Berilah apa sahaja gelaran yang keji
Anjing atau pun babi
Hinalah keturunan, agama dan junjungan besarnya
Sehingga menusuk jiwanya
Tanpa rasa perlu kekesalan atau ketakutan
Nah!
Dengan hanya RM 200
Segalanya boleh dibereskan
Tanpa bicara atau pengadilan
Kerana mereka adalah bangsa yang mudah diumpan
Amaran: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Azam tinggal azam aje. Satu benda pun tak dikecapi lagi. Antaranya, nak terbitkan novel. Banyak sangat komitmen yang perlu aku tanggu seperti bayar hutang, bill, insuran & sebagainya. Sabar ajelah...
Ahad, 18 Oktober 2015
Khamis, 24 September 2015
Seminar 3P (Promosi, Pemasaran & Penjualan buku)
Pada awal bulan ini yakni 5 September 2015, berlangsungnya seminar 3P (Promosi, Pemasaran & Penjualan Buku) di Ara Eventhall, Taman Melawati. Ia amat penting kerana para penulis tidak terhad hanya berkarya semata-mata, bahkan perlu mengetahui serta menguasai ilmu-ilmu promosi, pemasaran dan penjualan buku. Setidak-tidaknya, kita mengetahui selok-belok dalam industri buku yang sebenar.
[Maaf kerana gambar tak berapa jelas]
Bersebelahan dengan tapak pembinaan |
Meor Farid Asyradi. Penulis Mr. Traveller |
Ramzan Kasirin dari Blink Trading Sdn. Bhd. |
Ramai juga yang menyertainya |
Ramji Rabi, Eksekutif Jualan Kota Buku |
Hanieliza Kamarudin & suaminya |
Husna Adnan, penulis & pengurus Skuad Misi |
Saran Bala Krishnan, Senior Outlet Manager O'coffee Club Express |
Jualan buku turut berlangsung |
Antara buku yang dijual |
Ruangan santai |
Ahad, 13 September 2015
Puisi: Aku Masih Di Sini
Segelas teh o kosong
Sebatang kretek
Sekeping gajet
Ditemani jerebu yang menyelubungi diri
Menantikan bidadari vapour yang entah ke mana
Dan, aku masih di sini
- Plaza Alam Sentral (1034 pagi)
Sebatang kretek
Sekeping gajet
Ditemani jerebu yang menyelubungi diri
Menantikan bidadari vapour yang entah ke mana
Dan, aku masih di sini
- Plaza Alam Sentral (1034 pagi)
Amaran: Puisi ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Cerpen: 1889
Keadaan pagi yang sunyi di Kota Melaka |
Suasana subuh di sekitar Kota Melaka begitu asing dan berbeza dari
hari-hari sebelumnya. Kesunyiannya sungguh aneh sehinggakan tiada satu kokokan
ayam jantan pun kedengaran. Angin sejuk masih mencengkam tubuh hingga ke
tulang. Ketika kabus pagi mulai lenyap, muncullah beberapa lembaga dari jalan
utama dan menghampiri rumah pasung.
“Berhenti! Sila perkenalkan diri atau kami tembak!”
Seorang anggota polis yang berada di kubu perlindungan
memberi amaran sebelum rakan setugas yang lain turut muncul sambil mengacukan
senapang masing-masing. Bayonet siap dipasang dihujung laras jika mereka
menghadapi pertempuran jarak dekat.
“Jangan tembak. Kami polis.” Mereka bertiga mula
menampakkan diri sambil mengangkat tangan. Tangan kanannya memegang lencana
polis.
“Tuan Rafiq.” Anggota polis tadi segera menurunkan
senapangnya. Mereka amat mengenali pegawai berkenaan kerana sering datang ke
rumah pasung atas urusan kerja.
“Bagaimana keadaan di sini?” Tanya Tuan Rafiq. Pegawai
polis berketurunan Arab adalah seorang peramah walau pun perwatakannya nampak
tegas.
“Keadaan terkawal sejak malam tadi.” Jawab anggota
berkenaan.
“Baguslah. Berkawal seperti biasa.” Kata Tuan Rafiq
sambil menepuk bahu anggota polis itu tadi sebelum menuju ke rumah pasung.
Anggota polis di Kota Melaka memakai sepasang seragam
berwarna biru gelap, bersepatu kulit dan bersongkok. Setiap anggota dilengkapi
alatan keperluan seperti cota, gari, wisel dan lampu suluh jika melakukan
rondaan. Bagi anggota polis di luar Kota Melaka yakni sekitar negeri Melaka, mereka
memakai sepasang baju melayu, bersampin hitam dan tengkolok. Mereka bukan
sahaja dilengkapi peralatan asas ketika bertugas, bahkan dibenarkan juga membawa
senjata. Terdapat 200 rumah pasung di sekitar negeri Melaka dan 20 darinya
berada di Kota Melaka.
Ketibaan Tuan Rafiq dan dua rakan setugasnya disambut
oleh seorang lagi anggota polis di kaunter aduan dan dibawa bertemu dengan
ketua rumah pasung berpangkat kapten. Pintu pejabat diketuk sebelum mereka
dibenarkan masuk.
“Rafiq. Maaf kerana tidak dapat menghubungi kamu
sepanjang hari semalam. Telefon tidak dapat digunakan.” Ketua rumah pasung
menjemput Tuan Rafiq serta rakannya duduk di ruang tamu.
“Saya faham, Umar. Talian telefon terputus kerana
disabotaj oleh pihak pemberontak. Buat masa sekarang, jabatan telekom sedang berusaha
membaik pulih talian.”
“Semalam adalah hari yang paling teruk. Pihak pemberontak
cuba menyerang dan menawan rumah pasung ini. Mujurlah anggota saya berjaya
mempertahankannya. Bagaimanalah keadaan rumah pasung yang lain?”
“Sama juga. Mereka berjaya mengawal keadaan dan dapat
menangkis serangan pemberontak. Nasib baik pihak tentera cepat bertindak.”
Jawab rakan setugas Tuan Rafiq yang bernama Sulaiman.
Tuan Rafiq adalah pegawai dari Cawangan Khas dan salah
seorang dari anggota pasukan pengawal rapat keselamatan Sultan Melaka dan
keluarganya. Dia dan Kapten Umar adalah rakan karib ketika menuntut di Akademi
Polis Diraja.
“Saya patut mengucapkan terima kasih kerana memberi
amaran kepada kami. Jika tidak, entahlah apa akan berlaku terhadap kami jika
tidak bersedia.”
“Itu memang tugas kami. Selepas mendapat kesahihan
maklumat berkenaan dari pihak risikan, dengan segera memberi peringatan kepada semua
rumah pasung di seluruh negeri Melaka.”
“Siapalah yang berani sangat sehingga sanggup melancarkan
perang terhadap Paduka Sultan? Orang itu seperti berdendam sekian lama terhadap
Paduka Sultan dan pihak kerajaan.”
“Cuba kamu teka, siapa yang mendalangi dan mengetuai
pemberontakan menentang Paduka Sultan?”
“Mungkin dalangnya adalah seorang yang berkedudukan
tinggi, berpengaruh dan mempunyai kewangan yang cukup kukuh. Entahlah.” Kapten
Umar cuba meneka soalan yang diajukan oleh Tuan Rafiq tetapi gagal.
“Oleh kerana kamu seorang sahabat yang dipercayai dan
amanah, saya akan beritahu maklumat sulit ini kepada kamu.”
“Siapa dalangnya?”
“Seorang saudagar yang kaya-raya bernama Eusoff Abdul
Rasyid. Berasal dari Goa dan mempunyai pertalian keturunan dengan salah seorang
pengkhianat yang pernah bekerjasama dengan pihak Potugis pada 400 tahun lalu.”
“Biar betul? Bukankah dia seorang dermawan yang disanjung
tinggi oleh penduduk miskin di pinggir Kota Melaka?” Kapten Umar seperti tidak
percaya dengan apa yang dia dengar.
“Memang betul, kapten. Pada awalnya kami seperti tidak
percaya dengan apa yang kami dengar. Setelah disiasat dengan lebih mendalam dan
mengkaji latar belakangnya, barulah kami tahu kisah sebenarnya.” Sahut seorang
lagi rakan Tuan Rafiq yang bernama Habib.
“Moyangnya adalah
anak bongsu kepada Datuk Mandeliar yang berusia 5 tahun. Dia dan keluarganya dijatuhkan hukuman bunuh kerana bersekongkol
dengan pihak Portugis yang merancang untuk menakluki negeri Melaka. Oleh kerana
dia masih dibawah umur, moyangnya dikecualikan dari hukuman berkenaan dan
dihantar ke istana untuk diasuh. Malangnya, dia dibawa lari oleh salah seorang
ahli keluarganya yang terselamat dari hukuman dan berjaya menyelamatkan diri ke
Goa.” Kapten Umar terdiam bila mendengar maklumat sulit yang disampaikan oleh Sulaiman.
Senjata yang digunakan oleh pihak pemberontak |
“Untuk melancarkan pemberontakan, dia mengupah
lanun-lanun di sekitar perairan Selat Melaka. Kemudian mengarahkan mereka
menyerang pos kawalan polis marin dan tentera laut di sepanjang pantai negeri
Melaka. Serangan di pelabuhan pada malam kelmarin sudah cukup memberi amaran
awal. Sebuah kapal milik tentera laut rosak teruk akibat letupan bom yang
dipasang pada badannya. Mujurlah kapal berkenaan tidak karam kerana ia adalah
model terbaru yang dibina di Singapura. Bukan itu sahaja, gudang milik kerajaan
turut dibakar. Dia juga mendapat kerjasama dengan kumpulan kongsi gelap
terkenal, Teratai Merah. Membekalkan mereka senjata api terpakai untuk digunakan
bagi menyerang rumah pasung di sekitar kota ini.”
Kapten Umar begitu tekun mendengar maklumat sulit yang
disampaikan oleh Tuan Rafiq pula. Walaupun serangan berkenaan gagal mencapai
matlamat, pihak pemberontak telah berjaya melumpuhkan kegiatan ekonomi dan
kehidupan seharian warga Kota Melaka untuk seketika.
“Sudah berapa ramai pihak pemberontak yang telah kamu
tangkap?” Tanya Habib.
“Seramai 10 orang pemberontak telah ditembak mati dan 18
lagi menyerah diri setelah gagal untuk menawan rumah pasung ini. Kesemuanya
adalah anggota kongsi gelap Teratai Merah. Kamu boleh menyoal siasat mereka di
lokap nanti.”
“Tidak mengapa. Pada pagi nanti pihak tentera akan datang
ke sini untuk membawa mereka semua ke penjara utama bagi tindakan lanjut.”
Jawab Habib sebelum menghirup secawan kopi yang tersedia dihidang.
“Tetapi saya ada kemusykilan. Walau pun dia seorang
saudagar yang kaya-raya, bila saya hitung kos untuk melancarkan pemberontakan, ia
melebihi jumlah kekayaannya? Selebihnya ia datang dari mana?”
“Saya hampir
terlupa, Umar. Nasib baik kamu mengingatkan saya. Dia juga mendapat sokongan
logistik serta kewangan dari pihak British melalui Syarikat India Timur. Dari
dulu lagi kami mencurigai kegiatan syarikat berkenaan dan sentiasa memantau
pergerakan pegawainya di sekitar negeri Melaka. Kami berusaha mengumpul
seberapa banyak bukti yang kukuh untuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Dan
akhirnya, bukti sudah pun berada di hadapan kita.” Perbualan mereka terhenti
apabila pintu pejabat diketuk dan muncul seorang anggota polis.
“Maaf mengganggu. Ada panggilan untuk Tuan Rafiq dari ibu
pejabat. Mustahak.” Katanya sebelum Tuan Rafiq bergegas keluar untuk
mendapatkan panggilan.
Selang beberapa minit kemudian, Tuan Rafiq muncul kembali
dengan wajahnya yang ceria.
“Berita baik. Eusoff Abdul Rasyid telah berjaya ditahan
bersama dua pegawai Syarikat India Timur di Pulau Besar. Mereka bertiga cuba
melarikan diri ke Bombay dengan menggunakan kapal dagang milik syarikat
berkenaan.”
“Alhamdulillah. Kalau begitu, kami kena pulang segera ke
ibu pejabat. Maklumlah. ‘Jerung besar’ sudah pun masuk ke sangkar dan kawalan
ketat perlu diadakan bagi menyambut ketibaan hasil tangkapan kita.” Kata
Sulaiman dengan perasaan bangga.
Azan Subuh mula berkumandang dari sebuah masjid yang
tidak jauh dari rumah pasung berkenaan. Masing-masing terdiam seketika dan
menghayati alunan azan yang dilaungkan oleh seorang bilal muda sehinggalah
tamat.
“Tetapi sebelum itu, marilah kita menunaikan solat Subuh berjemaah.
Kita memanjatkan syukur kepada Allah kerana melindungi kita dari ancaman musuh
yang datang menyerang semalam.” Ajak Kapten Umar.
Mereka mula beredar keluar dari pejabat untuk ke masjid.
Langkah Kapten Umar terhenti sebentar dan memandang ke arah kalendar yang
tergantung di kaunter aduan. Dengan
segeralah helaian kertas pada kalendar itu dikoyak dan terpampanglah helaian
kertas lain dengan tarikh serta hari yang baru.
“Hari Jumaat, 18 September 1889. Penghulu segala hari.”
Kapten Umar tersenyum.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Ahad, 30 Ogos 2015
Novel Bersiri: BUMI BARU (BAB 4)
Senjata yang diperiksa |
Leftenan Fendi serta para pegawai
yang didatangkan khas dari Koloni Johor sedang memeriksa ratusan laras senapang
pelbagai jenis yang disusun kemas di hangar pesawat. Dua per tiga darinya telah
rosak dan tidak dapat diperbaiki lagi. Ini mungkin disebabkan model senjata
berkenaan adalah model lama dari zaman abad ke 20. Seperti biasa, Kamil serta
rakan-rakan setugas yang lain baru sahaja selesai mendaftar dan mengumpulkan
pelbagai senjata yang diserahkan oleh anggota peronda dan pengawal koloni selepas
mendapat arahan dari Kolonel Ismail. Pelbagai cerita dan perkhabaran yang
kurang sahih telah dia dengar ketika proses menyerahkan senjata api.
“Mungkin kita akan mendapat senjata
baru.” Kata seorang pengawal koloni yang berusia lewat 40an.
“Itu saya tak pasti. Tetapi ada yang
kata pasukan kita akan dibubarkan dan digantikan dengan pasukan keselamatan
yang lebih teratur.” Kata seorang lagi pegawal yang berada di belakang.
Apa yang mereka bualkan tadi ada
kebenarannya. Selepas melakukan pemeriksaan, Leftenan Fendi datang menghampiri
Kolonel Ismail.
“Tuan, saya simpulkan di sini bahawa
koloni tuan adalah koloni yang ketinggalan berbanding dengan koloni lain
terutama dari segi keselamatan. Sudah tiba masanya pihak tuan perlu
menaik-tarafkan pasukan keselamatan ke sebuah organisasi yang lengkap dan
teratur.” Kamil yang berada di sisi Kolonel Ismail turut mendengar apa yang
diperkatakan Leftenan Fendi.
“Perkara ini perlu kita bincangkan
dengan lebih lanjut di pejabat saya. Saya juga perlu mendengar pandangan dari
para pegawai saya.” Jawab Kolonel Ismail sebelum memandang ke arah Kamil.
Masing-masing terdiam seketika sebelum Leftenan Fendi ingin berkata sesuatu
kepada Kamil.
“Kamil, saya mahu senjata api yang
ditandakan pelekat hijau perlu diasingkan dari senjata api berpelekat merah.
Warna merah bermakna senjata berkenaan sudah tidak berfungsi lagi dan perlu
dilupuskan. Manakala berwarna hijau pula senjata masih berfungsi dengan baik
dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya.” Arah Leftenan Fendi kepada Kamil.
“Baik, tuan.” Kamil menabik hormat
sebelum beredar untuk menjalankan tugas. Sebenarnya Leftenan Fendi sengaja
mengarahkan Kamil beredar dari situ kerana dia ingin membincangkan satu perkara
penting dengan Kolonel Ismail.
“Tuan. Saya bercadang untuk memilih
beberapa anggota keselamatan koloni di sini untuk diberi latihan yang sempurna
di Koloni Johor. Jika boleh, tuan sendiri menyenaraikan mana-mana anggota yang
layak secepat mungkin.”
“Kalau begitu, saya akan memilih
mereka yang terbaik dari kalangan anggota keselamatan. Mereka yang banyak
menyumbang jasa bagi mempertahankan koloni ketika orang gasar datang menyerang
beberapa hari yang lalu pastinya menjadi pilihan. Orang pertama yang saya
nampak adalah Kamil. Selebihnya, biar pegawai saya yang akan uruskan.” Tambah
Kolonel Ismail bila melihat Kamil serta rakan-rakan yang lain sedang bertugas
di situ.
“Baiklah, tuan. Apa yang baik dari
tuan, Insyaallah saya pasti setuju.” Leftenan Fendi beredar ke arah sebuah
pesawat pengangkut yang sedia menunggu untuk dibawa pulang ke Koloni Johor. Dia
perlu menyediakan laporan lengkap untuk dihantar ke Majlis Keselamatan Koloni
bagi menilai keadaan keselamatan Koloni Jalur Gemilang. Minggu depan, dia akan
kembali untuk menghantar bekalan senjata serta mendapatkan senarai nama anggota
keselamatan yang dipilih oleh Kolonel Ismail.
Kamil berjalan menuju ke kapal induk
bagi memulangkan senjata api yang digunakan untuk mengawal keselamatan para
petani. Itulah rutin bagi setiap anggota keselamatan Koloni Jalur Gemilang semenjak
pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan Leftenan Fendi. Senjata yang masih elok
terpaksalah dikongsi bersama. Setibanya di situ, kelihatan ramai orang
berkerumun di pintu masuk hangar pesawat.
“Apa yang berlaku?” Tanya Kamil
kepada salah seorang dari mereka yang berkerumun.
“Bekalan senjata yang baru telah
tiba pagi tadi. Bukan itu sahaja, pihak atasan telah mengeluarkan senarai nama
kumpulan pertama untuk dihantar ke Koloni Johor bagi mendapatkan latihan
ketenteraan.” Tanpa membuang masa, Kamil segera menyelinap masuk dalam kumpulan
orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat.
“Kamil. Mari ke sini.” Pak Seman
memanggilnya. Dia sedang melihat berpuluh-puluh kotak yang mengandungi
senapang, pistol serta peluru dipunggah keluar dari sebuah pesawat kargo.
“Ya, Pak Seman?”
“Tahniah. Nama kamu sudah naik.”
Mereka berdua berjabat tangan.
“Naik? Maksudnya, saya akan dihantar
ke Koloni Johor?”
“Benar. Kamu serta 20 yang lain
adalah kumpulan pertama yang akan ke sana. Jadi, bersiap sedialah sebelum berangkat.”
Pesan Pak Seman.
“Bila saya akan ke sana? Saya perlu
beritahu Wak Parman serta yang lain.”
“Hujung minggu ini. Mereka sudah pun
tahu akan berita ini. Pergilah pulang ke rumah.” Tanpa membuang masa, dia
segera ke kaunter bekalan senjata bagi memulangkan senapang yang dipinjamnya.
Kepulangan Kamil disambut dengan
pelbagai persoalan dari Haliza dan Salmi. Wak Parman lebih suka mendiamkan diri
dari mencampuri urusan ketenteraan. Agak sukar untuk menjawab setiap soalan
yang diajukan oleh mereka.
“Macam mana kamu boleh terpilih?”
Tanya Salmi yang masih dalam keadaan bertongkat.
“Entahlah. Mungkin ia dipilih secara
rawak.”
“Mana mungkin dipilih secara rawak?
Pastinya ada kriteria tertentu agar kamu serta yang lain dipilih. Tetapi kenapa
saya pula tidak dipilih?” Haliza seperti tidak berpuas hati.
“Mungkin bukan rezeki kamu untuk
hari ini. Tunggu sajalah senarai kumpulan kedua dikeluarkan nanti.” Wak Parman
mencelah.
“Bagaimanalah keadaan di Koloni
Johor. Pastinya dua kali lebih maju dari koloni kita. Teringin benar untuk
pergi ke sana.” Salmi mula memasang angan-angan. Dengar khabar dari
rakan-rakannya yang pernah ke sana, Koloni Johor dan sekitarnya lebih maju
berbanding dari koloni-koloni yang lain.
“Untuk apa kamu ke sana? Di sana
tiada pekerjaan yang sesuai untuk kamu lakukan.” Haliza seperti memperlekehkan
impian adiknya.
“Kamu akan ke sana pada suatu hari
nanti jika diberikan peluang. Usahlah risau.” Kamil memberi sedikit semangat
kepada Salmi. Mereka berasa gembira akan kejayaan Kamil dan pada malam
berkenaan mereka meraikan dengan jamuan istimewa yang disediakan oleh Haliza.
Pesawat yang akan ke Koloni Johor |
Seperti yang dijadualkan, mereka
yang terpilih mula berkumpul di hangar pesawat untuk dibawa ke Koloni Johor
bagi menjalani latihan ketenteraan. Haliza, Salmi dan Wak Parman serta kaum
keluarga yang lain melambai tangan kepada Kamil dan para pelatih yang duduk di
dalam ruang kabin penumpang pesawat sebelum pintu kargo ditutup secara
automatik. Perasaan berdebar mula terasa apabila pesawat yang mereka naiki
bergegar seketika sebelum berlepas dari pelantar kapal induk. Turut serta untuk
menjalani latihan ketenteraan adalah Yusoff, jiran belakang rumah Kamil.
“Rasa seperti nak muntah.”
“Kamu cubalah bertahan. Perjalanan
ke Koloni Johor hanya memakan masa setengah jam sahaja.”
“Jangan kata setengah jam. Tak
sampai 5 minit pastinya muntah.”
“Kalau tak tahan, kamu muntah sahaja
ke dalam beg kamu.” Kata Kamil dengan perasaan bimbangnya. Bimbang jika Yusoff
termuntah ke seluarnya.
Seperti yang dikatakan oleh Kamil,
penerbangan ke Koloni Johor memakan masa hampir setengah jam. Ketika pesawat
melintasi ruang udara Koloni Johor, dapat dilihat dari udara perkembangan pesat
koloni berkenaan. Koloni Johor adalah sebuah koloni yang terletak berhampiran
dengan sebuah lembah yang kaya dengan flora dan fauna. Tidak seperti Koloni
Jalur Gemilang serta koloni-koloni yang lain, infrastrukturnya lengkap serta
mempunyai jumlah penduduk yang mencecah hampir sejuta orang. Koloni ini juga
merupakan pusat pentadbiran bagi kesemua koloni yang terletak di sekitar planet
berkenaan.
Tetapi, pesawat yang mereka naiki
hanya terus melintasi ruang udara Koloni Johor dan tidak mendarat di situ.
Mereka sebenarnya akan dibawa ke sebuah markas latihan yang terletak 5
kilometer ke utara Koloni Johor. Markas berkenaan lengkap dengan kemudahan
latihan khususnya simulasi pertempuran dan ikhtiar hidup dalam hutan.
“Pakai tali pinggang keselamatan.
Kita akan mendarat dalam masa 5 minit lagi.” Kata seorang juruteknik pesawat
kargo.
Lantas, para
penumpang segera berbuat demikian sebelum pesawat mula bergegar seketika dan
mendarat di atas tapak pendaratan berhampiran dengan markas latihan. Ketibaan
mereka disambut oleh para pegawai keselamatan dan jurulatih dengan penuh
ketegasan dan disiplin.
“Buat dua barisan
dengan segera! Yang pendek berada di hadapan dan jangan berlengah-lengah lagi!”
Jerit ketua jurulatih yang berada di hadapan mereka.
“Di sini
bukannya pusat peranginan bertaraf lima bintang!” Tegur seorang lagi jurulatih
bila melihat beberapa orang pelatih lambat turun dari pesawat kargo.
Kamil serta
yang lain berkumpul berdekatan dengan kawasan lapang untuk mendengar taklimat
ringkas yang tidak seberapa mesra. Kemudian, mereka diarahkan ke sebuah rumah
dimana kelihatan beberapa orang tukang gunting rambut yang sedang menunggu.
Rambut yang lebat, tidak sampai 10 minit sahaja akan lenyap setelah dipotong
pendek. Kamil memandang wajah barunya dicermin dengan pandangan yang agak
bercampur-aduk. Berasa lucu tetapi perasaan sedih pun ada. Sedih kerana bersusah
payah dia menyimpan rambutnya sehingga panjang mencecah bahu dan terpaksalah
dikorbankan demi mendapatkan latihan ketenteraan. Selepas itu, kumpulan Kamil
diarahkan ke pejabat bekalan bagi mendapatkan pakaian seragam serta barangan
keperluan sebelum ditempatkan di sebuah berek yang pada asalnya adalah sebuah
bangkai kapal angkasa sebelum ia diubahsuai.
Mulai hari
ini, Kamil, Yusoff serta rakan –rakan dari Koloni Jalur Gemilang akan memulakan
hidup baru sebagai pelatih di markas ketenteraan yang dikendalikan oleh pihak
tentera dari Koloni Johor. Mereka perlu bersaing dengan para pelatih dari
koloni-koloni yang lain bagi mendapatkan kedudukan terbaik dalam pemarkahan dan
kepujian dalam latihan mereka. [Bersambung...]
Langgan:
Catatan (Atom)