Keadaan pagi yang sunyi di Kota Melaka |
Suasana subuh di sekitar Kota Melaka begitu asing dan berbeza dari
hari-hari sebelumnya. Kesunyiannya sungguh aneh sehinggakan tiada satu kokokan
ayam jantan pun kedengaran. Angin sejuk masih mencengkam tubuh hingga ke
tulang. Ketika kabus pagi mulai lenyap, muncullah beberapa lembaga dari jalan
utama dan menghampiri rumah pasung.
“Berhenti! Sila perkenalkan diri atau kami tembak!”
Seorang anggota polis yang berada di kubu perlindungan
memberi amaran sebelum rakan setugas yang lain turut muncul sambil mengacukan
senapang masing-masing. Bayonet siap dipasang dihujung laras jika mereka
menghadapi pertempuran jarak dekat.
“Jangan tembak. Kami polis.” Mereka bertiga mula
menampakkan diri sambil mengangkat tangan. Tangan kanannya memegang lencana
polis.
“Tuan Rafiq.” Anggota polis tadi segera menurunkan
senapangnya. Mereka amat mengenali pegawai berkenaan kerana sering datang ke
rumah pasung atas urusan kerja.
“Bagaimana keadaan di sini?” Tanya Tuan Rafiq. Pegawai
polis berketurunan Arab adalah seorang peramah walau pun perwatakannya nampak
tegas.
“Keadaan terkawal sejak malam tadi.” Jawab anggota
berkenaan.
“Baguslah. Berkawal seperti biasa.” Kata Tuan Rafiq
sambil menepuk bahu anggota polis itu tadi sebelum menuju ke rumah pasung.
Anggota polis di Kota Melaka memakai sepasang seragam
berwarna biru gelap, bersepatu kulit dan bersongkok. Setiap anggota dilengkapi
alatan keperluan seperti cota, gari, wisel dan lampu suluh jika melakukan
rondaan. Bagi anggota polis di luar Kota Melaka yakni sekitar negeri Melaka, mereka
memakai sepasang baju melayu, bersampin hitam dan tengkolok. Mereka bukan
sahaja dilengkapi peralatan asas ketika bertugas, bahkan dibenarkan juga membawa
senjata. Terdapat 200 rumah pasung di sekitar negeri Melaka dan 20 darinya
berada di Kota Melaka.
Ketibaan Tuan Rafiq dan dua rakan setugasnya disambut
oleh seorang lagi anggota polis di kaunter aduan dan dibawa bertemu dengan
ketua rumah pasung berpangkat kapten. Pintu pejabat diketuk sebelum mereka
dibenarkan masuk.
“Rafiq. Maaf kerana tidak dapat menghubungi kamu
sepanjang hari semalam. Telefon tidak dapat digunakan.” Ketua rumah pasung
menjemput Tuan Rafiq serta rakannya duduk di ruang tamu.
“Saya faham, Umar. Talian telefon terputus kerana
disabotaj oleh pihak pemberontak. Buat masa sekarang, jabatan telekom sedang berusaha
membaik pulih talian.”
“Semalam adalah hari yang paling teruk. Pihak pemberontak
cuba menyerang dan menawan rumah pasung ini. Mujurlah anggota saya berjaya
mempertahankannya. Bagaimanalah keadaan rumah pasung yang lain?”
“Sama juga. Mereka berjaya mengawal keadaan dan dapat
menangkis serangan pemberontak. Nasib baik pihak tentera cepat bertindak.”
Jawab rakan setugas Tuan Rafiq yang bernama Sulaiman.
Tuan Rafiq adalah pegawai dari Cawangan Khas dan salah
seorang dari anggota pasukan pengawal rapat keselamatan Sultan Melaka dan
keluarganya. Dia dan Kapten Umar adalah rakan karib ketika menuntut di Akademi
Polis Diraja.
“Saya patut mengucapkan terima kasih kerana memberi
amaran kepada kami. Jika tidak, entahlah apa akan berlaku terhadap kami jika
tidak bersedia.”
“Itu memang tugas kami. Selepas mendapat kesahihan
maklumat berkenaan dari pihak risikan, dengan segera memberi peringatan kepada semua
rumah pasung di seluruh negeri Melaka.”
“Siapalah yang berani sangat sehingga sanggup melancarkan
perang terhadap Paduka Sultan? Orang itu seperti berdendam sekian lama terhadap
Paduka Sultan dan pihak kerajaan.”
“Cuba kamu teka, siapa yang mendalangi dan mengetuai
pemberontakan menentang Paduka Sultan?”
“Mungkin dalangnya adalah seorang yang berkedudukan
tinggi, berpengaruh dan mempunyai kewangan yang cukup kukuh. Entahlah.” Kapten
Umar cuba meneka soalan yang diajukan oleh Tuan Rafiq tetapi gagal.
“Oleh kerana kamu seorang sahabat yang dipercayai dan
amanah, saya akan beritahu maklumat sulit ini kepada kamu.”
“Siapa dalangnya?”
“Seorang saudagar yang kaya-raya bernama Eusoff Abdul
Rasyid. Berasal dari Goa dan mempunyai pertalian keturunan dengan salah seorang
pengkhianat yang pernah bekerjasama dengan pihak Potugis pada 400 tahun lalu.”
“Biar betul? Bukankah dia seorang dermawan yang disanjung
tinggi oleh penduduk miskin di pinggir Kota Melaka?” Kapten Umar seperti tidak
percaya dengan apa yang dia dengar.
“Memang betul, kapten. Pada awalnya kami seperti tidak
percaya dengan apa yang kami dengar. Setelah disiasat dengan lebih mendalam dan
mengkaji latar belakangnya, barulah kami tahu kisah sebenarnya.” Sahut seorang
lagi rakan Tuan Rafiq yang bernama Habib.
“Moyangnya adalah
anak bongsu kepada Datuk Mandeliar yang berusia 5 tahun. Dia dan keluarganya dijatuhkan hukuman bunuh kerana bersekongkol
dengan pihak Portugis yang merancang untuk menakluki negeri Melaka. Oleh kerana
dia masih dibawah umur, moyangnya dikecualikan dari hukuman berkenaan dan
dihantar ke istana untuk diasuh. Malangnya, dia dibawa lari oleh salah seorang
ahli keluarganya yang terselamat dari hukuman dan berjaya menyelamatkan diri ke
Goa.” Kapten Umar terdiam bila mendengar maklumat sulit yang disampaikan oleh Sulaiman.
Senjata yang digunakan oleh pihak pemberontak |
“Untuk melancarkan pemberontakan, dia mengupah
lanun-lanun di sekitar perairan Selat Melaka. Kemudian mengarahkan mereka
menyerang pos kawalan polis marin dan tentera laut di sepanjang pantai negeri
Melaka. Serangan di pelabuhan pada malam kelmarin sudah cukup memberi amaran
awal. Sebuah kapal milik tentera laut rosak teruk akibat letupan bom yang
dipasang pada badannya. Mujurlah kapal berkenaan tidak karam kerana ia adalah
model terbaru yang dibina di Singapura. Bukan itu sahaja, gudang milik kerajaan
turut dibakar. Dia juga mendapat kerjasama dengan kumpulan kongsi gelap
terkenal, Teratai Merah. Membekalkan mereka senjata api terpakai untuk digunakan
bagi menyerang rumah pasung di sekitar kota ini.”
Kapten Umar begitu tekun mendengar maklumat sulit yang
disampaikan oleh Tuan Rafiq pula. Walaupun serangan berkenaan gagal mencapai
matlamat, pihak pemberontak telah berjaya melumpuhkan kegiatan ekonomi dan
kehidupan seharian warga Kota Melaka untuk seketika.
“Sudah berapa ramai pihak pemberontak yang telah kamu
tangkap?” Tanya Habib.
“Seramai 10 orang pemberontak telah ditembak mati dan 18
lagi menyerah diri setelah gagal untuk menawan rumah pasung ini. Kesemuanya
adalah anggota kongsi gelap Teratai Merah. Kamu boleh menyoal siasat mereka di
lokap nanti.”
“Tidak mengapa. Pada pagi nanti pihak tentera akan datang
ke sini untuk membawa mereka semua ke penjara utama bagi tindakan lanjut.”
Jawab Habib sebelum menghirup secawan kopi yang tersedia dihidang.
“Tetapi saya ada kemusykilan. Walau pun dia seorang
saudagar yang kaya-raya, bila saya hitung kos untuk melancarkan pemberontakan, ia
melebihi jumlah kekayaannya? Selebihnya ia datang dari mana?”
“Saya hampir
terlupa, Umar. Nasib baik kamu mengingatkan saya. Dia juga mendapat sokongan
logistik serta kewangan dari pihak British melalui Syarikat India Timur. Dari
dulu lagi kami mencurigai kegiatan syarikat berkenaan dan sentiasa memantau
pergerakan pegawainya di sekitar negeri Melaka. Kami berusaha mengumpul
seberapa banyak bukti yang kukuh untuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Dan
akhirnya, bukti sudah pun berada di hadapan kita.” Perbualan mereka terhenti
apabila pintu pejabat diketuk dan muncul seorang anggota polis.
“Maaf mengganggu. Ada panggilan untuk Tuan Rafiq dari ibu
pejabat. Mustahak.” Katanya sebelum Tuan Rafiq bergegas keluar untuk
mendapatkan panggilan.
Selang beberapa minit kemudian, Tuan Rafiq muncul kembali
dengan wajahnya yang ceria.
“Berita baik. Eusoff Abdul Rasyid telah berjaya ditahan
bersama dua pegawai Syarikat India Timur di Pulau Besar. Mereka bertiga cuba
melarikan diri ke Bombay dengan menggunakan kapal dagang milik syarikat
berkenaan.”
“Alhamdulillah. Kalau begitu, kami kena pulang segera ke
ibu pejabat. Maklumlah. ‘Jerung besar’ sudah pun masuk ke sangkar dan kawalan
ketat perlu diadakan bagi menyambut ketibaan hasil tangkapan kita.” Kata
Sulaiman dengan perasaan bangga.
Azan Subuh mula berkumandang dari sebuah masjid yang
tidak jauh dari rumah pasung berkenaan. Masing-masing terdiam seketika dan
menghayati alunan azan yang dilaungkan oleh seorang bilal muda sehinggalah
tamat.
“Tetapi sebelum itu, marilah kita menunaikan solat Subuh berjemaah.
Kita memanjatkan syukur kepada Allah kerana melindungi kita dari ancaman musuh
yang datang menyerang semalam.” Ajak Kapten Umar.
Mereka mula beredar keluar dari pejabat untuk ke masjid.
Langkah Kapten Umar terhenti sebentar dan memandang ke arah kalendar yang
tergantung di kaunter aduan. Dengan
segeralah helaian kertas pada kalendar itu dikoyak dan terpampanglah helaian
kertas lain dengan tarikh serta hari yang baru.
“Hari Jumaat, 18 September 1889. Penghulu segala hari.”
Kapten Umar tersenyum.
Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan