Ahad, 28 November 2010

Perjuangan Yang Kosong


            Sebuah kubu pertahanan berdiri megah di tengah kawasan savana yang luas mata memandang. Ia dibina daripada bongkah batu yang dipahat dari gunung berhampiran serta kukuh dari hentaman sebarang jenis artileri musuh. Kubu tersebut menjadi saksi kepada kekejaman dan pertumpahan darah yang berlarutan hampir dua ratus tahun semenjak tahun 2020. Pada waktu itu air laut mulai surut hingga mewujudkan daratan yang luas. Oleh demikian, negara-negara jiran mengambil kesempatan untuk meluaskan sempadan masing-masing. Akhirnya berlakulah pertelingkahan merebut sempadan hinggakan membawa kemusnahan tamadun manusia. Satu demi satu negara di Asia musnah sehinggakan bangsanya juga turut pupus akibat peperangan nuklear. Sepanjang zaman kegelapan itulah muncul beberapa buah negara baru termasuklah negaraku, Indera Kayangan. Selain Indera Kayangan, tiga lagi negara baru yang terbentuk dari pecahan negara Malaysia adalah Borneo Utara, Borneo Selatan dan juga Pekan (gabungan tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang).

                Di ruang bilik pejabat yang tidak seberapa luas, aku mengelamun sambil mengetuk meja kerja dengan jari telunjuk. Fikiranku buntu dan tenggelam punca. Buntu kerana memikirkan krisis yang melanda di Tebing Timur. Sebuah daerah yang kering, tandus serta gersang tetapi kaya dengan hasil galian T2200. Galian tersebut lebih berharga dari emas, perak, berlian, titanium, uranium, gas asli dan petroleum. Galian T2200 adalah bahan yang boleh menjana bekalan elektrik. Tenaganya lima kali lebih berkuasa dari tenaga nuklear dan hanya seketul T2200 jugalah ia boleh membekal tenaga elektrik sebuah bandar utama yang didiami seramai 5 juta orang. Galian T2200 ibaratkan jantung dan nyawa bagi warga Indera Kayangan.
            “Ah...! Pening kepala! Baik aku pergi ambil angin sebentar.” Aku kata bersendirian sebelum bangun dari kerusi dan mencapai ves celoreng yang disangkut pada pintu masuk.          
                Belum sempat aku meninggalkan bilik pejabat, ada seseorang sedang memanggil namaku. Seorang soldadu berlari ke arahku dengan membawa sehelai kertas di tangannya. Wajahnya nampak tegang dan seperti ingin mengkhabarkan berita buruk kepadaku.
            “Maafkan saya, tuan. Perkembangan terbaru dari Tebing Timur.” Katanya selepas memberi tabik hormat. Aku menyambut kertas tersebut sebelum membacanya.
            “Pihak pemberontak telah menawan kawasan perlombongan Sektor 2 awal pagi tadi. Aneh, bukan? Mengapa mereka tidak menyerang Sektor 1 atau 3 terlebih dulu?” Aku meneliti setiap ayat yang ditulis dalam laporan berkenaan.
            “Mungkin itulah satu-satunya cara untuk menyekat penghantaran bekalan galian kita ke ibu negara. Pada pendapat saya, strategi mereka berkesan.” Kata soldadu berkenaan.
            “Betul kata kamu. Ini disebabkan Sektor 2 adalah pangkalan udara untuk menghantar galian T2200 ke negara kita. Baiklah. Saya akan ke bilik operasi dan ingin menghubungi Jeneral Samad.” Aku terpaksa menangguhkan niat untuk ke atas bumbung kubu untuk mengambil udara bersih.
            Keadaan di bilik operasi begitu sibuk. Mungkin mereka sudah pun menerima khabar buruk mengenai Sektor 2 jatuh ke tangan pemberontak. Ada yang berusaha menghubungi pos-pos kawalan sekitar kawasan savana agar berwaspada dan juga sibuk memantau keadaan persekitaran melalui peta topografi digital 4 dimensi. Aku meminta salah seorang pegawai di situ menyerahkan ganggang telefon. Aku mendail nombor ibu pejabat sebelum ia disambut oleh operator.
            “Sambungkan ke Jeneral Samad.” Diam seketika. Hanya mendengar irama menunggu jawapan. Kemudian, kedengaran ganggang diangkat.
            “Samad di sini.” Suara serak-serak basah menyambut panggilanku.
            “Assalamualaikum, tuan. Maafkan saya kerana mengganggu tuan sedang bermesyuarat.”
            “Waalaikumussalam. Tidak mengapa. Mesyuarat sebenarnya sudah pun dibatalkan. Kebetulan sebentar nanti saya ingin menghubungi kamu. Mengenai kejatuhan Sektor 2.”
            “Itulah tujuan saya menghubungi tuan. Sebab ingin mengetahui tindakan selanjut yang perlu diambil untuk merampas kembali Sektor 2.”
            “Buat masa ini kamu perlu berwaspada serta mengukuhkan pertahanan di kawasan kamu. Rondaan perlu dipertingkatkan dan dapatkan seberapa banyak maklumat tentang kegiatan pemberontak selepas penawanan Sektor 2. Mungkin mereka sedang merancang untuk menawan Sektor 1 dan 3 atau menyerang terus kubu pertahanan kamu.”
            “Baiklah, tuan. Nanti saya arahkan orang-orang saya berwaspada.”
            “Bagus. Lagi satu. Mengenai operasi menawan kembali Sektor 2 dan menghapuskan pihak pemberontak, saya telah menghantar sebuah pasukan khas ke sana. Dalam masa beberapa minit lagi mereka akan tiba sebentar nanti.” Penjelasan dari Jeneral Samad sedikit sebanyak meringankan beban yang aku tanggung selama berkhidmat di sini.
            “Terima kasih, tuan.” Talian terputus. Aku memandang ke arah jam dinding berdekatan dengan pintu masuk bilik operasi. Lagi beberapa minit untuk menjangkau pukul 11 pagi nanti.

