Ahad, 30 Ogos 2015

Novel Bersiri: BUMI BARU (BAB 4)


Senjata yang diperiksa
            Leftenan Fendi serta para pegawai yang didatangkan khas dari Koloni Johor sedang memeriksa ratusan laras senapang pelbagai jenis yang disusun kemas di hangar pesawat. Dua per tiga darinya telah rosak dan tidak dapat diperbaiki lagi. Ini mungkin disebabkan model senjata berkenaan adalah model lama dari zaman abad ke 20. Seperti biasa, Kamil serta rakan-rakan setugas yang lain baru sahaja selesai mendaftar dan mengumpulkan pelbagai senjata yang diserahkan oleh anggota peronda dan pengawal koloni selepas mendapat arahan dari Kolonel Ismail. Pelbagai cerita dan perkhabaran yang kurang sahih telah dia dengar ketika proses menyerahkan senjata api.
            “Mungkin kita akan mendapat senjata baru.” Kata seorang pengawal koloni yang berusia lewat 40an.
            “Itu saya tak pasti. Tetapi ada yang kata pasukan kita akan dibubarkan dan digantikan dengan pasukan keselamatan yang lebih teratur.” Kata seorang lagi pegawal yang berada di belakang.
            Apa yang mereka bualkan tadi ada kebenarannya. Selepas melakukan pemeriksaan, Leftenan Fendi datang menghampiri Kolonel Ismail.
            “Tuan, saya simpulkan di sini bahawa koloni tuan adalah koloni yang ketinggalan berbanding dengan koloni lain terutama dari segi keselamatan. Sudah tiba masanya pihak tuan perlu menaik-tarafkan pasukan keselamatan ke sebuah organisasi yang lengkap dan teratur.” Kamil yang berada di sisi Kolonel Ismail turut mendengar apa yang diperkatakan Leftenan Fendi.
            “Perkara ini perlu kita bincangkan dengan lebih lanjut di pejabat saya. Saya juga perlu mendengar pandangan dari para pegawai saya.” Jawab Kolonel Ismail sebelum memandang ke arah Kamil. Masing-masing terdiam seketika sebelum Leftenan Fendi ingin berkata sesuatu kepada Kamil.
            “Kamil, saya mahu senjata api yang ditandakan pelekat hijau perlu diasingkan dari senjata api berpelekat merah. Warna merah bermakna senjata berkenaan sudah tidak berfungsi lagi dan perlu dilupuskan. Manakala berwarna hijau pula senjata masih berfungsi dengan baik dan perlu dikembalikan kepada pemiliknya.” Arah Leftenan Fendi kepada Kamil.
            “Baik, tuan.” Kamil menabik hormat sebelum beredar untuk menjalankan tugas. Sebenarnya Leftenan Fendi sengaja mengarahkan Kamil beredar dari situ kerana dia ingin membincangkan satu perkara penting dengan Kolonel Ismail.
            “Tuan. Saya bercadang untuk memilih beberapa anggota keselamatan koloni di sini untuk diberi latihan yang sempurna di Koloni Johor. Jika boleh, tuan sendiri menyenaraikan mana-mana anggota yang layak secepat mungkin.”
            “Kalau begitu, saya akan memilih mereka yang terbaik dari kalangan anggota keselamatan. Mereka yang banyak menyumbang jasa bagi mempertahankan koloni ketika orang gasar datang menyerang beberapa hari yang lalu pastinya menjadi pilihan. Orang pertama yang saya nampak adalah Kamil. Selebihnya, biar pegawai saya yang akan uruskan.” Tambah Kolonel Ismail bila melihat Kamil serta rakan-rakan yang lain sedang bertugas di situ.
            “Baiklah, tuan. Apa yang baik dari tuan, Insyaallah saya pasti setuju.” Leftenan Fendi beredar ke arah sebuah pesawat pengangkut yang sedia menunggu untuk dibawa pulang ke Koloni Johor. Dia perlu menyediakan laporan lengkap untuk dihantar ke Majlis Keselamatan Koloni bagi menilai keadaan keselamatan Koloni Jalur Gemilang. Minggu depan, dia akan kembali untuk menghantar bekalan senjata serta mendapatkan senarai nama anggota keselamatan yang dipilih oleh Kolonel Ismail.

            Kamil berjalan menuju ke kapal induk bagi memulangkan senjata api yang digunakan untuk mengawal keselamatan para petani. Itulah rutin bagi setiap anggota keselamatan Koloni Jalur Gemilang semenjak pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan Leftenan Fendi. Senjata yang masih elok terpaksalah dikongsi bersama. Setibanya di situ, kelihatan ramai orang berkerumun di pintu masuk hangar pesawat.
            “Apa yang berlaku?” Tanya Kamil kepada salah seorang dari mereka yang berkerumun.
            “Bekalan senjata yang baru telah tiba pagi tadi. Bukan itu sahaja, pihak atasan telah mengeluarkan senarai nama kumpulan pertama untuk dihantar ke Koloni Johor bagi mendapatkan latihan ketenteraan.” Tanpa membuang masa, Kamil segera menyelinap masuk dalam kumpulan orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat.
            “Kamil. Mari ke sini.” Pak Seman memanggilnya. Dia sedang melihat berpuluh-puluh kotak yang mengandungi senapang, pistol serta peluru dipunggah keluar dari sebuah pesawat kargo.
            “Ya, Pak Seman?”
            “Tahniah. Nama kamu sudah naik.” Mereka berdua berjabat tangan.
            “Naik? Maksudnya, saya akan dihantar ke Koloni Johor?”
            “Benar. Kamu serta 20 yang lain adalah kumpulan pertama yang akan ke sana. Jadi, bersiap sedialah sebelum berangkat.” Pesan Pak Seman.
            “Bila saya akan ke sana? Saya perlu beritahu Wak Parman serta yang lain.”
            “Hujung minggu ini. Mereka sudah pun tahu akan berita ini. Pergilah pulang ke rumah.” Tanpa membuang masa, dia segera ke kaunter bekalan senjata bagi memulangkan senapang yang dipinjamnya.
            Kepulangan Kamil disambut dengan pelbagai persoalan dari Haliza dan Salmi. Wak Parman lebih suka mendiamkan diri dari mencampuri urusan ketenteraan. Agak sukar untuk menjawab setiap soalan yang diajukan oleh mereka.
            “Macam mana kamu boleh terpilih?” Tanya Salmi yang masih dalam keadaan bertongkat.
            “Entahlah. Mungkin ia dipilih secara rawak.”
            “Mana mungkin dipilih secara rawak? Pastinya ada kriteria tertentu agar kamu serta yang lain dipilih. Tetapi kenapa saya pula tidak dipilih?” Haliza seperti tidak berpuas hati.
            “Mungkin bukan rezeki kamu untuk hari ini. Tunggu sajalah senarai kumpulan kedua dikeluarkan nanti.” Wak Parman mencelah.
            “Bagaimanalah keadaan di Koloni Johor. Pastinya dua kali lebih maju dari koloni kita. Teringin benar untuk pergi ke sana.” Salmi mula memasang angan-angan. Dengar khabar dari rakan-rakannya yang pernah ke sana, Koloni Johor dan sekitarnya lebih maju berbanding dari koloni-koloni yang lain.
            “Untuk apa kamu ke sana? Di sana tiada pekerjaan yang sesuai untuk kamu lakukan.” Haliza seperti memperlekehkan impian adiknya.
            “Kamu akan ke sana pada suatu hari nanti jika diberikan peluang. Usahlah risau.” Kamil memberi sedikit semangat kepada Salmi. Mereka berasa gembira akan kejayaan Kamil dan pada malam berkenaan mereka meraikan dengan jamuan istimewa yang disediakan oleh Haliza.

Pesawat yang akan ke Koloni Johor
            Seperti yang dijadualkan, mereka yang terpilih mula berkumpul di hangar pesawat untuk dibawa ke Koloni Johor bagi menjalani latihan ketenteraan. Haliza, Salmi dan Wak Parman serta kaum keluarga yang lain melambai tangan kepada Kamil dan para pelatih yang duduk di dalam ruang kabin penumpang pesawat sebelum pintu kargo ditutup secara automatik. Perasaan berdebar mula terasa apabila pesawat yang mereka naiki bergegar seketika sebelum berlepas dari pelantar kapal induk. Turut serta untuk menjalani latihan ketenteraan adalah Yusoff, jiran belakang rumah Kamil.
            “Rasa seperti nak muntah.”
            “Kamu cubalah bertahan. Perjalanan ke Koloni Johor hanya memakan masa setengah jam sahaja.”
            “Jangan kata setengah jam. Tak sampai 5 minit pastinya muntah.”
            “Kalau tak tahan, kamu muntah sahaja ke dalam beg kamu.” Kata Kamil dengan perasaan bimbangnya. Bimbang jika Yusoff termuntah ke seluarnya.
            Seperti yang dikatakan oleh Kamil, penerbangan ke Koloni Johor memakan masa hampir setengah jam. Ketika pesawat melintasi ruang udara Koloni Johor, dapat dilihat dari udara perkembangan pesat koloni berkenaan. Koloni Johor adalah sebuah koloni yang terletak berhampiran dengan sebuah lembah yang kaya dengan flora dan fauna. Tidak seperti Koloni Jalur Gemilang serta koloni-koloni yang lain, infrastrukturnya lengkap serta mempunyai jumlah penduduk yang mencecah hampir sejuta orang. Koloni ini juga merupakan pusat pentadbiran bagi kesemua koloni yang terletak di sekitar planet berkenaan.
            Tetapi, pesawat yang mereka naiki hanya terus melintasi ruang udara Koloni Johor dan tidak mendarat di situ. Mereka sebenarnya akan dibawa ke sebuah markas latihan yang terletak 5 kilometer ke utara Koloni Johor. Markas berkenaan lengkap dengan kemudahan latihan khususnya simulasi pertempuran dan ikhtiar hidup dalam hutan.
            “Pakai tali pinggang keselamatan. Kita akan mendarat dalam masa 5 minit lagi.” Kata seorang juruteknik pesawat kargo.
Lantas, para penumpang segera berbuat demikian sebelum pesawat mula bergegar seketika dan mendarat di atas tapak pendaratan berhampiran dengan markas latihan. Ketibaan mereka disambut oleh para pegawai keselamatan dan jurulatih dengan penuh ketegasan dan disiplin.
“Buat dua barisan dengan segera! Yang pendek berada di hadapan dan jangan berlengah-lengah lagi!” Jerit ketua jurulatih yang berada di hadapan mereka.
“Di sini bukannya pusat peranginan bertaraf lima bintang!” Tegur seorang lagi jurulatih bila melihat beberapa orang pelatih lambat turun dari pesawat kargo.
Kamil serta yang lain berkumpul berdekatan dengan kawasan lapang untuk mendengar taklimat ringkas yang tidak seberapa mesra. Kemudian, mereka diarahkan ke sebuah rumah dimana kelihatan beberapa orang tukang gunting rambut yang sedang menunggu. Rambut yang lebat, tidak sampai 10 minit sahaja akan lenyap setelah dipotong pendek. Kamil memandang wajah barunya dicermin dengan pandangan yang agak bercampur-aduk. Berasa lucu tetapi perasaan sedih pun ada. Sedih kerana bersusah payah dia menyimpan rambutnya sehingga panjang mencecah bahu dan terpaksalah dikorbankan demi mendapatkan latihan ketenteraan. Selepas itu, kumpulan Kamil diarahkan ke pejabat bekalan bagi mendapatkan pakaian seragam serta barangan keperluan sebelum ditempatkan di sebuah berek yang pada asalnya adalah sebuah bangkai kapal angkasa sebelum ia diubahsuai.
Mulai hari ini, Kamil, Yusoff serta rakan –rakan dari Koloni Jalur Gemilang akan memulakan hidup baru sebagai pelatih di markas ketenteraan yang dikendalikan oleh pihak tentera dari Koloni Johor. Mereka perlu bersaing dengan para pelatih dari koloni-koloni yang lain bagi mendapatkan kedudukan terbaik dalam pemarkahan dan kepujian dalam latihan mereka. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Tiada ulasan: