BAB 3
Waktu menunjukkan hampir pukul 5
petang. Kamil berehat bersama beberapa anggota pengawal di pos kawalan
berdekatan dengan kawasan kejiranan. Walau pun syif bertugas tamat pada pukul 3
petang tadi, dia sengaja tidak mahu pulang ke rumah kerana tiada apa yang perlu
lakukan. Ketika itulah seorang pemuda datang ke arahnya dan menyatakan bahawa
Kolonel Ismail ingin berjumpa di pejabatnya dengan segera. Hati Kamil
tertanya-tanya. Apa perkara mustahak yang perlu dibincangkan? Sedangkan dia
hanya berpangkat rendah dan bukanlah orang penting seperti Kapten Ramesh atau
Pak Seman.
Setibanya di pejabat Kolonel Ismail,
kelihatan Kapten Ramesh duduk bersebelahan dengan seorang pegawai tentera yang
tegap tubuhnya. Kepalanya hampir botak dan memakai seragam celoreng digital
berwarna hijau. Pegawai tentera itu melihat keadaan dirinya dari atas sehingga
ke bawah dan dia seperti tidak percaya orang seperti Kamil menjadi anggota
pasukan pengawal koloni.
“Perkenalkan, Leftenan Fendi dari
Koloni Johor. Dia berserta lapan pegawai yang lain akan melatih pasukan
keselamatan kita dalam tempoh dua bulan ini.” Kolonel Ismail memperkenalkannya
kepada Kamil. Mereka bersalaman sebelum Kamil duduk bersebelahan dengan
Leftenan Fendi.
“Baiklah. Atas permintaan Pak Seman
ketika berada di Koloni Johor dulu, kita telah menerima bantuan bukan sahaja
bekalan senjata, bahkan tenaga pengajar bagi memantapkan pasukan pengawal
Koloni Jalur Gemilang. Kita sudah sedia maklum koloni kita diancam oleh orang
gasar yang sering menimbulkan kebimbangan para penduduk khususnya golongan
petani.”
“Bila kita akan mulakan latihan
intensif?” Kapten Ramesh inginkan kepastian.
“Selepas kita adakan perjumpaan
rasmi dengan kesemua anggota keselamatan kita. Saya akan membuat pengumuman
tidak lama lagi. Kamu pula Kamar. Saya perlukan bantuan untuk seketika bagi
menumpangkan Leftenan Fendi di rumah kamu. Ini kerana berek yang sedia ada
tidak mencukupi dan ada berek yang telah diubah menjadi setor serta wad
pesakit. Bagaimana?” Kolonel Ismail mendapatkan persetujuan dariku.
“Saya tiada masalah. Bahkan saya
amat mengalu-alukan kedatangan tetamu kita.”
“Bagus. Setakat ini pertemuan kita
untuk hari ini. Kita tangguh dahulu sehingga diadakan perjumpaan rasmi pada
pagi esok.” Akhirnya mereka bersurai dan Kamil mengajak Leftenan Fendi menginap
di rumahnya untuk sementara waktu.
|
Halaman belakang rumah Wak Parman |
Setelah tiba di rumah, kelihatan Wak
Parman baru sahaja mengemas sebuah bilik kosong yang terletak bersebelahan
dengan setor khas. Dia telah dimaklumkan oleh Pak Seman akan kehadiran tetamu
dari Koloni Johor sejak awal lagi.
“Selamat datang ke rumah yang tidak
seberapa besar ini.” Ucap Wak Parman dengan rendah diri.
“Terima kasih, pakcik. Saya amat
berbesar hati akan sambutan keluarga pakcik.” Leftenan Fendi berasa gembira
bila diberi layanan yang agak istimewa.
“Silakan. Saya tunjukkan biliknya.”
Ketika itulah muncul Haliza yang baru pulang dari gudang bekalan harian.
Membeli bahan masakan untuk makan malam nanti.
“Baguslah kamu pulang cepat. Kamu
masaklah sedap-sedap. Wak percaya tetamu kita sudah lama berasa lapar selepas
mengharungi perjalanan yang lama untuk ke sini.” Tersenyum Wak Parman bila
melihat kepulangan Haliza.
Leftenan Fendi terpegun seketika
bila melihat kecantikan Haliza. Dia terus memerhatikan gadis itu yang sedang
menyediakan kelengkapan memasak di dapur. Matanya tidak berkelip dan dia
seolah-olah terkena pukau.
“Tuan. Tuan berehatlah dahulu,
tuan.” Suara Kamil mengejutkan Leftenan Fendi dari mimpinya.
“Er... Ya? Ya...?” Leftenan Fendi
terpingga-pingga bila bahunya digoyang oleh Kamil.
“Tuan berehatlah dahulu. Jika mahu
apa-apa, beritahulah Haliza.”
“Haliza?” Barulah Leftenan Fendi
tahu. Gadis yang berada di dapur tadi bernama Haliza.
“Lupa pula saya. Wanita di sana tu
bernama Haliza. Kami bertiga sudah lama tinggal bersama dengan Wak Parman.”
“Yang seorang lagi tu, siapa?”
“Yang ketiga bernama Salmi. Dia
sekarang sedang bertugas mengawal petani yang berada di luar koloni. Kami
bertiga sekian lama bersama dan sudah dianggap seperti adik-beradik.” Kamil
menceritakan sedikit sebanyak latar belakang mereka sebelum dia beredar.
Leftenan Fendi ingin berbual dengan Haliza tetapi bila melihat keadaan gadis
tersebut yang sibuk memasak, dia membatalkan hasratnya untuk berbuat demikian.
“Tak apalah. Bila-bila masa pun
boleh.” Bisik hatinya sebelum melangkah masuk ke biliknya.
|
Salah satu pos pengawal |
Malam semakin larut dan angin
bertiup kencang sehinggakan keadaan semakin sejuk. Seolah-olah ia cuba
memberikan amaran kecemasan kepada penduduk Koloni Jalur Gemilang. Bulan
purnama kini dilitupi awan sehinggakan keadaan menjadi gelap. Dengan bergantung
kepada lampu yang digantung pada tiang-tiang yang dipacak di lokasi tertentu,
suasana begitu suram dan samar-samar pandangannya. Di bahagian selatan,
beberapa lembaga asing bergerak keluar dari belukar dan mendekati pagar kawat
berduri. Salah seorang dari lembaga berkenaan menyumpit ke arah sasaran iaitu
seorang pengawal yang berada di menara pemerhati. Dengan mudah sahaja sasaran
mengena dan pengawal berkenaan rebah di dalam menara itu. Tanpa membuang masa,
satu demi satu dawai dipotong sehinggalah lapisan pagar yang terakhir berjaya
dicerobohi.
Di satu simpang jalan, seorang
pemuda gempal berkawal di pondok pengawal yang dilitupi guni tanah. Dengan
selaras senapang usang, dia menantikan rakannya yang berada di tandas
berdekatan.
“Apa masalah si Samad ni? Begitu
lama berada di tandas.” Pemuda gempal itu mengeluh kebosanan. Tanpa dia sedari,
satu lembaga menghampirinya dari arah belakang dengan pisau digenggam erat
ditangan kanannya. Wajahnya bengis dan rambutnya panjang mengurai.
Bang...! Bang...! Bang...!!
Bunyi tembakan memecah kesunyian
malam. Pemuda gempal tadi terkejut setelah melihat apa yang berlaku di
belakangnya. Sekujur tubuh asing tertiarap dengan berlumuran darah menjadi
tumpuannya.
“Kamu tak apa-apa?” Tanya seorang
lagi pengawal yang baru sahaja melepaskan tembakan dengan menggunakan sepucuk
pistol.
“Er... Tak apa-apa, Samad.” Pemuda
gempal itu masih dalam keadaan terkejut.
“Jangan buang masa. Koloni kita
telah dicerobohi oleh pihak musuh.” Dengan pantas pengawal yang bernama Samad
mengambil sebatang kayu dan mengetuk pada kepingan besi yang digantung pada
palang kayu.
Bunyi yang
kuat hasil ketukan itu mengejutkan lebih ramai penghuni yang sudah pun terjaga
selepas terdengar bunyi tembakan sebelum ini. Selang beberapa saat, kedengaran
lagi bunyi ketukkan kepingan besi di lokasi lain. Kemudian, di lokasi lain dan
pendek kata, isyarat kecemasan sudah pun berbunyi di seluruh Koloni Jalur
Gemilang. Beberapa orang penduduk mula keluar dari rumah masing-masing sambil
membawa senjata api. Memandangkan senjata api tidak mencukupi, ada juga membawa
peralatan pertanian seperti cangkul, sabit, penyodok pasir, parang dan kapak
untuk dijadikan senjata. Mereka berkerumun di sekitar pondok pengawal untuk melihat
mayat orang gasar dengan lebih dekat.
“Jangan
berkumpul di sini. Orang gasar sudah mula menceroboh koloni kita...!” Sesudah
sahaja amaran diberikan oleh Samad, segerombolan orang gasar secara tiba-tiba
muncul dari kawasan gelap dan mula menyerang penduduk yang berkumpul di pondok
pengawal.