            Menjelang tengah hari, kelihatan sebuah pesawat pengangkut terbang perlahan menghampiri bumbung kubu pertahanan. Dalam masa lima minit lagi pesawat berkenaan akan mendarat di atas pelantar. Pesawat berkenaan mampu membawa seramai lima puluh penumpang dan barangan kargo dengan beratan lebih dari seratus tan. Pintu kargo terbuka dan muncullah sepasukan soldadu yang berpakaian celoreng kelabu sambil membawa kelengkapan perang. Aku dikhabarkan oleh pegawai yang bertugas mengenai ketibaan pasukan berkenaan ketika leka menjamu selera.
            Tanpa membuang masa, aku naik ke atas pelantar dan bertemu dengan beberapa anggota pasukan khas yang baru turun dari pesawat.
            “Selamat datang ke kubu pertahanan yang tidak seberapa canggih ini.” Kami bersalaman.
            “Walau pun ia tidak canggih, tetapi ia kebal dari hentaman peluru berpandu dan kalis pencemaran radiasi ketika peperangan nuklear sebelum ini.” Puji salah seorang pegawai berkenaan.
            “Terima kasih. Saya ingin kepastian, siapa ketua pasukan khas?”
            “Kapten Ali. Lebih elok kalau tuan panggil Puan Ali.” Jawab anggota pasukan khas yang bernama Rafik.
            “Puan Ali?” Aku terkesima.
            “Ya. Puan Aliyah. Kami selalu juga panggil dia Kapten Ali.” Akhirnya muncullah Kapten Ali atau Aliyah dari ruang kargo pesawat kargo. Orangnya sederhana tinggi, berambut panjang yang diikat serta lengkap berpakaian seragam sambil menggalas senjata api model M41.
            “Kami, Pasukan Khas 202 seramai tiga puluh anggota melaporkan diri, tuan kolonel.” Kapten Aliyah menyerahkan sepucuk surat kepadaku.
            “Selamat datang ke barisan hadapan Tebing Timur, Kapten Aliyah.” Aku lebih suka memanggil nama yang sebenar dan bukan nama Ali seperti anggota bawahan yang selalu memanggilnya. Ini mengelak dari sebarang kekeliruan yang akan dihadapi pada masa hadapan.
            “Bagaimana situasi di sini, tuan kolonel?”
            “Teruk juga semenjak Sektor 2 jatuh ke tangan pihak pemberontak.”
            “Memang patut Sektor 2 ditawan oleh pihak musuh. Ini kerana Kolonel Simon lebih suka bersenang lenang dari menumpukan tugasnya. Bila melihat ketuanya sebegitu, sudah pastinya orang bawahannya tidak mengendahkan keselamatan dan melakukan kerja sambil lewa. Apalah nasib mereka sekarang.”
            “Menurut maklumat dari mereka yang dapat melarikan diri, Kolonel Simon serta tahanan yang lain telah di bawa ke kawasan pergunungan. Saya pasti pihak pemberontak akan menuntut wang tebusan bagi pembebasan tahanan dalam masa terdekat.” Seorang pegawai soldadu datang ke arah kami dengan keadaan tergesa-gesa.
            “Tuan. Pihak pemberontak telah menghantar pesanan dan rakaman video kepada kita. Mereka juga menghantar salinannya ke stesen-stesen penyiaran di ibu negara kita.”
            “Memang betul jangkaan tuan kolonel.” Kapten Aliyah bersetuju. Kami bergegas ke bilik operasi. Mereka yang berada di situ menumpukan perhatian terhadap penyiaran pesanan dari seorang ketua pemberontak yang menggelarkan dirinya sebagai Tok Janggut. Orangnya memakai beret berwarna perang serta berkaca mata hitam. Berjambang hitam yang disulami garisan putih hingga paras dada. Orangnya berusia lingkungan lewat 30an
            “Tok Janggut? Mengapa dia gelarkan dirinya sebegitu?” Aku kehairanan.
            “Mungkin dia amat kagum dengan semangat dan keberanian Tok Janggut iaitu seorang tokoh pejuang menentang penjajahan Inggeris di negeri Kelantan pada zaman dahulu. Malangnya perjuangannya tidak mendapat sambutan oleh majoriti rakyat Kelantan. Bahkan lebih buruk lagi pihak istana telah meletakkan dia sebagai penderhaka terhadap sultan.” Jawab Kapten Aliyah.
            “Memang cukup malang bagi mereka yang menyokong ketua pemberontak ini. Saya telah menerima maklumat latar belakang lelaki yang menggelarkan dirinya Tok Janggut dari pihak risikan.” Aku menyerahkan sekeping fail laporan kepada Kapten Aliyah. Wajahnya tiba-tiba berubah bila membaca laporan berkenaan.
            “Nama sebenarnya Taijuddin Rahimi. Ketika berusia 15 tahun, dia dimasukkan ke hospital sakit jiwa dan selama empat tahun dia dirawat!” Terkedu bila membaca maklumat tersebut.
            “Baca maklumat selanjutnya.” Aku mengarahkan Kapten Aliyah berbuat demikian. Aku memerhatikan wajah Kapten Aliyah yang agak tegang.
            “Selepas keluar dari hospital sakit jiwa, dia mendaftarkan diri di Universiti Indera Kayangan dengan menggunakan nama samaran Wahyudin Ismail. Mendapat Diploma sains politik kelas pertama selepas dua tahun menuntut dan menjadi penuntut cemerlang.” Kening Kapten Aliyah terangkat.
            “Bagaimana? Kagum? Ketika dia menuntut di universiti, dia amat petah berpidato. Dia juga menubuhkan Gerakan Pelajar Bersatu, sebuah pergerakan haram yang sering mencetuskan provokasi terhadap pihak berkuasa dan kerap mengadakan bantahan serta demonstrasi besar-besaran pada sepuluh tahun yang lalu. Dialah yang dalangnya tetapi tidak menyertainya. Dia mempergunakan orang lain untuk melaksanakan arahannya.” Aku hanya memerhatikan Kapten Aliyah yang masih membaca maklumat diri Taijuddin Rahimi.
            “Cukup bijak. Bukan itu sahaja, dia berjaya mempengaruhi ramai pelajar untuk bangkit menentang kerajaan sehingga tercetusnya rusuhan yang mengakibatkan korban jiwa yang ramai.”
            “Seperti biasa, dia kerap terlepas daripada tindakan tegas pihak universiti dan menjadi mangsanya adalah para pelajar yang lain.” Aku menjeling kembali ke arah skrin. Tok Janggut atau Taijuddin Rahimi masih petah berhujah akan idea revolusinya. Diselangi beberapa petikan ayat suci Al-Quran serta hadis. Kerap mengkritik dasar kerajaan Indera Kayangan dan disusuli ugutan jika wang tebusannya tidak diterima, kesemua orang tahanan termasuklah Kolonel Simon akan dibunuh.
            “Baiklah. Masa semakin suntuk dan nyawa para tahanan di bawah tanggungjawab kita. Kita adakan taklimat ringkas sebelum memulakan operasi menyelamat dengan seberapa segera.” Kapten Aliyah segera beredar keluar dari bilik operasi. Aku hanya mengikutnya dari belakang.

            Jam tangan menunjukkan waktu hampir pukul 3 pagi. Keadaan yang gelap dan sejuk yang mencengkam tulang tidak menghalang Pasukan Khas 202 menjalankan misinya. Sebentar tadi beberapa anggota pasukan berkenaan berjaya menumpas beberapa sentri pemberontak secara senyap. Di sebalik banjaran bukit, beberapa buah khemah milik pemberontak dapat dilihat. Cahaya unggun api menerangi persekitaran hingga dapat melihat beberapa lagi sentri pemberontak yang sedang mengawal. Tidak jauh dari situ, sebuah gua dipercayai tempat para tahanan yang ditawan.
            “Kita bergerak sekarang!.” Kapten Aliyah memberi arahan dan dengan segeralah mereka bertindak. Aku dan dua pengiring bersenjata pula berlindung tidak jauh dari kawasan pihak pemberontak bersembunyi. Dengan menggunakan alat teropong penglihatan malam, dapat juga memantau persekitaran serta memberi sebarang maklumat jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
            Aku mengingatkan kembali taklimat ringkas yang berlangsung di bilik mesyuarat siang tadi. Pasukan Khas 202 seramai tiga puluh anggota dipecahkan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama ditugaskan menawan kembali Sektor 2 dan kumpulan kedua akan menyerbu tempat persembunyian pihak pemberontak untuk menyelamatkan para tahanan serta menangkap Tok Janggut. Tidak kiralah sama ada hidup atau mati.
            Tiba-tiba, kedengaran bunyi letupan yang kuat berserta juga bunyi tembakan yang bertalu-talu dari arah kawasan perkhemahan pihak pemberontak. Aku mencapai teropong untuk melihat keadaan. Beberapa kelibat yang dipercayai anggota pemberontak berlari ke sana-sini seperti cuba mencari tempat perlindungan. Manakala di gua berkenaan, kelihatan puluhan orang tahanan melarikan diri tanpa sebarang masalah.
            Di ruang udara, muncul pula sebuah pesawat pengangkut dari sebalik bukit sebelum turun ke kawasan lapang berhampiran. Pada masa yang sama, tembakan perlindungan dilepaskan ke arah pihak pemberontak yang melakukan tembak balas.
            “Undur, tuan kolonel. Suspek utama sudah pun ditahan.” Suara Kapten Aliyah berkumandang di alat pendengarku.
            “Terima.” Tanpa membuang masa kami berundur ke lokasi yang telah ditetapkan sebelum diambil oleh pesawat tadi.
            Akhirnya, kesemua tahanan termasuk Kolonel Simon berjaya diselamatkan dan ketua pemberontak yang dikenali sebagai Tok Janggut juga dibawa bersama. Dapat juga aku melihat lelaki berkenaan dengan lebih dekat.
            “Jangan merenung matanya sekian lama. Nanti tuan akan dipengaruhinya.” Kapten Aliyah memberi peringatan kepadaku. Tok Janggut menjeling ke arahnya dengan mulut yang ditutup dengan pita pelekat.
            “Usah risau, Kapten Aliyah. Dia hanya manusia biasa seperti kita. Makhluk yang dicipta oleh Maha Kuasa. Dia bukanlah dewa, malaikat atau pun tuhan. Dia juga mempunyai kelemahan seperti kita.” Aku menanggalkan pita pelekat dari mulut Tok Janggut. Mungkin aku berharap yang Tok Janggut akan merayu kepadaku agar dibebaskan.
            “Saya tahu yang tuan adalah seorang yang baik, adil dan bijaksana. Sesungguhnya tuan pasti tertanya-tanya pada diri tuan. Mengapa melakukan kekejaman terhadap seorang lelaki tua seperti saya? Dan perlukah tuan mengikut telunjuk dan kehendak pihak kerajaan yang semakin terpesong akidahnya. Berbaloikah...” Aku segera menutup kembali mulut Tok Janggut.
            “Dia masih cuba mempengaruhi orang lain walau pun sudah ditahan.” Aku tersegih ke arah Kapten Aliyah.
            “Jangan banyak cakap. Setibanya di ibu pejabat, kamu akan dibicara kerana cuba mengisytiharkan perang terhadap kerajaan Indera Kayangan. Jika didapati bersalah, kamu akan dijatuhkan hukuman mati!” Kapten Aliyah memandang ke arah pembantunya. Dia menerima laporan terkini dari Sektor 2.
            “Dengar sini, Tok Janggut. Pengikut kamu telah menyerah diri tanpa sebarang tentangan di Sektor 2 beberapa jam yang lalu. Jadi, perjuangan kamu sudah tiba penghujungnya. Perjuangan kamu yang kosong tanpa sebarang makna menyebabkan mereka yang mengikut kamu telah mensia-siakan usia muda mereka! Kamu mesti bertanggungjawab atas perbuatan kamu!” Kapten Aliyah terus menampar wajah Tok Janggut dan ini membuatkan aku tercenggang bila melihat perbuatannya.
            “Mengapa kamu lakukan sebegitu?” Aku ingin mendapatkan kepastian.
            “Kerana dialah adik lelaki saya terpengaruh dan menjadi mangsa korban akan perjuangan gilanya. Dia memang tak boleh dimaafkan.” Kapten Aliyah pergi ke kabin berdekatan dan meninggalkan aku serta Tok Janggut.
            Aku memandang kembali ke arah Tok Janggut dan dia, seolah-olah tidak memiliki perasaan langsung pada wajahnya. Pesawat pengangkut terbang dengan lancar untuk pulang ke kubu pertahanan. Pulang membawa berita baik untuk warga negara Indera Kayangan.


Nota: Cerpen ini milik Ahmad Mahzan Borhan. Sesiapa yang melakukan plagiat, akan didakwa.

Tiada ulasan: