Ahad, 28 November 2010

Hampa Seorang Sultan

            Tersebutlah kisah di sebuah negara yang terletak nun di ceruk nusantara. Sebuah negara di gugusan kepulauan Melayu yang kaya dengan hasil bumi terutama ‘emas hitam’. Kemewahan limpah ruah tidak terkata oleh orang luar yang datang mengunjung. Pelabuhan yang serba lengkap serta canggih menjadikan ia pusat perniagaan dan persinggahan para pedagang yang ingin ke timur atau ke barat. Rakyat jelata rajin bekerja, bertolenrasi, bersatu padu dan berbudi bahasa. Para panglima serta hulubalang begitu gagah dan tidak terkira ramainya. Negara Pura Cendana itulah namanya.
           Di ceritakan lagi sebuah istana yang tersergam indah di atas bukit. Berlantaikan jubin, berdindingkan bata dan beratap genting. Keluasannya hatta berkali ganda sukar dianggarkan. Di situlah juga bersemayamnya seorang sultan yang masih bertenaga untuk memerintah negaranya. Sultan Pateh Ameruddin diberi gelaran. Baginda tidak lawa tetapi manis rupanya. Berstatus duda dan anaknya dua. Yang sulung, Putera Pateh Saidina kini menuntut ilmu di timur tengah dan yang bongsu, Puteri Pateh Amelya masih kecil dan dijaga oleh pengasuh diraja. Pemaisurinya, Sultanah Anggerik Biru Muda sudah pun mangkat akibat gering yang begitu lama.
           Hinggalah suatu hari yang tenang, baginda memanggil bendaharanya, Datuk Tun Setia masuk mengadap di balairong. Antara pintu masuk balairong sehinggalah ke singgahsana adalah dua ratus kaki jaraknya. Tiang-tiang batu sebesar pemeluk menyokong ruang istana dengan kukuh. Tun Setia tiba di situ dan dapat melihat dengan jelas keadaan baginda sultan. Dari raut wajahnya, Sultan Pateh Ameruddin mengalami kemusykilan yang teramat sangat. Tubuh semakin kurus akibat tiada selera bersantap. Matanya lebam akibat kurang beradu.
            “Ampun tuanku. Sembah patik harap diampun. Patik datang masuk mengadap.” Sembah Tun Setia seperti biasa. Suasana dibiar sunyi seketika. Para pengawal istana diarahkan keluar dari balairong buat sementara waktu kerana baginda ingin mengadakan perbincangan sulit antara mereka berdua.
            “Moleklah begitu. Beta memanggil datuk bendahara diawal pagi yang dingin ini kerana ingin mengkhabarkan yang beta mengalami mimpi yang cukup aneh pada malam tadi. Sudah lima malam mimpi yang sama datang kepada beta.” Keluh si pemerintah kepada bendaharanya.
            “Apa yang dirunsingkan, tuanku? Patik sedia mendengarnya.”
             “Di dalam mimpi, datanglah seorang nenek kebayan dengan mengangkat jari telunjuk dan jari hantu kanannya ke arah beta. Kemudian, nenek kebayan itu menunjukkan isyarat ‘bagus’ pula. Malam tadi juga nenek kebayan muncul kembali dan melakukan perkara yang sama. Apa maksudnya?” Tun Setia mendiamkan diri sambil memikirkan maksud tersirat dari alamat mimpi baginda.
             “Ampun, tuanku. Sesungguhnya sebagai manusia biasa dan makhluk ciptaan Allah S.W.T, patik berusaha memberikan jawapan yang sebaik mungkin.”
            “Silakan.” Sultan Pateh Ameruddin memberi keizinan.
            “Dalam firasat patik, sudah tiba masanya tuanku memiliki sekuntum bunga yang segar dan wangi harumannya.”
            “Ertinya?” Kening baginda terangkat.
            “Tuanku hendaklah mencari pasangan hidup yang baru untuk menggantikan Allahyarhamah Permaisuri Anggerik Biru Muda.” Alangkah tersegarnya benak kesedaran baginda. Matanya terbeliak seperti dirasuk syaitan. Mulutnya ternganga dengan air liur meleleh keluar.
             “Ya! Pejam celik, hampir semusim permaisuri beta mangkat meninggalkan kita. Jadi, tidak salahkah jika beta berkahwin lagi?” Mata tuanku bersinar-sinar bila mendengar jawapan dari Tun Setia.
             “Tidak salah, tuanku. Niat yang baik harus diteruskan tanpa halangan. Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari.” Tun Setia hanya memerhatikan tuanku bangun dari singgahsana dan berjalan ke hulu dan ke hilir sambil mengurut misainya yang melentik panjang. Suasana dibiar sepi tanpa bicara balas. Angin menghembus belai memasuki kawasan balairong menyebabkan bendera jata negara Pura Cendana yang digantung pada siling berkibar megah tanpa sebarang halangan. Semegah Sultan Pateh Ameruddin berdiri di atas singgahsana yang berwarna kuning keemasan.
            “Datuk bendahara, dengan ini atas titah beta, hebahkan khabar berita ke pelusuk negara akan pencarian calon permaisuri yang baru untuk beta dengan segera!”
            “Titah dijunjung, Tuanku!” Dengan segera Tun Setia mengundurkan diri dengan penuh kesopanan dan adab susila istana.
           Pada hari yang sama dan diwaktu mentari berdiri tegak di atas kepala, suasana di seluruh pusat bandar bergema dengan bunyi paluan rebana dan ketukan beduk bertalu-talu. Berpuluh tukang hebahan berita sibuk memberi pengumuman kepada rakyat jelata yang sibuk dengan urusan sendiri. Tidak lama selepas mendengar berita itu, bermacam-macam fe’el yang berlaku. Ada yang berangan hendak jadi permaisuri, ada yang cuba nasib untuk mengubah hidupnya yang serba malas dan ada juga yang berniat buruk yang belum tentu tercapai. Harapan juga ingin kecapi oleh satu golongan yang bergelar andalusia (Anak Dara Lanjut Usia) yang kian terdesak akibat cerewet memilih pasangan hidup.

           Di sebuah kampung terpencil di selatan Pura Cendana, tinggallah seorang gadis yang bernama Melor bersama ibunya yang bernama Mak Kiah. Sekali pandang, Melor seiras seperti aktres terkenal, Lisa Surihani. Hidup mereka ibaratkan kais pagi, makan petang dan kais petang, esok petang belum tentu dapat makan. Melor menyara hidup dua beranak dengan menjadi tukang cuci pakaian di rumah tok penghulu. Ramai jejaka menaruh hati terhadapnya termasuklah tok penghulu sendiri yang ingin mengambil Melor sebagai isteri nombor empat. Tetapi Melor tidak melayan itu semua dan ini menyebabkan semua pinangan yang diterima ditolak mentah-mentah olehnya dengan alasan tidak setaraf. Apa yang dimaksudkan ‘tidak setaraf’?
          Apabila mendengar hebahan berita dari pihak istana, lantas Mak Kiah tergesa-gesa mendapatkan anaknya yang berada di atas pokok kelapa untuk mengambil buahnya.
            “Melor..! Melor..!! Turun! Ada perkhabaran yang baik untukmu!” Pekik Mak Kiah. Melor terus meluncur turun dengan mudah bagaikan seorang pemanjat pokok kelapa berpengalaman.
            “Ibu tidak perlulah menyatakan apa berita itu.” Kata Melor yang sedang mengelap peluh di dahinya.
            “Melor dah tahu?”
             “Sejak di pasar tani tadi. Heboh mengatakan yang baginda kemaruk untuk beristeri lagi. Apa yang menarik?”
            “Inilah peluang Melor untuk hidup mewah. Ayuh, mari kita bersiap sekarang. Kita akan ke ibu negara seberapa segera.” Tanpa bersoal jawab, Melor terus bersiap sedia dan mereka menumpang rombongan kabilah pedagang yang menuju ke ibu negara. Perjalanan mereka mengambil masa  dua hari satu malam dan setibanya di pintu masuk kota, mereka terpaksa menumpang teduh di pondok khas yang disediakan oleh pihak madrasah untuk para musafir untuk bermalam kerana mereka berdua tiba pada lewat petang.

         Keesokan harinya, berduyun-duyunlah para gadis jelita tiba di pintu masuk istana untuk mendaftarkan diri sebagai peserta. Setiap seorang akan menerima angka giliran sebelum mendengar penerangan dari pegawai istana. Menurutnya, dalam saringan pertama, para peserta akan menghadapi peperiksaan bertulis. Sebanyak 30 soalan objektif mesti dijawab dalam masa satu jam. Kepada mereka yang berjaya melepasi saringan tersebut, mereka akan menghadapi ujian fizikal pada saringan kedua. Mereka dikehendaki berlari merentasi halangan yang disediakan oleh pihak istana.
            Cabaran pertama, perlulah mereka merentasi anak sungai dengan berlari memijak batu-batu yang disediakan. Namun berwaspadalah, ada antara beberapa batu tersebut adalah palsu belaka. Jika tersalah langkah, nescayalah terhumban ke dalam sungai dan tersingkirlah dari pertandingan itu. Sultan Pateh Ameruddin berasa sukacita melihat aksi peserta. Bukan kerana melihat nasib malang si peserta. Tetapi melihat keadaan para gadis yang basah lencun dan menggiurkan. Menampakkan susuk tubuh badan yang ramping serta cantik.
            “Syabas, datuk bendahara! Syabas...! Beta amat berbesar hati akan perancangan yang rapi.” Puji Sultan Pateh Ameruddin sambil ketawa dan menepuk tangan bila melihat seorang gadis naik ke tebing sungai dalam keadaan basah yang mengghairahkan.
             “Menjunjung kasih, tuanku.” Sembah hormat Datuk Tun Setia. Hidungnya mengembang lebar bak bawang putih kerana memakan pujian yang tak terhingga.
            Cabaran kedua adalah lompat bergalah. Mereka hendaklah menyeberangi sebuah kolam yang berlumpur dengan menggunakan galah. Amat menyulitkan lagi keadaan adalah tempat untuk mendarat hendaklah betul-betul di atas pelantar terapung di tengah kolam berkenaan. Semakin ramai peserta menerima nasib malang. Ada yang tersasar melepasi pelantar terapung dan ada juga terjatuh terus ke dalam kolam tanpa sempat melakukan aksi berkenaan. Tidak sampai separuh peserta yang bernasib baik termasuklah Melor.
            Kemudian, cabaran seterusnya adalah melalui jambatan gantung yang hanya selebar satu kaki dan panjangnya hampir satu meter. Bertambah malangnya lagi mereka menerima tembakan meriam bola getah dari penembak handalan dari istana. Barang siapa yang berjaya bertahan dari tembakan bola getah tanpa terjatuh ke atas jaring keselamatan, gadis berkenaan diisytiharkan juara. Melor menghadapi cabaran dengan penuh kesabaran dan menyerah untung, nasib serta takdir kepada Ilahi. Semakin ramai peserta kecundang di pertengahan jalan. Mereka tiada pilihan lain kecuali pulang dengan penuh kekecewaan.
             “Apalah nasib kita. Tiada rezeki untuk menjadi permaisuri.” Keluh sedih dari salah seorang dari sekumpulan andalusia yang berjalan pulang akibat tersingkir.
            “Ini tak adil! Tak adil...!” Jerit seorang gadis sunti sambil menumbuk sebatang pokok pisang sehingga lunyai. Si ibu dan ayahnya masih cuba memujuk anak gadisnya yang masih kecewa.
         Bila tiba gilirannya, Melor menarik nafas sebelum memulakan langkah untuk menyeberangi jambatan gantung. Dia mengimbangi badan serta berwaspada setibanya di pertengahan jalan. Sebiji bola getah meluncur deras dan nyaris mengenai kepala Melor.
            “Aduh...! Hampir mengenai sasaran!” Si hulubalang gempal menepuk dahinya.
            “Kamu tak boleh diharapkan, Binjai. Biar saya yang mencuba.” Tegur seorang lagi hulubalang istana yang kurus tubuhnya.
            “Baiklah, Keladi.” Meriam bertukar tangan. Kali ini Keladi menumpukan sasarannya sebelum melepaskan tembakan.
            Pom...! Tembakan dilepaskan dan mengenai punggung Melor. Terkejut sungguh Melor sehingga hampir gagal mengimbangi badannya. Dan mujurlah punggungnya dapat menyerap hentaman yang kuat.
            “Kena...!” Keladi melompat kegembiraan seperti kera kena belacan.
            “Tetapi dia tidak jatuh pun. Kamu perlu menembaknya sehingga jatuh ke dalam kolam itu.” Tegur Binjai. Dengan segeralah juga Keladi menembak bertubi-tubi ke arah Melor yang semakin menghampiri garisan penamat. Dari lima tembakan yang dilepaskan, tiga darinya mengenai belakang badan Melor.
            “Tembak...! Tembak...!” Pekik Binjai. Malangnya ia sudah terlambat. Melor akhirnya telah berjaya menyempurnakan ketiga-tiga cabaran berkenaan dan menjadi juara tunggal. Sukacita sungguh Mak Kiah sehingga melompat-lompat seperti kera kena belacan. Mujurlah kain batik yang dipakainya tidak terlucut. Di singgah sana pula, Sultan Pateh Ameruddin melihat maklumat latar belakang Melor yang diserahkan oleh Datuk Tun Setia.
            “Molek sungguh si gadis ini. Rasa berkenan di hati beta. Boleh dijadikan permaisuri beta yang baru. Bukankah begitu, datuk bendahara?”
            “Memang molek. Tuanku cukup bertuah kerana mendapat sekuntum bunga yang mekar dan segar dari ladang.” Tersengih Datuk Tun Setia. Dia yakin, baginda akan menaikkan upahnya apabila tiba di penghujung purnama nanti.
            “Bawakan si gadis manis ini mengadap. Beta ingin benar mengenal hati budinya.”
            “Tuanku seperti tidak sabar untuk mendekatinya.” Usik Datuk Tun Setia.
             “Ada-ada sajalah datuk ni.” Sultan Pateh Ameruddin menahan ketawanya. Mereka segera kembali ke balairong untuk bertemu dengan bakal permaisuri Pura Cendana.

            Di bilik tetamu, Melor dan Mak Kiah dipakaikan sepasang persalinan yang baru dan lagi indah coraknya. Dihiasi barang kemas yang berkilau serta solekan dari bahan semula jadi. Seperti di dalam mimpi, dua beranak ini dengan penuh debaran masuk ke balairong. Di situ, berpuluh menteri kabinet dan timbalannya tidak sabar rasa di hati masing-masing untuk melihat wajah Melor.
         Apabila dua beranak ini masuk, kedengaran bunyi suara bagaikan bunyi lebah berterbangan.
            “Tak ingin hamba melihat si tua bangka datang bersama dengan bidadari itu.” Bisik salah seorang menteri kepada rakan sejawatannya.
             “Iyalah. Ibaratkan tiang kayu yang sudah pun reput, kemudian dicat dengan warna yang baru.” Rakannya setuju. Sultan Pateh Ameruddin dan Datuk Tun Setia hanya memandang ke arah Melor dan tidak kepada Mak Kiah.
            “Beta amat berbesar hati kerana cik Melor berjaya mengharungi cabaran yang telah disediakan oleh datuk bendahara.”
            “Menjunjung kasih, tuanku.” Melor mengangkat sembah. Sultan Pateh Ameruddin memandang ke arah Mak Kiah pula. Sebenarnya baginda menyampah untuk melihat Mak Kiah kerana mengacau sesi ramah mesranya. Tetapi perlulah mengurniakan sesuatu agar Mak Kiah menyerahkan anaknya kepada baginda.
            “Mak Kiah. Sebagai tanda penghargaan, beta kurniakan sebidang tanah yang subur dan dua buah peti yang berjumlah dua ribu tahil emas isinya.” Kata baginda sambil mengurut misainya.
            “Menjunjung kasih, tuanku. Menjunjung kasih.” Tersengih Mak Kiah bila mendengar ganjaran yang amat besar.
            “Tunggu dulu!” Satu suara bergema mengejutkan mereka yang berada di situ. Berpuluh pasang mata memandang ke arah seorang pemuda yang kusut masai berdiri di pintu masuk balairong.
            “Biadab sungguh lelaki asing itu! Kamu sedarkah dengan siapa kamu bercakap?! Pengawal! Mengapa kalian tidak menahan si biadab itu?!” Datuk Tun Setia marah bila sesi ramah mesra antara Melor dengan Sultan Pateh Ameruddin terganggu.
            Aneh. Para pengawal istana tidak menahan lelaki asing berkenaan. Mereka seolah-olah takut dan segan dengannya. Sultan Pateh Ameruddin mencuit bahu bendaharanya dengan sopan.
             “Beta sudah faham mengapa pengawal beta tidak menahannya.”
            “Mengapa, tuanku? Adakah lelaki asing itu adalah seorang pendekar yang tersohor?”
             “Tidak. Lelaki asing itu adalah anakanda beta, Putera Pateh Saidina. Beta cukup kenal akan gayanya ketika berdiri dan berjalan tadi.” Bukan main terkejutnya Datuk Tun Setia bila mendengar.
             “Sudah lamakah anakanda pulang?”
            “Sejak semalam. Anakanda sudah perhatikan kesemuanya dan anakanda rasa ayahanda tidak sesuai menjadi pasangan hidup buat Melor.”
            “Ertinya?” Mata Sultan Pateh Ameruddin terbeliak.
             “Ertinya, potensi dan prestasi sebagai seorang lelaki seperti ayahanda sudah menghampiri tarikh luput. Jadi, ayahanda tidak akan dapat memuaskan hati Melor melainkan anakanda yang kacak dan lagi bergaya. Ayahanda hanya boleh memuaskan hati ibu Melor iaitu Mak Kiah.” Kata-kata dari Putera Pateh Saidina memberi tamparan yang hebat buat Sultan Pateh Ameruddin. Masing-masing terdiam bila mendengar penjelasan dari bakal pemerintah Pura Cendana.
            Melor memerhatikan Putera Pateh Saidina dengan penuh mendalam. Dia seperti cuba mengingatkan sesuatu.
            “Putera Pura Cendana? Kita pernah bertemu di laman sosial maya?”
            “Ya, Melor. Kita pernah berbual di dalam alam maya sebelum ini.” Perbualan ini menyebabkan Mak Kiah tertanya-tanya.
             “Sejak bila Melor kenal dengan putera ini?”
            “Sejak musim lalu. Melor curi-curi menggunakan internet di rumah tok penghulu. Akhirnya Melor dapat bertemu dengan kekasih hati yang sempurna dan setaraf.” Mak Kiah, Datuk Tun Setia dan Sultan Pateh Ameruddin terkejut besar bila mengetahui hubungan mereka berdua.
         Sultan Pateh Ameruddin penerima impak yang cukup besar kerana rezeki untuk mendapatkan ‘pucuk ulam muda yang segar dari ladang’ tidak kesampaian. Menggigillah kesejukan seluruh tubuh badan baginda bila melihat Melor berlari mendapatkan Putera Pateh Saidina sebelum memeluk erat.
             “Apalah nasib beta....” Hampa di hati seorang sultan. Matanya merah dan berair.
            “Apa boleh buat, tuanku. Sudah nasib badan...” Wajah Datuk Tun Setia bermuram duka. Mungkin dia tidak akan dapat habuannya di hujung purnama nanti. Atau mungkin dia akan ditamatkan perkhidmatan lebih awal.


Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Tiada ulasan: