oleh orang ramai.
Salah satu jenis pesawat induk
            Manakala Kamil, Salmi dan Kapten Ramesh dipanggil ke pejabat Kolonel Ismail yang terletak di dalam pesawat induk. Ketinggian pesawat berkenaan menyamai ketinggian bangunan 88 tingkat dan keluasannya pula dianggarkan seluas 200 padang bola sepak. Enjin pesawat induk ini mempunyai turbin berkembar reaktor nuklear yang kini berfungsi sebagai membekal tenaga elektrik disetiap rumah dan premis industri kecil di sekitar pesawat berkenaan. Setiba di pejabat Kolonel Ismail, mereka diminta memberi keterangan mengenai kejadian tadi.
            “Setelah saya mendengar dari keterangan kalian, saya fikir eloklah operasi pemindahan dilakukan seberapa segera.” Penjelasan Kolonel Ismail mengejutkan mereka bertiga terutama Kapten Ramesh.
            “Kenapa tuan?” Kapten Ramesh seperti tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
            “Ini untuk keselamatan penduduk di luar koloni juga. Tindakan kalian seperti itu boleh menimbulkan perasaan dendam oleh orang gasar. Kemungkinan besar, mereka boleh memperlakukan penduduk koloni seperti mana kalian buat kepada mereka tadi. Atau mungkin lebih kejam dari itu.”
            Penjelasan yang diberikan oleh Kolonel Ismail pada siang tadi masih terpahat diminda sehingga kini. Kamil dan Salmi tidak dapat melelapkan mata walau pun malam semakin larut. Mereka duduk di serambi rumah sambil menikmati keindahan malam. Angin malam bertiup lembut bagaikan ada jari-jemari ghaib membelai rambutku. Kelihatan jelas tiga buah planet terapung di kaki langit gelap dengan ditemani bintang-bintang berkelipan seperti hablur kaca berderai. Memantulkan cahaya yang dipancarkan dari matahari yang jaraknya berbilion kilometer jauhnya.
            “Masih berjaga?” Muncul seorang gadis dari kawasan gelap datang menegur mereka berdua.
            “Oh! Haliza rupanya. Ingatkan siapa tadi.” Kamil terkejut seketika. Gadis yang bernama Haliza baru sahaja tamat syif bertugas di sebuah kilang kitar semula alat ganti kenderaan. Berambut pendek, berkulit cerah dan wajah yang ceria. Penampilan yang jelita yang tiada tolok bandingannya. Cuma masalahnya tingkah-laku Haliza seperti seorang remaja lelaki.
            “Saya dengar, operasi pemindahan penduduk luar koloni akan dijalankan dengan seberapa segera?”
            “Memang benar, Haliza. Jika boleh, perlu dijalankan dalam masa 24 jam tanpa henti.” Jawab Kamil.
            “Kenapa?” Haliza bertanya lagi.
            “Ini berpunca dari serbuan ke atas sarang orang gasar semalam. Bila Kolonel Ismail mendapat tahu, dia perlu memulakan operasi ini secepat mungkin sebagai langkah berjaga-jaga.” Sambung Salmi.
            “Patutlah saya sering mendengar cakap-cakap kosong di kilang tadi. Pada mulanya ia cuma khabar angin. Rupanya bukan.” Dahinya berkerut bila mengingatkan kembali. Haliza terus meninggalkan mereka berdua dan masuk ke rumah untuk berehat.
            Kamil, Haliza dan Salmi adalah antara ribuan anak yatim yang diselamatkan dari bencana besar yang melanda bumi suatu ketika dahulu. Mereka hidup dan membesar dibawah jagaan serta tunjuk ajar Wak Parman serta anggota sukarelawan yang lain. Sekarang hanya mereka bertiga sahaja yang menetap bersama dengan Wak Parman. Rakan-rakan senasib yang lain kini sudah pun berkeluarga dan ada yang berhijrah ke koloni lain. [Bersambung....]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
 

Tiada ulasan: