Jumaat, 8 Ogos 2014

Novel Bersiri: BUMI BARU (BAB 2)

BAB 2
            
Menuju ke jabatan perubatan koloni
Kamil dan Salmi tiba di jabatan perubatan dalam pesawat induk. Dengan berpakaian celoreng digital kelabu, Kamil melangkah dengan cukup bangga. Begitu juga dengan Salmi walau pun pakaian seragamnya hanya berwarna hijau tua keseluruhannya. Setibanya di bilik mayat, seorang doctor baru sahaja selesai melakukan bedah siasat terhadap salah satu dari tiga mayat orang gasar.
            “Tiada bezanya antara kita dengan mereka. Mereka ini seperti nenek moyang kita di zaman pra-sejarah. Mereka tidak boleh berkomunikasi dan berfikir dengan baik.” Doktor itu menyerahkan laporan hasil bedah siasat kepada Kamil untuk dibaca.
            “Jadi, tiada apa yang aneh atau penemuan terbaru dari mayat berkenaan?” Soalan itu dijawab dengan gelengan kepala doktor tadi.
            Salmi mendekati salah seorang pakar kimia yang sedang memeriksa barangan kelengkapan dan pakaian orang gasar. Pelbagai barangan diperiksa seperti senjata, rantai manik, pisau, uncang berisi serbuk kapur dan batu asah.
            “Apa yang menariknya bila melihat kesemua barangan milik orang gasar ini, saya dapati mereka semua adalah golongan pahlawan. Bukannya pemburu biasa.” Salmi tertanya-tanya pada dirinya sendiri.
            “Memang benar apa yang kamu kata, Salmi. Kita sekarang mencari masalah dengan mereka yang digelar pahlawan.” Kapten Ramesh muncul di pintu masuk bilik mayat. Dia juga mengenakan sepasang seragam celoreng digital berwarna kelabu.
            “Bagaimana dengan operasi pemindahan hari ini?”
            “Semuanya berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan. Dan kamu pula, buat apa di sini?”
            “Kamu sudah lupa? Kita perlukan maklumat lengkap sebelum menyediakan laporan mengenai serbuan kita semalam. Untuk diserahkan kepada Kolonel Ismail dan Pak Seman. Lagi pun Pak Seman akan pulang ke sini pada lewat petang nanti.” Kapten Ramesh menepuk dahinya bila mendengar penjelasan Kamil.
            “Mujurlah kamu mengingatkan perkara ini. Tetapi tidak mengapa. Selepas operasi pemindahan nanti saya akan menyediakan laporan berkenaan. Jadi, mahukah kamu mengikut saya ke bilik tahanan di tingkat 4 untuk melihat ‘trofi’ hidup?”
            “Sudah tentu. Mari.” Kamil segera mengajak Salmi ke bilik tahanan di tingkat 4. Selepas keluar dari lif, mereka perlu melintasi dewan enjin janakuasa sokongan yang luas sebelum tiba ke bilik tahanan. Ketibaan mereka disambut oleh beberapa orang pengawal yang bertugas. Di situ terdapat tiga puluh sel tahanan setinggi tiga tingkat dan antaranya telah menempatkan seorang tahanan. Kamil berjalan ke salah satu sel tahanan tersebut. Sel itu dipagari jaringan besi tahan lasak dan ia dihuni orang gasar. Wajahnya dilindungi rambut yang panjang serta keadaan dirinya tidak terurus.
            “Sebentar nanti kita akan bebaskan dia.” Penjelasan Kapten Ramesh mengejutkan Kamil.
            “Kenapa pula? Bukankah ia amat merbahaya kepada kita dan bila dia pulang ke tempat asalnya, sudah tentu dia menceritakan keadaan sebenar kita di sini.”
            “Usah khuatir. Malam tadi doktor telah melakukan pembedahan kecil terhadapnya dan menanam alat pepijat sebesar biji beras didalam tubuhnya. Kita akan mengetahui pergerakan dia sehinggalah ke tempat asalnya.”
             “Selepas itu?”
            “Selepas itu, kita akan memantau pergerakan mereka agar tidak mendekati penempatan penduduk koloni di sini dan koloni-koloni lain. Ini sebagai langkah permulaan untuk mengkaji kehidupan mereka di sini.” Kamil menjeling ke arah orang gasar yang masih duduk bercangkung di penjuru sel tahanan.
            Di luar pesawat induk, operasi pemindahan hampir seribu buah keluarga ke penempatan tersusun sudah pun bermula sejak awal pagi tadi. Ada yang membawa puluhan haiwan ternakan, menarik pedati yang membawa barangan dengan mengerah tulang empat kerat dan tidak kurang juga berjalan kaki sambil mendokong anak kecil. Pihak pentadbir koloni telah menyediakan khemah sementara dan kemudahan asas khususnya perubatan. Di luar Koloni Jalur Gemilang, ratusan anggota keselamatan serta orang awam sibuk menebang pokok-pokok tirus di hutan berhampiran untuk membina rumah yang selesa. Kolonel Ismail menyelia projek berkenaan dan dia jugalah menyediakan tapak serta susunan rumah di timur pesawat induk. Mereka yang tidak terlibat dalam operasi pemindahan dan menebang pokok, mereka diarah untuk menyediakan makanan. Dengan bergotong-royong, segala kerja yang dijalankan siap sepenuhnya sebelum senja melabuh.
            Kamil duduk berehat bersama beberapa orang penduduk yang dipindahkan ke penempatan sementara sambil memanaskan badan di hadapan unggun api. Dari jauh masih kedengaran bunyi mesin gergaji kayu dan penukul paku tanpa henti. Pembinaan penempatan kekal masih berjalan sedangkan malam semakin larut. Siang tadi, mereka telah membebaskan orang gasar. Setelah diberi suntikan pelali mengikut dos yang ditetapkan, orang gasar berkenaan dibawa ke dalam hutan di mana pasukan pemburu menangkapnya sebelum ini. Mereka membiarkan orang gasar itu terbaring di situ dan perlu beredar sebelum dia kembali sedar.
            “Saya fikir, kita adalah penceroboh tanah mereka. Sebab itulah mereka sering menyerang dan mengganggu kita agar kita keluar dari sini.” Suara seorang pemuda bernama Yasin memecah kesunyian yang menyelubungi kawasan di situ.
            “Tetapi kenapa baru sekarang mereka mengancam keselamatan kita sedangkan kita sudah pun berada di sini sejak 10 tahun yang lalu.” Seorang lagi menyuarakan pendapatnya.
            “Mungkin mereka adalah kaum yang hidup berpindah-randah dan sering mengembara sekitar planet ini. Apabila mereka tiba ke sini, sudah tentu terkejut bila mengetahui kehadiran kita ini ibaratkan sebagai pesaing dalam kehidupan seharian mereka.” Giliran Kamil pula menyuarakan pendapat.
            Tidak lama kemudian, muncul satu cahaya naik ke langit gelap dari arah utara. Masing-masing menumpukan perhatian terhadap cahaya berkenaan. Ramai yang tertanya-tanya cahaya apakah yang terbang itu. Sehinggalah salah seorang penduduk menanyakan perkara itu kepada seorang pegawai teknikal yang baru keluar dari kapal induk setelah tamat waktu bertugas.
            “Itu adalah satelit yang dilancarkan dari Koloni Johor. Satelit berkenaan berfungsi untuk merakam gambaran keseluruhan rupa bentuk planet ini selain dijadikan alat komunikasi antara koloni.”
            Kamil mula terfikir sesuatu. Tidak mustahil jika orang gasar akan menjadikan Koloni Jalur Gemilang sebagai sasaran utama bagi membalas dendam keatas kematian rakan-rakan mereka.
             Matahari mula terbit di ufuk timur. Bebola mentari itu seperti malu untuk menonjolkan dirinya kepada alam. Kokokkan ayam jantan yang berada di bumbung reban mengejutkan insan-insan yang masih lena di katil empuk. Para pengawal yang bertugas menjaga keselamatan koloni sejak malam tadi masih setia berkawal sementara menunggu tempat mereka digantikan oleh pengawal lain pada waktu siang. Beberapa orang penduduk mula keluar dari kediaman masing-masing sebelum bergerak menuju ke ladang pertanian. Dan Kamil, masih lena dibuai mimpi indah. Derapan kasut dilantai rumah mengejutkannya dari tidur. Kamil bingkas bangun dalam keadaan mengantuk sebelum menuju ke bilik mandi yang terletak di belakang rumah.
            Dengan adanya teknologi yang terkini, bekalan air bersih dapat disalurkan ke Koloni Jalur Gemilang dan koloni-koloni yang lain dari sungai berhampiran. Setelah ditapis di loji rawatan air, barulah disalurkan ke tangki air di setiap rumah. Air yang sejuk dan nyaman membuatkan tubuhnya berasa segar. Setelah mengenakan pakaian seragam, dia bergegas ke pejabat peronda luar koloni untuk melaporkan diri bertugas. Pada pagi ini, dia serta beberapa anggota peronda yang lain ditugaskan untuk menjaga keselamatan para petani yang akan keluar ke ladang. Turut serta pengembala kambing dan lembu. Kesemuanya mula berkumpul di pintu masuk utama koloni sementara menantikan pintu gerbang dibuka tepat pada pukul 8 pagi.
            “Baiklah. Semua sudah ada di sini? Kita akan bergerak sekarang.” Kata seorang ketua pengawal yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan para petani untuk hari ini. Pintu gerbang dibuka dan dengan itu, mereka mula berjalan kaki ke tapak pertanian masing-masing.
Anggota pegawal wanita bertugas

             Setibanya ke lokasi, para petani mula menjalankan tugas. Ada juga ditugaskan untuk membuka kawasan pertanian baru. Mereka menebang pokok-pokok tirus dan menebas semak-samun yang menutupi kawasan hutan berkenaan. Kayu-kayu dipotong sebelum dikumpulkan untuk dibawa pulang ke koloni sebagai bekalan bahan bakar dimusim dingin akan datang. Semak-samun yang telah ditebas pula akan diberikan kepada lembu dan kambing untuk dimakan. Sedang asyik memerhatikan mereka bekerja, tiba-tiba seorang pengawal yang menjaga keselamatan para petani rebah. Keadaan menjadi gempar dan kerja-kerja pertanian terhenti untuk seketika. Kamil berlari ke arah jasad yang sudah pun kaku dan mendapati sebatang damak beracun terpacak pada lehernya.
             “Bersiap sedia! Jaga kedudukan masing-masing!” Ketua pengawal mengeluarkan arahan.
            “Lihat! Ada orang gasar di sana!” Jerit seorang lagi pengawal sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi ke kawasan belukar.
            “Jangan ke mana-mana! Jaga posisi kamu semua!” Kamil menegah mereka yang cuba bertindak melulu. Ketua pengawal memanggil seorang lagi pengawal yang membawa beg radio perhubungan untuk meminta bantuan dari Koloni Jalur Gemilang. Beberapa minit kemudian, sebuah lori berperisai tiba untuk membawa pulang jasad pengawal dan pada masa yang sama membawa anggota tambahan bagi melakukan penjejakan orang gasar di hutan berkenaan.
            “Usah khuatir. Kalian boleh kembali bertugas.” Pujuk Kamil kepada beberapa orang petani yang berada di situ. Hari itu adalah hari yang paling panjang. Walau pun insiden berkenaan melibatkan kehilangan nyawa, ia tidak memberi kesan psikologi terhadap warga Koloni Jalur Gemilang.

             Selesai sahaja menunaikan solat Isyak di masjid, Kamil dan Wak Parman singgah di sebuah warung yang terletak bersebelahannya. Pengusaha warung berkenaan menghidangkan kopi organik yang diusahakannya dengan cara tanaman hidrofonik sejak dia serta keluarganya tiba di Bumi Baru pada 10 tahun lalu. Tidak lama kemudian, muncul pula Pak Seman dan Wak Parman mengajaknya untuk turut serta. Pada masa itulah Kamil berkesempatan untuk mengetahui perkembangan Pak Seman ketika berada di koloni lain.
            “Bagaimana dengan cadangan Pak Seman yang dibentangkan kepada penghulu-penghulu koloni yang lain? Adakah mereka setuju?” Kamil mula bertanya sebelum menghirup secakir kopi yang masih panas.
            “Alhamdulillah. Mereka bersetuju dengan cadangan saya. Ada koloni lain yang sudah pun mempunyai penempatan yang tersusun sebelum kita melakukannya. Bahkan, mereka sedia membantu jika kita memerlukan pertolongan.”
            “Baguslah kalau begitu perkembangannya. Dari segi latihan anggota keselamatan pula bagaimana?” Wak Parman yang mendiamkan diri sejak awal lagi mula bersuara. Dia jarang berbual melainkan jika ada perkara yang benar-benar penting.
            “Koloni Johor telah menawarkan bantuan latihan ketenteraan dan akan mengirimkan beberapa orang jurulatih ke sini dalam masa terdekat. Mereka akan melatih kita untuk memantapkan kemahiran serta pengalaman bagi menghadapi situasi yang tidak diingini berlaku. Mereka juga turut membekalkan senjata api kepada kita.”
            “Sekian lama kita tidak didedahkan dengan latihan yang sempurna. Kita hanya memiliki pasukan rukun tetangga yang kurang terlatih serta kelengkapan senjata yang tidak mencukupi. Sehinggakan ada senapang yang sudah rosak dan tidak berfungsi lagi tetapi terpaksa digunakan oleh anggota pengawal.” Pendapat Kamil diakui oleh Pak Seman dan Wak Parman.
            Akhirnya Koloni Jalur Gemilang menerima bantuan yang amat diperlukan tepat pada masanya. Kamil memandang ke arah kawasan hutan disebalik pagar kawat berduri setinggi 10 meter. Pagar yang mempunyai empat lapisan itu menjadi perlindungan utama kepada penduduk koloni ini dari serangan orang gasar. Namun begitu, persoalannya, adakah pagar berkenaan dapat menghalangnya dari ancaman mereka seratus peratus jika tanpa kelengkapan persenjataan yang mencukupi? Persoalan itu sengaja dibiarkan begitu sahaja tanpa jawapan. [Bersambung...]


 Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Tiada ulasan: