Aku terjaga dari lena yang panjang. Terlalu panjang dan tidak ingat apa-apa pun. Yang aku tahu setelah terjaga, mendapati diriku terbaring di sebuah taman yang cukup indah. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Aku bangun dan melangkah ke anak sungai untuk membasuh muka. Bertambah hairannya aku bila melihat kejernihan airnya. Tidak disentuh sebarang pencemaran. Sedang aku sibuk membasuh muka, ada seseorang sedang berdiri di belakangku.
Aku menoleh dan seorang gadis yang cantik bak bidadari dengan senyuman yang manis. Berpakaian serba putih dan di belakang badannya sepasang kepak seperti sayap burung merpati. Makhluk apakah ini?
“Jangan takut. Kamu tidak akan diapa-apakan. Aku tidak berniat untuk melakukan perkara buruk terhadapmu.”
“Kamu siapa?” Aku mula berasa cemas. Hendak melarikan diri, kakiku seperti dikunci erat.
“Namaku Puteri Mayang Ratna Sari Manirah. Panggil saja Sari. Dan kamu pula?”
“Namaku Manaf. Di mana aku berada sekarang? Tempat ini cukup aneh bagiku.”
“Sekarang kamu berada di negeri Indera Kayangan. Sebuah kerajaan yang terletak berhampiran dengan Langit Ketujuh.”
“Langit Ketujuh?” Kening kananku terangkat. Pelbagai perkara pelik dan asing bagiku menerjah masuk ke dalam kotak minda tanpa diundang.
“Ia terletak di antara bumi dengan alam cakerawala yakni angkasa lepas. Manusia biasa tidak dapat melihat dengan mata kasar.”
“Bagaimana aku boleh berada di sini?” Aku masih keliru dengan apa yang sedang berlaku.
“Manaf, kamu amat bertuah kerana terpilih dari kalangan manusia menjadi tetamu kami. Kamu dibawa ke sini dengan menggunakan satu mantera khas yang akan memilih seorang manusia yang memiliki ciri-ciri yang kami kehendaki. Ayuh. Biar kubawa kamu ke ibu negeri.” Tangan kananku ditarik dengan perlahan tanpa sebarang bantahan.
Tangannya lembut bak sutera. Sari membawaku ke tebing yang amat curam. Aku memandang ke bawah. Dapat dilihat benua Asia terbentang luas di muka bumi.
“Kalau gayat, jangan pandang ke bawah.” Sehabis bicara lembutnya, Sari mengembangkan sayapnya dan mula mengipas. Dengan sendirinya kami terbang menuju masuk ke dalam kelompok awan besar.
Aku cukup kagum dengan hasil ciptaan Maha Esa. Begitu luasnya alam semesta sehingga sukar diukur keluasannya. Aku memandang ke wajah Sari. Dia begitu ceria bagaikan karakter animasi dari negara matahari terbit. Begitu pantas masa berlalu sehinggakan aku tidak sedar kami tiba di sebuah destinasi yang amat menakjubkan. Kelihatan tersergamnya bangunan purba yang serba putih di sebalik awan.
“Itulah ia ibu negeri Indera Kayangan.” Kata Sari.
“Menakjubkan.” Bisik hatiku.
Bagaikan tidak percaya yang kini aku berada di dataran pancuran air setelah mendarat dengan selamat. Sekali imbas, dari bentuk seni bina, jalan raya, cara hidup sehinggalah pakaian para penduduknya tidak ubah seperti pada zaman tamadun Romawi. Dan yang paling uniknya adalah kaum lelaki memiliki sepasang kepak seperti sayap burung helang. Begitu juga dengan kaum wanita. Sayap mereka sama seperti sayap yang dimiliki oleh Sari. Kanak-kanak pula memiliki sayap yang kecil.
“Kita nak ke mana sebenarnya? Adakah kamu mahu membawaku ke makmal untuk dijadikan bahan uji kaji atau di hantar ke arena pertarungan untuk dijadikan hidangan raksasa?” Soalan dariku disambut ketawa manis dari Sari.
“Tidak, Manaf. Janganlah fikirkan perkara yang tidak elok. Sebenarnya ayahanda ingin berjumpa dengan kamu.”
“Ayahanda? Untuk apa?”
“Berkenalan.” Tanganku terus ditarik menyusuri laluan pasar yang sibuk menuju ke sebuah istana yang terletak di atas bukit. Para penduduk di situ tidak menghiraukan akan kehadiranku. Mereka sibuk dengan urusan masing-masing.
Ketibaan kami disambut oleh para pengawal istana. Tentera yang mengawal istana tersebut seolah-olah sudah lama mengenali Sari lantas menghormatinya tanpa perlu menjalani pemeriksaan keselamatan. Di ruang legar istana begitu luas. Hatta lebih luas dari bangunan Palace of Justice, Putrajaya.
“Kamu tinggal di sini? Adakah ayah kamu pemerintah Indera Kayangan?” Soalanku tidak dijawab oleh Sari sehinggalah tiba di sebuah pintu gerbang yang menghubungkan antara ruang legar istana sehingga ke balai rong.
“Ya dan ayahku seorang pemerintah di sini.”
Pintu gerbang berkeruak sehingga bergema seisi istana. Dari jauh dapat kulihat seorang lelaki duduk di meja kerja sambil menulis sesuatu. Orangnya sedikit gempal dengan rambut dan jambangnya yang lebat. Memakai jubah putih dengan sepasang sayap burung helang yang semakin pudar warnanya. Mungkin itu adalah salah satu tanda-tanda penuaan. Apabila dia terlihat kehadiranku, dia dengan segera memperkemaskan diri sebelum menyambutku.
“Sahabatku dari bumi. Selamat datang ke Indera Kayangan. Nama beta Sri Maharaja Megat Panji Alam. Pemerintah Indera Kayangan dan juga ayahanda kepada Puteri Mayang Sari Ratna Manirah.” Lelaki tua yang mengakui dirinya sebagai pemerintah menyambut salamanku dengan ramah.
“Terima kasih. Nama patik Manaf. Berasal dari Kajang, Selangor.”
“Ayahanda, inilah dia manusia yang terpilih. Manusia yang sering disebut dalam Kitab Petala Tujuh.”
“Kitab Petala Tujuh? Manusia terpilih? Apa ni? Semuanya masih kabur. Sila jelaskan niat sebenar mengapa patik berada di sini?” Aku semakin keliru.
Mula-mula aku terbaring di sebuah taman bunga. Kemudian Sari pula menjumpai aku sebelum diterbangkan ke sini. Sekarang, Sari sebut Kitab Petala Tujuh. Dan dalam keadaan bercelaru, sempat juga aku berpatik dan berhamba dengan ayahanda Sari. Mengarut sungguh!
“Biar beta berterus-terang. Kamulah manusia terpilih oleh bangsa beta, Puak Cenderawasih dan harapan kerajaan Indera Kayangan. Di dalam Kitab Petala Tujuh ada menyatakan, seorang manusia terpilih berdasarkan kriteria yang baik dan menjadi teladan kepada manusia lain akan muncul untuk membantu kami iaitu kamu. Kamulah satu-satunya harapan kami.”
“Harapan? Maksud tuanku?” Suasana dibiarkan sunyi seketika. Hanya bunyi siulan angin yang dingin sahaja mengisi ruang yang kosong.
“Harapan untuk memimpin Puak Cenderawasih demi memerangi penjarahan Puak Kelawar yang diketuai oleh Raja Kegelapan.” Ujar Megat Panji Alam. Aku begitu terkejut dengan apa yang dia katakan tadi.
“Patik sebenarnya tidak layak untuk memimpin bala tentera tuanku. Lagi pun masih ada ramai lagi yang lebih layak dari patik. Mengapa pilih patik?”
“Sebelum ini sudah ramai panglima yang berwibawa telah kecundang di tangan mereka. Bukan itu sahaja, putera beta yakni abang kepada Sari turut gugur dalam perjuangan. Sehinggakan kami di sini hampir berputus asa. Mujurlah pawang diraja telah berjaya menemui jalan penyelesaian yang cukup berharga iaitu kamu. Kamu memiliki hati bukan sahaja suci dan bersih, tetapi memiliki hati waja serta semangat yang lebih kuat dari kami. Oleh itu, kamulah satu-satunya harapan kami.” Tambah Megat Panji Alam.
Aku tidak dapat mengelak atau berdolak-dalik lagi. Aku memandang ke wajah Sari. Dia kelihatan sayu dan bergantung harap kepadaku. Aku memandang kembali ke arah Megat Panji Alam. Dia kelihatan tenang sedangkan situasi di negerinya semakin genting. Kemudian, aku merenung ke arah jendela istana. Warga Indera Kayangan mungkin tidak tahu akan persengketaan mereka dengan Puak Kelawar. Atau pun mereka tahu tetapi tidak menunjukkan sebarang kerisauan. Aku mula berasa serba-salah dan perasaanku bercampur-aduk untuk memilih sama ada tanggungjawab atau kemalasan yang kerap menyelubungi diriku selama ini.
“Bagaimana?” Sari mula bertanya setelah lama membisu.
“Baiklah. Patik bersetuju. Tetapi patik tidak memiliki sebarang ilmu peperangan.”
“Itu tidak menjadi masalah.”
Selepas Megat Panji Alam berkata, dia terus meletakkan telapak tangan kanannya ke atas kepalaku. Aku memejamkan mata sebelum suatu cahaya keemasan muncul entah dari mana datangnya. Ada suatu semangat atau aura yang luar biasa meresap masuk ke dalam tubuhku. Apabila aku membuka mata, alangkah terkejutnya bila melihat diriku tidak seperti dahulu. Berpakaian seperti pahlawan Romawi dengan perisai dada yang keemasan. Topi keledar besi yang berjambul kemerahan dan yang paling menarik, aku juga memiliki sepasang sayap burung helang di belakang badanku.
“Ini pedang kamu, Manaf. Sebelum ini ia milik abangku, Putera Sri Wijaya Kesuma.” Kata Sari sambil menghulurkan kepadaku.
“Terima kasih.” Terpegun seketika. Pedang ini tidaklah begitu berat dan mudah melibas ke kiri dan ke kanan tanpa sebarang masalah.
Sedang leka membelek pedang yang diberikan Sari tadi, seorang pegawai tentera berlari ke arah kami dalam keadaan termengah-mengah. Wajahnya pucat dengan peluh bercucuran.
“Tuanku. Puak Kelawar telah menyerang daerah tenggara Indera Kayangan! Mereka merompak harta benda penduduk di situ.”
“Cis! Tidak habis-habis mereka mencemarkan kedaulatan negeri beta!” Megat Panji Alam mula tidak berpuas hati. Kemudian dia memandang ke arahku.
“Manaf, kamu akan mengepalai bala tentera beta untuk menghapuskan Puak Kelawar. Jika boleh, bunuh sahaja Raja Kegelapan kerana itulah satu-satunya kelemahan Puak Kelawar. Tanpa ketua, mereka tidak mampu berbuat apa-apa.”
“Usah khuatir, Manaf. Pegawai ini akan mengajar kamu bagaimana untuk terbang. Ia mudah dikendalikan kerana sayap kurniaan ayahanda adalah sebahagian dari dirimu.” Sari menenangkan aku.
“Baiklah. Patik berangkat dengan segera.” Aku menunduk hormat sebelum mengekori pegawai tentera tadi keluar dari balai rong.
Dari jauh dapat kulihat begitu ramai Puak Kelawar sedang bersuka ria menikmati harta rompakan dari penduduk Indera kayangan. Mereka duduk bersantai di sebuah taman yang terbiar. Bila dihitung, jumlah Puak Kelawar yang berada di situ dianggarkan seramai lapan ratus orang.
“Tuan, Raja Kegelapan memakai mahkota berupa tanduk kerbau. Dia duduk lebih tinggi dari pengikutnya.” Kata pegawai tersebut sambil menudingkan jarinya ke arah Puak Kelawar.
“Begini. Aku perlukan beberapa orang yang kuat dan perkasa untuk membantu menghapuskan Raja Kegelapan. Kamu pula mengetuai yang lain untuk menghapuskan pengikutnya. Bagaimana?” Aku mendapatkan persetujuan dari para pegawai tentera yang lain.
“Kami di sini bersependapat dengan tuan. Ayuh lekas. Sedang asyik kekenyangan, kita boleh mengalahkannya dengan mudah.”
Puak Kelawar seakan-akan manusia tetapi bezanya ia memiliki kulit yang pucat seperti mayat dan juga memiliki sepasang sayap kelawar di belakang badannya. Raja Kegelapan pula bertubuh besar. Ini menyebabkan aku menelan air liur berkali-kali.
Tentera Indera Kayangan dipecahkan beberapa kumpulan untuk mengepung Puak Kelawar. Walau pun tidaklah begitu ramai, aku mengatur strategi dengan penuh teliti. Gelak ketawa semakin jelas kedengaran ketika menghampiri lokasi mereka. Salah seorang dari mereka bangun untuk mengambil sebotol labu sayung dan setibanya di tempat persembunyian tentera Indera Kayangan, dia terkejut apabila disergah oleh salah seorang pengikutku sebelum dibunuh.
Bila mendengar jeritan rakannya, barulah mereka sedar yang kawasan rehatnya diserang hendap. Anak panah menghujani kawasan istirahat Puak Kelawar sehinggakan begitu ramai yang mendapat kecelakaan. Raja Kegelapan mula panik bila melihat begitu ramai pengikutnya terbunuh.
“Selamatkan diri...! Kita bertemu di tempat biasa...!” Jerit Raja Kegelapan.
“Kamu tidak sempat berbuat demikian.” Aku melompat ke hadapan sambil cuba menetak kepalanya. Tetapi dapat ditangkis oleh Raja Kegelapan.
“Panglima perang yang baru? Sudah pasti Megat Panji Alam telah meminjam seorang manusia biasa untuk memimpin bala tentera Indera Kayangan yang hampir kecundang.” Ejek Raja Kegelapan sambil mengacah-acah ke arahku seperti anak kecil. Dia kini dikepung oleh para hulubalang yang terpilih.
“Belum tahu siapa yang kecundang terlebih dulu.” Aku membalas dengan jawapan yang sinis. Ini menyebabkan Raja Kegelapan berang sebelum melancarkan serangan. Seorang demi seorang hulubalang yang terpilih tumpas sebelum beralih terhadapku.
“Sekarang kamu keseorangan. Tiada siapa yang sudi membantumu wahai manusia keparat!” Dia melibas pedangnya membabi-buta. Mujurlah aku sempat mengelak dan menjadikan pokok di sekitar taman terbiar sebagai perisai sementara. Keadaan persekitaran masih diselubungi pertumpahan darah. Tiba-tiba aku mendapat satu akal.
“Raja Kegelapan dah tumpas...! Dia sudah mati...!” Aku menjerit sekuat hati sehinggakan beberapa anggota tentera Indera Kayangan turut berbuat demikian. Ini menyebabkan anggota Puak Kelawar mulai panik dan melarikan diri dengan membuangkan senjata masing-masing sedangkan ketuanya belum menemui ajal.
“Bodoh!! Aku masih hidup lagi...!” Raja Kegelapan bertambang berang bila semakin ramai pengikutnya meninggalkan dia keseorangan. Kini, aku menjadi sasaran terakhir yang perlu dihapuskan.
“Nah, ambil ini!” Raja Kegelapan menetak kepalaku dengan pedangnya dan pada masa yang sama aku merodok perutnya dengan pedang pemberian Sari.
Aku mendengar jeritan kesakitan yang begitu kuat dan darah memancut keluar menutupi pandanganku. Aku tidak pasti siapa yang menemui ajal. Sama ada aku atau Raja Kegelapan. Kali terakhir aku ingat, Raja Kegelapan rebah menghempap tubuhku yang kecil hingga menyebabkan aku pengsan.
“Bangun! Bangun...! Sekarang dah pukul berapa? Tak pergi kuliah ke?” Siapa pula yang mengganggu percaturan hidup dan mati aku?
Aku membuka mata dan kali ini aku pula terbaring di atas katil empuk yang tidak berkemas. Seorang pemuda sedang berdiri mengadap cermin yang disangkut pada pintu gerobok pakaian sambil membetulkan tali lehernya. Bercermin mata dengan rambutnya disikat kemas serta memakai kad pelajar universiti dengan nama pemiliknya Amiruddin.
“Ini mesti baca komik sampai lewat malam tadi.” Rakan sebilikku masih membebel itu dan ini.
Aku melihat jam loceng di rak buku. Ya Allah! Hampir pukul 8 pagi dan ini bermakna, aku tidak sedar ketika jam loceng berbunyi. Memburukkan lagi keadaan di mana aku tidak menunaikan solat Subuh! Tanpa membuang masa, aku segera mencapai tuala mandi sebelum berlari keluar ke bilik air.
“Wei! Itu tuala aku!” Jeritan dari rakan sebilik tidak diendahkan.
Ini adalah hari pertama memulakan sesi kuliah setelah seminggu menjalani orientasi dan sesi suai kenal. Kini aku menuntut dalam bidang animasi dan multimedia pada tahun pertama. Dan bukanlah seorang manusia terpilih seperti mana yang digembar-gemburkan oleh Puak Cenderawasih yakni watak rekaan dalam manga yang sering kubeli setiap bulan. Itulah akibatnya terlalu taksub pada manga tanpa memikirkan realiti sebenar.
Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.
1 ulasan:
Cerpen ini lain dari yang lain. Jadi, teruskan menulis.
Catat Ulasan