Berlakulah
pertarungan jarak dekat diantara dua golongan manusia yang amat berbeza
kehidupannya. Dengan sifat ganas, orang gasar sanggup melakukan apa sahaja
asalkan dapat mebunuh semua penghuni Koloni Jalur Gemilang. Mereka yang
memiliki senjata api, dapatlah menembak dan membantu rakan-rakan lain yang
diasak berterusan oleh pihak penceroboh. Semakin banyak mayat bergelimpangan di
sekitar penempatan di selatan Koloni Jalur Gemilang dan sudah pastinya mayat
orang gasar yang paling banyak.
“Wak...
Bangun, Wak. Kita diserang sekarang ni!” Suara Haliza serta ketukkan pintu
biliknya yang kuat menyebabkan Wak Parman terjaga dari tidur. Bunyi
tembak-menembak mula kedengaran di kawasan kejiranan.
|
Pistol milik Wak Parman |
Dengan pantas,
Wak Parman menarik laci gerobok pakaian di sebelah katilnya untuk mengambil
sepucuk pistol. Kemudian dia memeriksa keadaan senjatanya sebelum memakai tali
pinggang peluru. Dengan hanya berpakaian baju tidur, Wak Parman segera ke
belakang rumahnya untuk mendapatkan Leftenan Fendi. Pada masa itulah kelihatan
Kamil dan Leftenan Fendi bergegas masuk ke rumah.
“Apa yang
berlaku?” Tanya Leftenan Fendi yang memeriksa kelopak peluru pistol semi
automatik.
“Tadi Haliza
kata kita telah diserang.” Jawab Wak Parman yang masih dalam keadaan mengantuk.
“Maksudnya,
orang gasar telah menceroboh masuk ke koloni. Begitu?” Leftenan Fendi memandang
ke wajah Kamil.
“Ya. Tidak
syak lagi.” Mereka bertiga terus meluru ke pintu hadapan untuk menghadapi
serangan penceroboh.
Salmi dan
Haliza tiba di pondok pengawal yang terletak hampir 10 meter dari rumahnya. Di
situ kelihatan seorang pengawal yang sedang bergelut dengan orang gasar yang
cuba membunuhnya. Dengan sepenuh hati, Salmi melibas senapang ke leher orang
gasar berkenaan sehingga menyebabkan kematiannya.
“Kamu tak
apa-apa, Wong?” Tanya Salmi. Mereka berdua rakan setugas ketika dalam pasukan
pengawal koloni sebelum Salmi ditukarkan ke pasukan peronda luar koloni.
“Saya tak
apa-apa. Tolong bantu yang lain.” Wong mengeluarkan sebilah pisau untuk
mencungkil kelongsong peluru yang tersekat pada senapangnya.
Haliza sibuk
melepaskan tembakan ke arah beberapa orang gasar yang cuba membunuh mangsanya
yang sedang bertarung dari arah belakang. Salmi pula berusaha menyelamat
beberapa orang awam serta anggota keselamatan yang cedera ke tempat mereka
berlindung. Tanpa Salmi sedari, dua batang anak panah menembusi betis dan bahu
kirinya.
“Aduh...!!
Tolong...!!” Salmi menjerit kesakitan. Dia turut terbaring di sisi mangsa
serangan yang cuba diselamatkannya.
“Lindungi saya
sekarang!” Haliza menyerahkan senapang miliknya kepada Wong. Oleh kerana
senapangnya mengalami kerosakan, terpaksalah Wong menggunakan senapang milik
Haliza.
|
Kelongsong peluru tersekat |
Dengan kudrat
yang terhad, terpaksalah Haliza menarik Salmi serta seorang lagi mangsa pada
masa yang sama. Seramai enam mangsa serangan termasuklah Salmi sempat
diselamatkan tanpa sebarang rawatan. Haliza mengoyakkan kain batik yang
dipakainya untuk digunakan bagi mengikat kaki Salmi bagi menahan pendarahan.
Dengan kain yang sama jugalah digunakan untuk membalut kecederaan mereka yang
diselamatkannya. Keadaan masih tegang dengan bunyi tembakan yang semakin rancak
tanpa henti. Kaum wanita khususnya para isteri dan ibu, mereka melindungi
keluarga mereka dengan menguncikan diri di dalam rumah masing-masing agar orang
gasar tidak menceroboh masuk.
“Kita akan
berpecah dalam beberapa kumpulan untuk memburu saki-baki orang gasar yang masih
bebas. Jika boleh, pastikan setiap kumpulan tidak kurang dari lima orang.”
Leftenan Fendi memberi arahan kepada para penduduk serta anggota keselamatan
yang berada di situ.
Kumpulan Wak
Parman meronda di jalan utama yang menuju ke pesawat induk dan kumpulan Kamil
akan menyusuri laluan belakang kawasan kejiranan dan menggeledah lokasi-lokasi
terpencil agar ia tidak menjadi tempat persembunyian orang gasar. Kumpulan
Leftenan Fendi pula akan membantu rakan-rakan yang masih bertempur di lokasi
lain. Sedang mereka bergerak ke lokasi pertempuran, kedengaran bunyi enjin yang
semakin kuat datang menghampiri mereka dan kelihatan Kapten Ramesh yang berada
di dalam salah satu kenderaan perisai. Beberapa buah kenderaan perisai mula
muncul tindak lama kemudian.
“Berapa ramai
orang gasar yang menceroboh koloni kita?”
“Dianggarkan
seramai tujuh puluh hingga seratus orang. Tetapi ia mungkin kurang dari apa
yang saya anggarkan.” Jawab Leftenan Fendi.
“Kita perlu ke
sana untuk menghulurkan bantuan. Kawasan di sini sudah pun berada dibawah
kawalan pegawai saya. Tidak perlulah risau.” Kapten Ramesh menerangkan keadaan
terkini. Kumpulan Leftenan Fendi terpaksalah berpatah balik ke kawasan
penempatan yang telah diserang oleh orang gasar.
Kumpulan Kamil
menyusuri lorong penjalan kaki di sekitar penempatan dengan penuh berwaspada.
Masing-masing melangkah perlahan dengan senjata digenggam erat. Selain itu,
Kamil juga bertanya khabar kepada setiap penghuni rumah agar mereka sentiasa
selamat serta mendapatkan beberapa maklumat jika ternampak kelibat orang gasar.
Adakalanya Kamil terserempak dengan beberapa kumpulan kecil yang turut memburu
orang gasar dan dengan lantas dia mengajak mereka agar menyertai kumpulannya.
“Tak jumpa
apa-apa pun.” Kata seorang pemuda kepada Kamil selepas memeriksa sebuah setor
menyimpan peralatan pertanian.
“Tak mengapa.
Kita teruskan rondaan sehingga mendapat arahan baru dari pihak atasan.”
“Kalau begitu,
baiklah.” Dengan rasa penuh tanggungjawab, mereka menyambung kembali tugas
rondaan sehinggalah kedengaran azan subuh berkumandang.
|
Kenderaan perisai yang dinaiki Kapten Ramesh |
Di perkarangan
masjid, kelihatan kumpulan Wak Parman sudah pun berkumpul sebelum diikuti
kumpulan-kumpulan lain. Mereka akan menunaikan solat Subuh berjemaah. Di luar
Koloni Jalur Gemilang, masih kedengaran bunyi tembakan bertubi-tubi dari
pasukan kenderaan perisai yang diketuai oleh Kapten Ramesh. Mereka memburu
saki-baki orang gasar yang melarikan diri. Dalam keadaan yang masih gelap,
terpaksalah mereka menembak secara rambang ke arah kawasan belukar serta hutan
berdekatan.
Di lokasi
pertempuran serta sekitar kawasan kejiranan, mayat-mayat orang gasar
dikumpulkan ke dalam lori untuk dibawa ke pesawat induk bagi tindakan lanjut.
Mereka yang cedera diberikan rawatan segera di dewan orang ramai. Haliza baru
sahaja keluar dari perkarangan dewan orang ramai selepas menemani Salmi yang
mendapatkan rawatan. Dan pada masa itulah Leftenan Fendi yang baru tiba ke situ
terserempak dengan Haliza dengan pandangan yang berbeza dan ini membuatkan
Haliza tidak selesa dengan cara sedemikian.
“Mengapa awak
pandang saya begitu? Tanya Haliza dengan nada tegas.
“Kain batik
yang awak pakai sekarang ini telah koyak sehingga melepasi paras betis.”
“Jadi, apa
kaitan dengan awak?”
“Kaitan dengan
saya? Awak telah menarik perhatian saya dan saya perlu menyerahkan kain ini
kepada awak bagi menggantikan kain batik yang telah koyak. Ambillah.” Leftenan
Fendi menyerahkan sehelai kain batik yang baru kepada Haliza.
“Terima kasih.
Nanti saya akan pulangkan kembali kepada awak.”
“Tak perlulah,
Haliza. Anggaplah kain batik baru itu hadiah dari saya.” Jawab Leftenan Fendi
sebelum beredar. Tetapi sebelum itu, dia sempat tersenyum ke arah Haliza yang
seperti terpingga-pingga bila menerima hadiah dari seorang lelaki yang baru
dikenalinya. Wajahnya bertukar merah bila perasaan malu mula muncul. Kain batik
baru itu adalah buatan dari Koloni Terengganu.
Menjelang pagi
selepas beberapa jam berakhirnya serangan orang gasar, pasukan penyiasat yang
ditubuhkan telah mengumumkan bahawa jumlah orang gasar yang dibunuh seramai 67
orang. Manakala seramai 16 orang termasuklah 10 orang awam terkorban dan
ratusan lagi mengalami cedera parah. [Bersambung...]
Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.