Ahad, 28 November 2010

Amanat Tok Ayah


            Kabus menyelubungi padang rumput yang masih basah. Malam tadi hujan renyai membasahi bumi selama tiga jam bermula dari pukul 3 pagi. Dalam ketebalan kabus pagi, kedengaran rengekkan kuda dan diselangi bunyi lagaan besi yang sayup. Ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik kabus tersebut. Apabila kabus semakin lenyap, kelihatan sekumpulan kavalri yang lengkap bersenjatakan pedang dan lembing. Mereka memakai seragam biru gelap dengan perisai dada yang baru digilap. Para penunggang kuda juga memakai topi keledar besi yang menutupi wajahnya. Kesemuanya berkumpul mengadap ke arah utara padang rumput seolah-olah sedang menantikan seseorang.
            Yang anehnya, tiada bunyi kicauan burung dan irama unggas hutan berhampiran. Selalunya setiap berakhirnya musim hujan pada tahun-tahun sebelumnya, makhluk alam semulajadi akan keluar dari sarang dan memulakan aktiviti masing-masing. Kali ini seolah-olah makhluk alam tahu ada sesuatu perkara buruk akan berlaku pada pagi tersebut dan sebab itulah mereka enggan berbuat demikian.
            Tidak lama kemudian, muncul seorang penunggang kuda dari celah bukit berhampiran sambil membawa bendera putih.
            “Tuan, wakil dari pihak musuh sudah pun tiba.” Kata salah seorang anggota kalvari itu. Seorang pegawai kavalri tampil ke hadapan untuk menyambut wakil pihak musuh. Dia baru sahaja turun dari kudanya yang ditambat pada pokok berhampiran.
            “Wakil dari negeri Api. Orang yang sama sebelum ini.” Bisik hati pegawai itu.
            “Selamat pagi, Kapten Jankins.” Wakil pihak musuh menabik hormat. Wakil tersebut memakai sepasang seragam yang berlainan dari mereka. Berbaju kot labuh berwarna merah dan berseluar hitam dengan kasut kulit hingga paras lutut. Tangan kanannya memegang bendera putih sebagai isyarat agar tidak boleh diapa-apakan.
            “Kali ini apa tawaran terbaru dari ketua kamu, Kapten Arucard?” Tanya Kapten Jankins dengan nada sindiran.
            “Seperti sebelum ini. Meletakkan senjata dan menyerah diri. Segala-galanya akan selesai dengan baik.” Jawapan yang diberikan Kapten Arucard disambut ketawa yang ‘sopan’ dari Kapten Jankins.
            “Tidak semudah itu, Kapten Arucard. Kalian datang beribu batu ke sini hanya semata-mata untuk meluaskan tanah jajahan negeri yang diidamkan oleh maharajamu. Tetapi kalian tidak terfikirkah, apa habuan yang kalian terima setelah menakluki negeri ini serta negeri jiran yang lain?”
            “Pengorbanan demi maharaja adalah mulia. Dan ini satu kebanggaan kepada keluarga kami. Usah berdalih lagi, Kapten Jankins. Ini adalah tawaran terakhir dari maharaja kami.” Kapten Arucard mula hilang sabar hanya kerana ditanya soalan itu.
            “Jawapan kami tetap tidak. Semalam, kini dan selamanya.” Mudah jawapan Kapten Jankins. Kapten Arucard beredar dari situ tanpa berkata apa-apa. Pergi meninggalkan Kapten Jenkins serta anggota pasukannya seramai lima ratus penunggang dan seribu soldadu penjalan kaki. Kapten Jankins memandang ke arah pengikutnya yang setia. Setia kepada negerinya yakni kerajaan Zamrud Biru.
            Kesemua soldadu pimpinan Kapten Jankins adalah orang awam. Mereka tampil secara sukarela untuk mempertahankan ibu pertiwi. Soldadu tetap pula tidak mencukupi akibat ramai yang terkorban serta cedera  dalam pertempuran sebelum ini. Mereka perlu menahan kemaraan soldadu negeri Api dari menawan negeri Zamrud Biru. Jika tidak, negeri Zamrud Biru akan menjadi negeri ketiga selepas negeri Daun Selembar Hijau dan negeri Air Terjun ditakluk.
            “Tuan, apa perancangan sekarang?” Tanya seorang remaja lelaki yang berusia 15 tahun. Tugasnya adalah membawa bendera dan peniup tetuang.
            “Perancangan? Sebenarnya tiada perancangan langsung. Kita telah berusaha selama ini dan selebihnya, terserah kepada takdir.” Jawab Kapten Jankins.
            “Kita tak boleh menyerah kepada takdir secara bulat-bulat. Tuan sudah lupakah apa yang diamanatkan oleh Tuan Pendeta kepada kita beberapa minggu yang lalu? Amanat yang perlu kita pegang ketika menghalang kemaraan soldadu negeri Api.” Remaja itu mengingatkan Kapten Jankins. Ini menyebabkan dia terdiam seketika sebelum memandang ke arah remaja tadi.
            “Terima kasih kerana mengingatkan saya. Saya hampir terlupa akan amanat yang disampaikan oleh Tuan Pendeta.” Kapten Jankins tersenyum. Dia adalah salah seorang anak murid yang disayangi oleh Tuan Pendeta.

            Sejak kecil lagi dia dijaga oleh Tuan Pendeta selepas ibu bapanya terkorban dalam kejadian banjir besar. Dia dibesarkan di sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Tuan Pendeta selaku pengetua. Dari situ, Kapten Jankins menimba pelbagai ilmu yang belum pernah dia temui di tempat lain. Antara ilmu yang diterima oleh Kapten Jankins adalah seni perlawanan pedang hingga ke peringkat tertinggi iaitu bengkung kuning. Itulah peringkat yang jarang dicapai oleh mana-mana pendekar biasa di negeri Zamrud Biru.
            “Jankins. Ke sini sebentar.” Tuan Pendeta memanggilnya. Ketika itu, mereka berdua baru sahaja pulang dari dewan orang ramai sempena majlis perkahwinan anak lelaki tok penghulu kampungnya.
            “Ya, Tok Ayah.” Kapten Jankins duduk bersila di atas lantai menghadap Tuan Pendeta yang duduk di pangkin buluh dengan beralaskan karpet lembut. Suasana senyap sunyi menantikan apa yang ingin katakan oleh Tuan Pendeta kepadanya.
            “Ayah telah meramalkan kejatuhan kerajaan Zamrud Biru sejak minggu lalu akibat diserang pihak musuh.” Kapten Jankins terkesima bila mendengarnya.
            “Musuh? Siapa? Dari mana mereka datang?” Kapten Jankins inginkan jawapan dengan segera. Telatah anak angkatnya yang begitu patriotik membuat Tuan Pendeta tersenyum.
            “Bersabar, Jankins. Kamu terlalu bersemangat.”
            “Maafkan saya, Tok Ayah.”
            “Begini. Ayah mendapat alamat ini ketika meninjau dusun di belakang sekolah kita. Ayah terlihat sarang ana-anai diserang oleh ribuan semut hitam berdekatan dengan stor peralatan pertanian. Ayah memerhatikan kaum anai-anai berjuang bermati-matian untuk mempertahankan sarangnya dari dimusnahkan oleh kaum semut hitam. Akhirnya, kaum anai-anai ditakdirkan tumpas dan sarangnya pula dimusnahkan. Ayah dapat merasainya dengan kuat. Ada sesuatu aura yang datang dari persekitaran dusun dan aura tersebut mengkhabarkan perkara ini kepada ayah.”
            “Jadi, apa yang berlaku selepas itu, Tok Ayah?” Kapten Jankins ingin mengetahui perkara itu dengan lebih mendalam.
            “Pada malam tersebut, ayah bermimpi. Dalam mimpi itu ayah nampak api yang marak sedang membakar sarang anai-anai tersebut berserta dengan penghuninya. Api itu turut menyambar tanaman dan ternakan dusun kita. Ia musnah. Musnah keseluruhannya.” Cerita yang disampaikan oleh Tuan Pendeta menyebabkan Kapten Jankins terdiam. Mungkin dia memikirkan adakah mimpi yang dialami memberi kesan yang sebenar.
            “Tok Ayah usah khuatir. Mungkin ia hanyalah permainan tidur dan kejadian di dusun kita adalah suatu lumrah alam. Kitaran hidup makhluk Tuhan perlu berputar demi keseimbangan serta perjalanan alam yang sempurna.”
            “Tetapi ayah yakin yang alamat ini memang benar belaka. Ayah dapat merasainya dengan kuat. Ia datang dengan tenaga yang besar.” Kata-kata dari Tuan Pendeta akhirnya benar. Sebulan kemudian, khabar buruk datang dari negeri jiran, Daun Selembar Hijau.
            Negeri Daun Selembar Hijau jatuh ke tangan negeri Api yang datang dari arah barat. Negeri yang hampir separuh dari permukaan geografinya adalah padang pasir sanggup datang dan merentas lautan beribu kilometer semata-mata untuk mengacapi kegemilangan serta kekayaan yang diidamkan oleh maharajanya. Kemudian, negeri Air Terjun juga menerima nasib yang sama. Hampir setahun mereka bertempur di sempadan dan akhirnya tewas beberapa bulan kemudian. Dalam tempoh berkenaan kerajaan Zamrud Biru sudah pun bersedia dengan pelbagai pelan kecemasan serta latihan perang secara intensif.

            Seperti dijangka, negeri Api cuba melanggar Zamrud Biru dengan ganas. Malangnya mereka memandang rendah akan kekuatan bala soldadu Zamrud Biru. Mereka turut menggunakan ribuan soldadu dari negeri yang ditakluki sebelum ini untuk menghancurkan soldadu Zamrud Biru. Peperangan berkenaan tiba sampai kemuncaknya apabila pihak kerajaan memerlukan para sukarelawan dari penduduk awam lelaki termasuklah Kapten Jankins.
            “Sebelum kalian semua berangkat ke medan perang, ingatlah amanat yang saya sampaikan ini.” Tuan Pendeta memberi ucapan di hadapan ratusan golongan belia di satu majlis perpisahan. Separuh dari mereka adalah bekas anak muridnya yang pernah belajar di sekolahnya.
            “Kami dengar, Tok Ayah.”
            “Ingatlah. Saya tinggalkan kepada kalian lima amanat dan lima amanat ini adalah pegangan ketika memerangi pihak musuh yang cuba mencabul keamanan negeri kita. Pertama, jangan sekali-kali berundur sebelum menemui pertarungan. Kedua, janganlah memberi belas ihsan kepada musuh. Mereka memiliki muslihat untuk memecah-belah perpaduan dalam hidup berpasukan. Ketiga, janganlah tamak ketika mengumpul hasil rampasan perang. Agihlah dengan sama-rata dan saksama. Keempat, saling tolong-menolong antara satu sama lain dan jangan mementingkan diri-sendiri. Yang terakhir iaitu kelima, setiap seinci tanah; setiap butir pasir; setiap helai rumput; dan setiap batang pokok di negeri Zamrud Biru adalah khazanah yang tidak ternilai harganya. Bahkan ia lebih berharga dari harta karun berlimpah-ruah. Harga untuk mempertahankan tanah air adalah darah dan air mata.” Itulah lima amanat yang mereka pegang sehinggalah tiba di hari penentuan di medan perang. Amanat itulah menjadi pegangan Kapten Jankins ketika menghadapi setiap pertarungan sehingga kini.

            “Tuan, lihat di sana.” Remaja yang ditugaskan membawa bendera dan meniup tetuang menudingkan jarinya ke arah barat.
            Dari jauh kelihatan ribuan soldadu negeri Api mara dengan lengkap bersenjata seperti tombak, pedang, panah dan kapak. Kemaraan mereka diiringi ketukan dram serta membawa panji-panji pasukan. Ada melambangkan harimau kumbang, kelawar, dua bilah pedang bersilang dan sebagainya.
            “Arahkan kepada semua ketua pasukan. Bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran!” Perintah dikeluarkan.
            Barisan pertama dan kedua mencondongkan tombak mereka ke arah musuh dalam kedudukan 90 darjah. Barisan ketiga dan keempat bersedia melepaskan anak panah. Selebihnya pula bersedia untuk bertarung dalam jarak dekat. Masing-masing mengeluarkan pedang dan kapak. Kesemua soldadu Zamrud Biru seolah-olah tidak sabar untuk menewaskan musuh. Kapten Jankins mengeluarkan pedang dari sarungnya. Kuda putih yang ditungganginya asyik merengek dan tidak sabar untuk berlari masuk ke medan perang.
            “Bertenang, Puteh. Bertenang. Kita akan menikmatinya bersama-sama. Percayalah.” Kapten Jankins mengusap lembut pada leher kudanya. Selang beberapa minit kemudian, kedengaran jeritan perang yang datang dari arah pihak musuh.
            Soldadu negeri Api berlari-lari merentasi padang rumput yang luas untuk menyerang kedudukan soldadu negeri Zamrud Biru. Malangnya mereka tidak sedar yang perangkap telah dipasang berdekatan dengan barisan pertahanan soldadu negeri Zamrud Biru. Beratus-ratus soldadu musuh terjatuh ke dalam lubang-lubang yang dipenuhi punji buluh yang tajam. Meratah tubuh dan darah memenuhi lubang berkenaan. Tidak cukup itu, mereka dihujani ribuan anak panah sehinggakan gagal untuk mengelak.
            Kapten Jankins tersenyum. Akhirnya pihak musuh termasuk perangkap dan ini memberi peluang untuk pasukan kavalri pimpinannya memulakan serangan.
            “Barisan semua...! Serang...!” Jerit Kapten Jankins dan diikuti yang lain. Mereka terus menyerbu ke arah titik kelemahan pihak musuh yang masih tercari-cari tumpuan serangan yang sebenar. Lima amanat yang disampaikan oleh Tuan Pendeta kepada mereka diingati sehingga saat menghadapi peperangan. Membawa bersama sehingga hayat yang terakhir.


Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Tiada ulasan: