Jumaat, 27 Disember 2019

Korang Dah Makan? (Bab 2)

Nombor Tak Naik-Naik

Pecah rekod peribadi! Itulah yang aku tafsirkan apa yang aku alami setakat ini. Selama lima hari aku membangau di hub setelah check-in syif kerja, sebanyak lima kali nombor tak naik. Selama itulah aku jadi back-up rider. Walau bagaimana pun, ada elaun syif untuk mereka jadi back-up iaitu sebanyak RM 8 bagi satu syif. Namun begitu, adakalanya ia boleh menyebabkan seorang rider itu bosan jika tak keluar.

Sebenarnya aku tak sabar-sabar nak guna beg delivery yang aku baru beli dari online. Harganya dalam RM 94 aje. Malangnya aku terbeli awal sebab beberapa hari kemudian ada promosi sempena 12.12.2019 dengan harga RM 64. Tak apalah tapi yang penting ia amat memerlukan jika dapat pesanan dengan kuantiti yang banyak dan tak mahu makanan serta minuman tak rosak ketika dibawa dengan motosikal.

Sejak aku mendaftar diri menjadi rider sambilan pada bulan lepas, aku dah merasai macam mana caranya untuk menghantar serta bertemu dengan pelbagai jenis orang. Alhamdulillah. Setakat ini tiada kesulitan yang aku alami ketika melaksanakan tugas. Bila sampai sebelum masuk syif pagi yakni 10.30 pagi, dalam 20 minit awal aku perlu check-in dengan leader dan membuka apps. Nak kena jimat data sebab pihak hub tak menyediakan wifi secara percuma. Bila nombor tiba-tiba naik, akan ada orang memanggil mengikut nombor yang terpampang di telefon aku. Dengan segeralah aku mengambil senarai yang diberikan dan beratur untuk mengambil makanan.

Sebelum keluar melaksanakan tugas, sekali lagi aku perlu periksa makanan dan minuman untuk dihantar berpandukan senarai yang diberikan oleh leader. Pastikan sama dan cukup. Jika tak, kenalah lapor kepada leader dengan segera. Jika kita dah keluar dan sampai ke rumah pelanggan, tiba-tiba ada yang tak cukup atau tertinggal, jawabnya kena potong RM 10 la. Oleh itu, kerja yang simple janganlah disulitkan (bagi pendapat aku la

Sebagai rider sambilan, tak perlulah bergantung harap pada satu syarikat penghantaran makanan aje. Setakat ini ada dua syarikat yang sesuai untuk menawarkan peluang kepada orang macam aku ni. Sebagai contoh, jika kita membangau dalam satu syif, habis aje syif berkenaan bolehlah buka apps syarikat lain untuk sambung kerja sebelum pulang ke rumah. Dan aku nampak dengan jelas peluang ini dan try risik-risik jika ada lobang kosong.

Sabtu, 9 November 2019

Korang Dah Makan? (Bab 1)

Beranikan Diri

Pejam celik, dah masuk bulan November 2019. Sepanjang tahun ini macam-macam perkara yang berlaku. Antaranya, cawangan Bandar Baru Bangi dimana tempat aku kerja ditutup atas sebab masalah kewangan dan hasil jualan yang tak memberangsangkan. Memang aku tak berapa setuju pasal penutupan cawangan di situ. Sebabnya, rumah kakak aku memang terletak dekat kawasan situ. kalau ada kecemasan, bolehlah aku menumpang mandi dan tidur.

Okay. Sekarang ni aku ceritakan kisah aku mencuba nasib bekerja sambilan di sebuah syarikat penghantar makanan yang boleh dikira terkenal. Sebelum itu, aku dah kaji bermacam syarikat penghantar makanan dan barangan yang ada di sekitar Kuala Lumpur atau di Petaling Jaya. Akhirnya, aku pilih syarikat ini disebabkan keunikan serta berbeza dari syarikat penghantar makanan lain.

Antara keunikkannya adalah para rider hanya perlu bersidai di hub syarikat. Tak perlulah bersidai di restoran makanan segera dan berebut pelanggan dengan rider lain melalui aplikasi. Syarikat ini siap ada tukang masak sendiri dan mereka betul-betul jaga kualiti makanan. Syarikat ini ada cawangan di USJ, Petaling Jaya, Pudu (Kuala Lumpur) dan Kota Damansara. Dengar cerita, sama ada bulan Disember atau awal tahun 2020 akan buka hub atau cawangan baru di Cyberjaya.

Pada hari ini, 9 November 2019. Aku nekad untuk bekerja sambilan walau pun hati aku sedang cemas. Mana taknya. Bolehkah aku mampu memikul tugasan yang mencabar ini dengan meredah jalan raya yang sesak, kena cari alamat pelanggan walau pun ada bantuan aplikasi peta dan mampukah membawa makanan dalam jangka masa yang ditetapkan? Macam mana pun, aku nak mencuba juga.

Nak dekat pukul 10 pagi, aku tiba ke pejabat yang terletak di Petaling Jaya. Sampai ke situ, ada dua brother duduk mengadap dinding putih yang akan dijadikan tempat tayangan slide projetor. Selepas aku memperkenalkan diri kepada pendaftar dan mengambil tempat, seorang demi seorang masuk dan kesemuanya adalah lelaki (bosan sungguh!). Tak lama kemudian, tiba pula seorang rider syarikat berkenaan dan menerangkan pasal tugas, peraturan, tips-tips berguna dan cara nak menggunakan aplikasi walau pun aku blur. Dalam tempoh 2 jam setengah aku dengar penerangan dia dan adakalanya sekali lagi aku blur seketika bila masuk cerita bab nak hubungi CG (Cash Group) jika berlaku kesulitan. Tak apalah. Slow-slow aku belajar.

Habis aje penerangan dan sesi soal jawab, setiap seorang termasuk aku menjawab kuiz sebelum mendaftar secara rasmi sebelum menerima sehelai t-shirt, bag biru kecil (khas untuk orang baru) dan phone holder. Aku nak minta t-shirt lengan panjang tetapi pendaftar tu kata memang tak ada. Maklumlah. Sebab aku ni jenis tak tahan sejuk.

Banyak sebab kenapa aku nak buat kerja sambilan dan kenapa aku pilih rider penghantar makanan. Kenapa tak join pramusaji sambilan di banquet hotel. Jawapannya adalah aku nak bebas. Kalau buat part-time di hotel, takut nanti ada tetamu VVVVVVVIP kenal aku. Lagi satu, sakit badan aje nak angkat kerusi, meja, tarik berbakul-bakul cawan, susun sudu dan garfu. Waktu bekerja pula agak padat. Manakala waktu kerja part-time rider adalah fleksibel. Senang cakap la, pilih hari yang sesuai untuk bekerja dan goyang kaki seketika. Janji jangan M.I.A (missing in action).

Sebenarnya aku nak cari duit sampingan untuk bayar hutang. Tapi aku bukannya berhutang dengan ALONG! Selain itu, nak kumpul duit nak terbit buku sendiri dan menyediakan kos untuk "mendirikan masjid". Tak lebih dari itu. Aku berharap segala urusan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa sebarang gangguan. Inshaallah....

Khamis, 29 Ogos 2019

Cerpen: Tembok


Aku duduk menyandar di pangkal pokok sambil menghabiskan saki-baki makanan yang dibekalkan dari rumah. Mengawasi beberapa ekor kambing milik ayahku sedang meragut rumput tidak jauh dari tempat aku berada. Itulah salah satu sumber rezeki bagi menyara keluargaku selain bercucuk tanam dan menangkap ikan di sungai. Suasana nyaman, mendung dan dingin masih terasa sedangkan waktu sudah pun menjelang tengahari. Ini kerana hujan lebat melanda kampungku sejak tengah malam sehinggalah awal pagi tadi.
Di hadapanku, sebuah tembok yang cukup besar dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Dari jauh, ia seperti tembok biasa yang mampu dipanjat oleh sesiapa pun. Tetapi hakikatnya ia lebih besar dari apa yang aku jangkakan. Menurut cerita ayahku, ketinggian tembok itu dianggarkan hampir 480 meter dan lebarnya dianggarkan hampir 500 meter. Tambahnya lagi, tembok itu didirikan mengelilingi tempat kami berada dengan keluasan dianggarkan 83 ribu kilometer persegi. Tiada laluan keluar dan masuk di darat yang menjadi penghubung ke dunia luar melainkan laluan udara sahaja.
“Apa fungsi tembok tu?” Aku bertanya kepada ayahku ketika pertama kali keluar bersama memburu ayam hutan.
“Tembok tu berfungsi untuk melindungi kita dari sebarang ancaman musuh dari luar.” Jawab ayahku.
“Siapa musuh di luar sana?”
“Entahlah. Ayah pun tak tahu.” Ringkas jawapannya seperti nada malas untuk menjawab soalanku. Seolah-olah dia cuba menyembunyikan sesuatu.
Akhirnya barulah aku mengerti mengapa kami berada di sini apabila usiaku mula menginjak dewasa. Aku adalah salah seorang dari ratusan generasi pertama yang dilahirkan di dalam penjara terbesar di dunia pada 20 tahun yang lalu. Arwah datukku adalah seorang peguam dan aktivis politik yang aktif menentang pihak pemerintah sebelum dia serta keluarganya ditahan dan dibuang ke sini bersama ribuan yang lain. Turut menerima nasib yang sama adalah anggota kumpulan kongsi gelap, penjenayah biasa, pesalah juvana, pengkhianat, gelandangan, penjenayah seksual, pengamal ajaran sesat, pelampau kaum, golongan liberal, murtad dan ateis, pendatang asing tanpa izin serta golongan LGBT*.
Teringat kembali cerita dari dari ayahku. Ketika mereka ditangkap, ayahku berusia 10 tahun. Ahli keluarga yang lain turut diheret keluar dari rumah pada tengah malam dalam keadaan sehelai sepinggang. Rumah serta harta bendanya disita. Kemudian mereka dikumpulkan bersama ribuan yang lain di sebuah kem tumpuan sebelum diterbangkan ke Sarawak. Setibanya di lapangan terbang, mereka dikumpulkan sekali lagi di hangar pesawat untuk diberikan pakaian banduan serta kelengkapan keperluan yang lain. Selepas itu kami dibawa ke penjara ini dengan menggunakan helikopter.
Mujurlah pihak pemerintah sudah pun menyediakan rumah, haiwan ternakan, baja, anak benih dan kelengkapan pertanian bagi kelangsungan hidup mereka sepanjang hayat di sini. Pada peringkat awal mereka berasa kekok kerana hidup dalam suasana yang baru. Ibaratkan menjalani kehidupan seharian dizaman pertengahan Eropah secara tiba-tiba. Dengan berkat kesabaran, bekerjasama dan tolong-menolong sesama rakan senasib, akhirnya mereka mampu hidup dengan sempurna walau pun tanpa bantuan peralatan moden.
Sebelum ini mereka pernah merancang untuk keluar dari kawasan kurungan ini. Namun, terpaksalah dibatalkan setelah melihat sendiri kedalaman serta ketebalan tembok ketika melaksanakan operasi menggali terowong berdekatan dengan tembok berkenaan.
“Kita akan mengalami masalah bekalan oksigen jika kita terus menggali lebih dalam. Tetapi kita tak tahu berapa dalam tembok ini ditanam.” Ujar seorang lelaki tua kepada yang lain.
“Lagi satu. Tembok ini dibina bukan dari bahan binaan biasa seperti konkrit. Ia seakan-akan logam. Saya cuba memecahkan tembok ini tadi. Tetapi tak berkesan langsung.” Tambah seorang lagi teman ayahku.
“Tak apalah kalau begitu. Kita ditakdirkan menjalani kehidupan di sini sehingga akhir hayat. Mari kita pergi dari sini. Lubang terowong janganlah dikambus. Kita tanam pokok-pokok renek di sekitarnya supaya pengawal di atas tembok tidak menyedari kegiatan kita di sini.” Pesan ayahku ketika itu sebaya dengan usiaku.
Tembok. Menjadi saksi utama kesengsaraan halus yang kami hadapi selama ini sehinggakan hasrat arwah atukku untuk melihat dunia luar sebelum menghembus nafasnya yang terakhir tidak kesampaian. Mungkin sama ada ayahku, aku, anakku, cucuku atau generasi seterusnya sempat melihat dunia luar jika diberikan kesempatan. Tetapi, bila masanya?
Kelihatan seorang gadis berlari menghampiriku sambil melambai tangannya. Wajahnya cemas seperti ada perkhabaran yang tidak baik yang ingin disampaikan kepadaku.
“Kenapa, adik?” Aku bingkas bangun.
“Ayah suruh balik sekarang. Perintah berkurung dah dikeluarkan.” Katanya sambil menarik kambing-kambing yang belum habis meragut rumput.
“Perintah berkurung dalam waktu begini? Baru tengahari.”
“Jangan banyak soal. Balik nanti abang tanyalah pada ayah.” Tambahnya lagi sebelum beredar dalam keadaan tergesa-gesa.
Setibanya kami di kampung, ramai penduduk turut berlari pulang dari ladang berhampiran. Ada yang menarik lembu dan kerbau, menghalau ayam serta itik masuk ke dalam reban dan ada juga membawa hasil tangkapan ikan dari sungai berdekatan. Kelihatan ayah sedang berkata sesuatu kepada rakan yang lain sebelum bersurai.
“Buat masa ini kita jangan turun ke pekan.” Kata ayah ketika dia masuk ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
“Kenapa, ayah?”
“Ada berlaku pergaduhan antara kumpulan samseng di sana. Sudah kamu kurungkan kesemua kambing di dalam kandang?”
“Sudah, ayah.”
“Bagus. Sekarang ambil senjata dan berkumpul di pintu masuk kampung. Nanti ayah menyusul kemudian. Suruh adik dan emak bersembunyi dalam rumah dan jangan keluar.” Pesan ayah sebelum masuk ke bilik tidur utama untuk mengambil sebilah parang.
Aku pula mencapai busur dan bekas berisi anak panah di bilik tidur sebelum kembali ke pintu masuk utama kampung. Orang kampung sudah pun berkumpul sambil membawa pelbagai jenis senjata. Beberapa orang pemuda menolak pedati lembu menutup beberapa laluan keluar masuk di sekitar perkampungan dan berkawal di situ. Ketua kampung memberi arahan agar bersiap sedia jika berlaku kejadian yang tidak diingini. Beberapa buah kampung berhampiran turut berada dalam keadaan berjaga-jaga setelah diberi amaran awal.
“Lihat sana.” Seorang pemuda menundingkan jari ke ruang udara.
Kelihatan sebuah helikopter berlegar-legar di ruang udara pekan sambil melepaskan tembakan bertubi-tubi. Kedengaran bunyi letupan bertali-arus sebelum berlaku kebakaran besar. Asap tebal dapat dilihat dengan jelas dari kampungku yang terletak di atas bukit.
“Macam mana mereka boleh tahu ada kekecohan di pekan tu?”
“Entahlah. Mungkin mereka mendapat maklumat dari pengintip.”
“Pengintip?” Aku termenung sejenak.
Adakah selama ini pergerakkan serta kegiatan harian kami sentiasa dipantau oleh mereka? Mungkinkah ada diantara kami ini adalah pengintip yang menyamar menjadi penghuni penjara? Aku memandang kembali ke arah tembok gergasi. Berdiri kukuh tanpa tergugat dari sebarang ancaman. Baik dari manusia atau alam sekitar. Tembok yang memisahkan kami dari arus kemajuan yang mereka nikmati ketika ini. Tembok menjadi simbol kekejaman bisu.

LGBT* (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender)


Amaran: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Selasa, 2 Julai 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 4)

Anggota sukarelawan sedang berlatih
        Jaster hanya duduk bersila di dalam pondok buluh sambil menompang dagu. Dia memerhatikan beberapa kumpulan belia yang sibuk menjalani latihan ketenteraan di kawasan padang. Ada yang berlatih menembak, ada yang berlatih bertarung dengan menggunakan pedang serta tombak dan ada juga berlatih berkawad. Kelihatan juga Venius sedang mengikuti latihan menyelenggarakan istinggar.
            “Tamat latihan untuk hari ini. Esok saya akan mengajar kalian bagaimana untuk mengisi peluru sebelum melepaskan tembakan.” Kata jurulatih berkenaan.
            “Baik, tuan.” Masing-masing bersurai dan pulang ke asrama yang disediakan. Pada ketika itulah Venius ternampak Jaster duduk berseorangan. Lantas dia segera mendekati untuk berbual dengan temannya.
            “Buat apa di sini?”
            “Duduk berehat selepas bekerja.”
            “Selepas bekerja? Maksud kamu, selepas bekerja di pejabat gabenor?” Venius seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
            “Ya. Saya bekerja di situ. Mengapa?” Soalan balas dari Jaster disambut senyuman Venius.
            “Tidak sangka kamu berubah fikiran. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?” Tanya Venius lagi.
            “Kita akan berperang menentang Filgaria tidak lama lagi. Kamu serta beribu belia yang lain dikerah untuk menghalangnya dari mendekati sempadan negeri kita.”
            “Jadi?”
            “Jadi, rakan-rakan sebaya yang lain terpaksalah mengambil alih tugasan yang pernah dilaksanakan oleh orang dewasa seperti kamu. Saya pula mengambil alih jawatan pembantu dapur yang sebelum ini dipegang oleh Pakcik Ulf.” Rungut Jaster.
            “Usahlah merungut, Jaster. Dalam usia yang masih muda, sudah tiba masanya kamu mempelajari sesuatu.”
            “Mempelajari sesuatu? Apa dia?” Tanya Jaster dengan nada kemalasan.
            “Tanggung jawab dan berdikari. Dalam kata lain, belajarlah menghadapi kesusahan dalam kehidupan. Jika kamu inginkan kesenangan di kemudian hari, tiada jalan pintas untuk berusaha kecualilah kamu melakukan jenayah seperti menipu dan merompak.”
            “Tiada jalan lain untuk hidup senang?” Tanya Jaster lagi. Kali ini hanya gelengan kepala dari Venius memberikan jawapan. Ini menyebabkan Jaster terdiam dan memikirkan sesuatu.
            “Nasihat dari saya ialah bersabarlah ketika mencari rezeki. Janganlah melanggar undang-undang yang boleh menyebabkan kesusahan pada diri kamu serta keluarga.”
            “Saya berharap krisis ini akan berakhir seberapa segera.”
            “Ya. Mudah-mudahan.” Venius mendongak ke langit. Keadaan persekitaran yang semakin malap beserta kedengaran bunyi guruh seperti memberi amaran yang hujan akan melanda pada bila-bila masa lagi.
            “Hari semakin gelap. Lebih elok kita pulang segera sebelum hujan.” Kata Venius sebelum mereka beredar pulang. Jaster tinggal tidak jauh dari kawasan latihan anggota sukarelawan. Jadi, hanya perlu beberapa minit sahaja untuk tiba ke rumah berbanding Venius yang memerlukan hampir setengah jam.

            Venius menyusuri laluan penjalan kaki yang dibina dari batu-batu sungai. Melalui lorong sunyi di belakang rumah kedai adalah satu kebiasaan baginya untuk pulang ke rumah dan itulah satu-satunya jalan pintas. Rintik-rintik hujan mula turun dan ini menyebabkan Venius dengan segera berlari pulang agar ibu bapanya tidak berasa bimbang.
            Setibanya di satu simpang, Venius terus membelok ke kanan menuju ke jalan utama berdekatan. Tiba-tiba, langkahnya terhenti apabila ada satu halangan yang amat mengejutkan. Halangan manusia seramai tiga orang yang lengkap bersenjatakan pedang dan tombak. Venius juga berasa ada orang yang menghampirinya dari arah belakang. Bau ancaman dapat dihidunya dan dengan penuh berwaspada, Venius menarik pedang dari sarungnya dengan perlahan sambil memusingkan tubuhnya ke belakang. Alangkah terkejutnya orang yang berada di belakangnya adalah Tuan Alifey.
            “Venius. Boleh kita berbincang sebentar?” Tanya Tuan Alifey kepada Venius.
            “Boleh. Tiada masalah. Adakah tuan ingin ‘berbincang’ dengan menggunakan pedang?” Venius menunjukkan sebilah pedang yang dipegang oleh Tuan Alifey. Ini menyebabkan Tuan Alifey terpingga-pingga seketika.
            “Er... Maafkan saya, Venius. Saya baru sahaja pulang dari berlatih berlawan pedang tadi.” Kata Tuan Alifey sambil menyimpan pedangnya dengan tergesa-gesa. Mungkin itulah alasan yang tidak munasabah bila mendengarnya.
            “Bagaimana pula yang lain, tuan? Mereka juga ingin ‘berbincang’ dengan cara yang sama?” Barulah dia sedar yang para pengawal pengiringnya juga sudah siap menghunuskan senjata. Dengan segeralah Tuan Alifey mengarahkan mereka bersurai.
            “Apa perkara yang tuan ingin bincangkan?”
            “Mengenai Marsha. Hubungan kamu dengan dia.”
            “Hubungan kami?”
            “Ya. Hubungan kamu berdua. Saya ingin tahu dengan lebih serius kali ini. Adakah kamu benar-benar sayangkan Marsha? Atau kamu ingin mempermainkan perasaan dia?” Tanya Tuan Alifey dengan bersungguh-sungguh. Tangan kirinya masih memegang hulu pedang dengan erat.
            “Saya amat menyayangi dia dengan sepenuh hati. Tidak terlintas difikiran saya untuk mempermainkan perasaannya.”
            “Sejak bila kamu mengenali adik saya?”
            “Sejak berada di bangku sekolah.”
            “Begitu lama. Sehinggakan saya tidak mengetahuinya.” Tuan Alifey mengurut dagunya. Mungkin dia memikirkan bagaimana caranya untuk mengajar Venius agar menghormati dan patuh perintah golongan bangsawan.
            “Apa kata saya akan menawarkan kepada kamu sebanyak dua uncang emas. Saya mahu kamu tidak lagi bertemu Marsha dan memutuskan hubungan dengannya. Bagaimana?”
            Tuan Alifey cuba memancing Venius dengan tawaran yang lumayan. Dia yakin Venius tidak mampu menolaknya kerana dua uncang emas sudah cukup untuk menampung perbelanjaan bahan dapur selama setahun. Malangnya, jangkaan meleset apabila Venius ketawa berdekah-dekah.
            “Maafkan saya, Tuan Alifey. Saya amat menyayanginya sepenuh hati. Jangan fikir tuan boleh membeli cinta kami dengan harga dua uncang emas.” Jawapan dari mulut Venius membuatkan Tuan Alifey hilang sabar.
            “Nampak gayanya saya tiada pilihan lain. Andainya kamu tewas, pastikan kamu tidak lagi mendekati Marsha lagi.” Tuan Alifey terus menarik keluar kembali pedangnya dari sarung.
            “Bagaimana pula jika tuan yang tewas?” Venius turut bersedia dengan pedangnya.
            “Jawapannya tetap sama. Jangan mendekati Marsha lagi.” Sepantas kilat pedang Tuan Alifey melibas ke arah Venius. Mujurlah Venius sempat mengelak sebelum terlanggar pada tembok berhampiran.
            Bermulalah pertarungan dua pahlawan di pihak yang sama demi menegakkan maruah dan pendirian masing-masing. Venius bertarung demi mempertahankan kesucian cintanya kepada Marsha, adik Tuan Alifey. Manakala Tuan Alifey pula mempertahankan maruah keturunan golongan bangsawan. Pertarungan sengit masih berterusan tanpa rasa mengalah. Tuan Alifey cuba menetak kepala Venius tetapi gagal. Venius dengan pantas menendang perut tuannya tanpa rasa bersalah.
            “Cis! Ini tidak boleh dibiarkan. Sudah tiba masanya untuk kamu menghembuskan nafas terakhir di sini!” Dengan geram Tuan Alifey terus menyerang dengan tusukan pedang yang mengenai bahu Venius.
            Sedang asyik berbalas serangan, beberapa orang penduduk yang melalui kawasan berdekatan mula berkumpul untuk melihat apa yang sedang berlaku.
            “Mengapa Tuan Alifey berlawan pedang dengan Venius?” Tanya pemuda pertama.
            “Ala... Pedulikan. Mereka sedang berlatih. Usah ganggu merekalah!” Jawab pemuda kedua dengan bersahaja. Pemuda ketiga pula mengecilkan matanya dan mengamati dengan penuh teliti sebelum menyedari ada sesuatu yang tidak kena.
            “Ini bukannya berlatih! Mereka sebenarnya bergaduh!” Rakan yang lain terkejut bila mendengarnya.
            “Tunggu apa lagi? Mari kita leraikan mereka.” Ajak pemuda pertama.
         “Saya fikir elok kita khabarkan perkara ini kepada Puan Olif dengan segera. Mungkin dia dapat membantu.” Cadang pemuda kedua.
           Mereka kemudian bersetuju sebelum bergegas ke kawasan kediaman golongan bangsawan yang terletak bersebelahan kawasan taman bunga. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Jumaat, 28 Jun 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 3)

Anak gabenor daerah Orenburg
         Perkarangan dewan orang ramai berubah wajah. Ia dipenuhi khemah dan bengkel tukang besi yang sibuk menjalankan tugasnya. Tuan Alifey sentiasa mengikuti perkembangan terkini pembikinan senjata yang amat diperlukan. Sedang asyik berbual dengan salah seorang tukang besi di situ, kedengaran bunyi rengekan kuda dengan diselangi sorakan gembira. Kemudian, terdengar lagi seseorang menjerit ke arahnya.
            “Bantuan dari daerah Orenburg sudah tiba...!” Wajah ceria mula terpancar bila mendengar perkhabaran gembira berkenaan. Lantas Tuan Alifey segera bertemu dengan sekumpulan tetamu yang menunggu di luar pagar.
            Jika dilihat gaya serta cara pemakaian si tetamu itu, jelaslah mereka adalah bukan sebarangan orang. Bertopi jerami, jubah poncho berwarna kelabu dan berkasut kulit paras lutut. Sebilah pedang dan sepucuk terakol tersisip kemas pada sarungnya dipinggang masing-masing. Mereka juga dilengkapi istinggar sebagai senjata tambahan.
            “Benni?” Tuan Alifey seperti mengenali salah seorang tetamu berkenaan. Seorang pemuda yang agak menonjol tampil di hadapan Tuan Alifey dengan gaya seperti seorang jagoan penembak tepat.
            “Tuan Alifey? Apa khabar?” Jejaka bernama Benni menyambut salam dari Tuan Alifey.
            “Saya sihat. Ayah kamu apa khabar?”
            “Sihat juga. Ayah turut mengirimkan bekalan kepada tuan. Lihatlah di sini.” Benni membawa Tuan Alifey bagi melihat sendiri bekalan bantuan yang dibawanya. Terdapat sembilan ekor kuda yang membawa lapan belas kotak kayu yang mengandungi istinggar dan peluru.
            “Seperti yang kamu tahu. Tentera Filgaria akan menakluki negeri kita pada bila-bila masa sahaja. Oleh sebab daerah Kota Biru bersempadan dengan negeri mereka, saya bertanggung jawab sepenuhnya untuk menyekat mereka dengan apa cara sekali pun.” Tuan Alifey membawa Benni meninjau sekitar bengkel besi di situ.
            Para tukang dan pekerjanya sibuk menempa pelbagai senjata yang diperlukan. Setiap tugasan dibahagikan mengikut kepakaran masing-masing. Ada ditugaskan menempa pedang, menempa mata tombak, menyediakan acuan dan ada ditugaskan untuk mencairkan besi dan tembaga di relau yang telah dibina khas.
            “Tuan Alifey usah khuatir. Bantuan seterusnya akan tiba tidak lama lagi. Kami adalah pasukan pendahulu sebelum bantuan dari daerah lain menyusul. Setakat mana persiapan pihak tuan? Saya nampak di sini amat sibuk.” Benni mengipas-ngipas wajahnya yang berpeluh dengan topinya.
            “Setakat ini semuanya berjalan lancar. Kami menggunakan bahan-bahan yang sedia ada termasuklah bahan yang dikitar semula. Kami cuma memerlukan lebih banyak bahan logam untuk membuat meriam sahaja.”
            “Tidak perlu bersusah-payah, Tuan Alifey. Dengan izin Tuhan bantuan yang tuan inginkan pasti sampai. Saya jamin.” Benni tersenyum sambil menepuk bahu Tuan Alifey.
            “Terima kasih, Benni. Terima kasih.” Tuan Alifey terhutang budi akan bantuan dari Benni. Mereka berdua terus meninjau persekitaran sehinggalah didatangi seorang lelaki yang berjubah kerudung hitam.
            “Maafkan saya. Boleh saya berbicara dengan Tuan Alifey sebentar?” Tanya lelaki itu dengan sopan. Tuan Alifey tidak berasa terganggu dan dia hanya mengganguk sebelum memandang ke arah Benni.
            “Saya fikir elok kamu semua berehat di rumah tetamu. Saya akan arahkan pembantu saya menyediakan segala kemudahan yang kamu perlukan.”
            “Baiklah. Kita bertemu kembali esok pagi. Selamat malam.” Ucap Benni.
            “Selamat malam, Benni.” Jawab Tuan Alifey. Setelah Benni dan ahli rombongan yang lain beredar, Tuan Alifey mendekati lelaki tadi.
            “Tuan. Memang benar apa yang tuan jangkakan.” Bisik lelaki itu ke telinga Tuan Alifey. Tuan Alifey mengerut dahinya seperti dia menerima maklumat yang tidak diingini seumur hidup.

            Menjelang tengah hari, Marsha pulang ke rumah agamnya dengan hati yang lapang selepas tamat sahaja kelas mengait benang. Sudah tiba masanya dia akan mempraktikkan apa yang dia pelajari selama ini. Ketika Marsha melintasi bilik bacaan berdekatan dengan ruang tamu, Tuan Alifey memanggilnya.
            “Adik, boleh abang bertanya sesuatu kepada adik?” Tanya Tuan Alifey.
            “Mengenai apa, abang?” Keadaan di bilik bacaan amat melegakan. Bunyi detikan jam antik memberi irama yang mendebarkan di dalam hati Marsha. Mengapa abangnya dalam keadaan berlainan dari hari sebelumnya? Wajah Tuan Alifey agak serius seolah-olah Marsha telah melakukan kesalahan berat.
            “Abang ingin tahu, apa hubungan adik dengan seorang lelaki bernama Venius? Abang mahu adik menjawab soalan ini dengan sejujurnya.”
            “Hanya sebagai kawan sahaja. Mengapa abang ingin tahu perkara ini dan dari mana abang mengetahui adik berkawan dengan Venius?” Marsha kehairanan bila melihat tingkah-laku abangnya yang mencurigakan.
            “Itu semua tidak penting. Abang tidak berapa setuju jika adik berkawan dengan Venius. Kerana dia datang dari golongan bawahan. Jika adik berbuat demikian, nescaya keluarga kita akan mendapat malu dimata masyarakat. Memalukan nenek moyang kita. Adalah lebih baik jika abang menjodohkan adik dengan Benni. Anak gabenor daerah Orenburg. Lagi pun dia berasal dari keturunan orang yang baik.”
            “Jadi, Venius berasal dari keturunan yang tidak baik? Begitu?” Marsha membesarkan bola matanya ke arah Tuan Alifey.
            “Bukan begitu maksud abang. Abang...”
            “Abang lebih pentingkan kedudukan darjat berbanding hati adik. Abang lebih pentingkan maruah dan harga diri berbanding kebahagiaan adik. Lagi satu. Mahu menjodohkan adik dengan Benni? Adik pun tidak kenal siapa dia dan belum pernah bertemu.” Suara Marsha semakin tinggi. Ini menarik perhatian Puan Olif, ibu kepada Tuan Alifey dan Marsha yang berada di dapur. Dengan langkah berhati-hati, Puan Olif keluar menuju ke bilik bacaan untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.
            “Dengar sini, Marsha. Abang tidak teragak-agak untuk memecat Venius dan menyingkirkan dia dari daerah Kota Biru. Bukan itu sahaja. Abang akan merancang untuk memerangkap dia dengan membuat pertuduhan bahawa dia adalah pengintip Filgaria. Adik sudah faham apa hukuman terhadap mereka yang menjadi tali barut dan pengintip bagi pihak musuh? Iaitu hukuman gantung sampai mati.” Marsha terkejut dengan tindakan yang bakal dikenakan terhadap Venius oleh Tuan Alifey.
            “Sampai begitu sekali abang mahu menganiayai Venius semata-mata ingin menjaga maruah keluarga? Kalau abang mahu berbuat demikian, dipersilakan. Tetapi perlu diingat, abang juga mendapat malu bila perkara ini didedahkan kepada umum!” Panas hati Marsha bila dia menerima ugutan dari abangnya sendiri.
            “Ibu tidak setuju jika kamu berbuat demikian terhadap adikmu.” Tegah Puan Olif dengan nada perlahan . Tuan Alifey pula terkejut bila ibunya muncul secara tiba-tiba di muka pintu masuk bilik bacaan. Dengan tergesa-gesalah Tuan Alifey berdiri dari tempat duduknya bila melihat wajah Puan Olif memancarkan kemarahannya.
            “Er... Ibu. Sebenarnya saya...”
            “Usahlah berdalih lagi. Ibu sudah pun tahu apa yang berlaku sejak awal tadi. Ibu amat kecewa bila mengetahui tindakan bakal dilakukan untuk menganiayai Venius jika dia meneruskan hubungannya dengan Marsha. Beginikah caranya seorang gabenor menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya?” Puan Olif berjalan perlahan ke sisi Marsha.
            “Tetapi ibu, Venius bukanlah setaraf dengan kita. Dahulu bukankah ibu selalu menegaskan kepada kami betapa perlunya kesinambungan keturunan dari golongan bangsawan yang gemilang. Menjaga nama baik demi menjaga maruah keluarga.”
            “Memang benar, Alifey. Tetapi ketika itu ayah dan datukmu masih hidup. Mereka berdua terlalu memegang teguh terhadap tradisi berkenaan. Setelah mereka tiada, sudah tiba masanya tradisi yang tidak relevan ini mesti dimansuhkan.” Puan Olif memandang ke arah Marsha dan tersenyum.
            “Sayang, dengar sini. Esok bawalah Venius bertemu dengan ibu. Ibu ingin berkenalan dengannya. Ibu yakin dia adalah pemuda yang baik dan mampu membahagiakan Marsha.” Harapan mulai cerah bila mendengar pelawaan ibunya. Kegembiraan di hati Marsha tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Kemudian, Puan Olif memandang ke arah Tuan Alifey pula.
            “Dan kamu pula Alifey. Seandainya terjadi sesuatu yang tidak diingini terhadap Venius, kamulah orang yang pertama ibu cari. Mengerti?!”
           "Mengerti, ibu." Tuan Alifey menundukkan kepalanya.
        Dia tidak berani memandang wajah Puan Olif. Terasa dirinya ditampar dengan kuat apabila ibunya menyebelahi Marsha dan Venius, si pemuda dari golongan bawahan yang tidak memiliki apa-apa langsung. Adakalanya Tuan Alifey berasa musykil. Mengapa ibunya berubah pendirian secara tiba-tiba? [Bersambung...]
            
Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Selasa, 25 Jun 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 2)

Mesyuarat tergempar sedang berlangsung

             Tidak sampai waktu tengah hari, seluruh daerah Kota Biru kecoh bila menerima perkhabaran yang menakutkan. Pelbagai reaksi dapat dilihat di setiap wajah warga daerah berkenaan. Ada yang masih tidak percaya akan perkhabaran tersebut dan ada juga masih tidak mengendahkannya. Bahkan masih meneruskan kegiatan harian di ladang serta menguruskan perniagaan seperti biasa. Di pejabat gabenor, seluruh ahli jawatankuasa daerah Kota Biru serta para pemimpin setempat yang dipanggil sebelum ini bersemuka dengan Tuan Alifey untuk membincangkan masalah berkenaan.
            “Tuan, oleh kerana daerah ini agak terpencil dari daerah-daerah yang lain serta bersempadan dengan negeri seteru yakni Filgaria, kita perlu mengambil tindakan segera demi menghalang mereka dari menceroboh negeri kita.” Kata seorang ketua kampung yang berusia lewat 50an.
            “Memang benar kata Encik Lugos. Daerah Kota Biru adalah satu-satunya jalan masuk yang sesuai ke negeri kita. Mustahil mereka hendak melalui pergunungan yang merbahaya di sekitar daerah lain. Langkah terbaik yang perlu kita lakukan adalah mempertahankan daerah ini sementara menunggu bantuan ketenteraan dari ibu negeri.” Sokong seorang lagi ketua kampung.
            Suara para hadirin mula menguasai bilik persidangan. Masing-masing ingin meluahkan pendapat mengenai apa yang dikatakan oleh rakan sejawatannya. Apabila keadaan berlanjutan, dengan segeralah Tuan Alifey berdiri dari tempat duduk pengerusi untuk menenangkan keadaan.
            “Sila bertenang tuan-tuan yang dihormati. Kita perlu menyelesaikan masalah ini bersama-sama. Saya amat setuju dengan apa yang dikatakan rakan kita tadi. Semenjak saya menerima berita mengenai tentera Filgaria mula menghampiri sempadan, saya berusaha memikirkan apa perancangan terbaik yang perlu saya lakukan demi menyelamatkan daerah Kota Biru dan negeri Radessia keseluruhannya. Tetapi, sehingga kini saya gagal mencari jalan penyelesaiannya. Bencana sebegini terlalu besar. Ini bukannya bencana alam. Ini adalah bencana yang boleh memusnahkan masa depan dan mencemarkan kedaulatan negeri Radessia. Saya khuatir dengan penaklukan Filgaria ke atas negeri kita, masa depan anak-cucu kita akan terjejas.”
            Suasana sunyi mula menyelubungi bilik persidangan. Ratusan pasang mata masih tertumpu ke arah Tuan Alifey. Venius yang bertugas sebagai tukang kebun pejabat gabenor hanya berdiri di sebalik daun pintu masuk bilik persidangan. Memerhatikan situasi yang agak genting ketika ini. Genting kerana perlu mencari jalan penyelesaian dalam masa yang singkat.
            “Bagaimana pula dengan daerah lain? Adakah kita perlu meminta bantuan dari mereka?” Tanya seorang pemuda dengan wajah yang agak cengkung.
            “Saya telah pun mengirimkan beberapa pucuk surat ke daerah-daerah lain untuk meminta bantuan termasuklah ke ibu negeri. Sehingga kini saya masih belum menerima sebarang maklum balas.” Jawab Tuan Alifey.
            “Jika begitu, kita tidak perlu bergantung kepada bantuan dari daerah lain semata-mata. Kita sepatutnya memulakan langkah yang drastik demi keselamatan daerah kita.” Seorang lagi tetamu memberi pendapatnya. Kini, kebuntuan pula menguasai keadaan. Tidak tahu apa lagi yang mereka perlu lakukan.
            Tidak lama kemudian, seorang lelaki tua yang duduk tidak jauh dari Tuan Alifey berada mula bangun. Berkulit cerah, tegap dan kepalanya hampir botak. Namun, raut wajahnya menampakkan seperti seorang pahlawan yang sekian lama menunggu untuk berbakti kepada masyarakat.
            “Tuan Alifey. Saya sudah berkhidmat di dalam tentera Diraja Radessia selama 30 tahun dan sudah pun bersara pada lima tahun yang lalu. Dengan pengalaman yang saya miliki, saya berjanji akan melatih golongan belia di daerah ini dengan bersungguh-sungguh demi mempertahankan tanah air. Saya juga mewakili rakan-rakan pesara tentera Diraja Radessia bersedia untuk kembali berkhidmat.” Kata lelaki itu.
            Selepas itu, seorang demi seorang menawarkan diri untuk membantu mempertahankan daerah Kota Biru. Ada yang menawarkan khidmat membuat senjata, logistik, bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membuat pakaian seragam. Akhirnya, hasil perbincangan telah diputuskan sebulat suara. Seluruh tenaga warga daerah Kota Biru perlu dikerah dengan segera tanpa membazirkan masa. Seusai sahaja mesyuarat tergempar, para tetamu bergegas pulang bagi membuat persediaan untuk menghadapi kemaraan musuh. Menjelang senja pula, beribu helai poster telah siap dicetak untuk diedarkan di seluruh daerah. Poster berkenaan menyiarkan pengumuman pengambilan rekrut sukarelawan bagi kaum lelaki yang sihat berumur dari 17 dan ke atas. Mereka perlu mendaftarkan diri di rumah ketua kampung masing-masing.
           
            Seorang gadis berlari keluar dari rumah agamnya menuju ke sebuah taman bunga yang terletak di seberang jalan. Gadis itu seperti mencari seseorang. Dia memakai sepasang gaun berwarna biru langit dan sehelai selendang merah jambu yang dililit pada lehernya. Sungguh jelita gadis berkenaan. Barang siapa dapat memilikinya, nescayalah jejaka itu amat bertuah.
            “Ke mana dia sekarang? Janji berjumpa pada pukul 4 petang. Sekarang sudah pukul berapa?” Gadis itu keresahan. Wajahnya cemas bagaikan ibu kucing kehilangan anak. Tanpa disedari, datanglah seorang lelaki dengan gaya seperti mahu menerkam gadis berkenaan dari arah belakang.
            “Abang datang...” Gadis itu terkejut dan hampir menumbuk wajah lelaki misteri tadi.
            “Kamu sering muncul secara tiba-tiba! Menyusahkan betul Venius!” Gadis itu mula merajuk. Venius tersenyum bila melihat buah hatinya merajuk terhadapnya.
            “Ala... Janganlah marah, Marsha. Saya berjanji tidak akan muncul secara tiba-tiba pada masa akan datang.”
            “Janji... janji...! Kamu lebih suka menabur janji. Minggu lepas kamu muncul secara tiba-tiba ketika saya menjamah roti. Nasib baik saya tidak tercekik.” Marsha mendengus kemarahan. Tetapi Venius masih mampu tersenyum sedangkan dia tahu Marsha betul-betul marahkan dia.
            “Marsha, dengar sini. Kali ini amat serius. Dalam masa beberapa hari nanti kita mungkin sukar untuk bertemu seperti sekarang ini.” Penjelasan dari Venius menyebabkan kemarahan Marsha tidak berlanjutan
            “Mengapa, Venius? Adakah disebabkan arahan yang dikeluarkan oleh abang saya kelmarin?” Mereka berdua senyap seketika. Hanya irama alam sahaja yang mengisi ruang.
            “Ya, Marsha. Arahan dari abangmu tidak boleh ditangguhkan begitu sahaja. Lagi pun ada perkara yang perlu selesaikan dan lebih penting dari hubungan kita.”
            “Jadi, selama ini hubungan kita tidak penting. Begitu?”
            “Bukan begitu maksud saya. Hubungan kita memanglah penting. Cuma saya perlu mengutamakan tanggungjawab saya sebagai warga daerah ini. Sehingga kini, hubungan kita masih dapat bertahan tanpa dikesan oleh abangmu.” Wajah Tuan Alifey terbayang diminda Venius. Orangnya tegas dalam tanggungjawab sebagai seorang gabenor menjadikan dia seorang yang dihormati oleh penduduk daerah Kota Biru.
            “Lagi satu kebimbangan saya. Kita perlu mendapat restu darinya. Walau pun ibu masih ada, sebagai anak yang sulung, abang diamanahkan untuk menjaga saya walau apa cara sekali pun.” Venius termenung sejenak bila mendengar penjelasan dari Marsha. Tetapi, setiap permasalahan tersebut pasti ada jalan penyelesaiannya.
            “Saya ada satu cadangan. Apa kata kita mendapatkan restu dari ibumu terlebih dahulu dan menerangkan kepadanya mengenai hubungan kita secara jujur. Andai abangmu membantah, ibumu dapat mempertahankan kita.” Giliran Marsha pula terdiam seketika sebelum menatap wajah Venius.
             "Baiklah. Saya perlukan masa yang sesuai untuk berbincang dengan ibu. Jika boleh, Venius ikut bersama. Bagaimana?" Tanya Marsha. Menantikan jawapan yang akan diberikan oleh Venius pada bila-bila masa.
               Tanpa mereka sedari, sepasang mata sedang memerhatikan mereka berdua dengan penuh syak wasangka di sebalik rimbunan semak. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
           

Khamis, 20 Jun 2019

Novel Bersiri: KOTA BIRU (BAB 1)

Sedang menghantar berita terkini
            Suasana pagi amat tenteram dan nyaman udaranya. Bukit-bukau, gunung-ganang, hutan malar menghijau dan awan yang bergerak perlahan bagaikan gembira akan persekitaran yang ada sekarang. Para petani membanting tulang mengusahakan ladang pertanian dengan senang hati. Seorang penggembala biri-biri mengawasi haiwan ternakan dari bawah pokok sambil meniup seruling dengan merdu. Dia tidak perlu berasa gusar akan keselamatan haiwan ternakannya yang berada di padang ragut kerana ancaman serigala semakin berkurangan.
            Di ufuk horizon barat, kelihatan seorang penghantar utusan menunggang seekor kuda hitam dengan pantas menuju ke pintu masuk utama daerah Kota Biru. Nama Kota Biru diambil kerana sebahagian besar premis perniagaan dan kediaman dicat berwarna biru. Apabila mentari pagi memancar ke arah Kota Biru, terserlah lagi warna biru dan ia dapat dilihat dari luar mukim daerah berkenaan.
Adakala dia menyesah punggung kudanya agar mempercepatkan lagi perjalanan. Beberapa orang petani yang berada berhampiran dengan jalan utama itu memerhatikan tingkah-laku si penghantar utusan. Bagi mereka, ini adalah perkara biasa. Mungkin si penghantar utusan itu perlu mengejar masa demi mengedarkan sebarang berita penting dari daerah ke daerah yang lain. Tetapi sebenarnya berita pada pagi itu agak menggemparkan dan ini boleh mengejutkan para penduduk daerah Kota Biru keseluruhannya.
            Setibanya di pejabat gabenor daerah Kota Biru, si penghantar utusan bergegas ke tingkat atas tanpa menambat kudanya pada tiang lampu berhampiran. Kehadirannya yang agak kelam-kabut menarik perhatian kakitangan di situ. Sebelum ke pejabat tuan gabenor, perlulah bertemu dengan seorang setiausaha yang berada di pejabat bersebelahannya.
          “Saya perlu bertemu dengan tuan gabenor dengan segera. Ini amat penting.” Kata si penghantar utusan ketika bertemu dengan setiausaha.
           “Baiklah. Sila ikut saya.” Mereka berdua pergi ke pejabat gabenor dan pada masa yang sama, tuan gabenor baru sahaja keluar dari tandas sambil mengeringkan tangannya dengan sapu tangan.
         “Ada berita penting, Tuan Alifey.” Kata setiausahanya ketika si penghantar utusan menyerahkan sepucuk surat kepada Tuan Alifey.
            Setelah sampul dibuka dan membaca isi kandungannya, mata Tuan Alifey terbeliak. Kemudian memandang kembali ke arah penghantar utusan tadi.
            “Adakah ini benar?”
            “Memang benar, tuan gabenor.” Jawab si penghantar utusan dengan yakin.
            “Selain saya, siapa lagi yang tahu khabar buruk ini? Tanya lagi Tuan Alifey.
            “Rakan-rakan saya kini sedang menghantar khabar ini ke ibu negeri serta daerah-daerah yang lain. Dalam waktu begini, mungkin mereka sudah sampai.” Tuan Alifey terdiam seketika. Memikirkan langkah seterusnya setelah menerima khabar berita tersebut.
            “Sarah, hubungi semua ahli jawatankuasa daerah Kota Biru, ketua kampung dan pemimpin belia. Kita adakan mesyuarat tergempar seberapa segera.” Arah Tuan Alifey kepada setiausahanya sebelum masuk ke pejabatnya untuk menulis sepucuk surat. Dia perlu memberi maklum balas mengenai khabar buruk itu ke ibu negeri.

            Keadaan cuaca pada hari berkenaan agak mendung. Suasana dingin masih terasa sedangkan waktu sebegini sudah pun menjelang tengah hari. Mungkin ia berpunca dari hujan lebat sejak malam tadi dan berakhir apabila menjelang subuh. Seorang remaja duduk menyandar pada sebatang pokok yang rendang berdekatan dengan sebatang sungai. Dia berpakaian selekeh, berkaki ayam dan memakai topi jerami yang hampir rosak. Sekilas pandang, tidak ubah seperti seorang remaja nakal yang tiada masa hadapan.
            Remaja tersebut merenung ke arah joran yang masih terpacak condong 45 darjah tanpa mendapat sebarang tangkapan. Tanpa disedari, seorang pemuda datang dari arah belakangnya dengan gerak-geri yang mencurigakan.
            “Wah...!!” Jeritan berkenaan mengejutkan remaja itu.
            “Hish...! Dah tak ada kerja lain? Sejak semalam asyik mengejutkan orang sahaja!” Marah remaja itu sambil membetulkan topi jeraminya.
            “Usahlah marah. Nah, ambil ini.” Pemuda itu menyerahkan bungkusan kertas berwarna coklat. Dengan segeralah remaja itu membuka dan mendapati terdapat paha ayam goreng dan seketul kentang rebus.
            “Terima kasih, Venius.”
            “Sama-sama, Jaster. Jadi, sudah kamu berfikir dengan mendalam?” Soalan yang diajukan tadi menyebabkan Jaster berhenti mengunyah daging ayam.
            “Fikirkan apa?” Jaster berpura-pura tidak tahu apa-apa langsung.
            “Janganlah buat tak tahu. Mengenai tawaran bekerja di pejabat gabenor. Itulah yang diharapkan oleh ibu kamu.”
            “Maaf. Saya tidak layak bekerja di situ.”
            “Tidak layak? Saya tidak menawarkan jawatan sebagai kerani atau pembantu tadbir. Cuma ditugaskan membantu tukang masak dan menghantar makanan kepada tuan gabenor. Itu sahaja.”
            “Saya lebih suka hidup sebegini tanpa dikongkong oleh sesiapa.”
            “Termasuklah ibu kamu. Begitu?” Kening Venius terangkat. Sukar memahami sikap dan fi’il Jaster. Jawapan dari Jaster tadi ada kalanya boleh mendatangkan kemarahan oleh sesetengah orang.
            “Sampai bila kamu ingin hidup begini? Hidup sehingga gigi kamu luruh dan rambut di kepala beruban. Kamu tidak berfikir untuk hidup berkeluarga? Memiliki seorang isteri yang cantik dan anak-anak yang comel. Tiada perancangan untuk membina sebuah rumah yang selesa?” Nada Venius mula berubah. Kesabarannya terhadap Jaster sudah melebihi had yang ditetapkan.
            “Terima kasihlah kerana mengambil berat terhadap saya. Lagi pun saya juga mempunyai cita-cita tersendiri yang masih belum tercapai setakat ini.”
            “Apa cita-cita kamu?” Tanya Venius dengan nada sindiran.
            “Ingin menjadi adiwira yang hebat. Bolehlah membantu orang lain yang kesusahan.” Jawapan dari Jaster menyebabkan Venius ketawa terbahak-bahak dengan kuat. Sehinggakan beberapa ekor burung yang duduk bertenggek pada pokok-pokok berdekatan terbang melarikan diri.
            “Venius, saya amat serius.” Marah Jaster.
            “Menjadi adiwira? Dengan tubuh yang kurus dan kecil ini ada hati untuk membantu orang lain? Terlebih dulu kamu sepatutnya membantu diri sendiri. Membaiki taraf kehidupan yang semakin terumbang-ambing. Barulah memikirkan bagaimana membantu orang lain. Faham...?” Sindir lagi Venius.
            Jaster mula tidak berasa selesa bila menerima ejekan dan sindiran yang tidak putus-putus terjah ke telinganya. Semakin dia mendiamkan diri, semakin kuatlah ketawa Venius. Jaster hanya memerhatikan gelagat Venius yang berguling-guling di atas rumput sambil memegang perutnya.
            “Adiwira? Ha...ha...ha...!!” Apabila Jaster sudah mula tidak tahan akan ejekan yang berbisa, lantas dia bangun dari tempat duduknya sebelum menundingkan jarinya ke arah Venius.
            "Janganlah merendah-rendahkan keupayaan saya. Saya berjanji akan membuktikan kebolehan saya untuk membantu orang yang kesusahan. Silap-silap, kamu pula terpaksa dibantu oleh saya. Percayalah nanti!" Jaster terus meninggalkan Venius yang masih terpingga-pingga. Mungkin sikapnya yang melampau menyebabkan Jaster berkecil hati dan merajuk. [Bersambung...]

Amaran: Novel bersiri ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.