Ahad, 28 November 2010

Lima Prinsip Negara

            Mentari memancarkan cahayanya yang terik. Memanaskan persekitaran yang tandus dan gersang. Tiada satu tumbuhan pun yang mampu hidup di kawasan berkenaan melainkan kawasan yang adanya punca air dari perut bumi iaitu daerah oasis. Di sebalik gumuk-gumuk pasir di bahagian timur laut, seorang remaja berlari-lari ke arah sekumpulan belia yang sedang berehat di pondok selepas bercucuk tanam.
            Remaja berkenaan membawa satu bungkusan yang berbentuk segi empat sama. Dia kemudiannya berkata sesuatu kepada salah seorang dari mereka sebelum dibawa pulang ke sebuah kampung di pinggir daerah oasis. Keluasan daerah berkenaan berpuluh kali lebih luas dari keluasan perkampungan. Tanpa membuang masa, remaja berkenaan segera bertemu dengan seorang ketua kampung dan menyerahkan bungkusan tersebut.
            Beberapa orang penduduk yang berada berhampiran dengan kediaman ketua kampung mula berkumpul untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Mereka hairan bila melihat isi kandungan buku itu. Ini kerana mereka tidak pernah melihat ayat, huruf atau abjad serta nombor sebelum ini.
            “Apa yang dituliskan ini? Saya tidak faham langsung.” Tanya salah seorang penduduk di situ.
            “Bahasa apakah yang dituliskan ini? Lagi satu. Ini bukanlah buku sembarangan. Ia seakan-akan seperti kitab sebab buku ini tebal dan berkulit keras.” Seorang lagi penduduk yang tertanya-tanya akan penemuan buku yang dipanggil kitab. Masing-masing terdiam tanpa sebarang jawapan.
            “Kalau kalian semua ingin tahu, bahasa yang terdapat dalam buku ini adalah Bahasa Melayu. Tulisannya pula adalah tulisan Jawi. Kalau tok ceritakan asal-usul tulisan ini mungkin dalam sehari saja belum tentu habisnya.” Jawab ketua kampung.
            “Jadi, ada juga Bahasa Melayu yang dituliskan dalam bentuk tulisan Jawi? Saya ingatkan tulisan Rumi adalah hasil tulisan orang Melayu.”
            “Tidak. Tulisan Rumi diperkenalkan oleh pihak penjajah untuk menggantikan tulisan Jawi. Sehinggalah kita sebagai generasi baru mewarisi tulisan penjajah.” Ketua kampung memandang kembali ke arah remaja tadi.
            “Dari mana kamu dapat buku ini?” Air muka ketua kampung agak serius.
            “Dari sebuah gua. Ketika saya sedang mencari kambing yang hilang, saya ternampak sebuah gunung yang separuh ditenggelami gumuk pasir. Bentuk gunung itu amat unik kerana ia seperti dipahat dengan sempurna. Lebih sempurna dari rumah kita.” Mereka yang berada di situ terdiam seketika. Menjadi pendengar setia dari cerita remaja itu. Kemudian, remaja itu menyambung kembali ceritanya.
            “Saya ternampak pintu gua yang sempurna ukirannya. Saya terus masuk untuk mencari kambing saya. Di dalamnya penuh dengan sesawang serta peralatan yang belum pernah saya lihat sebelum ini.”
            “Kamu boleh tunjukkan kepada kami di mana gunung itu?” Tanya lagi ketua kampung.
            “Boleh, tok. Boleh. Sekarang juga saya bawa tok ke sana.” Remaja itu bersetuju. Dalam masa yang singkat, berpuluh orang belia dikumpulkan dan turut dibawa bersama beberapa ekor keldai untuk membawa peralatan menggali.

            Perjalanan ke lokasi yang ditunjukkan oleh remaja itu memakan masa hampir setengah jam. Ketibaan mereka disambut sebuah ‘gunung’ yang separuh tertimbus oleh gumuk pasir yang diceritakan sebelum ini.
            “ Dalam firasat tok, ini bukanlah sebuah gunung. Ia berupa sebuah bangunan yang pernah didirikan pada beberapa milenium sebelum ini.” Kata ketua kampung kepada anak-anak buahnya.
            “Maksud tok, ada sebuah tamadun yang lebih maju pernah didirikan di sini suatu ketika dahulu?” Tanya seorang pemuda kurus yang berdiri bersebelahan ketua kampung.
            “Ya. Sebuah tamadun yang lebih maju dari kemajuan yang kita nikmati sekarang. Sebuah negara yang dipandang tinggi oleh negara-negara jiran termasuklah negara-negara kuasa besar.”
            “Bagaimana negara berkenaan musnah? Dan apa terjadi juga negara-negara yang lain?” Pemuda yang sama bertanya.
            “Menurut cerita moyang tok, ia berlaku disebabkan kejadian yang di kenali sebagai Kiamat Sughra. Kiamat Sughra bermaksud kejadian bencana alam yang amat dahsyat melanda seluruh pelosok dunia. Letusan gunung berapi, gempa bumi, ribut kencang, banjir kilat dan ombak gadang berlaku dalam waktu yang hampir sama. Walau bagaimana pun, masih ada umat manusia yang terselamat termasuklah kita.”
            “Ia berbeza dengan Kiamat Kubra. Kiamat tersebut berakhir dengan kematian seluruh umat manusia. Begitu?” Tanya seorang lagi pemuda yang berdiri di belakang ketua kampung.
            “Memang betul dan kita semua amat bertuah kerana diberi peluang untuk hidup di alam ini. Dengan peluang yang diberikan oleh-Nya, kita perlulah melipat gandakan amal ibadat kita.” Mereka yang berada di situ terdiam. Menginsafi dengan kejadian yang berlaku pada beberapa milenium yang lalu.
            “Ayuh. Masa semakin suntuk. Senja akan menjelang tiba tidak lama lagi. Mari kita terokai di dalamnya. Mungkin ada barangan berharga yang kita perlukan. Tinggalkan beberapa orang di luar gua sebagai pengawal keselamatan.” Arah ketua kampung. Beberapa golongan belia yang bersenjatakan parang dan tombak mula berkawal di sekitar kawasan gumuk pasir itu.
            Dengan membawa jamung untuk menerangi persekitaran yang gelap, mereka meninjau persekitaran dengan berhati-hati. Pelbagai barangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini seperti mesin taip, mesin pencetak, komputer serta ribuan jenis buku yang masih elok. Paling mengejutkan, mereka menemui rangka manusia yang bersepah di atas lantai. Bangunan tersebut mempunyai lima tingkat untuk diperiksa. Pelbagai khazanah ilmu, dokumen serta bahan arkib penting ditemui. Mereka turut mengebumikan rangka-rangka manusia di dalam satu liang lahad yang besar. Pada ketika itulah seorang pemuda bernama Usop menghampiri ketua kampung.
            “Tok, saya fikir elok kita bermalam saja di sini sebab menjelang petang nanti hujan ribut akan melanda. Kita mungkin tak sempat untuk pulang ke rumah.” Cadang Usop. Seorang pemuda kurus yang menguruskan penternakan lembu dan kambing di kampungnya. Mereka yang berada di situ memandang ke arah langit. Awan mendung yang gelap berarak pantas seolah-olah waktu malam menerpa secara tiba-tiba.
            “Mujurlah saya bawakan juga bekalan makanan untuk satu malam. Kita boleh berehat di dalam gua.” Seorang lagi pemuda tampil sambil membawa beberapa bungkusan.
            “Bijak sungguh kamu berdua Usop, Hanafi. Yang lain tolong bawa keldai masuk ke dalam gua.” Ketua kampung serta anak buahnya kembali masuk ke dalam gua sebelum hujan lebat mulai turun.

            Malam yang begitu dingin disebabkan tiupan angin dan hujan lebat. Beberapa unggun api dinyalakan untuk menghangatkan badan dan menerangi persekitaran gua. Kayu meja dan kerusi dijadikan bahan bakar. Ketua kampung masih menyelak setiap helaian buku yang diberikan oleh remaja pada siang tadi. Menelaah sebahagian dari isi kandungan. Pada zaman tersebut, tidak ramai yang mahir untuk menulis dan membaca tulisan Jawi.
            Dalam suasana santai inilah mereka berpeluang untuk membelek beberapa buah buku yang ditemui. Begitu khusyuknya membaca buku selagi tidak berasa mengantuk. Ada juga sedang berkawal di pintu masuk gua agar tidak diganggu-gugat oleh haiwan liar seperti dubuk dan serigala.
            “Sebuah negara yang bernama Malaysia telah wujud sebelum kejadian Kiamat Sughra. Negara yang aman dan makmur ini telah berjaya menarik ramai pelabur asing untuk berdagang. Malaysia dihuni pelbagai bangsa serta agama dan orang Melayu adalah bangsa majoriti bumiputera. Agama rasmi adalah Islam dan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang dituturkan oleh semua rakyat Malaysia. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua agama, angkatan tentera dan negara.” Suara ketua kampung memecah keheningan malam. Pandangan mereka tertumpu ke arah lelaki berusia lewat 50an. Mereka mendiamkan diri untuk menantikan apa lagi yang hendak diperkatakan oleh ketuanya.
            “Menyebut mengenai bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi. Ia juga berperanan sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa pendidikan. Kedudukan dan taraf Bahasa Melayu terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Pendidikan 1996 (asalnya Akta Pelajaran 1961).”
            “Er... Tok. Apa lagi yang ditulis dalam buku itu? Dan... Bagaimana negara Malaysia itu menjadi maju, aman dan makmur?” Remaja yang menjadi penunjuk arah mula berminat. Dia serta beberapa pemuda yang lain mula duduk berkumpul berdekatan dengan ketua kampung.
            “Antara faktor negara Malaysia maju, aman dan makmur disebabkan rakyatnya memegang lima prinsip negara. Iaitu:

1.  Kepercayaan Kepada Tuhan
Bangsa dan negara telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh terhadap Tuhan. Sesungguhnya, atas nama Tuhanlah bangsa dan negara itu wujud dengan berdaulat. Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Walau bagaimana pun, agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan yang lain boleh diamalkan tanpa rasa terganggu. Tindakan membeza-bezakan seseorang atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.

2.  Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri dan Yang Di-Pertua negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuhnya taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Di peringkat negeri pula, rakyat jelata dikehendaki menumpahkan taat setia mereka kepada raja yang memerintah tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang Di-Pertuan Agong. Kesetiaan adalah jiwa kebangsaan dan kesetiaan dari sanubari kepada raja serta tanah air. Ini mampu menyatukan semua rumpun menjadi satu bangsa yang bersatu padu.

3.  Keluhuran Perlembagaan
Perlembagaan negara memberi perlindungan kepada setiap anggota masyarakat dari segi melindungi hak dan keistimewaan sebagai warganegara. Perlembagaan juga meletakkan tanggungjawab dan kewajipan warganegara yang mendukungnya.

Sejajar dengan itu, setiap warganegara harus menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang penggubalannya bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan maju dalam setiap bidang.
Perlembagaan negara digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan pihak di negara ini. Jadi, ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. Ia juga merpuakan sumber rujukan bagi sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat Malaysia.

4.  Kedaulatan Undang-undang
Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi dalam negara Malaysia. Ketaatan pada undang-undang banyak dibantu oleh pihak berkuasa seperti polis, penguat kuasa perbandaran, penjara dan institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.

Kepatuhan undang-undang mampu menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat serta keselamatan negara. Oleh itu, setiap anggota masyarakat hendaklah patuh kepada undang-undang yang digubal supaya keamanan negara tercapai dan seterusnya usaha-usaha untuk membangunkan negara berjalan dengan lancar.
Kebebasan rakyat untuk menyuarakan buah fikiran tertakluk kepada beberapa perundangan tertentu bagi menjamin keamanan.

5.  Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ini memberi penekanan kepada setiap anggota masyarakat. Peri pentingnya personaliti dan tingkah laku seseorang dalam menggambarkan kebudayaan rakyat ini. Sifat sopan santun dan tatasusila adalah penting dalam konteks perhubungan masyarakat yang berbilang kaum.

Bahasa yang lembut serta tingkah laku yang sopan dapat menjamin hubungan yang harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Pembentukan individu yang berdisiplin dan bermoral tinggi hasil didikan sejak kecil dapat menjamin kewujudan sebuah masyarakat yang salin berinteraksi dalam suasana yang bersatu padu dan aman.

            Ketua kampung menutup buku tebal itu dengan cermat sebelum memandang ke arah anak buahnya. Mereka masih menantikan apa yang ingin disampaikan ketuanya.
            “Esok. Sekembalinya ke kampung, kita akan berbincang dengan penduduk bagi merancang untuk membina sebuah gedung ilmu. Ini bertujuan untuk mengembalikan budaya membaca serta mencari pelbagai ilmu demi membangunkan kampung kita. Tidak banyak yang kita belajar dari buku-buku yang sedia ada. Di dalam bangunan yang berusia lebih dari ribuan tahun ini, terdapat pelbagai buku yang belum pernah kita pelajari.” Itulah arahan rasmi dari seorang ketua kampung.
            Akhirnya mereka bersepakat. Seluruh penduduk kampung bergotong royong untuk membina sebuah kompleks perpustakaan yang terletak berdekatan dengan kawasan oasis. Lengkap dengan taman yang indah serta beberapa buah bilik kuliah dan pejabat pentadbiran. Sebahagian bahan binaan dan perabot yang masih sempurna diambil dari bangunan lama yang separuh ditenggelami gumuk pasir. Sepasukan cari gali ditubuhkan untuk menggali gumuk pasir yang menenggelamkan bangunan tersebut.
            “Lihat! Ada tulisan besar pada bangunan ini!” Salah seorang penduduk memanggil rakan-rakannya berhampiran.
            “Apa yang kamu jumpa?”
            “Biar saya bacakan. Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Mungkin lokasi yang kita berada ini adalah Shah Alam?”
            “Boleh jadi.” Yang lain bersetuju dengan tanggapan rakan sekerjanya. Masing-masing menyambung kembali tugasan yang diberikan. Setakat ini beberapa buah bangunan berhampiran turut ditemui seperti pusat membeli-belah, hotel dan pejabat kerajaan. Mereka mula akui yang kawasan yang mereka huni sejak dahulu lagi adalah sebuah negara makmur yang bernama Malaysia.


 Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Tiada ulasan: